Sunday, October 2, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri


Bismillahirrahmanirrahim,

Puji dan syukur itu hanya ke hadrat Allah yang menguasai langit dan bumi, daratan dan lautan, bahkan seluruh jumantara alam ini. Dia yang mengurniakan nikmat dan rezeki, hikmat dan kebijaksanaan buat warga dunia dalam menyusuri sebuah denai bernama “kehidupan.” Segala pengabdian dan keserahan selayaknya milik Allah semata. Selawat dan kasih juga buat Junjungan Rasul tercinta; tidak pernah jemu dan lelah membimbing umat ini cara pendakian ke syurga, agar kelak kita dapat bersama-sama menghirup dingin dan enaknya secangkir minuman dari telaganya.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi nafas buat menyedut udara segar hari raya yang penuh keberkatan. Hari ini sewajarnya didendangi dengan alunan hamdalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada-Nya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Ar-Rahman dengan firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Hari raya merupakan hari kebesaran orang Islam. Ia diraikan sebagai hari kemenangan kita dalam menewaskan hawa nafsu dan perkara-perkara keji dalam tempoh sebulan Ramadan yang baru berlalu. Justeru, umat Islam telah diperintahkan untuk membesarkan hari ini dengan cara keluar beramai-ramai menunaikan sembahyang hari raya. Sabda baginda Nabi:

Diriwayatkan daripada Ummi ‘Atiyyah r.a., katanya: “Kami telah diperintahkan supaya keluar pada hari raya sehinggakan anak-anak pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar, lalu berada di belakang kaum lelaki dan bertakbir mengikut takbir mereka serta berdoa dengan doa mereka dengan mengharap keberkatan pada hari raya serta kesuciannya.”

Bergelar seorang mahasiswa, kita seharusnya menyambut Aidilfitri ini dengan suasana penuh intelek dan adab. Hal ini kerana gelaran ‘mahasiswa’ itu sendiri telah meletakkan kita pada suatu taraf keilmuan yang tinggi. Perkara ini tidak harus dipandang enteng kerana segala kekhilafan dan salah tingkah yang kita lakukan akan terus mencorak pemikiran dan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa secara keseluruhannya. Sebagai contoh, seorang mahasiswa haruslah tidak menyambut Aidilfitri ini sebagai seorang hedonis. Meskipun diakui bahawa darah muda sentiasa terpikat pada fenomena penuh hiburan, namun bukanlah dengan cara melolong, melakak dan berdansa sehingga mengkesampingkan nilai-nilai Islam dan adat-adat ketimuran yang penuh sopan dan adab. Ia bukan selayaknya dilakukan oleh seorang mahasiswa yang memiliki ilmu yang tinggi.

Seorang mahasiswa yang menanam ilmu di dadanya ialah seseorang yang mempraktikkan adab dan akhlak seperti yang disarankan oleh al-Quran. Ketibaan Aidilfitri disambut penuh syukur dan keinsafan, sopan-santun dan berkasih sayang. Allah berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 90:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Mahasiswa yang memerhati serta menghayati firman Allah ini pasti akan memenuhi detik-detik Aidilfitri dengan sentiasa berbuat kebaikan kepada kaum keluarga, tolong-menolong pada hari raya, bersedekah kepada orang yang memerlukan meski kepada kanak-kanak yang berkunjung ke rumah semata-mata menuntut duit raya, serta dalam masa yang sama tidak lalai dan leka dengan hiburan-hiburan yang mengalpakan, bahkan juga tidak mengikut hawa nafsu, terutamanya nafsu makan yang sentiasa memuncak ketika menghadap sajian yang enak dan lazat.

“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” Al-A’raf: 31

Justeru, hiasilah Aidilfitri yang berkunjung sekali dalam setahun ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Pulanglah ke kampung berhari raya bersama keluarga dan saudara-mara bagi mengeratkan silaturrahim. Walau sesibuk mana pun kita, usahlah menjadikan kesibukan itu sebagai alasan, kerana Rasulullah sendiri menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan sahabat-handai baginda, sedangkan baginda merupakan orang yang lebih sibuk; sebagai utusan Allah dan seorang pemimpin negara. Apatah pula kita yang hanya menyandang jawatan-jawatan kecil di kampus sahaja?

Untuk akhirnya, nikmatilah Hari Raya Aidilfitri ini sebagai suatu tanda kemenangan kita menewaskan hawa nafsu dalam Ramadan yang telah berlalu. Semoga kunjungannya kali ini menjadikan kita sentiasa insaf dan bermuhasabah serta lebih bersyukur.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

No comments:

Post a Comment