Wednesday, December 12, 2012

Isu KK 2, salah siapa?


Ramai yang memberi respon tatkala membaca coretan berkenaan KK2. Ada yang mahukan penjelasan yang lebih terperinci. Saya yakin dan percaya gharizah ingin tahu ini lahir daripada hati yang tulus cintakan Islam. Saya juga gembira apabila abang penjaga kedai photostat Kolej Kelima turut serta memberi sokongan kepada kami untuk memperjuangkan isu penghinaan terhadap Al-Quran ini. Seorang pemuda yang berambut panjang ala rockers turut mempunyai senstiviti apabila Islam dihina.
Beberapa teman turut memberikan respon dan ada yang mahu memukul sehingga mati orang yang melakukan kerja-kerja jahat ini. Tak kurang juga yang mahukan pengetua KK2 ditukar kerana gagal menjalankan kerjanya dengan baik. Khabarnya disaat kejadian ini berlaku, ada yang mengatakan pengetua KK2 berada di Indonesia. Sejauh mana kebenarannya itu saya tidak tahu, kerana khabar angin. Boleh jadi benar, boleh jadi salah.

Pihak pentadbiran UM pun terkena tempiasnya. Masing-masing runsing kerana kejadian yang berlaku ini hampir dengan perasmian Hari Alumni UM, bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Pak Lah. Tidak ketinggalan juga, majlis gilang gemilang ini akan dihadiri bekas pelajar UM yang rata-rata sudah berjaya. Ada bergelar menteri, menjadi ahli korporat yang berjaya dan sudah ramai juga yang bergelar Dato’. Bingung pihak keselamatan memikirkan hal ini, adakah hari alumni juga akan tercalar dengan peristiwa yang tidak dijangka.

Sudahlah sejarah telah menukilkan, pernah terjadi peristiwa Dewan Tunku Canselor (DTC) terbakar sehari sebelum kedatangan Tun Dr Mahathir bagi merasmikan Konvensyen Mahasiswa Negara pada ketika itu. Rata-rata menuduh kebakaran tersebut adalah sabotaj daripada pelajar, namun begitu laporan bomba menyatakan puncanya disebabkan litar pintas yang berlaku didalam DTC. Pendawaian yang sangat lama, sejak berkurun lalu masih lagi digunapakai. Sejak peristiwa itu, Tun Dr Mahathir “mengharamkan” kakinya melangkah ke UM. Namun begitu, kemarahan tersebut pudar setelah Tun meletakkan jawatan. Selepas sejuk hati, tahun lepas Tun kembali ke UM dan memberi ucapan di dewan Kuliah Utama, APIUM.

Sebab itulah, saya sendiri malas untuk menunding jari kepada sesiapa sahaja berkenaan hal ini. Soal siapa yang melakukannya, serah saja kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Namun begitu, sebagai seorang muslim kita harus mempunyai senstiviti untuk memperjuangkan isu ini. Saya sedih melihat segelintir mahasiswa yang tidak endah berkenaan hal ini.

Ada yang sanggup mengambil gambar pelajar-pelajar kolej yang sama-sama menjayakan solat hajat dan himpunan aman di KK2. Mereka berusaha mengambil gambar dari celah-celah tingkap dari bangunan atas. Tidak lain, gambar-gambar ini akan digunakan untuk membuang pelajar daripada KK2 pada hujung semester akan datang. Inilah yang sering berlaku. Sekiranya saudara Mohd Hilman B Che Nordin, seorang JIK kolej yang begitu komited boleh dibuang dari kolej kedua. Seorang ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) pun dibuang kolej, inikan pula mahasiswa bawahan yang tiada sebarang jawatan di KK2.

Apa pun yang terjadi, mudah-mudahan peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita semua. Janganlah minyak yang panas, kita simbah dengan air. Takut-takut api yang menyala tidak dapat dipadamkan. Kepada yang melakukan perkara ini, bertaubatlah. Mudah-mudahan akan diampunkan oleh Allah. Kita tunggu siapa yang bersalah, tidak di dunia mungkin akan ketemu di akhirat kelak.

Tuesday, December 11, 2012

Al Wala?Wal Bara?

"Al Wala?Wal Bara?merupakan salah satu daripada tuntutan Tauhid Uluhiyyah. Al Wala?merupakan aplikasi daripada ikhlas dan cinta kepada Allah, para Nabi dan orang-orang yang beriman. Al-Bara?pula adalah aplikasi dari sebuah kebencian kepada yang batil dan pengikutnya.

Secara umumnya mengikut manhaj Al Wala?wal Bara? manusia dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:

Pertama: Orang yang berhak mendapat Wala?(kecintaan) secara mutlak iaitu orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya, kemudian melaksanakan kewajipan-kewajipan mereka di dalam Dien (agama) dan meninggalkan larangan-larangan Dien (agama) dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Kedua: Orang yang berhak mendapatkan Wala?(kecintaan) di satu sisi dan Bara?(permusuhan) di sisi yang lain iaitu seorang Muslim yang melakukan maksiat, yang melalaikan sebahagian kewajipan agamanya dan melakukan sebahagian perbuatan yang diharamkan Allah namun tidak menyebabkan kekufuran (mensyirikkan Allah dengan sesuatu) dengan tingkat kufur akbar (kufur yang paling besar).

Ketiga: Orang yang berhak mendapatkan Bara?(permusuhan) secara mutlak, iaitu orang-orang musyrik dan kafir baik daripada golongan Yahudi mahupun Nasrani (Kristian) ataupun Majusi, penyembah berhala atau yang lainnya. Sedang, seorang Muslim yang melakukan perbuatan yang menyebabkannya menjadi kafir, maka dia dinyatakan murtad.

Antara contoh penyelewengan umat ini akibat penyelewengan konsep Al Wala?Wal Bara?ialah seperti berikut:

Pertama: Tiada satu pun dari negara yang majoriti penduduknya beragama Islam baik di timur mahupun barat (apatah lagi Malaysia) mengamalkan hukum/undang-undang/perlembagaan Allah secara keseluruhan, padahal mematuhi hukum/undang-undang/perlembagaan Allah adalah sari pati daripada pemahaman yang benar tentang Syahadat. Kalau hukum/undang-undang/perlembagaan Allah tidak dijalankan, bagaimana syahadatnya? Dan kesan lain yang paling parah ialah apabila manusia (yang sememangnya bodoh dan kerdil) mencipta sendiri hukum/undang-undang/perlembagaan ataupun mengimport hukum//undang-undang/perlembagaan daripada orang-orang kafir. Hukum bagi kedua-duanya sama. Malahan kini muncul pula pelbagai jenis gelaran untuk menjauhkan dan mempertakuti manusia kepada Islam seperti kolot, ketinggalan zaman, ataupun dengan tuduhan yang lebih teruk lagi seperti militan, pengganas, Islam radikal dan bermacam-macam tuduhan lagi.

Kedua: Syiar dan slogan ummah telah pun dipengaruhi syiar-syiar dan slogan-slogan orang-orang kafir. Contoh syiar-syiar dan slogan jahiliah/kafir itu ialah sosialisme, kapitalisme, nasionalisme, ateisme, demokrasi, toleransi beragama, modenisasi, globalisasi dan lain-lain istilah-istilah produk kafir yang lain.

Ketiga: Pendidikan juga telah dikuasai kekafiran dan kesyirikan kepada Allah. Kini Pelajar-pelajar Islam seluruh dunia (termasuk Malaysia) yang kebanyakannya tidak mempunyai pemahaman Islam yang kuat disuntik dengan pelbagai pemikiran/ideologi kafir seperti Teori Darwin, nasionalisme dan toleransi beragama. Pelajar juga didedahkan dengan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan), penerapan Islam hanya sebagai ibadah mahdah (khusus) sahaja dan penerapan nilai-nilai kemaksiatan berleluasa seperti nyanyian. Selain itu pelajar yang ingin berhijab (melabuhkan tudung hingga menutupi tubuh) dan berniqab (memakai tabir pada muka) dimomokkan dan dinista dengan pelbagai gelaran malahan dilarang sama sekali di kebanyakan universiti (bagi niqab) dengan pelbagai alasan yang dangkal.

Keempat: Sejarah pula menyaksikan penyelewengan yang pelbagai terutama apabila ia berkait langsung dengan Islam. Contohnya ialah bagaimana kisah penyebaran Kristian oleh Magellan dan Vasco da Gama diungkapkan sebagai mencari rempah.

Kelima: Daripada segi hiburan dan olahraga pula kita dapat melihat bagaimana anak-anak kecil di pengaruhi dengan Power Rangers, Spider Man, Ultraman, Mashimaru dan Digimon. Manakala arena sukan dan hiburan juga menyaksikan wanita-wanita Melayu mendedahkan keindahan yang sepatutnya tidak boleh ditunjukkan selain kepada suami mereka sendiri. Dan ini bukan sahaja mendatangkan fitnah malahan menggetarkan naluri lelaki yang seterusnya menyumbang kepada kes-kes rogol dan bermacam-macam lagi gejala sosial yang amat berleluasa kini.

Monday, December 10, 2012

Sejarah Penyertaan PMIUM dalam Pilihanraya Kampus

Oleh:Zainulfaqar Yaakob

“Hikmah (kebijaksanaan) itu adalah barang ciciran orang-orang mukmin. Barang siapa menjumpainya, maka ambillah ia (hikmah tersebut)…” || al-Hadith

Sejarah Awal Siasah Mahasiswa
Sejarah siasah mahasiswa Universiti Malaya bermula sejak mahasiswa kenal pertubuhan atau Union. Pertubuhan paling awal wujud di Universiti Malaya Kuala Lumpur adalah University of Malaya Student Union (UMSU) atau Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM); pada tahun 1958. Pengerusi UMSU telah disandang oleh Gurnam Singh manakala V. Selvaratnam dilantik sebagai Setiausaha.

Penubuhan UMSU ini bertitik tolak pada kecenderungan mahasiswa dalam kerja-kerja atau aktiviti non-academic. Seluruh mahasiswa UM secara implisit ditakrifkan sebagai ahli UMSU sendiri. Realiti ini bertitik tolak pada beberapa faktor. Antaranya, termasuk bilangan mahasiswa UM pada ketika itu sendiri dalam angka yang sangat kecil; sudah pasti pastisipasi mereka sangat diperlukan oleh pertubuhan.

Sila rujuk The Constitution of The University of Malaya, Syeksyen 48 (1); yang berbunyi:-

“…semua pelajar-pelajar yang multriculated mestilah menjadi anggota persatuan pelajar…” (The Universiti of Malaya Calender 1963-64, h.29)

Walaupun demikian, kondisi siasah mahasiswa melalui wadah UMSU ini masih pada tahap mentah. Aktiviti-aktiviti mereka lebih dikenal sebagai extra-mural activities.

Sesi akademik 1962/63 telah menyaksikan kemasukan mahasiswa freshes ke UM dalam angka yang sangat besar; 1 341 orang. Tradisi keahlian secara autamatik sebagaimana yang ditatacarakan oleh UMSU ini meletakkan UMSU sebagai pertubuhan yang istimewa dan berposisi strategik; bukan sahaja dalam memelihara kebajikan mahasiswa, malah menggerakan arus siasah kampus dan nasional.

Kondisi ini mendorong beberapa kelompok mahasiswa yang sudah berpertubuhan cuba untuk menjadikan UMSU ini sebagai vehicle dalam menyalurkan hasrat siasah mereka kepada masyarakat kampus. (Muhammad Abu Bakar, 1973:31-32)

Kelab Sosialis UM (KSUM) merupakan antara komuniti mahasiswa berpertubuhan awal yang dilihat mendominasi siasah mahasiswa di UM. Dominasi KSUM ini berpunca oleh vokalisme para pemimpin pertubuhan tersebut terutama pasca pengenalan Spekers’ Corner di UM pada 25 Mei 1966. (Muhammad Abu Bakar, Op.Cit.:31)

Pada pandangan Penulis, era 1960an menyaksikan dominasi siasah UM oleh UMSU ini mirip pada idealisme KSUM sendiri.

Pertubuhan Bahasa Melayu UM (PBMUM) turut mendominasi siasah UM sejak sesi akademik 1965/66. Tanda aras dominasi siasah tersebut dilihat pada siri pertandingan hebat kerusi Yang Dipertua pertubuhan tersebut.

Transisi kepemimpinan PBMUM ini membawa pertubuhan tersebut mula menggarap cita-cita yang bersifat nasional seperti isu bahasa Melayu, kebudayaan nasional hatta isu-isu yang melibatkan INTEGRITI pihak kerajaan. (Muhammad Abu Bakar, Op.Cit.:36-37)

Sesuatu yang menarik, dominasi siasah PBMUM ini tidak melalui UMSU, sebaliknya melalui pertubuhan PBMUM sendiri. Selain itu, PBMUM juga mempunyai ciri-ciri asasi pertubuhan mahasiswa yang vokal sebagaimana KSUM; seperti anti-establishment, pressure group, catalyst dan sebagainya kepada pihak pentadbiran kampus dan kerajaan Malaysia walaupun KSUM dan PBMUM mempunyai premis idealisme yang sangat berbeza.

Posisi PMIUM sekitar era 1960 lebih dilihat sebagai “orang kuat” kepada PBMUM dalam banyak perkara. Soal kepemimpinan sehinggalah soalan menentukan lanskap siasah pertubuhan tersebut di kampus dilihat selari dengan apa yang diperjuangankan oleh PBMUM.

