Tuesday, January 11, 2011

P'raya kampus: Pelajar dakwa ada dalang Umno

Kira-kira 100 pelajar Universiti Malaya (UM) dari kumpulan 'anti-establishment' membantah tindakan pihak pentadbiran membenarkan 16 calon dari kumpulan 'pro-establishment' - yang mereka dakwa tidak layak - bertanding dalam pilihanraya kampus pada 2 Oktober ini.

Ini adalah lanjutan kepada perarakan yang diadakan kelmarin untuk menyuarakan bantahan yang sama.

Mereka mendakwa, 16 calon tersebut terdiri daripada pelajar tahun akhir yang akan tamat pengajian sebelum berakhir tempoh Majlis Perwakilan Pelajar selama setahun.

Kumpulan 'anti-establishment' itu mengadakan protes tersebut di pintu masuk kolej kediaman kesembilan (K9) semalam. Kesemua 16 calon tersebut adalah dari kolej kediaman berkenaan.

Mereka mendakwa, pegawai pentadbir kolej kediaman tersebut, Wirakanain Sani turut terbabit dalam pencalonan 16 calon tersebut.

Pelajar yang menyertai protes itu turut menyembur cat di jalan mengutuk Wiranakanian sebagai 'bacul' dan menjadi 'dalang Umno'.

Mereka turut membakar kain rentang kempen salah seorang calon 'pro-establishment'.

Sementara itu, kira-kira 50 lagi pelajar turut berkumpul di situ, sambil membawa kain rentang menyokong Wirakanain dan Timbalan Naib Canselor, Azarae Idris.

Ekoran itu berlaku kutuk-mengutuk antara dua kumpulan merbabit. Bagaimanapun mereka bersurai secara aman pada kira-kira jam 4 petang.

Azarae enggan mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui wartawan malaysiakini.

Pilihanraya kampus setiap tahun membabitkan pertandingan sengit antara calon kumpulan 'anti-establishment' dengan calon 'pro-establishment' yang juga dikenali sebagai kumpulan Aspirasi.

sumber: malaysiakini

Demo cabar mahasiswa turun demo mansuh AUKU




Ini merupakan "speech" saya yang pertama di dalam siri demonstrasi. Insya Allah selepas ini akan diperkasakan lagi "speech" tersebut.

Friday, January 7, 2011

Perutusan Wakil Fakulti APIUM: Selamat Menjalani Peperiksaan

Al-Maududi pernah menyebut bahawa: “Generasi sesuatu bangsa itu apabila hilang identiti kebangsaannya dan hancur ke dalam identiti yang lain, maka ia bererti bangsa itu telah lenyap dan musnah.”

Dalam hal ini, beliau maksudkan bahawa untuk mengekalkan generasi Islam di atas muka bumi ini, maka ia bergantung penuh ke atas usaha generasi akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanan yang telah kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia, sekaligus telah membezakan kita daripada bangsa-bangsa lain di dunia.

Maka, untuk merealisasikan hasrat ini, iaitu mengekalkan tamadun Islam, tidak ada pilihan lain bagi kita selaku mahasiswa dan khalifah Allah di atas muka bumi ini selain berusaha mencari dan menguasai ilmu. Tanpa ilmu, sudah tentu kita tidak mampu memindahkan perbendaharaan tamadun Islam yang kita warisi kepada generasi akan datang. Menurut Al-Maududi lagi: “Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan. Kekal dalam erti berpegang teguh dengan tamadun Islam, mengibarkan benderanya serta menyeru kepadanya.”

