Friday, June 10, 2011

Cita-cita untuk ke Syurga

Mereka juga ada cita-cita tersendiri


Sen nasil? Harap-harap semuanya sihat sejahtera. Rasanya sudah lama tidak berceloteh dalam ruangan maya ini. Jika ada sekalipun hanya sekadar artikel-artikel , video atau gambar sahaja. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini semakin culas untuk menulis. Kepala asyik bingung memikirkan sesuatu ,yang saya sendiri pun tidak tahu apa yang saya fikirkan. (hehe..saja bagi memeningkan orang yang tidak pening).

Semasa kecil dahulu saya sering berangan-angan ingin menjadi seorang Bomba. Kata saya kepada diri, saya ingin membantu orang yang rumahnya terbakar. Kemudian, ketika berumur 9 tahun, cita-cita saya bertukar untuk menjadi seorang peguam. Entah kenapa perkataan peguam berlingkar dikepala saya tanpa saya mengerti apa itu peguam pada ketika itu. Naik darjah 4, oleh kerana minat subjek sains maka cita-cita saya berubah untuk menjadi seorang jurutera. Ketika itu saya sendiri tidak tahu kenapa saya ingin menjadi seorang jurutera.

Bila masuk ke alam Sekolah Menengah, saya impikan untuk menjadi seorang ustaz, kerana di dalam keluarga saya masih kekurangan “ustaz”. Namun begitu apabila masuk Tingkatan 4, saya memilih untuk memasuki kelas sains. Sekali lagi cita-cita saya menjadi kabur. Hendak jadi ustaz? Sudah tentu lari dari bidang pengajian.

Semasa berada di KISAS, naqib saya berpesan sebelum berangkat ke Mesir. Katanya “ Sekiranya mahu menyambung pelajaran ke IPTA tempatan, ambilah jurusan Undang-undang, jika mahu menyambung jurusan agama ana menunggu nta di bumi anbiya”. Menitis air mata saya mendengar nasihat daripada Abang Azam, naqib saya semasa di Kolej Islam. Seorang yang alim dan warak. Tak pernah saya melihat seorang pelajar yang mampu memberi kuliah dengan penuh ilmiah. Setiap hari memberi tazkirah sekurang-kurangnya setengah jam. Di bulan ramadhan, setiap kali selepas Subuh, Asar dan Maghrib beliau akan memberi kuliah tanpa kekeringan idea. Mungkinkah kepulangan anak muda ini dari bumi anbiya akan membuka lembaran baru kepada negeri Kedah. Kerana beliau merupakan anak jati Kedah Darul Aman.

Alhamdulillah, akhirnya selepas menduduki STPM di KISAS, akhirnya saya berjaya juga memasuki bidang pengajian agama. Biarpun peringkat awalnya hati lebih cenderung untuk memilih jurusan undang-undang, namun apabila memikirkan nasib keluarga yang ketandusan ustaz, maka saya memilih bidang pengajian Syariah dan Undang-undang. Biarpun semangat membara kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi anbiya, namun perjuangan mesti saya teruskan. Hasrat dihati untuk menjadi seorang peguam tetap tidak luntur.Alhamdulillah kedua-dua saya dapat, iaitu “Ustaz” dan “Peguam”. Tetapi belum tentu kesudahannya, kerana masa depan masih jauh.

Kata Abang Dzul naqib saya, “ Sal tumpu betul-betul dan jadi peguam, sebab zaman sekarang penting peguam yang ada kefahaman Islam”. Kata Pak Lang saya kepada saya, “ Shan, jangan jadi peguam , nanti cepat masuk neraka”.

Sungguh berbeza antara keduanya. Mentaliti bapa saudara saya adalah mewakili sebahagian kecil pandangan orang kampung kepada peguam. Kebanyakkan daripada mereka berpendapat kerja peguam adalah kerja yang menempah api neraka. Saya pula tersenyum sendiri, “Aku sekadar peguam syarie, bukannya peguam sivil”.

Walaupun sejak kecil saya sering bertukar cita-cita, namun yang utama saya tetap bercita-cita ingin masuk syurga Allah SWT. Namun begitu, saya sendiri tidak tahu adakah mampu untuk mencapai cita-cita tersebut. Saya sendiri takut sekiranya tersungkur dalam mengejar cita-cita ini.

‘Ya, Allah kau berikanlah aku peluang untuk memasuki syurga-Mu , Kerana aku tidak mampu menahan azab pedih api neraka –Mu”

Gunakan Cuti Untuk Berbakti


Alhamdulillah, usai sudah peperiksaan bagi semester kali ini. Tamatnya peperiksaan bermakna semester juga telah bermula. Kegirangan menyambut percutian ini mungkin tidak bermakna bagi saya kerana terpaksa menikuti Latihan Industri (LI) di sebuah firma guaman.

Untuk LI pada kali ini, saya lebih senang untuk menempatkan diri di firma guaman sekitar Kuala Lumpur. Jika sebelum ini latihan praktikal saya adalah di negeri sendiri, namun begitu pada kali ini saya telah memohon restu daripada emak lebih awal lagi bahawa latihan praktikal saya akan dibuat di Kuala Lumpur. Mujur emak dan ayah benarkan.

Motif yang paling utama, sepanjang cuti saya perlu menghabiskan masa di Kuala Lumpur bagi menumpukan kepada kerja-kerja yang belum diselesaikan. Masih banyak urusan yang masih tertangguh yang memerlukan komitmen dan tenaga saya disini.

BELAJAR MEMASAK

Semalam saya sempat berborak bersama beberapa orang teman semasa makan. Hidangan yang disediakan adalah kari ikan kembung (ikan termenung bagi orang kedah). Uniknya, kari ini bukanlah hasil air tangan saya, tetapi hasil air tangan “sahabat didikan” saya. Hehehe. Sejak kebelakangan ini saya sering memberi tunjuk ajar kepada sahabat saya Ghaffar yang mahu belajar memasak. Bermula daripada teknik membuat sup ayam, sayur kubis, sambal ikan keli dan semalam saya perturunkan ilmu untuk membuat kari.