Menurut Profesor Emeritus Dr. Khoo Key Kim sebagaimana berikut:-

“…PBMUM disokong oleh PMIUM, memperjuangkan isu bahasa dan kebudayaan Melayu…budaya Melayu seharusnya dijadikan sebagai budaya nasional…” (Abdul Razaq Ahmad, 2005: 10)

Tranformasi Dakwah Islamiyyah PMIUM
Dalam bacaan peribadi penulis, PMIUM sekitar era 1950an hingga penghujung 1960 juga seperti pertubuhan-pertubuhan biasa mahasiswa. PMIUM dilihat satu-satunya pertubuhan berlatarbelakang Islam dan menjadi agen dakwah Islamiyyah di kampus.

Dakwah Islamiyyah oleh PMIUM ini boleh dilihat dalam beberapa periodisasi. Pertama, dikenal sebagai tahap permulaan. Dan kedua adalah tahap kebangkitan.

Pada tahap pertama ini, aktiviti dakwah PMIUM dilakukan tidak di atas entiti PMIUM sendiri secara nyata; atau PMIUM dilihat menerima pengaruh luar (pertubuhan lain). Sebagai contoh, pengenalan idea faham Islam yang dilakukan Syed Muhammad Naquib al-Attas sekembalinya beliau ke UM sebagai tenaga pengajar di Akademi Pengajian Melayu pada tahun 1964.

DSAISdr. Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) juga merupakan public fegure PMIUM yang mengikuti usrah di pejabat atau kediaman al-Attas. (rujuk Mohd Ridhwan Alias, 2004:t.h). Buktinya, DSAI sendiri pernah menjadi Jawatankuasa PMIUM sesi akademik 1967/68 (Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992:lampiran).

Pada tahap ini, wacana ilmiah dilakukan atas pentas Usrah, kuliah-kuliah Maghrib di surau kolej kediaman UM dan di luar kampus. Aktiviti dakwah Islamiyyah oleh PMIUM ini digerakkan atas dasar kefahaman kerana kefahaman ini akan membawa kepada keyakinan dan iltizam kepada komuniti mahasiswa Islam untuk hidup berdasarkan neraca Islam dan menjadikan PMIUM itu sendiri sebagai wadah dakwah Islamiyyah di kampus UM.

Antara sumbangan besar PMIUM pada tahap ini termasuk perlancaran Projek Penyelidikan Kepercayaan Agama Dalam Masyarakat Melayu pada tahun 1967. Projek ini menjadi antara faktor sampingan pada pembokaran krisis sosio-ekonomi umat Islam Melayu di Malaysia; dan menjadi faktor sampingan pada tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. (rujuk 30 Tahun, PMIUM Meniti Liku-Liku Perjuangan, 1986: 10 DAN Junaidah Abu Bakar, 1993:16-19)

Pada tahap kedua, PMIUM mula mendominasi dakwah Islam kampus secara convensional atas entiti mereka sendiri. dominasi dakwah Islamiyyah melalui PMIUM ini lebih ketara apabila PMIUM secara rasmi menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) pada sesi akademik 1971/72.

Peluang tersebut telah digarapkan oleh PMIUM demi memastikan idea faham Islam sampai kepada seluruh freshes muslim UM. Pelbagai aktiviti dakwah Islamiyyah dilakukan di kampus pada ketika itu. Antaranya, seruan solat berjamaah, kuliah Maghrib-Subuh hatta Sambutan Maulid ar-Rasul secara mega di DTC; dan sebagainya.

Dari sudut lain, dominasi dakwah Islamiyyah oleh PMIUM turut berlaku pada sesi akademik 1972/73 di bawah kepemimpinan Sdr. Siddiq Fadhil (kini Dr.) dengan wawasan “Tradisi Mencabar”.

Isu campurtangan AS dalam Perang Arab-Israil mengakibatkan mahasiswa melancarkan demontrasi aman di Kedutaan AS pada 16 Oktober 1973; sebagai suatu masej dakwah kepada kezaliman AS-Israel.

Pada 29 Jun 1974, PMIUM telah melancarkan Demontrasi “Konvensyen Ball” kerana aktiviti tersebut sangat bertentangan dengan lunas-lunas Islam. Penentangan tersebut dianggap batu permulaan Perang Dingin (Cold War) antara PMIUM dengan PMUM (dulu dikenali sebagai UMSU). (Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992: 145-147)

Oleh kerana aktivisme dakwah PMIUM merentasi etniksiti dan representasi fakulti sendiri dalam rupa plural, pihak pentadbiran UM melihat dominasi siasah Islamiyyah PMIUM tersebut semakin ampuh. Natijahnya, PMIUM telah dinafikan hak menyertai JKO pada sesi akademik 1975/1976 sehingga 2 sesi akademik seterusnya.

Ijtihad Menyertai PRK
Sesuatu yang menarik sekitar penghujung era 1970an ini, PMIUM telah berijtihad menyertai Pilihanraya Kampus (PRK) pada sesi akademik 1977/78. Ijtihad ini demi mendominasi PMUM melalui pendekatan siasah Islamiyyah. (Samin Ongki, 1990:70-71)

Pada pandangan Penulis, tidak sempurnah tuntutan dakwah yang wajib tersebut kecuali memerlukan kepada kuasa (melalui dominasi PMUM sendiri), maka mendominasi PMIUM itu sendiri menjadi tuntutan wajib. Maa la yutimmu al-wajib illa bihi fahuabi al-wajib (tidak sempurna sesuatu kewajipan itu kecuali memerlukan kepada sesuatu perkara, maka perkara itu juga menjadi tuntutan wajib)

Demi dakwah Islamiyyah juga, PMIUM juga telah mengenakan tekanan berupa memorandum bantahan kepada Hal Ehwal Pelajar (HEP). Hasilnya, PMIUM dijemput semula menyertai JKO pada sesi akademik 1978/79. Namun, selepas sesi akademik tersebut, pihak HEP tidak lagi menjemput PMIUM atas representasi PMIUM sendiri. (Samin Ongki, 1990:70-71)

Dalam PRK sesi akademik tersebut menyaksikan PMIUM gagal menang majoriti. Kekalahan ini berlanjutan sehingga sesi akademik 1979/80. Tanggal 24 Julai 1981 (sesi akademik 1980/81) menyaksikan Islamic Group berjaya mendominasi PMUM. Sdr. Ahmad Shabery Cheek, public fegure PMIUM telah diberi mandat menjadi Yang Dipertua PMUM.

Tahun tersebut juga menyaksikan Minggu Haluan Siswa (MHS) subur dengan aktiviti-aktiviti yang menjunjung tinggi keilmuan dan nilai-nilai Islam itu sendiri. PMIUM menunaikan tuntutan dakwah Islamiyyah melalui body PMUM sendiri secara conventional. (Mohamad Ridhwan Alias, 2004:t.h)

Antara sumbangan dakwah Islamiyyah lain oleh PMIUM melalui PMUM adalah program tradisi PMUM yang sarat dengan unsur maksiat seperti “Konvensyen Ball”, acara perjudian, Pestaria Kebajikan dan sebagainya tidak lagi dianjurkan oleh PMUM sesi akademik tersebut.
Pada pandangan Penulis, PMIUM cuba menjadikan PMUM sebagai vehicle demi memastikan idea faham Islam ini terus subur di kampus khususnya melalui partisipasi mereka dalam JKO. Penulis juga melihat bahawa penyertaan PMIUM dalam PRK sendiri hanya bertujuan mengembalikan semula konsesi dakwah Islamiyyah di kampus melalui pendekatan siasah Islamiyyah; yang sebelum ini boleh dilakukan tanpa sekatan HEP.
karim kene pukulPengalaman PMIUM menyertai PRK dasawarsa ini menyaksikan pelbagai transisi siasah Islamiyyah. PMIUM pernah memboikot PRK pada sesi akademik 1983/84 di bawah kepemimpinan Sdr. Muhammad Husin; sesi akademik 1988/89 di bawah kepemimpinan Sdr. Mohd Yusof Abdullah; dan sesi akademik 2004/2005 di bawah kepemimpinan Sdr. Muhd Ramadhan Fitri Elias. (Mohd Khoirol Anuar Mat Zuki, wawancara secara bebas)
Keputusan memboikot PRK dalam ketiga-tiga sesi akademik ini bertitik-tolak pada sikap double standert HEP dan perjalanan PRK yang tidak demokratik. (rujuk Samin Ongki, 1990: 70-70; Mohd Nasir Mohd Nawi, 1992: 155; dan Zainulfaqar Yaacob, 2006:128-130)

Selain itu, tranformasi siasah Islamiyyah oleh PMIUM juga menyaksikan pengenalan damaged system oleh PMIUM dengan menghantar lebih 30 calon perwakilan untuk kerusi umum MPMUM (dulu dikenali sebagai UMSU atau PMUM). Ijtihad siasah Islamiyyah ini demi memberi suatu signal kepada pentadbiran UM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PM hatta masyarakat berhubung penyelewengan dan anti-demokratik sepanjang berlangsungnya PRK UM pada ketika itu; sudah berada pada aras yang tenat.

Sesi akademik 2007/2008 sekali lagi bakal menyaksikan ijtihad siasah Islamiyyah oleh PMIUM demi memastikan dakwah Islam di kampus terus subur. Penulis melihat, ijtihad terbaik bagi zaman ini seharusnya dilakukan pada zaman ini. PMIUM seharusnya berani berijtihad dalam lapangan siasah Islamiyyah dan dakwah Islamiyyah dalam pusing akhir menjelang PRK kini; kerana ijtihad tersebut lebih hampir atau menepati keperluan massa dewasa ini sendiri.

Bagi Penulis, ijtihad thuquti dan kontemporari oleh PMIUM adakah masih melihat penyertaan PRK kali ini bermatlamat mendominasikan kuasa (MPMUM) demi merumputkan dakwah Islamiyyah di mayapada kampus Universiti Malaya KL itu sendiri; atau lebih daripada itu. Disiplin sejarah tidak lama lagi bakal menemukan jawapan tersebut.–END

Friday, December 7, 2012

Permudah urusan peluk Islam


BERDASARKAN sirah Rasulullah SAW, terdapat beberapa kisah yang wajar dijadikan rujukan dan pedoman oleh masyarakat Islam hari ini dalam menentukan sama ada seseorang yang baru memeluk Islam itu wajib mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka.

Dalam satu kejadian, sahabat Rasulullah yang terkenal dengan keberaniannya sebelum dan sesudah Islam iaitu Saidina Umar Al-Khattab telah mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka di hadapan ketua kabilah Quraisy. Ini menunjukkan bahawa seseorang mualaf dibenarkan mengisytiharkan pengislamannya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki.

Namun begitu, terdapat juga beberapa peristiwa di mana saudara baru tidak memaklumkan status pengislamannya secara terang-terangan disebabkan faktor-faktor tertentu. Merujuk kepada sirah, pada hari pertama penghijrahan baginda Nabi ke Madinah, Abdullah bin Salam, seorang rahib Yahudi yang terkenal telah pergi menemui baginda bagi memastikan kebenaran risalah yang telah dibawa. Setelah yakin dengan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi, beliau telah memeluk Islam, namun beliau meminta izin daripada baginda bagi menyembunyikan status keislamannya kerana bimbang dengan ancaman Yahudi terhadapnya. Lalu baginda telah memperkenankan permintaannya itu.

Kisah-kisah yang berlaku dalam sirah Rasulullah ini membuktikan bahawa seseorang yang bergelar ‘saudara baru’ diberikan hak dan kebebasan dalam membuat pilihan sama ada mahu mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka ataupun tidak.

Mengulas mengenai peraturan mengisytiharkan status memeluk Islam yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria berpendapat bahawa syarat itu boleh dikecualikan sekiranya ia menimbulkan masalah keselamatan dan nyawa kepada mualaf terbabit.

Justeru, seseorang yang memeluk Islam sepatutnya mempunyai hak untuk memilih sama ada mengisytiharkan atau menyembunyikan status agamanya. Itu hak asasi mereka dalam membuat pemilihan. Tambahan pula, hak merahsiakan keimanan adalah selari dengan tuntutan syarak kerana kebanyakan saudara baru adalah mereka yang imannya masih belum kukuh dan mudah goyah terhadap desakan-desakan tertentu. Oleh yang demikian, kita seharusnya menghormati keputusan mereka sama ada mahu mengisytiharkan status pengislaman secara terbuka, atau berhasrat menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga buat sementara waktu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan saudara baru itu sendiri.

p/s: Tersiar di dalam ruangan forum utusan Melayu, 14 April 2008

Thursday, December 6, 2012

Simposium Mahasiswa Islam Malaysia


(Tokoh-tokoh anak muda yang progresif)


(Pemimpin Politik dan Korporat yang Teruji)


(Ahli Akademik yang Berkaliber)

Simposium Mahasiswa Islam Malaysia

28 Feb - 1 Mac 2009

Pendaftaran Percuma


Perasmian : Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Haji Idris
(TNC HEPA Universiti Malaya)

3 Panelis untuk Forum 28 Feb 2009
Masa: 9 - 11 malam
Tajuk: “Mahasiswa Malaysia vs Mahasiswa Luar Negara”

1) Ustaz Ramadhan Fitri Elias (Mantan YDP PMIUM 2004/05)
2) Saudara Feriz Omar (Presiden ProWaris)
3) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (Profesor UM)

Moderator : Sdr. Shazni Munir Mohd Ithnin (Jurucakap GAMIS)

4 Pembentang Kertas Kerja pada 1 Mac 2009
Masa:
9 pagi - 5 petang

1) YB Saifuddin Nasution (MP Machang)
Tajuk: “Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat”

2) Prof Dato’ Mohammad Abu Bakar (Dekan FSSS UM)
Tajuk: “Kampus, Keresahan Intelek dan Kebangkitan Mahasiswa”

3) Sdr Md. Hisommudin Bakar (Mantan YDP MPMUM 2001/02)
Tajuk: “Ke Arah Kesatuan Mahasiswa Islam Malaysia”

4) Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh (Pengerusi Proton Holding Berhad)
Tajuk: “Mahasiswa Islam Sebagai Pemain Ekonomi Penting Masa Hadapan”

Ucaptama : Datuk Paduka Ibrahim Ali (Presiden PERKASA)

Wednesday, December 5, 2012

Seorang Ibu, Bukan Sebarangan Ibu

p/s: Cerpen ini saja saya taip dan publish kembali daripada karya asal untuk tatapan dan renungan kalian semua.Semoga dapat menghayati Karya ini.
Mohd Faisal B Mustaffa


1.MUQADDIMAH

Sudah menjadi fitrah manusia dicipta berpasang-pasangan.Berkeinginan untuk saling menyayangi antara satu sama lain. Oleh yang demikian, Islam telah menggariskan beberapa perkara sebelum membina sebuah syurga rumah tangga.