Sudah jelas terbukti bahawa ilmu sangat berperanan dalam mempengaruhi kehidupan kita, malah orang-orang yang berilmu akan sentiasa dihormati dan dimuliakan oleh sesiapa sahaja, hatta oleh musuh sekalipun. Allah S.W.T. sendiri telah berfirman yang mana maksudnya:
“Dia memberikan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal sihat.” Surah Al-Baqarah: 269.
Kehadiran musim peperiksaan ini sudah tentu disambut dengan persediaan dan bekalan yang secukupnya oleh para mahasiswa. Musim sebegini sering menyaksikan mahasiswa menelaah pelajaran di bilik-bilik, bersengkang mata hingga ke pagi, malah ada yang langsung tidak mahu terlibat dengan sebarang aktiviti di luar. Seharusnya kita tidak bersikap demikian kerana peranan mahasiswa bukan sekadar menjadi ‘ulat buku’ atau ‘kaki study’ semata, tetapi lebih daripada itu. Mahasiswa perlu juga terlibat dengan aktiviti luar, seperti menyertai aktiviti kemasyarakatan, sama ada di dalam kampus atau dengan masyarakat setempat di luar kampus. Perlu diingat bahawa ilmu bukan setakat didapati daripada buku-buku, tetapi juga melalui pengalaman kita ketika bergaul dengan orang ramai. Oleh itu, mahasiswa dinasihati supaya tidak melepaskan peluang memperolehi ilmu sebegini kerana ia tidak akan datang selalu.

Untuk akhirnya, kami selaku Wakil Fakulti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Sesi 2007 / 2008, ingin mengucapkan selamat menjalani peperiksaan kepada semua mahasiswa APIUM khususnya, dan mahasiswa Universiti Malaya amnya. Semoga kehadiran musim peperiksaan ini akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. Bersama-samalah kita berusaha sedaya mungkin dan berdoa supaya musim peperiksaan ini akan digantikan dengan musim bunga yang menggembirakan, iaitu hasil keputusan peperiksaan yang membanggakan.
Sekian.

Wakil Fakulti APIUM,
Sesi 2007/ 2008.
Mohd Faisal B. Mustaffa
Izzat Amin B. Mohd Nasir

AKP: Parti pemerintah pertama Turki yang bakal diharamkan?


Selepas jatuhnya kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah, dasar yang mula menyusup masuk ke dalam sistem pentadbiraan kenegaraan Turki adalah berasaskan sistem sekular. Sudah tersohor diseluruh pelusuk dunia, negara yang pernah memimpin seluruh bumi umat Islam itu sudah dinajisi dengan kekotoran sekular.

Apabila Mahkamah Perlembagaan Turki mahu mendengar keterangan pada minggu samaada mengharamkan atau tidak parti pemerintah yang ada pada hari ini, iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), hati saya tertanya-tanya adakah sejarah yang terukir sejak tahun 1924 akan berulang kembali.

Sejak ditubuhkan sejak tahun 1963, Mahkamah perlembagaan yang dianggotai oleh 11 orang hakim ini telah mengharamkan 24 buah parti di negara tersebut. Antara yang mengalami nasib malang ini adalah Parti Refah yang dikemudi oleh Necmettin Erbakan. Beliau merupakan Perdana Menteri berhaluan Islam pertama yang sah dilantik oleh rakyat pada tahun 1996. Namun begitu, jangka hayat beliau tidak lama kerana terpaksa meletakkan jawatan setahun selepas itu akibat tekanan yang begitu kuat daripada pihak tentera.

Akhirnya, nama Parti Refah terpaksa dimuziumkan pada tahun 1998. Pada awal tahun tersebut, di dalam bulan januari Mahkamah Perlembagaan telah mengharamkan Parti Refah kerana dikatakan cuba mencabuli prinsip sekular yang di amalkan oleh kerajaan Turki selama ini. Peristiwa ini menyaksikan 5 orang ahli politik ternasuk Necmittin digantung daripada arena politik Turki.

Selepas itu ahli parti Refah merancang strategi baru dengan menubuhkan Parti Kebaikan. Namun begitu hayatnya hanya dapat bertahan sehingga Jun 2001 di sebabkan Mahkamah Perlembagaan turut mengharamkan parti yang baru ditubuhkan ini kerana dasar perjuangannya menyerupai dasar Parti Refah sebelum ini.