Ghaffar seorang yang cepat belajar. Sekali tunjuk, beliau sudah pandai untuk membuat hidangan untuk seisi rumah. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya, Bad dan Halim untuk memasak. Tetapi apa yang saya harapkan adalah semua ahli rumah saya pandai memasak. Bukan hanya sekadar tahu untuk makan, tetapi pandai juga untuk menyediakan juadah.

Mungkin sekarang belum nampak kepentingannya. Saya yakin kebaikkannya akan terserlah selepas berumah tangga. Mungkin ada yang beranggapan bahawa air tangan isteri adalah ramuan terbaik keharmonian ikatan rumah tangga. Jadi tidak perlulah si suami belajar memasak. Mungkin ini ada benarnya. Tetapi tidak dinafikan, sekiranya seorang suami mampu menyediakan juadah, sudah tentu isteri akan terasa bahagia. Dilayan seperti permaisuri didalam istana.

Bukan setiap hari suami perlu memasak. Sudah memadai pada hari-hari tertentu yang begitu bermakna buat isteri. Misalnya pada hari lahir isteri atau hari ulang tahun perkahwinan. Saya yakin dan percaya tarikh keramat tersebut akan lebih bermakna dan ceria sekiranya suami menyediakan juadah istimewa untuk isteri.

Tetapi kini, suami lebih rela membawa isteri ke restoren untuk meraikan hari penting tersebut. Alasanya, pada hari tersebut suami tidak mahu membebankan isteri dengan kerja-kerja memasak di dapur. Bagi saya itu suatu perkara yang agak melucukan. Sudahlah disiang hari ketika bekerja suami jarang-jarang makan dirumah. Masakan yang dirasai juga bukanlah hasil air tangan isteri. Mungkin juga air tangan mek Pattani ataupun Minah Indon. Apabila tiba tarikh penting, suami sekali lagi mengajak isteri makan diluar sebagai tanda penghargaan. Air tangan yang dirasai pada malam tersebut juga air tangan mek Pattani ataupun Minah Indon.

Jika suami yang memasak untuk isteri, sudah tentu air tangan dirasai oleh isteri adalah daripada suami yang dicintai. Sudah tentu bahagia bukan? Rasanya semuanya boleh berfikir sedemikian. Adillah sekiranya suami membalas kepada isteri dengan sekali masakan, berbanding isteri yang setiap hari menyediakan juadah untuk suami dan anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, lebih banyak lagi kelebihan yang akan diperolehi sekiranya kaum adam tahu memasak.

KASIH SAYANG IBU AYAH

Berbalik kepada perbincangan saya bersama sahabat-sahabat saya semalam. Masing-masing bersetuju apabila saya menceritakan perihal emak saya yang sering menanti kepulangan saya untuk bercuti. Setiap kali bercuti ada sahaja makanan yang emak simpan untuk saya. Daging lembu, siput lala dan lain-lain lagi. Daging lembu kenduri kahwin Abang Jeffri, terperuk didalam peti ais hampir tiga bulan. Minggu lepas emak menelefon, katanya dia menyimpan siput lala kering untuk saya, adik dan kakak yang berada di Politeknik.

Kata emak, setiap kali makan makanan kegemaran saya, dia akan teringat kepada saya. Begitu juga kepada Adik Syam dan Kak Mina. Jamah laksa teringat Kak Mina. Makan ikan goreng bantut cabai kering teringat kepada Syam. Bila makan dalca teringat pula kepada saya. Pernah ayah mengirimkan buah dokong sekotak besar kepada saya semata-mata kerana saya gemar menikmati buah dokong. Kebetulan ketika itu ayah menolong Pak Mat Desa menjual buah dokong.

Razali mengiakan apa yang saya ceritakan. Sahabat saya Nik Abdul Razak juga bersetuju dan mengalami pengalaman yang sama. Saya yakin dan percaya hampir semua dikalangan sahabat-sahabat merasai pengalaman seperti ini.

Semua emak dan ayah sayangkan kita. Mungkin naluri emak yang lembut jiwanya menonjolkan rasa sayang mereka kepada kita. Ayah yang lebih cenderung untuk menunjukkan wajah yang agak garang, bukan bermaksud mereka tidak penyayang. Sifat ayah agak berlainan dari ibu.

Akhir kalam, kepada sahabat-sahabat yang berpeluang bercuti, gunakanlah peluang ini sebaiknya. Jadikan cuti ini waktu untuk membuatkan hati ibu dan ayah kita gembira. Walaupun kita sudah dewasa, tetapi ibu dan ayah tetap sayangkan kita. Kepada mahasiswi gunakan peluang cuti ini untuk memantapkan skill memasak. Bagi yang tidak tahu memasak, belajar-belajarlah untuk ke dapur kerana ianya untuk masa depan anda.

Selamat Bercuti!

PROGRAM ZIARAH MESRA PMIUM menyentuh hati pesakit PPUM


Saudara Nik Abdul Razak bersama salah seorang pesakit yang juga merupakan anak salah seorang kakitangan UM.

Baru-baru ini Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sekali lagi mengadakan Program Ziarah Mesra (PZM) ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Program yang diadakan 2 minggu sekali ini merupakan program berkala PMIUM untuk mendekati dan berdakwah kepada para pesakit tanpa mengira bangsa dan agama.

Program pada kali ini disertai oleh beberapa orang pimpinan dan ahli Kelab Penyayang PMIUM. Di dalam program ini pihak Kelab Penyayang PMIUM menyediakan buah tangan iaitu sedikit makanan dan booklet dakwah untuk di edarkan kepada para peserta.

Menurut pengerusi JKP Kebajikan dan Perpaduan PMIUM, Saudara Nik Abdul Razak Bin Nik Mohd Ridzuan, terdapat dua jenis booklet yang disediakan. Pertamanya khas untuk pesakit beragama Islan, dan yang keduanya untuk pesakit selain daripada Islam.

Program yang dijalankan ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada para pesakit muslim berkenaan tanggungjawab mereka semasa sakit. Di dalam booklet yang diedarkan kepada pesakit yang beragama Islam, terdapat doa-doa penawar dan tips-tips yang boleh menyembuhkan penyakit menurut perspektif Islam.