Bagi seorang lelaki, persediaan yang rapi mestilah dilakukan supaya bahtera rumah tangga yang dikemudinya nanti akan dapat belayar dengan baik. Segala keperluan asasi perlulah disediakan bagi memenuhi keperluan seisi keluarga.

Manakala bagi wanita, kemampuan mendidik anak-anak itulah yang menjadi kayu ukur baginya untuk berkahwin. Sekiranya dia sudah mampu untuk mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan, ia memberi petunjuk bahawa dia sudah bersedia. Tangan yang menghayun buaian ini jugalah yang bakal menggoncangkan dunia kelak.

Sesungguhnya cinta suami isteri adalah cinta yang terbina di atas kelembutan dan belas kasihan. Ia bertempat pada sedalam-dalam hati dan sedasar-dasar perasaan. Lalu, setiap suami isteri akan mendapati pada diri pasangannya itu kerehatan, ketenangan dan kedamaian. Cinta ini akan berterusan di antara mereka. Ia persis mata air yang melimpah, yang sentiasa bertambah dan tidak berkurang kerana ia adalah cinta hakiki yang tumbuh di atas kebenaran, kejujuran dan ‘iffah, iaitu menjauhkan diri daripada syahwat yang keji.

Dia. Abu Abdul Rahman. Berhasrat mencari teman yang dapat menghiburnya di kala lara. Menjadi isteri yang setia dan melahirkan anak-anak yang soleh, yang bakal menjadi pusaka apabila dia meninggal kelak. Bukan rupa paras menjadi keutamaan, bukan kekayaan yang ditagih, bukan jua keturunan yang dipilih, tetapi hanya yang beragama menjadi idaman hati. Tetapi kiranya dipertemukan dengan Muslimah yang mencukupi 4 ciri ini, dia bersyukur kepada Allah.

2.PENCEROBOH

“Kenapa kamu masuk ke dalam rumahku di waktu tengah malam begini, wahai orang tua?” Ujar anak muda tercengang kehairanan sambil tangannya memegang jubah orang tua yang berjanggut tipis itu. Orang tua itu lantas menolak daun pintu rumah dengan menggunakan lembingnya. Segala alat persenjataan dan lembing tersebut disandarkan di sebalik pintu. Kemudian dia terus meluru masuk ke dalam tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada Rabi’ah. Seorang pemuda yang menghuni rumah itu.

Sebaik sahaja lelaki tua itu meluru masuk, Rabi’ah naik berang. Tambahan pula ibunya berada di dalam rumah tersebut. Marah seperti api yang menyala-nyala, bisa membakar apa sahaja yang berada di depannya. Sepantas kilat, didekatinya lelaki itu lalu dicekak lehernya sekuat mungkin. Lelaki itu hampir tercekik. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Andai kata dia tidak meronta dengan kuat, mungkin dia akan mati tercekik!

Perbalahan berlaku di dalam suasana gelap gelita. Masing-masing tidak mahu mengalah. Saling menolak antara satu sama lain, agar lawan masing-masing keluar dari rumah tersebut.

Walaupun sudah dimamah usia, namun lelaki tua itu masih tegap badannya. Tidak hairanlah jika pada umur sebegitu dia masih lagi mampu mengangkat senjata ke medan tempur. Sudah berkali-kali ekspedisi ketenteraan diikutinya. Alah bisa tegal biasa. Boleh dikatakan dunia pertempuran sudah menjadi darah dagingnya.

Pergaduhan yang berlangsung di muka pintu itu berlanjutan beberapa ketika. Kedua-dua lelaki tersebut terhumban keluar dari rumah, setelah masing-masing berusaha menolak keluar lawannya.

Suasana menjadi kecoh sehingga menarik perhatian jiran tertangga. Masing-masing tergamam dan cuba mengesan punca pergaduhan. Mereka cuba menangkap suara dari mana datangnya pergaduhan tersebut.

Dalam suasana kegelapan membungkus malam, hanya suara Rabi’ah yang didengari. Kemarahannya membuak-buak seperti air yang mendidih. Jiran-jiran bergegas keluar dari rumah dan mengerumuni tempat pergaduhan tersebut.

“Hai! Hairan sungguh…tergamak orang tua ini merempuh masuk ke dalam rumah Rabi’ah sedangkan ibunya masih di dalam… Apakah yang mendorongnya mencerobohi rumah orang malam-malam buta begini? Demi Allah! Kiranya ayah Rabi’ah masih hidup, nescaya orang tua itu sudah ditikamnya sampai mati.” Kedengaran satu suara jiran Rabi’ah mengeluh.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa rumah Rabi’ah dicerobohi. Rabi’ah merupakan seorang alim yang dihormati. Ayahnya seorang perwira yang masih berada di medan jihad. Terkenal dengan keberanian dan kehebatannya sebagai seorang pahlawan. Tangkas dan digeruni musuh.

“Hai…..! Tidak bermoral sungguh orang tua ini. Di mana letak akhlaknya sehingga sanggup menceroboh rumah seorang alim yang dihormati. Ayahnya masih di Khurasan. Sekiranya dia tahu anak dan isterinya diperlakukan sebegini rupa, bagaimanalah perasaanya.” Seorang lagi jirannya bersuara.

Sudah 20 tahun Abu Abdul Rahman keluar ke medan jihad. Selama itu jugalah dia tidak pernah pulang menjengah anak dan isterinya. Sungguh besar pengorbanannya dalam mempertahankan Islam. Inilah yang membuatkan jiran-jirannya bersimpati. Tergamak lelaki tua tersebut menceroboh rumah seorang mujahid Islam yang ulung. Orang ramai masing-masing mengeluh tanda simpati.

Suasana tadi yang gelap gelita kini sedikit bercahaya lantaran disinari pelita gas yang dibawa oleh orang ramai. Tetapi cahaya pelita yang malap itu tidak memberi ruang kepada mereka untuk mengenali dua orang yang sedang bergaduh. Cahaya terlalu suram jika dibandingkan dengan kepekatan pada malam itu.

Beberapa orang berusaha untuk meleraikan pergaduhan. Lelaki tua itu ditangkap beramai-ramai supaya dia tidak dapat melepaskan diri. Tetapi dia meronta-ronta minta dilepaskan. Masing-masing kian menguatkan pegangan.

Walaupun pergaduhan berjaya dileraikan, namun tengking-menengking masih berlaku antara satu sama lain. Masing-masing menuduh lawannya cuba menceroboh masuk ke dalam rumah mereka.

Orang ramai kehairanan dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang tua tersebut. Sanggup dia mengatakan bahawa itu rumahnya. Sedangkan semua orang sudah maklum bahawa itu rumah Rabi’ah. Mereka berpendapat penceroboh dan penipu seperti itu mesti dijatuhkan hukuman. Setimpal dengan perbuatan yang dilakukannya.

“Lepaskan aku! Biar aku kerjakan orang muda ini. Dia telah mencerobohi rumahku. Demi Allah, andainya lembing berada di tanganku, nescaya orang muda ini akan ku tikam!” Orang tua itu bersuara memohon supaya dilepaskan.

“Wanita di dalam itu adalah isteriku. Aku bersumpah dengan nama Allah, tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Sesungguhnya kerajaan Bani Umaiyah pun gementar dengan keperwiraanku, dan ketangkasan aku bermain alat senjata,” ujar orang tua itu lagi.

Hatinya kesal. Baginya, moral manusia yang berada di hadapannya itu telah lenyap. Mereka sanggup berdiri di pihak yang salah. Dia mencemuh mereka dengan kata-katanya.

“Manusia tidak akan menjadi begini. Tidak fanatik terhadap kaumnya pada masa pemerintahan yang adil. Hai! Apakah gerangan yang telah terjadi? Semua manusia di sini bukannya seperti manusia yang dahulu! Sesungguhnya aku melihat air muka kamu semua telah berubah. Telah lenyap sifat-sifat kemuliaan, telah berbelah bahagi keimanan. Kenapa kamu menjadi begini? Takutlah kamu semua kepada Allah, wahai sekalian manusia...” Lelaki tua itu berkhutbah panjang.

Rabi’ah juga meronta-ronta minta dilepaskan. Dia dipegang erat oleh jiran-jirannya. Mereka risau sekiranya Rabi’ah bertindak di luar batasan. Kedudukannya sebagai seorang yang alim lagi dihormati perlu dijaga. Apabila dia merasakan dirinya sudah tidak mampu melepaskan diri, lalu dia menengking kepada orang ramai.

“Hai orang ramai! Lepaskan aku. Demi Allah, aku lihat sendiri lelaki ini merempuh masuk ke dalam rumahku dengan alat senjatanya yang lengkap di tangan. Haa!! Itulah senjatanya. Dia menyandarkan senjatanya di sebalik pintu itu. Inilah bukti yang menunjukkan lelaki ini berniat buruk. Demi Allah, aku tidak akan melepaskan lelaki ini sebelum dia dibawa ke muka pengadilan. Dia mesti dihukum supaya menjadi pengajaran kepada orang lain nanti.” Petah Rabi’ah menjelaskan keadaan kepada orang ramai.

Rabi’ah meronta-ronta. Dengan penuh kemarahan dia menjerit sekali lagi. Kali ini dengan nada yang lebih tegas.

“Sesungguhnya ini adalah suatu tragedi. Belum pernah berlaku seumpama ini sama ada pada zaman Islam mahupun pada zaman jahiliyyah,” tegas Rabi’ah.

“Lepaskan aku! Biar aku sendiri menuntut bela… Aku nampak kamu semua seolah-olah tidak bertanggungjawab, teragak-agak pula untuk menegakkan kebenaran,” tambah Rabi’ah lagi.

Orang ramai semakin runsing. Apa yang harus mereka lakukan pada saat-saat begitu. Jelas kelihatan muka kedua-dua orang yang bertelagah itu merah bernyala. Masing-masing seperti singa lapar. Bersiap sedia menerkam mangsanya.

“Al-Imam Malik… Imam Malik datang.” Kedengaran satu suara menyebut nama Imam Malik.

Kelihatan di sebalik cahaya yang samar-samar, muncul Imam Malik B. Anas, Syeikh Madinah Al-Munawwarah pada ketika itu. Orang ramai yang berkerumun membuka laluan kepada ulama besar tersebut.

Sebaik sahaja Imam Malik tiba, keadaan menjadi sunyi sepi. Semua terbungkam tanpa bersuara. Di dalam hati, mereka berharap supaya Imam Malik menyebelahi mereka dan menghukum lawannya. Masing-masing berfikir mencari hujah untuk membela diri.

“Hai penjahat! Kamu telah merempuh masuk ke dalam rumahku. Adakah kamu tidak berasa malu dengan tindakanmu menceroboh rumah orang lain?!” Rabi’ah bersuara memecah kesunyian.

“Hai musuh Allah! Kamulah yang telah menceroboh ke dalam rumah isteriku.” Lelaki itu pula bersuara marah.

Orang ramai yang berada di situ berdiam diri. Mereka menghormati Imam Malik yang sedang menghakimi kes tersebut dengan teliti. Rabi’ah adalah guru kepada Imam Malik. Namun begitu, pada saat-saat genting sebegini dia mestilah berlaku adil. Sebagai seorang hakim, dia mesti mencari kebenaran. Tidak ada pilih bulu di dalam hal ini, meski dia seorang guru atau bukan. Siapa yang bersalah mestilah dijatuhkan hukuman. Dia mesti amanah terhadap ilmu yang dimiliki.

Daripada cerita gurunya, Rabi’ah, ternyata orang tua itu yang bersalah. Dia menceroboh masuk ke dalam rumah gurunya itu pada waktu tengah malam buta di kala orang lain sedang nyenyak tidur.

“Wahai orang tua! Mengapa kamu menceroboh masuk ke dalam rumah orang pada waktu tengah malam buta begini? Tidak ada rumah lainkah untuk kamu tumpang berteduh?” Kata-kata Imam Malik mengejutkannya. Persis halilintar yang meragut jantungnya. Harapannya agar Imam Malik menyebelahinya punah.

“Hinggakan kamu syeikh yang mulia sanggup menuduh aku dengan tuduhan yang sama. Kenapa kamu menuduh aku? Sedangkan rumah ini milikku.”

Lelaki tua itu tenggelam punca. Hatinya merungut menyatakan bahawa rumah itu adalah rumahnya. Sudah satu perempat kurun dia memiliki rumah itu, tetapi hari ini haknya telah dinafikan.

3.SEBUAH PERTEMUAN

“Aku Farukh, pemilik rumah ini. Aku adalah wali kepada keluarga Al-Munkadir. Cucu-cicit kaum Quraisy.” Orang tua itu bersuara lagi.