Belajar daripada pengalaman lalu Necmittin kemudiannya merangka pelan strategik yang baru. Akhirnya lahir AKP, sebuah parti serpihan daripada parti yang diharamkan sebelum ini. Dasar radikal melawan sekular sebelum ini digantikan dengan dasar mempertahankan dasar sekular selain berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keanggotaan sebagai negara di dalam Kesatuan Eropah (EU).

Pembawaan AKP yang lebih moderat ini menyebabkan rakyat Turki tertawan hati sehingga membawa kepada menangnya parti AKP dalam mempertaruhkan calon vagi jawatan Presiden Turki. Kejayaan yang gilang gemilang ini menyebabkan puak-puak yang menyokong kerajaan sekular berasa terancam. Namun begitu apa mereka gagal untuk menjatuhkan kerajaan AKP ini kerana strategi menggunakan undang-undang hak asasi manusia menyebabkan golongan sekular ini sukar untuk menjatuhkan kerajaan AKP.

Tetapi selepas kerajaan AKP membenarkan para pelajar memakai tudung di Universiti, akhirnya golongan sekular ini sudah mula panas punggung. Hasil desakan yang kuat, akhirnya kebenaran tersebut terpaksa ditarik balik.

Ketua Pendakwa Raya menuduh AKP cuba mengubah sistem sekular dengan rejim Islam. Buat pertama kali di dalam sejarah negara Turki, sekiranya Mahkamah Perlembagaan memenuhi tuntutan Pendakwa Raya maka sebuah parti yang bergelar kerajaan akan diharamkan. Sama-sama kita saksikan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Mahasiswa tuntut 5 perkara dalam PR Permatang Pauh


Bersama rakan-rakan mahasiswa di Pulau Pinang

Kira-kira 500 mahasiswa dari pelbagai universiti seluruh negara telah berhimpun di Permatang Pauh sempena dengan pilihanraya kecil yang akan berlangsung pada 26 Ogos ini. Himpunan tersebut bertujuan memberikan mesej kepada rakyat berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pemimpin parti politik yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Pengerusi National Coalation Movement (NESCAM), saudara Haafizuddin Abirerah yang berpeluang berucap di pentas Barisan Nasional bersama-sama dengan Dato' Seri Syed Hamid Albar mengulangi gesaan mahasiswa agar pilihanraya kali ini dilaksanakan dengan adil dan saksama. Ini kerana, selaku golongan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik, agenda yang diperjuangkan mahasiswa adalah jelas menjadi mata dan telinga masyarakat dan berjuang berasaskan politik nilai. Tetapi selepas itu, wakil daripada BN mengeluarkan perkataan "stupid" kepada mahasiswa kerana tuntutan mereka cenderung kepada memilih kerajaan yang telus dan adil.


Di hadapan rumah Dato' Arif Shah

Kemudiaanya tuntutan ini dibacakan juga bersama Dato Seri Anwar Ibrahim di atas pentas Parti Keadilan Rakyat didalam ceramah umum beliau. Dato' Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tuntutan yang dinyatakan oleh mahasiswa ini.



Berhenti sebentar dihadapan Banner bakal PM Malaysia ke-6.

Di dalam bacaan memorandum ini, mahasiswa membuat 5 tuntutan kepada calon-calon yang bertanding. Ini meliputi aspek Politik, Ekonomi, Sosial, Pendidikan dan Hak Asasi Manusia.

Dari aspek politik, mahasiswa menuntut supaya Pilihan Raya diadakan secara bersih dan mengikut lunas-lunas demokrasi yang sebenar dan adil. Selain itu, kebebasan bersuara diberi kepada mahasiswa dan rakyat.

Dari aspek Ekonomi pula, Mahasiswa menuntut supaya dilaksanakan pengurusan ekonomi yang tersusun dan tidak menganiayai masyarakat bawahan. Selain itu, unsure-unsur penyelewengan hendaklah dibebaskan daripada wujud di dalam pengurusan ekonomi ini.