Selain itu, di dalam ruangan yang singkat tersebut juga setiap sukarelawan PMIUM akan memberikan tunjuk ajar kepada pesakit berkenaan teknik-teknik mengamalkan doa dan tips tersebut. Para pesakit juga diajar cara-cara menunaikan solat ketika waktu sakit. Selepas itu bacaan doa keatas pesakit tersebut dilakukan. Di saat-saat bacaan doa inilah paling menyentuh hati, dimana ada dalam kalangan pesakit yang menitiskan air mata apabila mendengar doa yang dibacakan. Perkara ini dilakukan dari sebuah katil ke sebuah katil bagi mendekatkan PMIUM dengan para pesakit.

Menurut saudara Nik Abdul Razak, booklet berkenaan teknik-teknik menunaikan solat ketika sakit masih lagi belum dapat dikeluarkan kerana kekurangan dana. Program PZM ini juga diadakan 2 minggu sekali adalah disebabkan kekurangan dana untuk menyediakan buah tangan kepada para pesakit. Bagi setiap kali PZM, duit untuk membeli buah tangan adalah hasil sumbangan ahli PMIUM dan kutipan derma daripada para pelajar. Sekiranya ada pihak yang sudi menaja program ini, PMIUM berbesar hati menerimanya. Hal demikian bagi mengimbangi usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang juga berusaha meluaskan dakyah mereka kepada para pesakit.

Bagi pesakit bukan Islam, peserta PZM akan bertanya khabar sambil mengedarkan buah tangan. Manakala booklet yang diedarkan mempunyai kata-kata semangat kepada mereka supaya lebih bermotivasi. Melalui aktiviti sebegini secara tidak langsung mendekatkan lagi PMIUM dengan masyarakat bukan Islam seterusnya mempromosikan Islam sebagai sebuah agama yang bertoleransi.

Menurut Yang Di Pertua PMIUM, Saudara Mohd Haafizuddin Abirerah, setiap kali PZM dilakukan ianya mendapat respon yang baik terhadap PMIUM daripada para pesakit samaada yang beragama Islam ataupun yang bukan Islam.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Wednesday, June 8, 2011

Selamat Hari Merdeka

faisal merdeka 1

Selamat Hari Merdeka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia. Hayatilah kemerdekaan dengan nilai-nilai kemerdekaan yang digariskan oleh Islam. Itulah kemerdekaan yang sebenar.


Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Monday, June 6, 2011

Operation Cast Lead Pemusnah Jiwa Terbesar Rakyat Palestin


Bedilan peluru jet pejuang dan bom merata-rata. Asap pekat kian memenuhi ruang angkasa. Langit Gaza memandang hiba peperangan yang meletus, memusnahkan harta benda dan mengorbankan seramai lebih 310 jiwa tidak berdosa, malah turut mencederakan 1400 orang lagi dalam tempoh serangan bermula Sabtu dan semalam. Kempen serangan ketenteraan oleh Israel dan sekutunya, Amerika yang dinamakan 'Operation Cast Lead' itu ternyata telah menyebabkan korban terbesar rakyat Palestin oleh rejim Zionis, sejak 60 tahun lalu.

Pesawat tempur negara Yahudi itu menyerang 250 sasaran di Gaza dalam serangan besar-besaran terhadap wilayah pentadbiran Hamas itu sejak kelmarin. Antara yang turut menjadi bedilan serangan ialah ibu pejabat keselamatan Hamas, sebuah masjid, stesen televisyen, trak bekalan minyak dan gudang farmasi. Keadaan ini menyebabkan Ketua Biro Politik Hamas di Damsyik, Khaled Meshaal, menggesa pejuang Palestin melancarkan intifada baru, termasuk dengan melakukan misi bunuh diri. Sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut, Hamas juga telah melancarkan lebih 150 roket dan mortar ke selatan negara Yahudi itu, menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera.

PENDUDUK Palestin hanya mampu melihat sebuah bangunan musnah dibedil pesawat tentera Israel di bandar Rafah, semalam.

BEBERAPA wanita Palestin terkedu melihat kemusnahan ketika anggota penyelamat tiba di Rafah, yang menjadi antara sasaran serangan kejam terbaru tentera Israel di Gaza, semalam.


Kereta kebal tentera Israel telah memenuhi sempadan, dan pesawat pejuang yang berlegar-legar di ruang angkasa menikam risau hati penduduk Gaza. Berpuluh kereta kebal dan kereta perisai memenuhi kawasan strategik berhampiran sempadan selepas Israel memberi amaran akan melancarkan serangan darat besar-besaran selepas ini.

Tetapi kita masih lagi begini, dan terus di sini bergoyang kaki!

WASIAT HABIB - HABIB MUHAMMAD BIN SAYYID ALAWI AL-MALIKI


Diantara wasiat beliau رضي الله عنه:

* aku mewasiatkan orang yang telah aku ijazahkan dan diriku supaya senantiasa bertaqwa kepada Allah, membetulkan niat menuntut ilmu dengan ikhlas dan jujur kerana menuntut keredhaan Allah semata-mata

* aku mewasiatkan juga supaya bersungguh-sungguh menuntut ilmu

* aku mewasiatkan supaya menjadi al-Quran sebagai witid ,bertafakkur tentang kandungan ayat-ayatnya sesempurna yang mungkin dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang melapangkan dada mu, menambahkan lagi keyaqinan dan agammu, menghadirkan kebesaran pemiliknya (Allah)

* aku juga mewasiatkan supaya menjadikan bacaan kitab-kitab shufi sebagai wirid. Maka perkemaskan renangan kamu didalamnya.jadikan ia sebagai shahabat dan teman mesra pada waktu pagi dan petang dan pegangan kamu pada semua keadaan. Taklifkan diri kamu untuk beramal dengan isi kandungnya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya.

* aku juga mewasiatkan kepada kamu supaya berakhlaq baik terhadap semua manusia ….. jadilah kamu manusia yang paling lemah lembut dan bersopan santun, memaafkan orang yang menzalimi kamu, memberi kepada orang yang memutuskan hubungan dengan kamu dan membalas orang yang melakukan kejahatan terhadap kamu dengan kebaikan. Maafkan kesalahannya terhadap kamu sekalipin kesalahannya itu besar. Kasihilah orang-orang faqir dan lemah, duduklah bersama orang-orang miskin dan hadiri semua majlis mereka tanpa merasakan bahwa kamu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka, tetapi rasakanlah bahwa kamu merupakan orang yang paling hina dikalangan mereka.