“Wahai anak cucu Quraisy! Sudah tiadakah orang yang cerdik dalam kalangan kamu untuk menjadi saksi yang benar?”

“Farukh…Farukh mana pula? Ini rumah Rabi’ah. Dia mempusakainya dari datuk neneknya dahulu.” Kedengaran satu suara menempelak orang tua itu.

Orang ramai menolak dakwaan bahawa orang tua itu berasal dari keluarga Al-Munkadir, keturunan anak cucu Quraisy. Berpuluh-puluh tahun mereka hidup, tidak pernah mereka melihat wajah orang tua itu. Masing-masing berasa sangsi. Munasabahkah Farukh ini tinggal di rumah tersebut sejak satu perempat kurun yang lalu? Ataupun inikah Farukh yang sebenar, yang telah kembali setelah menghilangkan diri sejak bertahun-tahun lamanya?

“Akulah Farukh, apakah kamu semua sudah lupa?” Lelaki itu menjerit seolah-olah memohon belas simpati.

Ibu Rabi’ah yang berada di dalam rumah telah terjaga daripada tidurnya. Dia seperti kenal akan suara tadi. Dia cuba mengingati kembali perkataan yang didengarinya itu. Tiba-tiba hatinya berasa sayu. Dia melangkah keluar dari muka pintu. Kelihatan di luar rumah ramai jiran-jirannya berkerumun. Melalui sinaran cahaya yang malap, matanya tersambar ke arah satu susuk badan yang amat dikenalinya. Dia kenal lelaki itu. Tetapi 20 tahun yang lalu mereka telah berpisah.

“Farukh, kau sudah pulang,” ujar ibu Rabi’ah kepada lelaki tua tersebut. Hatinya segar-bugar. Kegembiraan jelas terpancar di sebalik kulitnya yang sudah tua. Suaminya yang dinanti selama ini telah pulang. Dia begitu rindu, rindu kepada suaminya. Sudah 20 tahun mereka berpisah. Seruan jihad lebih memerlukan suaminya. Dia merelakan pemergian suaminya ke medan jihad meskipun pada ketika itu dia dalam keadaan sarat mengandungkan Rabi’ah.

Orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut tercengang dengan peristiwa yang berlaku. Mereka berpandangan sesama sendiri dan tertanya-tanya siapakah Farukh.

“Farukh ini adalah suamiku dan bapa kepada Rabi’ah.” Ibu itu bersuara merungkai kekusutan yang timbul.

“Farukh, ini anakmu Rabi’ah. Masih ingatkah engkau? Sewaktu engkau berangkat ke medan jihad dahulu dia masih di dalam kandungan,” tambah ibu Rabi’ah.

Dengan nada penuh bersemangat, ibu Rabi’ah bersuara lagi.

“Wahai saudara-saudaraku! Lepaskanlah dia. Sesungguhnya dia adalah suamiku dan bapa kepada Rabi’ah.”

Semua hadirin terpacak kaku, bagaikan darah membeku. Tenaga untuk bergerak seolah-olah diragut sehingga tidak terdaya beralih dari tempat masing-masing. Biji mata mereka mengelih ke kanan dan ke kiri. Mungkin mereka terkejut dengan penjelasan ibu Rabi’ah sebentar tadi.

Dengan pantas, Rabi’ah meluru memeluk erat bapanya. Dia terlalu gembira. Sejak dilahirkan sehingga kini, belum pernah dia menatap wajah bapanya. Masing-masing mengalirkan air mata tanda kegembiraan.

Tangan berpeluk-pelukan,

Tengkuk keduanya bertaut erat,

Dan kucupan demi kucupan,

Jelas kedengaran……

Ibu Rabi’ah segera menghampiri bapa dan anak yang sedang berpelukan itu. Dia lantas memeluk kedua-duanya. Kerinduan yang terbuku di hatinya selama ini telah dilepaskan.

Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu turut sama meraikannya. Ada yang menangis terharu. Suatu pertemuan yang cukup tragis. Andai kata tidak muncul ibu Rabi’ah, sudah tentu mereka akan menghukum orang yang tidak bersalah.

Beberapa orang tua yang masih hidup masih mengingati Farukh. Mereka mengimbas kembali peristiwa dua puluh lapan tahun yang lalu. Farukh merupakan seorang pemuda yang tinggal sendirian di rumah itu. Hidupnya keseorangan. Di kala itu juga timbul keinginan di hatinya untuk mencari seorang isteri yang dapat mendidik anak-anaknya kelak. Dia mahu melahirkan generasi yang dapat berbakti kepada agama.

Bukan rupawan yang dicarinya. Dan bukan hartawan menjadi keutamaan. Dia juga tidak menentukan keturunan yang mulia untuk menjadi isterinya. Tetapi jiwa anak muda itu hanya mahukan wanita yang beragama. Beramal dengan ajaran Islam. Dia berpegang teguh kepada hadis Nabi SAW:

“Janganlah kamu mengahwini wanita itu kerana paras rupanya yang menawan, mungkin paras rupa itu membawa kehancuran. Janganlah kamu kahwini wanita kerana hartanya, berkemungkinan harta itu membawa kezaliman. Tetapi kahwinilah wanita kerana agamanya.”

"Sungguh bahagia Farukh. Allah telah mengurniakan kepadanya isteri yang solehah. Wanita yang alim, beramal dengan ilmunya dan berakhlak mulia. Rupa parasnya tidak kurang cantiknya. Akalnya cerdik. Bersusah payah membesarkan anak seorang diri di kala Farukh ke medan juang," desis hati salah seorang daripada orang tua yang mengenali Farukh tadi.

4.SAHUT CABARAN

Orang ramai telah beransur pulang. Imam Malik juga turut sama pulang selepas bersalam dengan gurunya serta bapa kepada gurunya. Mereka pulang awal bagi membiarkan Farukh melepaskan kerinduan kepada ahli keluarganya.

Ketiga-tiga beranak tersebut masuk ke dalam rumah. Air mata bercucuran membasahi pipi masing-masing. Terasa kesal di hati Rabi’ah kerana telah munuduh bapanya seorang penceroboh. Tetapi bukan salahnya. Sejak dari kecil, tidak pernah tergambar di kotak fikirannya akan raut wajah bapanya.

Masing-masing senyap. Tiada siapa yang mula bersuara. Esakan sudah tidak berbunyi lagi. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa air mata kegembiraan.

Tiba-tiba esakan ibu Rabi’ah memecahkan kesunyian. Air matanya mula mengalir deras. Kenangan masa lampau kembali berputar di fikirannya.

Si ibu tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Allah SWT telah mengurniakan anak lelaki kepadanya. Dia melahirkan anak di kala suaminya berjuang di medan jihad. Menahan kesakitan seorang diri tanpa suami di sisi. Membesarkan anaknya sehingga dewasa. Dialah ibu dan bapa kepada anak tersebut. Tetapi dia berbangga terhadap anak muda ini yang bakal menggantikan bapanya di medan jihad. Darah pahlawan yang mengalir dalam tubuh seorang bapa meresap masuk ke dalam jiwa puteranya.

Terdetik di hati Rabi’ah sejuta kesyukuran kepada Allah SWT. Sungguh ajaib apa yang berlaku. Tidak sangka wajah yang dirinduinya selama ini telah muncul dalam hidupnya.

Baginya, pertemuan ini banyak memberi pengajaran kepadanya. Sudah terbukti di dalam menyelesaikan sesuatu masalah, seorang kadi atau hakim memerlukan orang ketiga. Sesuatu masalah tidak akan selesai sekiranya hakim hanya mendengar dari mulut pihak yang bergaduh.

Meskipun takdir telah menentukan pertemuan sedemikian rupa, namun dia tetap memanjatkan kesyukuran kepada Allah di atas kepulangan ayahnya dari perbatasan jihad. Pulangnya seorang perwira pembela agama.

Di sebalik kegembiraan itu, tanpa disedari oleh Farukh, jiwa isterinya diselubungi keresahan. Sewaktu hendak berangkat ke medan perang, suaminya ada meninggalkan wang kepadanya. Sekarang suaminya sudah pulang. Sudah tentu dia akan bertanya soal wang tersebut. Sedangkan wang tersebut sudah habis digunakan. Tidak berbaki walaupun sedirham.

Rabiah mula membuka bicara. Dia meminta supaya ayahnya menceritakan segala kisah yang berlaku sepanjang berada di perbatasan. Walaupun terdetik juga di hati ibu Rabi’ah untuk mengetahui cerita tersebut, tetapi keresahan lebih menguasai dirinya. Bagi melupakan kegusaran itu, dia juga mendesak supaya suaminya menceritakan pengalaman bertempur di medan jihad. Kisah keberanian tentera Islam merempuh masuk ke Khurasan dan beberapa buah negeri lain sehinggalah berjaya menyeberangi sebatang sungai di negeri Bukhari. Dengan penuh bersemangat, bapa Rabi’ah memulakan ceritanya.

“Demi Allah! Dua puluh lapan tahun yang lalu, pada waktu dan saat begini, aku telah mempersiapkan segala kelengkapan perangku. Ketika aku melompat naik ke atas kudaku, engkaulah ibu Rabi’ah yang mengiringi dan mengucapkan selamat jalan kepadaku.” Ayah Rabi’ah menghalakan muka menatapi wajah isterinya.

“Engkau masih ingat kata-katamu kepadaku? Aku masih ingat, wahai isteriku. Engkau berkata: Pemergianmu ku doakan. Pemergianmu dalam jagaan Allah, wahai Abu Abdul Rahman. Allah merestui kamu. Semoga Dia akan mengurniakan kejayaan yang cemerlang buatmu.”

“Kata-kata itulah yang merangsang diriku untuk terus berjihad. Bisa merubah jiwaku, wahai isteriku. Aku telah berjanji untuk tidak kembali dari medan jihad selagi mana kuda yang aku tunggangi tidak menyeberangi Sungai Sikun. Sebatang sungai yang menyaksikan kematian ribuan umat Islam suatu ketika dahulu. Kemudian aku menyertai ekpedisi ketenteraan menuju ke negara Buqasi untuk membantu rakyatnya yang ditindas.” Farukh meneruskan ceritanya dengan penuh bersemangat.

“Kau sudah lupa kata-katamu dulu, wahai isteriku?” Farukh bertanya kepada isterinya. Dia memandang tepat ke dalam anak mata isterinya. Sudah lama dia tidak merenung anak mata yang cantik itu.

“Tidak…aku tidak lupa, wahai suamiku. Malahan kata-kata itu juga yang menjadi penawar jiwaku seperempat kurun yang lampau. Sesungguhnya dengan mengingati kata-kata itu, aku menjadi seorang isteri yang sabar dan cekal,” jawab ibu Rabi’ah.

“Apakah yang kamu ucapkan, wahai ibu?” Soal Rabi’ah kepada ibunya.

“Andai kamu tewas di medan perang, adakah kamu akan bertempiaran lari pulang seperti seekor anjing kurap? Terkedek-kedek ekornya. Berkejaran pulang kerana takutkan lawannya.” Ibu Rabi’ah menjawab persoalan anaknya.

“Hai! Sungguh berat rasanya untuk memikul cabaran tersebut. Andai tertewas, seekor unta yang gagah pun tidak sanggup memikulnya, kecuali orang mukmin yang berjiwa kental,” ujar Rabi’ah.

“Apakah pula jawapan ayah?” Soal Rabi’ah kepada ayahnya.

“Sejak hari itu, aku berazam kepada diriku dan bersumpah dengan nama Allah, bahawa aku tidak akan kembali selagi mana salah satu hasratku tidak tercapai. Mati di medan jihad ataupun pulang dengan kemenangan,” jawab ayah kepada anaknya.

“Sekarang ayah telah pulang sebagai perwira. Alhamdulillah, janjimu telah terlaksana,” tokok Rabi’ah.

“Adakah aku mampu untuk pulang kiranya segala hasrat belum ditunaikan? Ibumu pernah berjanji bahawa dia akan menghalau sekiranya aku pulang tanpa melaksanakan janji tersebut.” Farukh bersuara.

“Mengapa ibu mengugut ayah sedemikian rupa?”

“Tidak, wahai anakku. Aku bukan mengugutnya. Aku hanya mengingatkannya sebagaimana yang dilakukan oleh isteri-isteri para sahabat terhadap suami-suami mereka. Pernah kau dengar sirah peperangan Mu’tah? Terdapat dalam kalangan sahabat yang berundur dari medan jihad. Kemudian mereka menanti waktu malam untuk pulang ke kota Madinah. Tetapi berita ini telah sampai dahulu ke kota Madinah sebelum sampainya mereka.” Ibu Rabi’ah berhenti seketika sebelum kembali menyambung penerangannya.

“Apabila ibu-ibu mendengar anaknya pulang, isteri mendengar suaminya pulang, adik-kakak mendengar saudara lelakinya pulang, maka tatkala itu masing-masing mengunci pintu rumah. Dengan suara yang garang, mereka melafazkan kata-kata, melontarkan sindiran yang tajam supaya mereka kembali ke medan jihad. Mereka berkata:

"Pergi hai pengecut! Pergi ke tempat kamu datang. Kamu tidak ingatkah akan firman Allah SWT:

“Sesiapa yang cabut lari semasa bertempur kecualilah mereka yang mengelakkan diri daripada serangan musuh atau berundur ke markaznya, nescaya mereka itu mendapat kemurkaan Allah dan tempatnya di Neraka Jahannam dan seburuk-buruk padahnya.