Dari aspek social pula, mahasiswa menuntut supaya kemiskinan tegar dibasmi, kebajikan rakyat dijaga secara serius dan perkhidmatan kesihatan secara percuma dihospital kerajaan mahupun swasta.

Dari aspek pendidikan pula, mahasiswa meminta supaya diberikan pendidikan percuma dan kebebasan akademik kepada para pelajar dan pensyarah.

Dari sudut hak asasi pula, mahasiswa meminta supaya dimansuhkan AUKU dan memberikan kebebasan media.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Thursday, January 6, 2011

Warkah tersesat


Petang tadi kebetulan saya menerima pesanan sms daripada seorang kakak yang sama-sama menyertai ekspedisi ke Kuala MU baru-baru ini. Katanya CD koleksi yang yang dipos kepada saya sampai ke alamat sebuah restoran cina di SS 19, petaling jaya. Terkejut juga saya. Sebelum ini alamat yang saya berikan bukanlah SS19 tetapi SS17. CD tersebut saya perlu serahkan kepada Abang Shah selaku amir dalam ekspedisi tersebut.

Saya menelefon restoran tersebut dan dijawab oleh seorang perempuan cina. Dari suaranya saya mengagak umurnya dalam lingkungan 40-an. Rupa-rupanya restoran tersebut tidak jauh dari rumah saya. Berdekatan dengan bulatan di SS 17.

Tanpa membuang masa, saya menghidupkan motorsikal kriss buruk saya untuk mengambil surat tersebut. Alhamdulillah, akhirnya restoran tersebut berjaya ditemui. Kekok juga hendak bertanya kepada pelayan disitu. Kelihatan dua orang pengunjung sedang menikmati hidangan. Salah seorangnya berbangsa Inggeris dan seorang lagi berbangsa cina.

Saya menegur pelayan di situ. Kemudiannya dia memanggil pengurus kedai tersebut. Keluar seorang wanita cina dalam lingkungan 40-an. Saya dijemput masuk ke dalam kedai. Dengan hati yang lapang saya mengatur langkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Wanita cina tersebut menyoal nama saya. Siapa yang mengirimkan surat tersebut. Saya menjawab satu persatu sambil tersenyum. Wanita cina tersebut sambil tersenyum dia berkata kepada saya “mujur surat ini daripada perempuan, kalau lelaki sudah lama saya buang. Kalau wanita mungkin ianya penting bagi kamu”. Saya tersipu-sipu malu dan menjawab, “tak adalah, surat daripada kawan”.

Selepas mengucapkan terima kasih, saya beredar dari kedai tersebut. Di hati saya terdetik, betapa baiknya hati wanita cina tersebut. Pada permulaan saya menelefonnya saya mengagak beliau seorang yang sombong kerana daripada gaya bahasanya agak kasar dan mengatakan sekiranya saya terlambat surat tersebut akan dibuang. Mujur saya datang pada waktunya.

Kenapa saya lakarkan cerita ini, kerana ianya berkaitan dengan artikel semalam. Kedua-duanya mempunyai persamaan, namun begitu wataknya adalah berbeza. Semalam saya dilayan seperti endah tidak endah, tetapi hari ini saya dilayan dengan mesra oleh seorang wanita yang bukan sebangsa dengan saya.

Adakah situasi ini membenarkan iklan Kempen Budi Bahasa yang menggambarkan seorang yang sebangsa dengan saya melakukan sedikit kelakuan yang kurang senang. Kemudiannya muncul seorang berbangsa bukan bumiputera yang member pertolongan. Kepada sahabat-sahabat seagama fikir-fikirkanlah. Bukan bangsa yang menentukan tingginya martabat kita, tetapi akhlak dalam kita beragama itulah yang paling penting.

