Friday, May 11, 2012

Kini Star Bucks, Dulu Mac Donald


Logo Star Bucks

Pertama kali saya mendengar istilah Star Bucks adalah selepas sahaja Tsunami melanda negara. Sebelum ini, saya agak ketinggalan kerana tidak mengetahui istilah-istilah sedemikian. Ketika itu seorang pensyarah jurusan Sains Sosial dan Politik berbangsa India daripada Universiti Sains Malaysia telah membuat satu ulasan yang agak menarik hati saya.

Antaranya beliau menyentuh berkenaan iktibar daripada kisah Tsunami. Ujar beliau, pengajaran daripada Tsunami ini rakyat Malaysia seharusnya kembali memperkasakan amalan keagamaan dalam kehidupan seharian mereka. Tambah beliau lagi, anak-anak muda yang sering menghabiskan masa di Bukit Bintang, Star Bucks seharusnya bertaubat dan kembali kepada penghayatan Agama yang sebenar.

Di kala itu saya tercari-cari apakan itu Star Bucks. Sehinggalah saya menghuni bumi Kuala Lumpur, barulah saya mengenali apa itu Star Bucks. Sebuah kedai yang agak ekslusif dan hanya di masuki oleh anak-anak muda dan golongan yang berada. Walaupun mengenali apa itu Star Buck, namun begitu saya tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki untuk merasai secawan kopinya yang dikatakan agak mahal harganya.

Apabila Datuk Idris Harun, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi membuat pengumuman bahawa pihak kementerian akan membenarkan kafe francais yang agak mahal harganya seperti Star Bucks, Kopitiam, Donkin Donut untuk beroperasi di semua kampus seluruh negara. Beliau menyatakan hal ini bagi mengatasi masalah mahasiswa yang kebanyakkan memilih Star Bucks untuk menyiapkan tugasan mereka kerana mempunyai perkhidmatan wireless yang mudah.

Apa yang saya hairankan adalah, mengapa cadangan sebegini dibuat tanpa mengkaji kesan kepada para pelajar terlebih dahulu. Apakah perkara ini merupakan pandangan peribadi beliau ataupun keputusan diperingkat KPT sendiri. Sebelum ini saya pernah mengkritik tindakan Datuk Harun yang membuat kenyataan seolah-olah memperlekehkan pelajar jurusan pengajian Islam dengan menyatakan bahawa mereka adalah golongan sukar untuk mendapat pekerjaan. Pelajar-pelajar bidang agama ini di samakan dengan pelajar jurusan IT. Ketika itu saya mendapat maklum balas daripada seorang insan yang agak tinggi jawatannya mengatakan ucapan Dato Harun adalah merupakan pandangan peribadi beliau.

Begitu juga di dalam hal ini, adakah pandangan yang diberikan oleh Datuk Harun adalah pandangan peribadi beliau semata-mata. Di saat-saat kerajaan melaung-laungkan supaya rakyat mengubah cara hidup, adakah wajar diwujudkan kedai mewah seumpama ini kepada para pelajar.

Sekiranya ketiadaan wireless dijadikan alasan, ianya terlalu rapuh untuk dipatahkan. Sudah tiba masanya semua kampus diseluruh negara dilengkapi dengan kemudahan wireless di semua tempat. Bahkan di Universiti Malaya sendiri perkhidmatan wirelessnya adalah secara menyeluruh dan boleh diguna pakai oleh seluruh mahasiswa. Apa gunanya sekiranya pihak pentadbiran universiti mengenakan cas yuran yang tinggi, namun begitu tidak mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga kampus.

Pandangan beliau yang mengatakan bahawa terdapat dalam kalangan mahasiswa yang menghabiskan malam-malam mereka untuk menyiapkan tugasan Star Buck, ianya merupakan kes yang terpencil. Sekiranya dibuat kajian secara mendalam, jumlah yang berbuat sedemikian peratusan tidaklah terlalu besar dan boleh dijadikan alasan sebagai faktor pendesak mewujudkan Star Buck di dalam kampus negara kita.

