Monday, October 10, 2011

Tanah Runtuh di APIUM, Muhasabah buat semua

Gambar jentolak sedang mengaut tanah. Kelihatan buku-buku bertaburan keluar daripada dinding perpustakaan yang pecah.

Minggu ini berlaku kejadian tanah runtuh di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Di kala masing-masing sibuk sedang menyiapkan assignment, perpustakaan pula terkambus dek tanah runtuh. Masing-masing mengeluh kerana tidak dapat menggunakan kitab-kitab turath yang berada di maktabah. Kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebahagian kecil Blok D, turut menyebabkan penghuni di blok C berpindah. Hal demikian kerana dikhuatiri bukit simen di sebelahnya turut runtuh.


Kejadian sebegini sememangnya sudah di duga. Pernah suatu ketika, seorang pensyarah pernah merungut berkenaan hal tersebut. Katanya,kawasan APIUM tidak selamat kerana terlalu berdekatan dengan bukit. Jaraknya hanya di pisahkan dengan longkang!.Sudah tentu apabila tanah runtuh dari bukit akan menyebabkan bangunan APIUM terus tertimbus.

Ramai yang mengeluh dikala kejadian ini berlaku. Baik dari peringkat atasan, sehinggalah ke peringkat bawahan. Masing-masing mula mencari punca kejadian ini berlaku. Terdapat juga yang menampal poster-poster kecil menyeru supaya warga APIUM kembali muhasabah berkenaan hal ini.

Ada juga yang mengatakan ini adalah disebabkan makbulnya doa para pelajar daripada Borneo. Khabarnya ada segelintir daripada sahabat-sahabat Borneo yang sering melakukan solat hajat minta di selamatkan program intensif bagi para pelajar Sabah dan Sarawak yang khabarnya telah dihentikan pengambilannya baru-baru ini. Menurut mereka, pemberhentian tersebut bermakna mengurangkan jumlah anak-anak Borneo ini untuk menerima didikan agama untuk pulang berbakti di sana.

Ada juga yang mengaitkan dengan sikap pelajar APIUM sendiri yang kurang menjaga tingkah laku mereka seperti dalam isu menjaga aurat, pergaulan dan sebagainya. Terdapat pelbagai telahan yang dibuat sehingga kadang-kadang tidak masuk akal.

Bagi saya, di dalam menangani isu ini warga APIUM janganlah cepat melatah. Jadikan perkara ini sebagai pengajaran dan medan muhasabah buat semua. Sekiranya ada yang perlu di perbetulkan, sama-sama kita memperbaikinya. Namun begitu, janganlah kita menunding jari menyalah orang lain. Biarpun kejadian ini boleh di anggap sebagai malapetaka alam, namun begitu sebagai muslim yang bertaqwa, kita yakin dengan kuasa Allah S.W.T yang berhak dan mampu melakukan apa sahaja.

No comments:

Post a Comment