Tahniah Obama


Akhirnya bergelar seorang Presiden ke 44 US dan merupakan presiden kulit hitam pertama


Obama bersama isteri dan dua anaknya


Obama bersama Isteri tercinta

Obama ketika mula menginjak dewasa bersama Ibu dan Datuknya


Bermula dari seorang anak kecil, Obama di dokong oleh ibunya, Ann Dunham

Wednesday, January 5, 2011

Promo PMIUM' 08 berjalan lancar

Perasmian gerai PROMO oleh YDP PMIUM

Baru-baru ini telah diadakan minggu mempromosi persatuan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM bagi mempromosikan persatuan-persatuan yang wujud di UM kepada seluruh warga kampus. Pada PROMO’ 08 ini, PMIUM telah ditempatkan di gerai bernombor 7, bersebelahan dengan gerai PROMO Persatuan Mahasiswa Terangganu (PERMATA) dan Persatuan Mahasiswa Perak (PEMARAK).

Berkonsepkan “Big Family PMIUM”, PMIUM tampil mempromosikan segala bentuk kemudahan yang bakal diperolehi oleh mana-mana mahasiswa yang menyertai persatuan ini. Antaranya kad keahlian PMIUM yang menawarkan diskaun sekitar 10% sehingga 20 % kepada ahli yang membeli barangan di kedai-kedai terpilih. Antaranya di kedai Terulung Niaga, Najmies Computer System, kedai makan Sila Rasa Sdn Bhd di kolej kediaman Kedua Belas, Aziba Motor dan produk-produk keluaran dan jualan PMIUM.


Inisiatif mewujudkan kad ini adalah untuk membantu meringankan bebanan mahasiswa yang dihimpit dengan masalah keewangan berikutan kenaikkan harga minyak dan barangan di pasaran. Melalui kad diskaun ini secara tidak langsung dapat mengurangkan belanjawan bulanan mereka. Walaupun jumlahnya tidak besar, namun begitu sebagai tanggungjawab PMIUM berusaha memberikan khidmat yang terbaik kepada warga UM.

Pada PROMO kali ini juga PMIUM memperkenalkan beberapa kelab yang bernaung di bawah JKP-JKP PMIUM. Di bawah JKP Akademik dan Intelektual, diwujudkan Kelab Fasilitator. Manakala bagi JKP Kebajikan dan Perpaduan diwujudkan Kelab Penyayang, JKP Kenegaraan, Etika dan Petriotisme diwujudkan Kelab Khidmas. Bagi JKP Sukan dan Rekreasi pula, diperkenalkan dengan Kelab Sukan dan JKP Kesenian dan Kreativti diperkenalkan Kelab Rakan Media.

Melalui kewujudan kedua-dua perkara baru ini, PMIUM mendapat sambutan pendaftaran yang cukup panas dalam kalangan mahasiswa. Bahkan terdapat mahasiswa berbangsa Cina yang turut mendaftar menjadi ahli bersekutu PMIUM. Semoga selepas ini PMIUM terus bergerak maju selari dengan temanya “Sejahtera Bersama PMIUM”

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Monday, January 3, 2011

Sebutir Pengalaman Berharga SMTK

6013758_l

Usai sahaja menunaikan solat fardhu Asar bersama Ustaz Hashim saya bergegas bersiap untuk pulang. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Terasa pening-pening di kepala memandangkan perut kosong sejak daripada pagi tidak berisi.

Selepas menghidupkan suis motorsikal, saya terus memecut pulang. “Alamak, minyak pulak kering”, mata saya memandang kepada meter motorsikal yang menunjukkan minyak sudah diparas bahaya. Terpaksalah saya menghabiskan beberapa minit untuk mengisi minyak walaupun masa sudah cukup genting bagi saya.

Perjalanan untuk ke Bangi mengambil masa lebih kurang 45 minit daripada Damansara. Saya sudah berjanji dengan pihak Darus Syifa untuk mengikuti rawatan bangunan Sek Men Teknik Kajang pada petang ini. Menurut maklumat yang diperolehi, saya perlu menhadirkan diri pada jam 6.30 petang di Darus Syifa.