* aku juga mewasiatkan kamu dengan sifat wara’ kerana ia merupakan asas agama ini dan pegangan orang-orang yang matlamatnya untuk mennuntut redha Allah

* aku juga mewasiatkan supaya bersangka baik terhadap Allah dan sekalian kamum Muslimin kerana sifat tersebut mengandungi segala keuntungan

* aku juga mewasiatkan supaya bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu dan mengajar manusia …


Beliau رضي الله عنه mengakhiri wasiatnya dengan wasiat yang dikhabarkan oleh ayahanda beliau, al-Habib as-Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas al-Maliki daripada al-Habib ‘Alawi ibn Thohir al-Haddad, sebagaimana wasiat beliau kepada ayahandanya:

Hendaklah orang yang diijazahkan menjadikan sebuah kitab tertentu sebagai rujukan dan peringatan terutama apabila sibuk berdakwah kepada Allah. Perkara pertama yang perlu dilazimi oleh orang yang ingin berdakwah selepas memeahami hukum-hakam syariat ialah mengetahui segala janji baikNya bagi orang yang melakukan ketaatan dan janji burukNya bagi orang yang melakukan ma’siat yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadits.

Maka kepadanya hati-hati sentiasa berasa rindu dan didalamnya terdapat cahaya iman. Untuk mengetahui semua perkara tersebut, memadailah dengan membaca kitab an-Nasho`ih ad- Diniyah wal Washoya al-Imaniyah (karangan al-Imam al-Habib Abdullah al-Hadddd). Sekalipun ia ringkas tetapi telah mengumpulkan perkara-perkara yang tidak dapat itdak diperlukan oleh semua orang Islam.

Sekiranya hendak mengetahui thariqat yang khusus dan adab yang telah disyariatkan, hendaklah melazimkan membaca kitab ad-Dakwah at-Tammah wat Tazkirah al-‘Ammah (karangan al-Imam al-Habib Abdullah al-Hadddd). Jangan membaca tujuan untuk mengambil berkat sebagaimana mereka katakan, tetapi berazam membacanya untuk mendapatkan kefahaman dan memberi kefahaman kepada orang lain. Maka keberkatan yang sebenar ialah apabila disertakan dengan amal.

Berwaspadalah daripada menjadikan suatu kebiasaan hanya mengulang-ulang membaca permasalahan fiqih, siang dan malam, semasa tua dan muda tanpa membacak itab agama yang lain seperti ilmu tafsir, hadits dan tasawuf. Dengan membataskan bacaan hanya kepada kitab-kitab fiqih adalah suatu kelemahan, kejumudan dan menjauhkan diri daripada akhlaq yang baik serta mewariskan kekerasan hati. Demikianlah telah diperkatakan oleh syaikh-syaikh kami dan lain-lainnya.

Kemudin beliau berkata: Apabila zaman telah menjadi zaman bid’ah, fitnah, kesamaran, maka hendaklah penuntut-penuntut ilmu mempersiapkan dirinya untuk menjadi salah seorang daripada orang-orang yang mempertahankan agama Allah dan menegakkan hujjahNya di tas muka bumi. Seseorang itu tidak akan mampu menjadi seperti itu, jika tidak mengambil setiap ilmu dengan secukupnya. Sesiapa yang memohon pertolongan Allah, maka Allah akan membantunya …….

semoga dengan menginagti ulama besar ini kita berharap akan mendapat syafaat darinya..

wallahuaalam. .....

Sunday, June 5, 2011

Calon-calon Pro Mahasiswa UM



Gambar kenangan sewaktu PRK dulu.Alhamdulillah saya berjaya menang tanpa bertanding.hehehe, sbb bertanding di kerusi selamat Akademi Pengajian Islam.Penulis 2 dari kiri di belakang.

Selamat Hari Ibu

Esok merupakan Hari Ibu Sedunia. Bagi kaum ibu, semoga terus gembira dengan sambutan paa kali ini. Kesungguhan kalian dalam mendidik anak-anak akan menjadi saksi diakhirat kelak dihadapan Allah SWT. Kepada insan yang bergelar anak, taatilah kedua ibu bapamu dengan baik dan ikhalas. Selamat Hari Ibu.



Panggilan Ibu dalam bahasa-bahasa lain didunia



Language Mother
Afrikaans Moeder, Ma
Albanian Nënë, Mëmë
Arabic Ahm
Aragones Mai
Asturian Ma
Aymara Taica
Azeri (Latin Script) Ana
Basque Ama
Belarusan Matka
Bergamasco Màder
Bolognese Mèder
Bosnian Majka
Brazilian Portuguese Mãe
Bresciano Madèr
Breton Mamm
Bulgarian Majka
Byelorussian Macii
Calabrese Matre, Mamma
Caló Bata, Dai
Catalan Mare
Cebuano Inahan, Nanay
Chechen Nana
Croatian Mati, Majka
Czech Abatyse
Danish Mor
Dutch Moeder, Moer
Dzoratâi Mére
English Mother, Mama, Mom
Esperanto Patrino, Panjo
Estonian Ema
Faeroese Móðir
Finnish Äiti
Flemish Moeder
French Mère, Maman
Frisian Emo, Emä, Kantaäiti, Äiti
Furlan Mari
Galician Nai
German Mutter
Greek Màna
Griko Salentino, Mána
Hawaiian Makuahine
Hindi - Ma, Maji
Hungarian Anya, Fu
Icelandic Móðir
Ilongo Iloy, Nanay, Nay
Indonesian Induk, Ibu, Biang, Nyokap
Irish Máthair
Italian Madre, Mamma
Japanese Okaasan, Haha
Judeo Spanish Madre
Kannada Amma
Kurdish Kurmanji Daya
Ladino Uma
Latin Mater
Leonese Mai
Ligurian Maire
Limburgian Moder, Mojer, Mam
Lingala Mama
Lithuanian Motina
Lombardo Occidentale Madar
Lunfardo Vieja
Macedonian Majka
Malagasy Reny
Malay Emak
Maltese Omm
Mantuan Madar
Maori Ewe, Haakui
Mapunzugun Ñuke, Ñuque
Marathi Aayi
Mongolian `eh
Mudnés Medra, mama
Neapolitan Mamma
Norwegian Madre
Occitan Maire
Old Greek Mytyr
Parmigiano Mädra
Persian Madr, Maman
Piemontese Mare
Polish Matka, Mama
Portuguese Mãe
Punjabi Mai, Mataji, Pabo
Quechua Mama
Rapanui Matu'a Vahine
Reggiano Mèdra
Romagnolo Mèder
Romanian Mama, Maica
Romansh Mamma
Russian Mat'
Saami Eadni
Samoan Tina
Sardinian (Limba Sarda Unificada) Mama
Sardinian Campidanesu mamai
Sardinian Logudoresu Madre, Mamma
Serbian Majka
Shona Amai
Sicilian Matri
Slovak Mama, Matka
Slovenian Máti
Spanish Madre, Mamá, Mami
Swahili Mama, Mzazi, Mzaa
Swedish Mamma, Mor, Morsa
Swiss German Mueter
Telegu Amma
Triestino Mare
Turkish Anne, Ana, Valide
Turkmen Eje
Ukrainian Mati
Urdu Ammee
Valencian Mare
Venetian Mare
Viestano Mamm'
Wallon Mére
Welsh Mam
Yiddish Muter
Zeneize Moæ