Oleh yang demikian, saya bersama-sama sahabat di dalam PMIUM akan berusaha memperjuangkan isu ini sehingga ke peringkat atasan. Mungkin ianya bakal mengulangi sejarah lampau dimana PMIUM berhadapapan dengan francais Mac Donald, namun kali ini Star Bucks pula bakal menjelma. Antara perancangannya, bantahan isu ini berserta cadangan jalan penyelesaian akan dibawa terus ke peringkat KPT dan pihak pentadbiran Universiti . Tunggu dan lihat apakah maklum balasnya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, May 8, 2012

Penamaan Calon Di Padang Terap



Barisan Calon Segak Bergaya


Doa dipohon untuk kemenangan


Orang ramai berkumpul memberi sokongan
Kebetulan saya pulang ke kampung pada penamaan calon yang lepas.Saya sempat mengambil beberapa keping gambar daripada teman gambar penamaan calon di Padang Terap. Kawasan bekas senior saya yang bertanding iaitu Ust Nasir Zakaria. Kebetulan di Tempat yang sama Menteri Besar juga bertanding. Alahai ramainya yang berkumpul (^^,).

Sunday, May 6, 2012

Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM



Alhamdulillah, itulah kalimah yang sewajarnya diucapkan atas ketidaknaikkan yuran APIUM. Pihak UM sendiri memberi jaminan kepada seluruh mahasiswa APIUM didalam hal ini. Kepada mahasiswa APIUM semoga terus berjuang untuk mencapai kejayaan. Di sini saya sertakan artikel daripada berita harian yang terkini . klik sini

Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) hari ini menjelaskan bahawa tiada kenaikan yuran pengajian dilaksanakan bagi penuntut Akademi Pengajian Islam universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata apa yang berlaku sekarang adalah satu proses mendapatkan maklum balas daripada penuntut Akademi Pengajian Islam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini yang melaporkan bahawa cadangan kenaikan yuran sebanyak 75 peratus meresahkan penuntut apabila Akademi Pengajian Islam mengeluarkan pekeliling semakan semula kadar yuran berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Sebarang perubahan pada yuran, jika dilaksanakan, adalah selepas perbincangan dan maklum balas daripada penuntut dan Pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa Universiti Malaya sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penuntut dan pihak pengurusan Akademi Pengajian Islam akan selalu mengadakan pertemuan dengan penuntut dari semasa ke semasa. - Bernama

Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) sebagai Pelindung terhadap Hak Asasi Wanita

Merenung sejenak sejarah bangsa Arab era jahiliyah sebelum perutusan Rasulullah S.A.W. ke muka bumi ini, ternyata zahirlah pelbagai kelompangan dan cacamarba yang menunjangi kehidupan mereka pada ketika itu. Arak menjadi minuman wajib sehari-hari, judi, zina, riba, eksploitasi perniagaan dan kekuasaan oleh puak yang lebih berkuasa dan berpengaruh, penindasan terhadap wanita, malah perkara paling kejam iaitu menanam anak perempuan hidup-hidup merupakan kebiasaan yang hanya dipandang sebelah mata tanpa mengundang sebarang rasa untuk membela. Semua akur pada sistem yang mendasari cara hidup mereka pada masa tersebut. Inilah dia sejarah. Bukti yang merakam titik permulaan penindasan atau diskriminasi terhadap wanita.

Apakah itu diskriminasi? Diskriminasi boleh diertikan sebagai layanan tidak adil kepada seseorang atau kelompok berdasarkan prejudis, iaitu sangkaan buruk, sama ada disebabkan oleh perbezaan kelas, bangsa, gender, atau kategori-kategori selainnya. Ruang untuk berlaku diskriminasi mencakupi perlbagai aspek, antaranya ialah perundangan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan kerjaya.