(Surah Al-Anfal :Ayat 16)

"Kemudian mereka menambah lagi:

“Kenapa kamu semua lari daripada berdepan dengan tentera Rom? Kamu lari daripada maut setelah ajal tiba untuk kamu. Kamu telah membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk memperjuangkan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir, tetapi sekarang kamu melarikan diri.

“Tanpa menantikan jawapan daripada golongan lelaki tersebut, mereka terus menguncikan pintu dan tingkap rumah mereka. Apabila mereka bertemu dengan orang-orang Islam yang lain, mereka dilempar dengan pasir seraya berkata:

“Hai pengecut! Kamu lari dari medan Jihad fi sabilillah.”

"Mereka berasa malu dan akhirnya kembali berjumpa dengan Nabi. Mereka mengadukan hal tersebut kepada Nabi dengan penuh perasaan malu. Sekiranya Rasulullah SAW tidak menolong mereka, nescaya akan berlaku perbalahan sesama sendiri. Rasulullah SAW merupakan seorang yang bijaksana. Lalu Baginda menggelarkan mereka sebagai pengundur, bukannya pengecut. Kemudian Baginda meminta kepada setiap umat Islam supaya menemui mereka untuk mengatakan: Kamu adalah pengundur dan penyerang di jalan Allah.

"Kata-kata ini diucapkan untuk merangsang kembali semangat mereka yang telah luntur. Ia juga bagi mengembalikan maruah mereka dalam kalangan orang ramai."

“Apakah yang kamu ucapkan lagi, wahai ibu Rabi’ah?”

“Cukuplah dulu, wahai Abu Abdul Rahman!”

“Bukankah kamu juga berkata kepadaku: Demi Allah, tak ada lagi siapa yang memujuk kamu dengan berkata, Berundur sementara, untuk menyerang semula.

“Dan kamu menambah lagi dengan berkata: Tak siapa pun yang akan memujuk kamu dan aku pun tak akan menyebelahi kamu andainya kamu berundur dari medan perang!”

“Ya, memang benar aku katakan begitu. Aku berkata begitu bukanlah kerana mahu mengugutmu. Tetapi niatku hanya mahu melihat engkau menjadi seorang satria yang berani dan tidak takut akan mati yang sedia menantimu. Kerana berjihad di jalan Allah. Kamu tidak akan mengingatku dan aku pun tidak terasa rindu padamu. Hanya yang tinggal ialah kata-kata perangsang untukmu agar kamu terus berjuang. Usah lagi mengharapkan pujuk rayu daripadaku dan anakmu.”

“Semoga Allah memberkatimu, wahai ibu Rabi’ah. Kata-kata itulah menjadi perangsang dan bersemadi di lubuk sukma hatiku. Sehingga bukit yang tinggi melangit sanggup kudaki, sungai yang dalam sanggup kurenangi. Malahan dalam setiap kali ekpedisi ketenteraan, akulah perwira yang sentiasa berada di saf hadapan. Aku percaya, wahai ibu Rabi’ah, bahawa kamu juga mendapat pahala jihad tersebut. Walaupun pada ketika itu kamu berada di rumah.

“Kamu seorang wanita yang beriman, pasti Allah memberkatimu dengan segala kemuliaan di dunia mahupun di akhirat. Tidak mungkin kulupai, sifat keberanian yang ditunjukkan oleh Ja’afar B. Abu Talib. Begitu pantas dia menggempur lawan. Sepantas terbangnya malaikat. Sememangnya kata-kata perangsangmu itu berjaya membuatkan semangatku berkobar-kobar hingga terbayang di kotak fikiranku segala sifat yang dimiliki oleh Ja’afar B. Abu Talib itu. Tangan kanannya memegang pedang, manakala di sebelah kiri terpaut panji umat Islam. Dengan tangkas dia memacu kudanya yang berbulu kuning untuk menyerang musuh. Musuh menikam kudanya, lalu dia turun daripada kuda lantas mara ke hadapan menyerang musuh. Akhirnya beliau mencapai apa yang diidamkannya iaitu syahid. Sebelum rohnya diangkat ke syurga Firdaus, dia sempat memberi perangsang kepada sahabat-sahabat yang masih tinggal agar terus berjuang. Lalu dia bersajak:

Syabas wahai pejuang-pejuang!

Syurga datang mendekatiku

Minuman di dalamnya sejuk,

Anak Rom, Rom juga

Bencana datang melandanya

Kafir laknat, laknat juga

Hingga keturunan anak cucunya

Bersarang di tubuh badanku

Dek gara-gara tikaman mereka!

"Demi Allah, wahai ibu Rabi’ah, ada lagi kata-kata perangsang yang kau ucapkan pada hari itu. Tidak mungkin ianya dapat kupadam daripada kotak memoriku… Sesungguhnya Ja’afar B. Abu Talib telah mencapai bendera dengan tangan kanannya, lalu dipancung oleh musuh hingga putus. Disambut pula oleh tangan kirinya, lalu ianya juga dipancung. Akhirnya panji itu didakapnya dengan tangan yang kudung itu, sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kala usia baru mencecah 30 tahun, dia telah dijemput menghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan di dalamnya.”

Abu Abdul Rahman diam sejurus, sambil tangannya mengesat air mata yang mula mengalir. Kemudian dia menyambung lagi.

“Allah berkatimu, wahai ibu Rabi’ah! Kamu seperti wanita lain yang beriman, sanggup menggadai nyawa dan harta kerana berjihad di jalan Allah. Kamu seolah-olah seperti seorang wanita yang telah ikut sama pergi berjihad. Walhal kamu jauh beribu-ribu batu dari medan perang. Nescaya Allah memberkatimu.

“Sebenarnya Allah sesekali tidak menghampakan segala kebaikanmu. Ingatkah enagkau akan firman Allah yang berbunyi:

“Bahawa orang-orang yang beriman lagi beramal soleh, tidak mungkin kami sia-siakan daripada memberi ganjaran kepada mereka yang berbuat baik.”

(Surah Al-Kahfi: Ayat 30)

Rabi’ah meninggikan suaranya sedikit seraya berkata:

“Bagaimana akan hilang pahala pasangan suami-isteri yang baru berkahwin sedangkan kedua-duanya sanggup melupakan kesenangan rumah tangga yang baru dibina kerana Allah. Si isteri sanggup melepaskan suaminya berjihad bersama-sama pahlawan lain ke Khurasan. Sesungguhnya berjuanglah selagi nyawa dikandung badan. Kerana Islam, umatnya mesti menyumbangkan tenaga. Hatta nyawa sekalipun sanggup digadai. Semangat jihad yang berkobar-kobar di jiwa tidak mungkin diredakan oleh apa-apapun. Bahkan keuzuran ataupun kemiskinan bukanlah batu penghalang untuk melaksanakan perintah jihad ini.”

Air mata kembali berlinang di kelopak mata ibu Rabi’ah. Dia kemudiannya berkata:

“Demi Allah, di atas hasrat itulah, jiwaku rasa bangga di sepanjang tahun-tahun yang berlalu.”

Manik-manik air mata terus menghujani wajah ibu tua itu, seraya anaknya bertanya:

“Kamu hendak menangis lagi, wahai ibu?” Lalu dia menyambung lagi.

“Sesungguhnya selama 27 tahun aku di sampingmu. Engkau membesarkan dan mendidik aku. Setitik pun aku tidak pernah melihat air matamu tumpah ke bumi. Wajah tidak pernah muram, malahan senyum manis sentiasa terukir di bibirmu.”

“Hari ini, aku sudah tidak berdaya lagi menahannya, duhai anakku. Perasaanku tidak boleh dikawal lagi. Setelah aku rasakan tugasku sudah selesai, segala kesabaranku selama ini telah hilang. Dulu aku dapat jadikan diriku sebagai seorang tentera. Tentera yang meniupkan semangat kepada ayahmu semoga dia terus berkobar-kobar semangatnya di medan jihad. Dengan kurniaan Allah, hari ini tugasku telah diselesaikan. Segala hasratku telah tercapai, wahai anakku.”

Setelah menarik nafas panjang, ibu Rabi’ah menyambung lagi kata-katanya.

“Sekarang segala kewajipanku telah selesai. Bapamu telah pulang dari medan jihad, dan usianya pun sudah menjangkau ke angka 60-an. Kesedihan perpisahan yang begitu lama ini tidak dapat lagi kubendung. Segala yang kupendam selama ini perlu kuluahkan pada hari ini. Jiwaku tidak lagi mampu menanggungnya,” ujar ibu Rabi’ah.

“Aku tidak berdaya lagi. Kesabaranku telah tidak dapat dibendung lagi. Pada masa-masa yang lampau, sememangnya aku tahan segala keperitan dan kesengsaraan yang melanda kalbuku. Biarlah aku menangis. Moga tangisan ini dapat menghibur hati yang sedih selama ini.”

Si ibu tenggelam dalam sedu sedannya. Mukanya disembam ke dada suaminya. Farukh memeluk isterinya dengan penuh kasih sayang. Terasa kehangatan tubuh yang selama ini ditinggalkan begitu lama. Dia membiarkan sahaja air mata isterinya membasahi dadanya itu. Biarlah isterinya menangis sepuas hati, melepaskan rasa rindu yang selama ini ditahannya. 28 tahun merupakan suatu tempoh yang cukup menyiksakan. Sungguh tabah ibu Rabi’ah.

Rabi’ah terpegun sejenak. Kelihatan manik-manik jernih mula bertakung di dalam anak matanya. Tetapi ditahannya air mata yang hendak mengalir itu. Dia terpinga-pinga melihat reaksi kedua-dua orang tuanya. Dia sendiri tidak tahu apakah yang patut dia lakukan. Apakah yang harus dikatakannya pada saat-saat begini? Lidahnya kelu. Akhirnya manik-manik jernih turut terjurai daripada kelopak anak matanya. Dia turut sama merasai kesedihan kedua-dua ibu bapanya.

Dia tidak tahu mengapa dia harus menangis. Tetapi dia juga tidak tahu apakah yang patut dilakukan selain daripada menitiskan air mata. Kerana itulah jalan terakhir untuk mereka.

Air mata Rabi’ah sudah kering. Kesedihan yang dirasainya kini tidak lagi ditonjolkan dengan air mata. Dia cuba meredakan suasana. Pada saat itu, dia menasihati kedua-dua ibu bapanya supaya tidur terlebih dahulu bagi menghilangkan rasa penat masing-masing. Harapannya apabila mereka bangun daripada tidur nanti, hati mereka akan kembali tenang. Tanpa sepatah perkataan pun, masing-masing menuju ke tempat tidur.

Walaupun dari segi zahirnya mereka ternyata telah meletakkan kepala di atas bantal, tetapi mata mereka sukar untuk dipejamkan. Masing-masing masih memikirkan beberapa masalah yang menari-nari di fikiran. Bagi mereka, titik penyelesaian perlu dicari segera.

Di kala itu, ibu Rabi’ah terkenang amanah suaminya sebelum ke medan jihad. Suaminya ada meninggalkan wang sebanyak 30 ribu dinar. Hal inilah yang menyempitkan dadanya kini. Apa yang perlu dijawab andai suaminya bertanya tentang peninggalan tersebut pada esok hari?

Adakah dia akan mengatakan bahawa wang tersebut telah digunakan untuk membeli barang keperluan dapur? Sungguh mustahil wang sebegitu banyak boleh dihabiskan untuk membeli keperluan dapur. Jika sekiranya diberitahu bahawa wang itu telah dicuri, sudah tentu dia tidak sanggup menipu suaminya. Tidak mungkin wang itu digunakan untuk mereka dua beranak sahaja. Dia bukannya seorang yang pemboros, suka akan kemewahan.

Suaminya tentu tidak percaya sama sekali. Belum pernah ada seorang isteri yang sanggup menghabiskan wang sebegitu banyak semasa ketiadaan suaminya. Apakah yang dia harus lakukan? Apa yang harus diperkatakan di hadapan suaminya nanti? Fikirannya berserabut. Mindanya terus berpusing mencari jawapan sehingga tiba fajar siddiq.

Manakala Farukh pula, sebaik sahaja meletakkan kepala ke atas bantal, hatinya merasakan begitu puas kerana telah bejaya menyelesaikan seruan jihad. Pada usia yang sudah melewati 60 tahun ini, wajarlah dia berehat di rumah.Wang simpanannya sebelum ke medan jihad sudah mencukupi untuk menanggung kehidupannya hingga ke akhir hayat.

Dia tidak lagi tamak pada harta rampasan perang. Semuanya diberikan kepada mereka yang lebih berhajat berbanding dirinya. Biarlah mereka juga gembira bersama keluarga mereka. Hatinya sudah melupakan soal wang ringgit. Sememangnya dia tidak lagi teringat kepada kebendaan.

Tujuannya ke medan perang semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Tidak terlintas di fikirannya untuk mencari dunia yang fana ini. Semuanya kerana cintakan Allah dan Rasulnya. Hasratnya telah tercapai. Sekarang dia tidak memerlukan apa-apa lagi. Dia hanya ingin memulakan hidup baru bersama isterinya berbekalkan wang peninggalannya dahulu.

Sudah cukup dengan redha Allah yang dibawa pulang. Biarlah sahabat-sahabatnya yang lain membawa pulang dirham dan dinar. Dia sudah berpuas hati. Puas dengan kurniaan Allah kepadanya.