Hari Jururawat Sedunia

Florence Nightingale yang amat susah disebut namanya. Setiap kali saya sebut di dalam kuliah di depan pelajar pelatih kejururawatan PPUM, masing-masing tersenyum atas kesalahan menyebut tersebut.

Saya ada melawat blog sahabat saya ‘si punat’, rupa-rupanya semalam merupakan Hari Jururawat Sedunia. Kepada seluruh jururawat, Selamat Hari Jururawat saya ucapkan. Kepada adik-adik usrah iaitu Tamam dan Adam yang kini menjadi pelatih jururawat di PPUM, saya doakan semoga kalian terus kuat bekerja untuk Islam.

Jadikan profesion kejururawatan ini sebagai lapangan untuk kalian beramal kepada masyarakat dan agama. Mungkin sebelum ini saya pernah timbulkan hal berkaitan dengan wujudnya Jururawat di zaman Rasulullah SAW yang terdiri daripada para muslimat dan membantu Rasulullah SAW dan para sahabat di medan perang.

Namun begitu seperti yang dikisahkan oleh sejarah (saya ambil kisah ini daripada blog si punat), begini ceriteranya. Florence Nightingale, (12 Mei 1820 – 13 Ogos 1910), yang dikenali sebagai Wanita dengan Pelita, adalah perintis kepada kejururawatan. Dia juga terkenal sebagai ahli statistik.

Florence Nightingale dilahirkan dalam keluarga berada British di Florence, Itali dan membesar sebagai wanita yang menawan dan periang, yang mempunyai masa depan yang cerah. Didorong oleh apa yang dianggapnya panggilan tuhan, dia membuat keputusan memasuki bidang kejururawatan pada 1845. Keputusan ini menimbulkan kemarahan dan kesedihan keluarganya. Ini kerana pada masa itu, jururawat tidak mempunyai reputasi yang baik (kebanyakan jururawat adalah wanita miskin), dan wanita British dari keturunan berada sepertinya, dijangka menjadi isteri yang patuh.

Sumbangan Florence Nightingale yang paling terkenal adalah semasa Perang Crimea. Hatinya tersentuh mendengar berita penderitaan tentera yang tercedera dan terbiar dalam hospital yang kotor.

Bersama-sama dengan 38 jururawat lain, Florence Nightingale pergi ke Scutari (kini di terletak Istanbul). Dia menghidupkan kembali konsep penjagaan kebersihan hospital dan kaedah jagaan oleh jururawat. Dia memberi penekanan kepada pemerhatian teliti dan peka kepada keperluan pesakit.

Walau bagaimanapun, jumlah tentera yang meninggal di hospitalnya tidak menurun, sebaliknya meningkat. Kebanyakannya akibat jangkitan tifus, demam kepialu, penyakit Taun dan disenteri, dan bukan akibat cedera perang. Siasatan pada 1855 menyimpulkan kematian tersebut akibat kebersihan sekeliling (sanitasi) yang kurang baik. Florence Nightingale membantu pesakit-pesakit lebih selesa sebelum kematian mereka, tetapi gagal menyembuhkan mereka.

Florence Nightingale kembali ke England sebagai wira pada 7 Ogos 1857. Dia berpindah dari Buckinghamshire ke Piccadilly, London di mana dia jatuh sakit agak teruk pada 1896. Dia meninggal dunia pada 13 Ogos 1910. Penawaran pengebumian di Westminster Abbey telah ditolak oleh saudaranya, dan dia dikebumikan di tanah perkuburan St. Margaret Church di East Wellow, England.

Selamat Menyambut Hari Jururawat Sedunia. Berkhidmat Untuk Semua

Saturday, June 4, 2011

Tersesat ke SMAP Kajang

“Kita nak bergerak dengan motor atau kereta ke SMAP Kajang”, tanya saya pada Daniel. “Kalau banyak barang yang anta nak bawa, baik kita naik kereta”, jawab Daniel. Hati saya agak ragu-ragu kerana jam sudah menunjukkan tepat 6.20 petang. Kebiasaannya traffic jem pada ketika ini berada dikemuncaknya.

Tetapi disebabkan saya perlu membawa Lap Top dan sound woofer, maka saya memilih untuk ke sana menaiki kereta Naza Sutera sahabat saya Ghaffar. Jemputan kuliah maghrib ini adalah daripada adik-adik Badan Dakwah melalui sahabat saya Hasbie yang merupakan alumni SMAP Kajang ini.

Di sebabkan sudah biasa dengan gelagat pelajar-pelajar sekolah agama ini, berbekalan pengalaman di SMKA Kedah dan KISAS mungkin kuliah yang akan disampaikan ini lebih dekat dengan para audiens. Walaupun saya bukannya lepasan SMAPK, tetapi serba sedikit berkenaan latar belakang SMAPK ini saya ketahui daripada sahabat saya Hasbie.