Melihat kepada situasi semasa yang berlaku pada hari ini, terdapat pelbagai golongan yang sering melaungkan isu kesamarataan hak asasi bagi wanita. Di Malaysia, antara badan atau pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi berkaitan wanita adalah seperti Sister In Islam. Munculnya golongan-golongan ini adalah disebabkan mereka beranggapan bahawa hak mereka telah dinafikan atau ditindas oleh pihak yang berkuasa, atau mereka mahu membuka mata Kerajaan terhadap peluang-peluang yang sepatutnya mereka miliki, sebagaimana yang diterima oleh golongan lelaki.

Hakikatnya, diskriminasi terhadap wanita timbul kerana ia sudah mendarah daging dalam masyarakat sejak sekian lama, bukan sahaja dalam masyarakat Melayu, tetapi juga dalam masyarakat India, Cina dan bangsa-bangsa lain. Keadaan ini pastinya umpama garam yang sudah larut di dalam air, kerana ia sudah sebati dalam kehidupan bermasyarakat dan akan dianggap janggal sekiranya menyalahi. Sebagai contoh, wanita dianggap lemah dari aspek pemikiran, pendirian dan kekuatan fizikal. Kerana itu, wanita pada zaman dahulu tidak dibenarkan bersekolah tinggi kerana asasnya tetap sama; akan masuk ke ceruk dapur juga. Akibatnya, berlakulah masalah buta huruf dalam kalangan wanita sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam perkembangan dunia hari ini.

Dalam sesetengah kebudayaan, ibu bapa melakukan keganasan terhadap alat kelamin anak-anak gadis mereka sebagai suatu amalan wajib berlandaskan kepercayaan atau pegangan tertentu. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh UNICEF, lebih daripada 130 juta wanita serta anak-anak gadis yang melalui kehidupan mereka kini telah menghadapi salah satu bentuk kecederaan atau kerosakan pada alat kelamin (FGM/C) mereka, dan ini boleh membawa akibat buruk kepada kesihatan, termasuklah kegagalan untuk sembuh sepenuhnya, meningkatkan peluang untuk dijangkiti HIV, masalah-masalah ketika melahirkan anak, penyakit-penyakit jangkitan kelamin dan juga gangguan pada saluran air kencing. Ini merupakan salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita yang didorong oleh faktor kebudayaan atau kepercayaan.

Diskriminasi terhadap wanita yang berleluasa akhirnya menyebabkan muncul golongan yang memperjuangkan hak berasaskan gender yang melampau, seperti Feminisme Liberal, hatta mereka sanggup membidas hukum syarak dan menganggapnya sebagai sekatan terhadap hak-hak wanita. Contohnya, di Malaysia sendiri terdapat golongan seperti ini yang tidak menyetujui perihal pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia kerana beranggapan ianya tidak memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada wanita dari aspek poligami, perceraian, harta sepencarian dan sebagainya lagi.

Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) merupakan undang-undang yang wajar bagi melindungi hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas wanita. Perjanjian tersebut telah diangkat oleh Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1979. Ianya berkuatkuasa penggunaannya pada 3 September 1981. Manakala penerimaannya di Malaysia adalah pada pada 5 Julai 1995 dimana terdapat beberapa bahagian isi kandungannya yang di reservasikan kerana didapaiti bercanggah dengan hukum Syarak dan sebahagiannya bercanggah dengan perlembagaan negara kita.

Berdasarkan percanggahan tersebut, Malaysia telah membuat reservasi ke atas lima Artikel iaitu Artikel 2(f), 5(a), 7(b), 9 dan 16. Seterusnya, pada 1998, kerajaan menarik balik reservasi ke atas Artikel 2(f), 9(1), 16(b),(d),(e) dan (h). Dengan penarikan balik reservasi ke atas beberapa artikel tersebut, kini hanya tinggal Artikel 5(a), 7(b), 9(2),16 1(a),(c), (f) dan (g) dan 16 (2) yang masih dikekalkan reservasi ke atasnya. Namun begitu, di peringkat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), mereka masih meneliti dan mengkaji supaya kerajaaan menarik balik reservasi ini.