Terlintas juga di hati untuk bertanya mengenai wang tersebut kepada isterinya. Sudah berapa banyak yang digunakan? Berapa lagi baki yang tinggal? Dengan wang itu, tahulah dia bagaimana untuk menyusun kerja buatnya kelak. Dia yakin isterinya seorang yang amanah. Tidak boros berbelanja. Isteri yang dikenalinya ini cukup taat akan perintah Allah. Sekiranya Rabi’ah bekerja, sudah tentu wangnya juga bertambah. Jika digunakan suku daripada wang tersebut pun sudah dikira cukup banyak. Terbayang di matanya wang yang begitu banyak. Sungguh kagum dengan emas-emas yang bersinar itu. Fikirannya terus merewang hingga meniti waktu subuh.

Rabi’ah pula terus melakukan sujud syukur menyembah Allah SWT. Dia bersyukur kerana bapanya telah pulang. Sujudnya begitu lama. Dia mengharapkan kepulangan bapanya dengan redha Allah. Lidahnya tidak berhenti-henti memuji Allah SWT sehingga kedengaran azan subuh dari Masjid Nabi.

Sebelum selesai bilal melaungkan azan, Rabi’ah sudah bersiap sedia untuk bergerak ke masjid. Dia bergerak secara perlahan-lahan bagi mengelakkan ibu bapanya terjaga. Biarlah mereka berehat seketika.

5.WANG DINAR

Farukh dan isterinya bangun untuk menyahut seruan muazzin. Di kala bapanya bangun, Rabi’ah sudah pun meninggalkan rumahnya untuk ke masjid. Farukh juga bersiap-siap untuk ke masjid. Tetapi di hatinya masih tertanya-tanya berkenaan wang yang ditinggalkan dahulu. Sengaja dilambatkan persiapannya bagi membolehkannya bertanyakan hal tersebut kepada isterinya. Itulah saat-saat yang ditunggu. Anaknya telah ke masjid.

Ibu Rabi’ah pula memikirkan jalan untuk mengelak daripada ditanya berkenaan persoalan tersebut. Dia menyuruh agar suaminya segera ke Masjid Nabawi supaya tidak terlepas solat subuh berjemaah. Masjid yang penuh dengan keberkatan. Pahala solat satu rakaat di dalamnya, samalah seperti seribu rakaat di tempat lain. Inilah masjid yang dituntut supaya diziarahi oleh umat Islam selain daripada Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa.

“Wahai isteriku, jiwaku resah. Ingin aku bertanya padamu satu soalan. Aku berharap engkau dapat memberi ketenangan kepadaku, nescaya Allah juga akan memberikannya juga kepadamu,” ujar Farukh kepada isterinya.

“Apa yang kau runsingkan, wahai suamiku?”

“Apakah yang kamu buat dengan wang yang aku tinggalkan sebelum pergi berjihad dahulu? Adakah ia tersimpan dengan selamat di sisimu?”

Ibu Rabi’ah menjadi gusar. Dia merasakan bumi seperti berputar-putar. Kedua-dua belah kakinya seolah-olah tidak mampu lagi untuk menanggung bebanan berat badannya. Tapi dia gagahi. Dia bertahan, jiwanya sekental besi waja. Tidak mudah kalah pada cabaran.

“Wang itu masih ada dalam simpananku,” ujar ibu Rabi’ah.

Pada sangkaannya, dia dapat mengalihkan pertanyaan suaminya tersebut. Biarlah suaminya bersegera ke Masjid Nabawi, nanti tahulah dia mengaturkan langkah seterusnya.

Jawapan daripada isterinya membuatkan Farukh berasa gembira. Kegusaran yang membungkus dirinya, kini tiada lagi. Dia bersyukur, semoga dengan wang ini dia dapat mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda dan boleh membawa kepada kesenangan hingga ke akhir hayatnya. Dia memuji-muji kepandaian isterinya menjaga wang tersebut. Baginya, sungguh beruntung memliki isteri yang sedemikian rupa.

“Di mana wang itu, wahai isteriku?”

“Usah gusar, suamiku. Pergilah kamu ke masjid terlebih dahulu. Aku bimbang kiranya kamu tidak semapat bertakbiratul ihram bersama-sama dengan imam. Takbir itulah yang paling awla untuk kamu awasi pada saat ini, bukannya wang itu.” Ibu Rabi’ah menasihati suaminya.

Sebenarnya jawapan itu juga sengaja diberi bagi melepaskan dirinya daripada terus disoal oleh suaminya. Semua wang telah habis digunakan. Bagaimana dia hendak menjelaskan kepada suaminya?

Kelihatan wajah Farukh merah padam menahan malu dengan jawapan yang diberikan oleh isterinya. Silap dia juga kerana tergesa-gesa mahu melihat wang itu, sedangkan dia tahu kewajipannya menunaikan solat perlu lebih diutamakan.

“Bertenanglah, wahai Abu Abdul Rahman. Wang tersebut tidak akan hilang. Bertenanglah, aku akan keluarkannya daripada simpananku tidak lama lagi. Sekarang pergilah sembahyang dahulu.”

Setelah suaminya keluar dari pintu rumah, dia terus menyumpah-nyumpah dirinya. Kenapa dia harus menipu kepada suaminya? Dia cuba meleraikan badai yang mengamuk di jiwa. Tadi dia terlalu gentar, sehingga menyebabkan terpacul jawapan spontan kepada suaminya.

Ibu Rabi’ah terkenangkan kembali zaman lampau. Sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang ibu untuk memberi pelajaran kepada anaknya. Dia mahu melihat Rabi’ah menjadi orang yang alim. Dalam mencapai cita-citanya itu, dia telah membelanjakan kesemua harta yang ditinggalkan suaminya. Dia berfikir sendirian. Kenapa sampai begitu sekali? Kenapa dia tidak memikirkan natijah yang bakal menimpa sebaik sahaja suaminya pulang dari medan jihad?

Namun begitu, dia merasa puas. Dia telah menjadikan Rabi’ah seorang yang berilmu. Dia telah meyahut seruan Baginda SAW:

“Menuntut ilmu itu satu kewajipan ke atas setiap Muslimin dan Muslimat.”

Dia juga telah berjaya meninggikan status Rabi’ah di sisi Allah SWT. Malaikat juga berdoa kepada golongan yang menuntut ilmu. Bahkan semua makhluk, sama ada di langit atau di bumi mendoakan mereka agar dikurniakan jannah. Dia masih ingat sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang keluar menuntut ilmu, pasti Allah akan memudahkan baginya jalan untuk menuju ke syurga... Di samping itu, malaikat juga akan menghamparkan sayapnya untuk menaungi mereka kerana malaikat suka kepada orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya semua makhluk sama ada di langit atau di bumi, semuanya mendoakan mereka. Hatta ikan di laut sekalipun turut serta mendoakan mereka.

Orang alim yang beramal sudah tentu lebih baik daripada mereka yang beribadat sahaja, umpama cahaya bulan purnama, masakan dapat ditandingi oleh cahaya-cahaya bintang yang lain. Sebenarnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya Nabi-nabi tidak meninggalkan sedinar atau sedirham pun. Yang ditinggalkan mereka ialah ilmu. Maka, sesiapa yang mempelajari ilmu, sudah tentu dialah yang paling beruntung.”

Begitulah sikap ibu Rabi’ah. Sanggup membelanjakan harta yang banyak semata-mata mahu menjadikan anaknya seorang yang alim dan diredhai Allah. Dia merasakan telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang sempurna. Semua wang digunakan bagi membolehkan anaknya mempusakai tinggalan Rasulullah SAW. Baginda tidak meninggalkan harta untuk ditagih oleh umatnya. Tetapi ilmu yang beguna untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Pada suatu hari, Abu Hurairah R.A. berjalan-jalan di pasar kota Madinah. Kemudian dia menyeru kepada orang ramai dengan suara yang lantang, katanya:

“Wahai orang-orang di pasar! Malas sungguh kamu ini.”

“Kenapa kamu katakan kami malas, wahai Abu Hurairah?” Tanya salah seorang daripada mereka.

“Di sana pusaka tinggalan Rasulullah SAW sedang dibahagikan. Sedangkan kamu masih berada di sini. Kamu tidak mahu ambilkah bahagian kamu?” Tokok Abu Hurairah lagi.

“Di mana dia, wahai sahabatku?”

“Di dalam masjid.”

Mereka beramai-ramai meninggalkan pasar menuju ke masjid. Abu Hurairah pula masih tercegat di situ, sehinggalah mereka kembali ke tempat tersebut.

“Kenapa kamu balik?” Tanya Abu Hurairah.

“Wahai Abu Hurairah, kami telah masuk ke dalam masjid. Tetapi kami tidak menjumpai pun orang yang membahagikan pusaka Rasulullah seperti yang dinyatakan olehmu,” jawab mereka dalam keadaan sedikit kemarahan.

“Kamu tidak terlihat seorang pun di dalam masjid?”

“Ada, tetapi cuma orang yang beribadat. Ada yang sedang berkumpul membaca Al-Quran, ada pula yang sembahyang. Selain itu, ada juga yang sedang mempelajari hukum-hakam, halal dan haram,” ujar mereka lagi.

“Apakah kamu tidak sedar? Itulah pusaka yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW.”

Segala kata-kata Abu Hurairah itu sentiasa bersemarak di jiwa ibu Rabi’ah. Takkan luput di hatinya. Hanya kerana cintakan Rasulullah SAW, maka dia akan berusaha sedaya mungkin dengan kemampuan yang ada untuk mewariskan pusaka peninggalan Rasulullah SAW kepada zuriatnya yang tunggal itu.

Dia jua berpegang kepada kata-kata yang dituturkan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah. Khalifah Islam yang keempat. Menantu kepada Rasulullah SAW, dan suami kepada Saidatina Fatimah.

“Wahai ibu-ibu yang kuhormati! Percayalah, ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta. Sudahkah kamu lupa kata-kataku kepada Kumail? Wahai Kumail, ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu dapat menjaga diri kamu, di samping kamu menjaga harta. Ilmu pengetahuan dengan harta bagaikan pemerintah dengan rakyatnya. Harta semakin digunakan semakin habis, manakala ilmu semakin diamal semakin bertambah.” Terngiang-ngiang kata-kata itu di kotak fikirannya.

Seruan Saidina Ali telah ditunaikannya. Baginya, kedudukan orang alim adalah lebih mulia daripada abid yang hanya beribadat. Teguhnya agama ini adalah kerana adanya para ulama. Kemudian dia teringat alunan nasyid yang pernah disampaikan oleh Saidina Ali.

Apalah yang hendak dibanggakan

Kecualilah orang yang berpelajaran

Hidup mereka berpedoman

Sumbangan yang besar mereka korbankan

Tinggi nilai manusia berilmu

Ilmu diamal semakin bermutu

Bahagialah kamu orang yang berilmu

Harum semerbak riwayat hidupmu!

Ibu Rabi’ah juga terkenangkan kisah seorang ahli perniagaan. Apabila anaknya berjaya menghafal surah al-Fatihah, dia menghadiahkan seribu dirham kepada guru yang mengajar anaknya. Guru itu terperanjat dengan pemberian tersebut lantas bertanya kepada anak muridnya.

“Apakah yang telah aku lakukan sehingga bapa kamu menghadiahkan aku wang sebegini banyak?” Tanya gurunya.

Si bapa tadi berjumpa dan memberi jawapan kepada guru tersebut. Dengan penuh tawadduk, dia berkata:

“Apa yang telah kamu ajarkan kepada anakku janganlah kamu anggap ianya kecil dan tidak bernilai. Demi Allah! Sekiranya aku memiliki harta yang lebih daripada ini, sudah tentu aku akan berikan lebih banyak lagi kepadamu. Semua ini kulakukan kerana menghormati Al-Quran.”

Ibu Rabi’ah merasakan dirinya terlalu kerdil berbanding ahli perniagaan tadi. Namun begitu, dia bersyukur kerana anaknya telah menjadi seorang alim yang terkemuka. Periwayat hadis yang sukar untuk ditandingi, sehingga diiktiraf sebagai cendekiawan Islam oleh Perhimpunan Ulama. Apakah dia tidak merasa bangga?

Sebagai bukti kealiman anaknya itu, maka anaknya telah menjadi guru kepada Imam Malik. Di samping menjadi periwayat hadis, dia juga merupakan seorang yang pakar dalam bidang Fiqh. Dengan kemuliaan yang sebegini besar, hatinya sudah berasa puas. Anak seperti ini lebih mahal harganya daripada wang 30 ribu dinar.

6.CALON IDAMAN

Farukh melangkahkan kakinya ke dalam masjid. Dia tiba agak terlewat, namun tetap membolehkannya berjemaah bersama imam pertama.

Seusai solat Subuh, dia berzikir perlahan. Terbayang di kepalanya kenangan 20 tahun yang lampau. Dia seringkali berulang-alik ke masjid ini, dan berjaya mengisi saf yang paling hadapan.

Dia masih ingat, suatu hari ketika berada di cerobong hijau, di hadapan makam Nabi. Di sini jugalah timbul azamnya untuk mendirikan rumahtangga. Dia berfikir sendirian. Sekiranya Baginda tidak menggalakkan orang muda berkahwin, sudah tentu dia tidak menyahut seruan itu. Tetapi Baginda sangat menggalakkan agar orang muda berkahwin. Sabda Baginda:

“Wahai golongan belia! Sesiapa di kalangan kamu yang sudah berkemampuan, eloklah dia berkahwin. Kerana berkahwin itu boleh menjamin seseorang daripada terjebak ke lembah maksiat.”

Justeru, sampaikah hatiku untuk melanggar suruhanmu? Aku juga insan biasa yang punyai jiwa dan perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Sudah menjadi kebiasaan pada umur belia remaja untuk berkasihan antara lelaki dan wanita. Maka Islam telah memberi jalan keluar melalui ikatan perkahwinan.