Pergerakkan kami menuju ke Kajang memakan masa hamper sejam lamanya. Sehingga masuknya waktu maghrib kami masih lagi terperangkap di atas jalanraya. Rasa gelisah juga hati ini. “Kesian kat adik-adik yang menanti kita”, ujar saya pada Daniel”

Sebaik sampai di Pekan Kajang, petunjuk ke arah SMAPK gagal kami temui. Bahkah arahan yang diberikan juga mengelirukan kami. Sehingga jam 8 malam saya dan Daniel tersesat mencari jalan. Keadaan ini menyebabkan kami mengambil keputusan untuk singgah di Masjid Pekan Kajang untuk menunaikan solat Maghrib. Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan kuliah pada malam tersebut dan digantikan dengan hari yang lain.

“Apa hikmahnya Allah S.W.T tak benarkan aku sampaikan kuliah pada mala ini. Mungkin ni tarbiah dari Allah”, hati kecil saya bercakap sendirian.

Selepas usai solat Maghrib, kami bergerak mencari SMAPK seperti yang arahan yang diberikan. Sekali lagi kami tersalah memilih jalan. Cari punya cari, akhirnya kira-kira jam 8.30 barulah kami menjumpai SMAPK.

Sebaik sampai disana, saya dan Daniel berkenal-kenalan dengan adik-adik di SMAPK. Kami berborak sementara menanti masuknya waktu Isya. Sekiranya hendak memberi tazkirah, masa yang berbaki sudah tidak mencukupi. Saya melihat suasana di sekitarnya hampir sama dengan SMKA Kedah samaada dari sudut binaan bangunan, mahupun suasana suraunya.

Usai solat Isya, saya dan Daniel bergerak pulang. “Pernah makan satay Kajang”, tanya saya kepada Daniel. “Belum pernah”, jawab Daniel ringkas. “Kalau macam tu, jom ana belanja anta. Lagipun anta tak merasa lagi duit gaji ana”, lantas saya memacu hala tuju kereta untuk menuju ke Pekan Kajang bagi mengisi perut yang sedang lapar. Kira-kira jam 11 barulah kami selamat pulang ke rumah.

Friday, June 3, 2011

Sepetang Memancing Di Tasik Paramount

memancing di paramount

“Jom kita memancing kat Sungai Pisang”, ajak Bad kepada saya dan Jabir. “Aduh, malaslah. Kalau ada kereta tak pa juga. Jauh tu”, saya menjawab.

Akhirnya, persetujuan diperolehi dimana kami hanya memancing di Tasik Paramount yang hanya terletak dibelakang rumah kami.

Walaupun saya bukannya seorang yang meminati aktiviti memancing, tetapi apa salahnya sekiranya saya belajar-belajar memancing.

Jabir dan Bad bergerak ke Tasik Paramount terlebih dahulu kerana saya perlu ke Digital Mall untuk membeli woofer untuk kegunaan siri-siri ceramah saya. Kebetulan pada 24 Julai ini, saya dijemput menyampaikan ceramah Isra’ dan Mikraj kepada pelajar-pelajar di Sekolah Rendah Sekseyen 6, Damansara. Biarlah kelengkapan asas untuk memantapkan lagi penyampaian disediakan lebih awal. Akhirnya saya memilih woofer berjenama sonic gear yang sederhana besarnya dengan harga RM59.00.

Setibanya saya di Tasik Paramount, kelihatan Jabir dan Bad sedang duduk menunggu kail mereka. Jabir sudah mendapat seokor ikan, manakala Bad masih belum ada rezkinya.Sehigga selesai memancing, hanya seekor ikan itulah yang menjadi rezki pada petang tersebut.

Terdetik juga di dalam hati, betapa boringnya aktiviti memancing. Letih-letih menunggu, seekor pun tak dapat. Beli di pasar lagi cepat boleh di masak. Hehe. Mungkin jiwa saya bukanlah jiwa seorang pemancing. (^^,).

jabir

Jabir menunjukkan kehebatnya dengan memperolehi seekor anak Tilapia Merah..Hehe

Bad

Tarik Bad tarik…

Thursday, June 2, 2011

Protes terhadap PROTES yang memualkan

Sejak awal lagi saya menjangkakan api kemarahan rakyat akan timbul dalam kalangan rakyat yang hadir dalam PROTES di Stadium Kelana Jaya semalam. Di sebabkan saya telah mendapat berita awal bahawa konsep perhimpunan PROTES berubah daripada rapat umum menjadi “ekspo hiburan”, membuatkan diri sejak awal lagi menunjukkan protes terhadap PROTES dengan tidak mengambil bahagian di dalam protes yang diadakan ini.

Saya agak kesal dengan tindakan penganjur yang mempermain-mainkan hati rakyat apabila secara terang-terangan melakukan penipuan. Hebahan melalui web-web dan blog-blog, mewara-warakan bahawa perhimpunan PROTES adalah untuk menunjukkan protes terhadap harga minyak melalui himpunan sejuta rakyat, tetapi perlaksanaannya adalah berbeza.

Melalui konsep ala-ala fun-fair ini, himpunan PROTES ini dianggap sebagai perhimpunan yang cukup memualkan dan sesetengah pihak sebagai menggelarkannya perhimpunan “bacul”. Di tambah pula dengan aksi penyanyi yang menunjukkan bontotnya kearah penonton menyebabkan para hadirin pada hari itu terasa diri mereka dihina.

Sekiranya sebelum ini, ustaz-ustaz yang bersemangat dalam siri-siri demonstrasi secara terbuka mengkritik konsert sure heboh kerana melalaikan, kali ini PROTES juga menyajikan perkara sedemikian rupa kepada mereka. Tercatatlah di dalam sejarah bahawa ustaz-ustaz ini juga ditipu oleh Jawatankuasa PROTES.

Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH. Suka diingatkan bahawa, mahasiswa dan rakyat bukannya golongan yang anti hiburan. Namun begitu, disebabkan himpunan yang diadakan untuk memperjuangkan isu rakyat, maka ianya perlulah dilakukan secara serius. Bukan hanya bekerja sekadar melepaskan batuk ditangga, kemudiannya masing-masing mahu mendapat nama hasil daripada publisiti murahan tersebut.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Kematian Perancangan Allah, Letak Jawatan Perancangan Manusia


Seawal 7.56 pagi saya menerima SMS daripada Daniel, “Di maklumkan ADUN Manek Urai Kelantan (PAS), dibawah parlimen Kuala Krai (Dr Hatta) Hj Ismail kembali ke rahmatullah jam 5.55 pagi”.