Artikel 5 yang dikatakan bercanggah dengan perlembagaan negara kita di mana ianya berkaitan dengan hak kewarganegaraan seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki asing. Di mana melalui CEDAW ianya menuntut supaya secara automatik wanita tersebut menjadi warganegara suaminya. Namun begitu, menurut perlembagaan persekutuan, seseorang rakyat Malaysia dilarang memegang dua kewarganegaraan. Ini menunjukkan bahawa, seseorang wanita asing yang berkahwin dengan rakyat negara ini tidak boleh menjadi warganegara melainkan dengan permohonan dan dia tidak menjadi warganegara mana-mana selepas itu.

Di dalam artikel 16, ianya adalah di sebabkan bercanggah dengan hukum syarak. Antaranya berkaitan dengan hak samarata di dalam perkahwinan dan sebagainya. Di dalam Islam, ianya berbeza dengan di barat dimana hak perkahwinan dan perceraian itu terletak di tangan suami. Misalnya di Amerika Syarikat, seseorang isteri itu boleh menceraikan suaminya dengan membuat permohonan di mahkamah. Hal ini jelas bercanggah dengan Islam di mana kuasa untuk mentalakkan isteri hanya pada suami.

CEDAW menjelaskan tentang hak-hak khusus yang tidak boleh dibeza-bezakan berdasarkan umur, jantina, kelas ekonomi atau kewarganegaraan. Menerusi CEDAW ini, hak asasi wanita lebih dijamin terpelihara, meskipun terdapat beberapa perkara di dalamnya yang menyalahi dan bertentangan dengan konsep Islam. Antaranya ialah dari sudut falsafahnya yang kebaratan, di mana ia terlalu mengutamakan konsep individualisme, sehingga mengenepikan agama, adat dan kebudayaan.

Namun, terdapat kebaikan-kebaikannya yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam, khususnya wanita Islam sebagai perisai terhadap pencerobohan hak asasi wanita, selagi mana ia tidak bertentangan dengan konsep ajaran Islam. Islam adalah agama universal, di mana ia menerima setiap yang baik untuk diadaptasikan dalam ajaran agama Islam. Antara kandungan yang dipersetujui dalam CEDAW ialah setiap negara yang mengesahkan Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) mestilah mengambil langkah untuk mencegah segala bentuk perdagangan wanita dan pelacuran, hak wanita yang saksama dalam menerima peluang pendidikan tanpa diskriminasi jantina atau agama, keadilan dalam bidang pekerjaan dalam aspek penilaian kualiti kerja dan juga penggajian untuk kerja yang sama nilai.

Oleh itu, Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) perlulah dinilai dan dilihat secara baik untuk manfaat bersama, bukannya dengan menolak terus prinsip dan dasar di dalamnya. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk berfikiran cetek dan menghukum tanpa usul periksa. Asasnya ialah setiap perkara yang tidak bercanggahan dengan Islam boleh diambil dan diaplikasikan, sementara yang buruk atau bertentangan hendaklah dijauhi dan ditinggalkan. Ia tidak seperti rukun iman; wajib ambil semua, sebaliknya jika ada satu yang ditolak, maka terbatallah imannya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com



Friday, May 4, 2012

Exco Kerajaan Terangganu kempunan naik Mercedes E200 Kompressor?


Apabila timbul isu berkaitan dengan pembelian Mercedes E200 Kompressor oleh kerajaan Negeri Terangganu, maka semakin panaslah punggung pemimpin-pemimpin negeri Terangganu. Ada yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka secara terbuka kepada para wartawan kerana mewar-warkan isu ini sehingga menyebabkan pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) campur tangan di dalam isu ini. Selain itu, kenyataan Perdana Menteri yang melarang kereta mewah ini digunakan menambahkan bara api dalam kalangan mereka.

Datuk Rosli Mat Hassan yang juga merupakan Setiausaha UMNO Negeri turut mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia melaporkan isu itu di muka hadapan akhbar tersebut. Menurutnya, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3.43 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri. Rosli hairan mengapa ia diheboh-hebohkan.