Memang benar keteranganmu, duhai Nabi akhir zaman:

“Tiga orang lelaki yang pasti Allah akan memberi perlindungan kepada mereka (1)Hamba yang Muslim, yang mempunyai cita-cita untuk membebaskan dirinya. (2)Orang yang ingin berkahwin semata-mata untuk menghindarkan diri daripada terjerumus ke lembah maksiat. (3)Orang yang berjihad di jalan Allah.”

Sungguh besar pahala orang yang berkahwin sehingga diberi pahala seperti berjihad di jalan Allah. Kau telah kurniakan aku isteri yang solehah. Isteri yang sanggup berkorban semata-mata mahu melihat Islam berada di atas.

Alangkah sempurnanya undang-undang-Mu, ya Allah. Perkahwinan ini jugalah yang menghindarkan seseorang itu daripada terjerumus ke lembah maksiat. Lantaran itu, maka aku telah melaksanakan sebahagian daripada tuntutan agama.

“Apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya. Maka, hendaklah dia bertaqwa kepada Allah bagi sebahagian yang masih tinggal.”

Sungguh indah risalah Allah yang tunggal ini. Segala yang berkaitan naluri manusia telah pun tercatat di dalamnya.

“Dunia ini bagaikan perhiasan. Sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.”

Inilah hebatnya Islam. Menghargai perhubungan lelaki dan wanita. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

“……wanita itu pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian untuk mereka…”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 187)

Alangkah indahnya ayat ini, suatu ayat yang menggambarkan keindahan rumah tangga. Walaupun pendek, tetapi mempunyai maksud yang amat mendalam. Gambaran perihal hubungan jasad dan jiwa manusia di dalam satu masa yang sama. Pakaian amat penting di dalam kehidupan manusia, untuk menutup anggota badannya daripada dilihat oleh orang lain. Ada ketikanya manusia tidak berhajat lagi kepada apa-apa jenis fesyen pakaian. Setelah suami isteri berada dalam dakapan, maka dua jasad ini telah menjadi satu, dua hati telah menjadi sejiwa. Di saat ini, segala perasaan segan silu telah hilang sama sekali. Kedua-dua tubuh yang bertaut erat ini bagaikan balutan pakaian di anggota badan. Saling memerlukan dan menyayangi antara satu sama lain.

Farukh cuba menghampiri bilik Nabi SAW. Mukanya hampir tertampan tingkap yang menghala ke tempat tinggal Nabi Alaihissalam. Hati kecilnya berkata, memang benar inilah risalah yang menjamin kebahagiaan masyarakat sarwajagat, andai masyarakat tersebut menjadikan seruan ini sebagai pedoman.

Bukankah Allah SWT juga telah berfirman:

“Sesungguhnya Kami utuskan kamu (yakni Muhammad) adalah untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam.”

(Al-Anbiya : ayat 107)

Kehadirannya membawa perubahan yang begitu besar. Polisi wanita bukannya hanya kepada rupa paras yang cantik, harta yang bertimbun dan keturunan yang mulia. Tetapi aqidah dan keimanan yang jitu kepada Allah SWT merupakan pilihan utama. Sabda Baginda:

“Kahwinilah wanita kerana 4 perkara, kerana hartanya, keturunannya, agamanya dan paras rupanya. Tetapi utamakanlah yang beragama. Mudah-mudahan hidupmu diberkati.”

Farukh melayan fikirannya. Sesungguhnya dia memilih isterinya bukan kerana kecantikan, harta atau keturunan, tetapi kerana agama yang dimilikinya. Namun, tidak dinafikan, isterinya sememangnya seorang yang cantik, berharta, malah berketurunan baik-baik. Pendek kata, mencukupi syarat sebagai seorang isteri yang sempurna di matanya. Menjadi penenang jiwa di kala duka dan lara. Firman Allah SWT:

“Antara tanda-tanda (kebesaran-Nya), kami menciptakan kamu berpasang-pasangan (suami dan isteri) daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram dengannya. Dan dijadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.”

(Surah Ar-Rum : Ayat 21)

Aku mahukan isteriku seorang yang beragama. Jika aku melihat kepadanya, hatiku menjadi tenang dan suka. Jika aku keluar menjalankan tugas, dia sentiasa menyimpan rahsiaku. Dia menjaga maruah sepanjang hidup kami bersama. Inilah keistimewaan yang dicari oleh setiap manusia, pada masa hidup ini, setelah mentaati suruhan Allah. Bukankah Baginda pernah bersabda:

“Alangkah bergunanya seorang mukmin itu, setelah dia mentaati Allah SWT, sebaik-baik baginya pula ialah seorang isteri yang solehah, patuh kepada suami jika disuruh, pandai mengambil hati suami. Taat kepada sumpah setia, menjaga moral dan kehormatan dirinya, juga harta suaminya ketika suaminya keluar menjalankan tugas.”

Aku mahukan pasangan hidupku yang beriman di samping mampu menjadi ibu yang mithali kepada anak-anakku. Selain memberi susuan kepada jasmani, dia juga mampu memberi santapan rohani. Menyemai pada diri anak-anakku sifat tawakkal dan taqwa serta membesarkan mereka mengikut dasar-dasar Islam dan keimanan. Mendidik mereka dengan akhlak yang mulia, sehinggalah anakku ini menjadi anggota masyarakat yang berguna. Sanggup menjadi sukarelawan untuk mempertahankan Islam yang tercinta.

Farukh masih terbayangkan segala peristiwa yang telah lalu, apabila sahaja matanya terpandang kesan peninggalan Rasulullah SAW. Hatinya mula merintih seolah-olah dia sedang berhadapan dengan Baginda Nabi akhir zaman. Hatinya mula memberi taat setia, katanya:

“Inilah aku, wahai Rasulullah SAW, aku korbankan sekadar kemampuanku, dengan memilih seorang wanita yang beriman kerana menyahut seruanmu yang mulia itu:

“Pilihlah untuk zuriat kamu semua, kerana sesungguhnya wanita akan melahirkan anak seimbas saudara-maranya.”

Inilah aku, wahai Rasulullah SAW. Aku dirikan rumah tangga untuk mendapat keredhaan Allah. Di samping itu aku berdoa semoga dikurniakan anak-anak yang soleh.

Wahai Penghulu segala Nabi! Aku berjanji akan terus berpegang dengan risalah yang kau bawa di dalam semua pekerjaanku. Sama ada kerja itu kecil atau besar.

Farukh mengalih tubuhnya ke arah kiblat. Dia mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah SWT.

“Wahai Tuhanku! Andai bakal isteriku ini boleh membantu agama dan kehidupanku serta tercapai segala matlamatku, maka berilah kemudahan kepadaku. Kemudian berilah keberkatan-Mu kepadaku kala aku di sampingnya. Andainya bakal isteriku ini boleh mendatangkan akibat buruk terhadap agama, kehidupan dan matlamat perjuanganku, maka jauhkanlah aku daripadanya. Kau jodohkanlah aku dengan wanita yang baik di mana-mana sahaja. Kemudian berilah keredhaan-Mu kepadaku kala aku di sampingnya.”

7.ANAK SOLEH

Farukh tersentak daripada lamunannya. Baru dia sedar, rupa-rupanya dia berada di dalam satu majlis ilmu yang dihadiri oleh ramai orang. Kelihatan para alim ulama dan pemimpin besar di sekitar Madinah turut berada di situ. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Kelihatan para hadirin khusyuk mendengar syarahan yang disampaikan oleh seorang penceramah yang dia sendiri tidak kenal.

Matanya tertancap ke arah penceramah yang berada di hadapannya. Bentuk rupa parasnya tidak begitu jelas kelihatan, disebabkan tarbusnya yang dijunam hingga menutupi bahagian dahi. Oleh itu, dia tidak dapat mengenali penceramah tersebut.

Siapakah gerangan penceramah yang begitu hebat ini? Mengapakah dia memakai tarbus sedemikian rupa? Mungkin dia mahu melahirkan sifat-sifat tawaduknya, khasnya sewaktu menyampaikan hadis Baginda Rasulullah SAW. Sewajarnya dia beradab sopan.

Tedetik di hati kecil Farukh untuk melangkah ke hadapan supaya telinganya dapat menangkap dengan lebih jelas isi yang disampaikan oleh penceramah tersebut. Boleh juga dia mendapatkan manfaat daripadanya.

Dia bangun dan memilih tempat duduk di hadapan beberapa langkah. Orang alim itu menyampaikan hadis-hadis Rasulullah SAW dengan lancar. Satu-persatu dihuraikannya dengan lengkap. Semua hadis itu dibaca dengan hafalan. Baru dia sedar bahawa ilmu dalam dada orang alim itu terlalu luas. Seluas jumantara alam buana ini. Petahnya berbicara tanpa ada tersangkut sedikit pun.

Farukh terpesona dengan gaya penyampaian orang alim tersebut. Perasaannya membuak-buak untuk terus mendengar kuliahnya. Semestinya dia seorang yang bertaqwa dan beramal soleh. Mengamalkan segala ilmu dalam dadanya. Lalu, ilmu itulah juga yang disampaikan kepada hadirin yang ramai ini. Suaranya jelas dan terang seakan-akan penerangan daripada Rasulullah SAW. Tanpa disedarinya, dia sungguh mengkagumi orang alim itu.

“Sungguh berkat orang alim ini. Kerananya, semua manusia tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, miskin atau kaya, semuanya berkumpul untuk mendengar kuliahnya. Sungguh bertuah kedua-dua ibu bapa yang melahirkannya ke dunia ini. Hai! Seandainya aku mempunyai anak seperti orang alim ini, atau imbas-imbasnya pun sudah cukup bertuah bagiku. Apabila aku mati kelak sudah tentu mataku terpejam rapat. Ada juga pusaka yang aku simpan di dunia ini. Dapat tinggalkan anak yang beramal soleh. Harta apakah yang paling berguna melainkan anak soleh yang mampu mendoakan aku kala jasadku sudah disemadikan di dalam kubur? Sabda Baginda SAW:

“Apabila mati anak Adam, maka terhentilah segala amal ibadatnya, kecuali 3 perkara yang tidak putus-putus. Sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa berdoa untuknya.”

Dia merasakan dirinya bagaikan terlepas daripada keistimewaan ini. Akan tetapi, dia teringatkan anaknya Rabi’ah. Dia cuba membuat perbandingan di antara pemuda alim ini dengan anaknya. Boleh jadi anaknya juga seorang yang berpelajaran. Mudah-mudahan rapatlah matanya apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir nanti.

Renungannya semakin jauh. Perjuangannya pada masa lampau kembali bermain di fikiran. Bagaimana dia boleh meninggalkan isterinya, sewaktu isterinya sedang sarat mengandung anak sulungnya. Dia berfikir, di antara beribadat dan berperang di jalan Allah, yang manakah lebih baik? Mujur dia teringat perdebatan di antara Al-Fudhail Al-'Iyadh dan Abdullah B Mubarak. Kedua-duanya bersetuju menyatakan bahawa jihad itu lebih utama. Pada saat itu juga, hatinya tiba-tiba mendendangkan syair yang berkumandang di medan jihad.

Wahai insan yang mengabdikan diri!

Andai kamu melihat perjuangan kami,

Amal ibadatmu bolehlah dibandingi,

Bagai anak-anak yang masih ditatangi,

Linangan air mata di pipi,

Masakan sama dengan darah yang membasahi bumi?

Atau kuda untuk permainan sendiri,

Masakan sama kuda pejuang pertiwi,

Demi menyahut seruan Nabi,

Seruan benar, tidak mungkin didustai,

Dan debu-debu yang memasuki hidung kami,

Samakah dengan api yang semarak di neraka nanti.

Majlis ilmu bubar. Namun Farukh masih tenggelam dalam lamunannya. Hanya jasadnya berada di situ, namun fikirannya masih di awang-awangan. Apabila tersedar, dia melihat orang ramai sudah mula berpusu-pusu keluar dari masjid. Dia bersalam dengan seseorang yang berada di sebelahnya. Lantas dia mengambil kesempatan itu untuk bertanya gerangan siapakah penceramah tadi.

“Siapakah gerangan penceramah muda tadi?” Soal Farukh.

Lelaki itu terperanjat sebaik sahaja diajukan persoalan sedemikian.

“Kamu tidak kenal penceramah tadi?” Lelaki itu turut menyoal Farukh. Dahinya kelihatan berkerut.

“Dia adalah seorang alim dalam bidang hadis di Madinah ini. Dia juga seorang juri yang arif dalam bidang hukum-hakam. Dia sempat berguru dengan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW, dan menimba ilmu yang banyak daripada mereka. Semua penduduk Madinah maklum tentang kealimannya. Tambahan pula, dia adalah seorang mufti di bumi Madinah ini,” terang orang itu dengan panjang lebar.

“Maafkan saya kerana tidak mengenalinya. Sudah 28 tahun saya ke medan perang, jadi tidak hairanlah sekiranya saya kurang mengenali generasi yang terkemudian,” ujar Farukh.

“Oh! Padanlah engkau tidak mengenalinya. Mari aku ceritakan tentang dirinya. Tidak sepatutnya orang seperti kamu tidak mengenali dirinya. Ayuh! kita duduk di tepi tiang sana.” Lelaki itu menawarkan diri untuk menceritakan segalanya kepada Farukh.

Setelah kedua-duanya duduk, lelaki itu memulakan ceritanya. Dia begitu bersemangat tatkala memperkatakan hal pemuda itu kepada Farukh.