Ketika itu saya baru saja usai solat Fardhu Subuh bersama peserta Kem Nilai Solat di dalam konsep R.A.K.Y.A.T di kalangan para pekerja Bank Rakyat cawangan Terangganu. Program bermula semalam di Residen Resort ini merupakan program pertama saya bersama Fitrah Perkasa.

Selepas mendapat sms tersebut, saya terus memaklumkan kepada Ust Sayuti dan Ust Hashim yang merupakan ketua Fasilitator di dalam kumpulan ke Paka ini iaitu seramai 3 orang.

Sedih bercampur terkejut mengenangkan pemergian Arwah walaupun saya tidaklah mengenali beliau secara dekat, namun begitu saya yakin kami diikat diatas satu akidah perjuangan.

Perginya arwah ke rahmatullah memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil di DUN Manek Urai ini. Begitu hebatnya perancangan Allah, di saat-saat Barisan Nasional enggan meletakkan calon di PRK Menanti, mereka diuji sekali lagi.

Di dalam isu ini, saya melihat dikala Barisan Nasional melakukan kezaliman melalui rampasan kuasa di Perak, mereka dikejutkan dengan kematian Ust Roslan Shahrom yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat. Begitu juga disaat-saat Barisan Nasional seolah-olah kecut perut dan tidak bertanding di dalam PRK Penanti, sekali lagi Allah S.W.T mengambil nyawa salah seorang pejuang Islam. Keadaan ini sekali menggusarkan mereka.

Mungkin akan ada akta yang digubal bagi menghalang seseorang wakil rakyat meletakkan jawatan tanpa sebab. Hal demikian berbekalkan alasan ada pihak sewenang-wenangnya meletakkan jawatan semata-mata mahu melihat situasi politik di dalam negara ini terus bergelora. Daripada beberapa siri PRK yang dijalankan ini, hanya 3 sahaja PRK yang melibatkan perletakkan jawatan manakala 4 lagi adalah di sebabkan kematian.

Perkara ini juga perlu difikirkan oleh golongan penindas ini. Tiada akta atau kuasa yang mampu melawan kuasa Illahi. Tiada siapa yang dapat menghalang seseorang untuk menghadapi mati. Semuanya adalah kuasa Allah.

Seharusnya, pemimpin-pemimpin yang melakukan kefasadan ini sedar akan perkara yang berlaku. Sekiranya selepas ini, 3 ADUN Perak yang menjadi katak puru diambil nyawanya, nescaya akan bertambah kelam kelibut dibuatnya. Betullah letak jawatan itu perancangan manusia, namun begitu kematian itu adalah perancangan Allah S.W.T. “Mereka merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang”.

Kamar 222

Residence Hotel & Resort,

Paka, Terangganu.

Wednesday, June 1, 2011

‘Nur’ Yang Mencerahkan Kehidupan Jacko

Ibarat cahaya yang menyuluh gelita, begitulah perumpamaan hidayah yang menyentuh daun hati seseorang hamba. Lorong hidupnya seolah terang benderang, di samping rasa tenang yang mendakap diri. Tiada pula rasa galau dan resah yang mencekup hati.

Ya, hidayah itu milik Allah. Dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan, di antara hamba pilihan-Nya ialah Michael Jackson atau dikenali dengan ‘Jacko’, seorang penyanyi kontroversi Amerika Syarikat yang telah memilih nama Islamnya sebagai ‘Mikaeel,’ nama malaikat pemberi rezeki. Super star muflis berusia 50 tahun itu dilaporkan memakai jubah dan kopiah ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam dalam sebuah majlis yang diadakan di rumah seorang rakannya. Majlis tersebut diadakan beberapa hari sebelum Jacko dihadapkan ke Mahkamah Tinggi London terhadap tuntutan saman berjumlah RM 25.3 juta yang dikenakan oleh Putera Abdulla Al-Khalif dari Bahrain.


Jacko hidup membesar sebagai penganut Kristian, kemudian mula mendakap iman ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru. Rakannya, seorang penulis lagu Kanada, David Wharnsby yang telah memeluk Islam dengan nama Islamnya ‘Dawud Wharnsby Ali,’ dan juga produser Philip Bubal dengan nama barunya ‘Idris Philips’ merupakan antara orang yang bertanggungjawab terhadap pengislaman Jacko. Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya ‘Cat Stevens’ juga mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.


Hidayah harus dicari. Cara mencarinya adalah dengan tekun menggali ilmu, kerana semakin banyak ilmu, maka kita akan semakin produktif dalam beramal dan hati kita akan semakin bening dan tenang. Semoga Allah menjaga kita daripada dicabutnya nikmat-Nya yang mahal, iaitu hidayah.

Penumpang Misteri, Kita bagaimana?

“Pok Nya jom ikut ana ke Giant, cari barang dapur”, sahut saya pada Daniel. “Jom”, jawan Daniel ringkas. Tanpa melengah masa Daniel naik ke atas untuk mengambil dompet dan saya memakai baju hujan memandangkan kilat masih lagi sabung menyabung.

“Hang ni buang tabiat ka pakai baju hujan ni”, kata Razak pada saya. “Biasalah, demam Chingkungnya aku tak lega lagi”, jawab saya perlahan. “Padanla demam Chingkungnya, pastu pi Giant dengan Pok Nya” Bad pula menambah. “Memandai ja budak-budak ni”, hati kecil saya berbisik sambil mulut ketawa. Sudah menjadi kebiasaan penghuni Baitul Taubah wa Tarbiah ini usik mengusik antara satu sama lain. Saya dan Daniel terus beredar menunggang motorsikal menuju ke Giant.

‘Kita buat Tom Yam je la petang ni ya”, saya memberi pandangan pada Daniel. “Ikut anta je la”, Daniel menjawab. Kami mencapai bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan seperiuk Tom Yam berserta seketul daging import. Selain itu, kami juga membeli beberapa keperluan barang dapur yang lain. Untuk keperluan peribadi saya hanya membeli setin Quaker Oat Meal buat bekalan sarapan pagi. Ini kerana, setiap hari ketika ke pejabat saya jarang makan tengah hari. Sekurang-kurangnya dapat menahan lapar sehingga makan malam.