''Awak fikir RM3.43 juta beli Mercedes ini besar sangatkah bagi sesebuah negeri? Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," ujarnya.
Mengapa beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian? Untuk menyanggah kenyataan Perdana Menteri sudah tentu beliau tidak berani. Namun begitu beliau cuba mempersalahkan media yang menghebahkan berita tersebut sehingga mereka kempunan untuk merasai nikmat ke hulu ke hilir dengan kereta mewah.

Walaupun begitu, mereka mungkin masih boleh tersenyum kerana Menteri Besar, Datuk Ahmad Said membenarkan mereka menggunakan kereta tersebut kerana kereta Perdana V6 yang sedia ada masih lagi di siasat oleh pihak BPR. Taktik ini juga mungkin menjadi alas an untuk ahli exco negeri terus menggunakan kereta-kereta mewah ini dikala isu ini sudah reda.

Di kala rakyat menghadapi bebanan akibat kenaikan harga minyak dan harga barang yang melampau, pemimpin negeri pula dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang negeri untuk kemudahan peribadi.

Cadangan yang dikemukan oleh Perdana Menteri suapay kereta ini digunakan oleh tetamui kerajaan negeri yang datang daripada luar negara juga dilihat agak tidak berkesan kerana penggunaan 14 buah kereta untuk tetamu sebuah negeri bukanlah suatu yang praktikal. Mana mungkin dalam tempoh setahun, kerajaan negeri akan menerima tetamu dalam jumlah yang ramai pada setiap masa.

Sewajarnya peringkat pemimpin tertinggi UMNO bertegas suapaya kereta tersebut dijual dan hasil jualan tersebut di agihkan kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup yang meningkat. Ataupun wang berkenaan boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang dilihat semakin hari semakin daif kerana kekurangan dana untuk proses penyelenggaraan sekolah.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Thursday, May 3, 2012

Referendum tergempar Isu penghinaan surau

REFERENDUM MEMBANTAH PENCEROBOHAN DAN PENGHINAAN
TEMPAT IBADAT ISLAM KOLEJ KEDIAMAN KE-2


1.0 FAKTA KES
Pada 29 Januari 2008, Balai Islam Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (2nd kolej) telah diceroboh dengan begitu dahsyat. Al-Quran bertaburan, dinding diconteng dengan cat berwarna merah dan pintu dikunci bagi menghalang jemaah untuk menunaikan solat secara berjemaah. Perbuatan terkutuk ini berlaku antara jam 6 hingga 7 petang. Siapa punya angkara masih dicari, apa yang penting keselamatan tempat ibadah telah dinodai. Justeru atas kesedaran yang tinggi, wakil PMIUM telah membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields. Rentetan dari itu pihak polis telah melakukan siasatan terhadap kes ini namun hasil siasatan masih belum diketahui.

2.0 TUNTUTAN
PMIUM berpandangan bahawa isu ini perlu diberi perhatian yang serius bagi mengelakkan komplikasi yang lebih besar. Kami di peringkat PMIUM ingin membuat beberapa tuntutan kepada pihak Pentadbiran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah dan Jawatankuasa Tindakan Kolej. Berikut merupakan tuntutan kami berkenaan isu ini:-
1. Kami menuntut dan menggesa agar pihak Pentadbiran Kolej dapat memberikan penjelasan yang sebenar secara terbuka kepada semua mahasiswa berkaitan isu ini.
2. Kami menuntut pihak Pentadbiran Kolej agar bersungguh-sungguh dalam menyiasat kes ini sehingga ke akar umbi.
3. Kami menggesa pihak Pentadbiran Kolej menjamin keselamatan penghuni- penghuni kolej kediaman terutamanya penghuni Muslim.

3.0 PENUTUP
Akhirnya kami menyeru kepada semua warga Universiti Malaya untuk bersama-sama mengambil perhatian terhadap isu ini demi kemaslahatan bersama.

Tuesday, May 1, 2012

Selamat Menghadapi Peperiksaan



Selamat menghadapi peperiksaan kepada seluruh mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan. Semoga kita dirahmati Allah sentiasa.