“Sesungguhnya, penceramah muda yang kamu lihat tadi adalah seorang alim yang amat dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Suwar bin Abdullah sendiri mengakui bahawa dia belum pernah melihat orang yang lebih alim daripada penceramah tadi. Apabila ditanya sama ada Al-Assan dan Ibnu Sirrin boleh menandinginya, Suwar menjawab bahawa kedua-duanya pun tidak boleh menandinginya.” Lelaki itu diam seketika.

“Kau tahu? Dialah lelaki yang paling pemurah di Madinah ini. Dia sanggup menghabiskan wang yang banyak. Kira-kira 40 ribu dirham telah dihadiahkan kepada guru-gurunya, dengan tujuan supaya guru-guru itu boleh menumpukan perhatian sepenuh tenaga dan perhatian untuk mengajarnya. Ada segelintir masyarakat yang berkata kepadanya, sampai begitu sekali dia sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk mendapatkan ilmu. Tetapi dia menjawab dengan tegas, harta yang habis boleh dicari ganti. Sedangkan guru-guru yang pergi siapa pula yang akan menggantikannya?”

“Bahagia sungguh orang alim itu. Siapa namanya?” Farukh pula bersuara.

“Dahulunya dia berguru dengan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW. Kemudian dia berguru pula dengan beberapa orang alim sejak kebelakangan ini. Anas B. Malik, Sahib B. Yazid, Muhammad ibnu Yahya, Said B. Musayyab, Al-Qasim B. Muhammad, Ibnu Abi Laila, Al-‘Araj, Makhul, Handzalah B. Quis Al-Zarqi dan Abdullah B. Yazid.”

Belum sempat lelaki itu menarik nafas akibat kepenatan menyebut nama guru-guru yang terlalu panjang, Farukh segera mencelah bertanyakan nama sebenarnya. Dia berasa tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama orang muda yang alim itu. Tetapi lelaki tersebut tidak menghiraukan soalan Farukh. Dia meneruskan penerangan dengan menyebut pula nama-nama ulama yang berguru dengan penceramah itu.

“Untuk pengetahuan kamu, ramai dalam kalangan ulama datang berguru dengannya. Kamu lihat sewaktu majlis tadi? Antara yang datang ialah Yahya B. Said Al-Ansari dan saudaranya Abdul Rabbah B. Said, Sulaiman Al-Tamimi, Malik B. Anas, Al-Auza’i, Syu’bah, Sufian Al-Tsauri, Hammad B. Salmah, Al-Laith B. Saad, Falih Abdul Aziz Al-Dawardi, Sulaiman B. Bilal, Aba Dhamrah, Ismail B. Ja’afar dan beberapa orang yang lain lagi. Tadi kelihatan 40 orang bekas anak muridnya datang menjengah majlis ilmunya pada hari ini. Tidak ketinggalan juga para pembesar Madinah dan masyarakat setempat.”

“Belum pernah aku melihat seorang yang cerdik seperti pemuda ini. Hingga begitu sekali penjelasan yang diberikan oleh Yahya B. Said. Manakala Abdullah B. Umar juga mengakui bahawa pemuda ini lebih alim dan dihormati dalam kalangan kita.”

Suara lelaki tadi semakin menurun. Mungkin sebagai petunjuk bahawa dia akan mengakhiri ceritanya.

“Tidak aku nafikan dia ini kuat beribadat. Siang dan malamnya hanyalah beribadat kepada Allah sehingga menjadikannya alim seperti itu.”

“Siapakah namanya, wahai sahabatku?” Farukh bersuara lagi.

“Namanya Rabi’ah Al-Ra’yi B. Abu Abdul Rahman. Tetapi bapanya lebih dikenali sebagai Farukh. Dia masih di perbatasan Khurasan. Mungkin kamu pernah mendengar namanya. Tidak begitu, wahai saudara?” Ujar lelaki itu.

Mukanya memandang tepat ke arah lelaki tua itu. Kelihatan Farukh seolah-olah terkejut sebaik sahaja mendengar penjelasannya sebentar tadi. Dia sendiri tidak mengerti kenapa riak muka orang tua itu tiba-tiba sahaja berubah. Terdetik di hatinya, mungkin dia sedih mendengar ceritanya tadi. Sehingga air matanya bercucuran jatuh ke pipi yang berkedut. Ataupun dia gembira, kerana apa yang jelas daripada riak mukanya menunjukkan dia menangis kerana kegembiraan.

“Wahai saudaraku, kenapa engkau menangis? Apa yang sudah terjadi? Aku bertanya dengan ikhlas, beritahulah kepadaku.”

“Tidak…tidak ada apa-apa…hanya…” Kerongkong Farukh tersekat daripada bercakap dengan lebih lanjut. Cuma kelihatan manik-manik air mata mula menghujani wajahnya. Lelaki itu bertambah hairan. Dia terus mendesak supaya diterangkan mengapa dia menangis.

“Tapi kenapa kau menangis? Tolong beritahu aku. Aku ikhlas.”

Farukh berusaha untuk menjawab persoalan itu, namun dia tidak berdaya. Sebak yang terbelenggu dalam dada menyebabkan dadanya tersekat. Hanya sedu-sedan yang keluar daripada mulutnya. Dia tiada jalan lain melainkan pulang ke rumah pada saat itu juga. Dia bingkas bangun untuk pulang ke rumahnya.

Lelaki itu kehairanan. Adakah kata-katanya menyebabkan orang tua itu bersedih? Berkemungkinan Farukh yang disebutnya itu merupakan sahabat karibnya. Ataupun dia sendiri telah menyaksikan kematian Farukh di medan jihad. Hari ini dia telah menyebut kembali nama sahabatnya yang menyebabkan orang tua itu bersedih. Begitulah tafsirannya. Dalam hati, dia memarahi dirinya sendiri kerana menyebabkan orang tua itu menangis.

Sekarang lelaki itu pula mencucurkan air mata. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Dia terus merintih:

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu, wahai Farukh. Allah telah mengurniakan sesuatu yang amat bernilai kepadamu. Pemergianmu dengan meninggalkan anak yang alim lagi soleh. Usahlah kamu bimbang, tidurlah dan pejamlah matamu serapat-rapatnya. Sesungguhnya kamu telah meninggalkan satu pusaka yang amat bernilai di atas muka bumi ini.”

8.SEORANG IBU, BUKAN SEBARANGAN IBU

Farukh telah hampir sampai ke rumah. Hatinya melonjak kegembiraan. Sebolehnya dia mahu menyampaikan berita yang gembira ini kepada isterinya.

“Wahai ibu Rabi’ah! Wahai ibu Rabi’ah! Ada berita gembira buat kamu.”

“Berita apa, wahai suamiku?”

“Berita buat engkaulah, ibu Rabi’ah.”

Farukh berteleku di ambang pintu rumahnya. Satu hembusan nafas yang panjang dilepaskan, bagai baru sahaja terlepas daripada suatu bahaya maut. Kemudian dia menyambung kembali kata-katanya.

“Kita telah berjaya, wahai ibu Rabi’ah. Kita telah berhasil mendapatkan satu barang yang paling bernilai di atas muka bumi ini.”

“Apakah barangnya, wahai Abu Abdul Rahman?”

“Maksudku ialah anak yang soleh. Dia boleh berdoa untuk kita, bila mana kita telah menghembuskan nafas yang terakhir. Aku nampak anak kita itu sungguh baik, bersifat taqwa lagi berilmu pengetahuan yang tinggi. Apakah kamu belum mendengar darihal anak kita, Rabi’ah? Allah telah mengangkat martabatnya lebih daripada yang aku dugakan selama ini. Sekarang dia sungguh alim. Ucapannya tersebar luas ke seluruh tempat. Bersyukurlah kepada Allah kerana mengurniakan kita anak yang soleh. Demi Allah, jika hendak dibandingkan, seorang anak yang soleh lebih berguna daripada apa-apa harta pun yang terdapat di atas muka bumi ini.”

Inilah saat-saat yang dinantikan oleh ibu Rabi’ah. Sudah sekian lama dia memikirkan hal ini. Pada hari ini Allah telah memudahkan urusannya. Masa inilah yang paling sesuai untuk dia ceritakan hal sebenar kepada suaminya, bagai pucuk dicita ulam mendatang.

“Wahai suamiku, yang manakah kamu lebih sayangi, sama ada wang 30 ribu dinar atau pun anak kita yang kau lihat tadi?”

“Demi Allah, apa yang ada pada wang ringgit?! Anak soleh itulah pilihanku yang utama.”

Kemudian dia menambah lagi.

“Masakan harta yang tiada nilainya di sisi Allah boleh dibandingkan dengan cahaya mata kita seorang ini. Malahan pada hematku, segala sifat-sifat dan ilmu yang ada pada anak kita tiada taranya dengan harta benda dunia ini.”

Ibu Rabi’ah sudah mula berani bersuara.

“Sebenarnya wang tiga puluh ribu dinar sepeninggalan kamu dahulu telah habis aku gunakan untuk memberi pelajaran kepada anak kita.”

Hatinya puas apabila dapat menjelaskan hal sebenar kepada suaminya. Segala kekusutan yang membungkus dirinya selama ini hilang serta-merta. Hatinya berkembang mekar mendengar pujian yang melangit daripada suaminya. Pujian demi pujian dihamburkan oleh suami terhadapnya.

“Demi Allah, menghabiskan wang yang begitu banyak untuk memberi pelajaran kepada anak kita, pengorbanan ini bukanlah sia-sia namanya. Malahan Allah kurniakan kepada kita balasan pahala berlipat kali ganda. Wanita seperti engkaulah yang dikatakan sebenar-benar wanita. Engkaulah ibu yang sebenar. Hai! Andainya semua ibu seperti engkau, pandai mendidik anak-anak. Sudah tentu generasi kita yang akan datang, akan menjadi generasi yang baik. Dengan itu, tentu ada harapan yang cerah untuk mereka mengikuti jejak langkah perjuangan umat Islam yang terdahulu. Umat Islam akan menjadi satu umat yang dinamis dan bukannya umat yang pasif.

“Seorang ibu tidaklah boleh berbangga dengan anak yang ramai sahaja, apatah lagi kiranya anak-anak tersebut jahil. Sudah tentu tidak boleh dibangga-banggakan. Begitulah juga orang yang berilmu, sekiranya mereka tidak beramal dengan ilmu yang mereka perolehi, umpama pohon buah-buahan yang tidak berbuah. Seperti juga senjata, kiranya tidak pernah dikeluarkan daripada sarungnya, lambat laun berkarat jua.

“Ibu yang sebenar ialah ibu yang melahirkan anak-anaknya dan mendidik mereka dengan didikan yang sebenar, hingga mampu memimpin umat sejagat.

“Seorang ibu persis sebuah sekolah. Andai sekolah boleh mengeluarkan manusia-manusia yang terpelajar, apatah lagi seorang ibu. Dia mampu melahirkan anak-anak ke dunia ini. Oleh itu, sudah menjadi kewajipannya untuk mendidik anak-anak ini hingga menjadi manusia yang berguna terhadap agama dan umat Islam semuanya.” Farukh menjelaskan kepada isterinya dengan panjang lebar.

Lalu dengan penuh kemesraan, Farukh memegang lembut tangan isterinya. Anak matanya memandang tepat ke arah bebola mata isterinya. Mereka saling berpandangan di antara satu sama lain. Seolah-olah ada kuasa yang meresap masuk melalui pertembungan mata itu. Lalu Farukh berkata:

“Semoga Allah kurniakan kita sebaik-baik balasan, wahai ibu Rabi’ah. Kamu telah membuat satu contoh tauladan yang baik untuk ibu-ibu dan tidak ketinggalan juga buat setiap gadis yang bakal mendirikan rumah tangga kelak. Allah juga yang akan melimpahkan rahmat ke atas kita semua. Setiap pengorbanan yang telah kamu curahkan, tidak mungkin ianya akan berlalu begitu sahaja. Sudah tentu ianya mendapat penilaian yang tinggi di sisi Allah SWT dan juga daripada semua makhluk yang melata di atas muka bumi ini. Kamulah ibu…yang bukan sebarangan ibu…”

~TAMAT~

Buku Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang



Kulit ini merupakan idea yang tercetus untuk menghiasi muka hadapan buku tulisan Ust Riduan Mohamad Nor. Buku ini mengisahkan berkenaan susur galur kehidupan murabbi Tarbiah iaitu Tuah Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang. Insya Allah, buku ini akan dilancarkan bulan 6 akan datang.

Tuesday, December 4, 2012

Antara Dua Kehilangan


Pulau Batu Putih yang dimiliki oleh Singapura dalam penghakiman di ICJ pada hari Jumaat 23 Mei 2008



Peta Singapura yang bebas daripada Malaysia sejak 9 Ogos 1965

Saya amat tertarik membaca komen-komen berkaitan dengan terlepasnya Pulau Batu Putih (Perda Blanca) kepada kerajaan Singapura. Ramai yang mengeluh apabila tanah kedaulatan bumi Malaysia seluas 0.2 hektar ini bukan lagi menjadi milik negara kita.

Saya sendiri berasa kurang senang dengan keputusan tersebut walaupun kita di anugerahkan dengan South Ledge (Terumbu Karang Selatan) dan Middle Rock (Terumbu Karang Tengah). Hal demikian kerana kedaulatan bumi yang kita diami ini sudah diganggu orang.

Tetapi yang harus diingati juga, sekiranya kita bersedih kehilangan 0.2 hektar tanah kepada Singapura, kenapa kita tidak meratapi kehilangan tanah seluas 692.7 km persegi apabila Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965. Mungkin ramai dikalangan rakyat negara kita melupai sejarah ini. Kita pernah kehilangan sebelum kehilangan ini, kedua-duanya merupakan kehilangan bermakna buat kita semua.