“Sedap Tom Yam ni, lepas ni kita boleh buat kedai dan Bad jadi tukang masak”, Riduan pula mula memecahkan suasana di dalam rumah. “Bagus juga cadangan tu. Boleh kita buat duit tambahan.

Sudah menjadi kebiasaan di Baitul Taubah kami masak secara silih berganti. Bad mempunyai kepakaran masak masakan yang agak moden seperti ikan 3 rasa, stim dan sebagainya. Tetapi saya pula lebih cenderung kepada masakan tradisional seperti kari, ayam bakar dan beberapa jenis makanan lagi. Masing-masing ada kelebihan. Tidak kurang juga yang hanya “tercangak” menanti untuk makan.

“Ana nak tanya, ada tak sebelum ni ana cerita tentang kisah yang Ust Rashid dan Ust Nasib cerita”, tanya saya kepada sahabat-sahabat sambil menghirup kuah Tom Yam. “Belum”, sahabat-sahabat lain menjawab. “Dah-dah”, Riduan menjawab. “La, cerita la. Hang we, senyap”, salah seorang daripada sahabat saya menyampuk. Masing-masing bersemangat ingin mendengar kisah tersebut.

Ustaz Rashid merupakan salah seorang daripada pengamal perubatan Darus Syifa’, dan juga merupakan salah seorang guru saya di Darus Syifa. Manakala Ust Nasib pula merupakan guru saya di Fitrah Perkasa.

Mistik 1

Semasa kelas Darus Syifa baru-baru ini, Ust Rashid ada bercerita berkenaan kisah misteri yang berlaku terhadap seorang pemuda. Pada suatu hari pemuda tersebut memandu daripada Pahang untuk ke rumah kakaknya di Kuala Lumpur.

Sampai ditengah perjalanan dia berasa mengantuk dan mengambil keputusan tidur ditepi jalan. Dia menelefon kakaknya mengatakan bahawa dia dalam perjalanan dan tidur sebentar ditepi jalan untuk menghilangkan rasa mengantuk. Setelah beberapa minit melelapkan mata, dia terjaga. Di dapati diluar tingkap keretanya terdapat seorang lelaki berjubah dan berserban. Dia terpinga-pinga dan menelefon kakaknya.

“Akak, disebelah kereta saya ada seorang Pak Aji, risau saya nak bagi tumpang”, ujar pemuda tersebut melalui telefon kepada kakaknya. Kemudian pemuda tersebut meneruskan perjalanan. Tidak semena-mena Pak Aji tadi sudah berada di belakang tempat duduk keretanya. Dia sekali lagi menelefon kakaknya.

“Akak, Pak Aji tadi berada di belakang kereta saya. Apa yang harus saya baca untuk halau dia”, pemuda tersebut cemas menelefon kakaknya. “Adik baca ayat Kursiy untuk halau Pak Aji tu”, ujar kakak lelaki tersebut. Kemudian talian terputus. Usaha untuk menghubungi adiknya gagal.

Keesokkan harinya, kakak lelaki tersebut didatangi oleh pihak polis memaklumkan bahawa ditemui mayat lelaki tersebut 10 meter daripada kereta. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya kepada pihak polis adalah keadaan kereta yang berkunci dan tidak mengalami sebarang kemalangan. Bagaimana pemuda tersebut boleh berada 10 meter jauhnya daripada kereta dan bagaimana dia keluar daripada kereta tersebut. Sehingga hari ini tiada jawapannya.

Mistik 2

Kisah kedua diceritakan oleh Ust Nasib semasa PAPD bersama kakitangan Takaful Ikhlas di Janda Baik baru-baru ini. Saya mendengar kisah ini dengan penuh teliti dan cuba menghayati plot-plotnya yang agak menarik.

` Kisah ini berlaku kepada Tok Guru kepada Ust Nasib semasa beliau belajar di pondok suatu ketika dulu.

Suatu hari, Tok Guru pulang daripada memberi kuliah berkereta berseorangan. Di pertengahan jalan, beliau ditahan oleh seorang wanita.

Di sebabkan rasa simpati dan empati, Tok Guru tersebut menumpangkan perempuan tersebut memandangkan keadaan di tengah hutan yang gelap dan berbahaya ini akan menyebabkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sebaik sahaja bergerak, perempuan tersebut mengilai ketawa. Tok Guru tersebut berhenti dan berpaling ke belakang tempat duduk seraya berkata, “Kamu makhluk, aku makhluk. Kamu tidak dapat memudaratkan aku dengan izin Allah, dan aku juga tidak dapat memudaratkan kamu. Jadi keluarlah daripada kereta ini”, ujar Tok Guru tersebut.

Beliau terus memandu sambil perempuan tersebut mengilai dan akhirnya ghaib. Keesokkan harinya, beliau menceritakan kisah ini kepada anak-anak muridnya selepas solat subuh termasuklah Ust Nasib yang ada pada ketika itu.

Kita Bagaimana?

Saya termenung sendirian memikirkan kedua-dua situasi ini. Sekiranya berlaku kepada diri saya sendiri, entah situasi mana yang akan terjadi. Adakah saya akan gelabah seperti pemuda pertama ataupun tenang seperti Tok Guru tadi.

Apakah yang menjadikan Tok Guru tadi benar-benar berani? Tidak lain dan tidak bukan keimanan yang mendalam didalam hatinya melebihi segala. Apa yang menjadi keresahan di fikiran saya adalah situasi pada hari ini yang gemar menanyangkan kisah-kisah mistik di kaca TV tanpa mengaitkannya dengan keimanan kepada Allah S.W.T.

Saya yakin sekiranya tayangan gambar-gambar misteri ini diteruskan, dan dalam pada masa yang sama proses mendidik iman masyarakat berkurang, tidak mustahil selepas ini masyarakat di negara ini lebih beriman dan mempercayai hantu berbanding Allah S.W.T.

Baitul Taubah Wa Tarbiah

7.22 pagi (25 Jun 2009)