Sebaik sampai sahaja dirumah, kelihatan Haafizuddin sedang berbaring keletihan. Saya terus bergegas naik ke bilik dan menukar pakaian kepada baju melayu putih serta mencapai buku ikhtiar dan kad pelajar Darus Syifa.


Bertambah binau kepala saya. Di tambah pula dengan suasana yang cukup panas menyebabkan saya seperti terawang-awang berada di alam nyata ini. Namun begitu, saya gagahi juga untuk ke sana memandangkan inilah kali pertama saya berpeluang mengikuti kerja-kerja merawat bangunan bersama pihak Darus Syifa.

Sebelum-sebelum ini saya tidak mendaftarkan nama memandangkan bimbang bertidan dengan jadual kerja harian. Tambahan pula, keadaan tubuh badan yang kurang sihat disebabkan demam Chingkungkunya meletakkan diri saya terlalu berhati-hati untuk melakukan sebarang aktiviti yang berat.

Namun begitu, Alhamdulillah pada malam ini berkesempatan juga saya untuk bersama-sama dengan warga Darus Syifa. Sebagai seorang yang masih lagi mentah, saya memerlukan masa untuk memerhati dan meneliti gerak kerja merawat yang dilakukan oleh senior-senior di DS. Pembelajaran di dalam kuliah adalah bersifat teori dan untuk mengetahui pengaplikasiannya saya perlulah mengikui siri-siri rawatan yang dijalankan oleh pihak DS sendiri.

Saya sampai dihadapan bangunan DS tepat jam 6.30 petang. Kelihatan beberapa orang pelajar dan ahli Darus Syifa sudah menunggu berhampiran bas SMK Teknik Kajang. Kira-kira jam 6.50 petang, kami bergerak menuju ke destinasi.
Sepanjang perjalanan menuju ke sana, saya memejamkan mata untuk menghilangkan keletihan dan rasa pening yang berdenyut dikepala. Mujur saya duduk berseorangan, maka kuranglah sikit kepanasan yang dirasai.

Sebaik sampai di sana, kami disambut oleh guru-guru dan waris SMTK dan terus dibawa masuk ke dalam surau. Kemudiannya kami menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dipimpin oleh Ustaz Haji Zulkiply Mohd Dahlan daripada DS. Usai solat Maghrib, sedikit ucapan daripada pihak SMTK dan Tuan Haji Abdul Rahman selaku wakil DS.

Kemudiannya, majlis diteruskan dengan solat hajat, bacaan yasin dan zikir beramai-ramai yang dipimpin oleh Ust Haji Zulkiply Mohd Dahlan. Setelah selesai solat Isya, wakil daripada DS menyampaikan sedikit tazkirah dan peringatan kepada warga SMTK supaya menjaga adab-adab dan tatatertib sebagai seorang pelajar. Kemudiannya, kami dijemput oleh pihak sekolah untuk menikmati sedikit jamuan di dewan makan sekolah berkenaan.

Selepas selesai makan, kerja-kerja merawat bangunan dimulakan. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan meliputi kerja-kerja merawat di dalam dan diluar bangunan. Saya mengikuti kumpulan merawat di dalam bangunan asrama.

Kerja-kerja merawat selesai kira-kira jam 10.30 malam. Kami bertolak pulang dan sampai di DS kira-kira jam 11.30 malam.

Mudah-mudahan, dengan usaha yang dilakukan warga SMTK akan terus dilindungi dan hidup dengan aman dan sejahtera. Segalanya adalah dengan izin Allah S.W.T. Terima kasih kepada Ustaz-ustaz DS yang memberikan ilmu dan pengalaman kepada saya. Ini merupakan sebutir pengalaman yang berharga untuk diri saya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa

SS14, Petaling Jaya.