Monday, March 12, 2012

Perutusan Tahun Baru Cina




Limau Mandarin berona oren kemerah-merahan menghiasi ruang mata. Ke mana sahaja pergi, limau yang rasanya masam-masam manis ini pasti akan menjadi perhatian tumpuan. Kecur liur dan sungguh menggiurkan! Limau Mandarin merupakan salah satu simbol bagi kaum berbangsa Cina di seluruh dunia, khasnya sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.



Mengikut kalendar Gregory, tanggal 26 Januari 2009 yang merupakan tarikh bermakna bagi kaum berbangsa Cina adalah Tahun Lembu. Ini bermakna, perayaan besar yang disambut oleh mereka pada tahun ini adalah Tahun Lembu. Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan, yang muncul setiap 12 tahun sekitar musim sejuk untuk memburu manusia. Menurut versi-versi lain pula, raksasa ini muncul dari bawah laut. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa Raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru Cina yang pertama. Atas sebab inilah juga kita mendapat tahu mengapa setiap kali tibanya perayaan besar tersebut, mereka akan membakar mercun, memukul gendang dengan kuat dan membuat bunyi simbal yang memekakkan telinga dengan diiringi tarian singa, kerana tujuannya adalah untuk mengusir puaka jahat.




Dalam setiap agama dan kepercayaan bangsa, kaum atau suku apa pun, sesuatu perayaan lazimnya membawa maksud dan tujuan yang baik. Begitu juga dengan Tahun Baru Cina. Cuba kita lihat, beberapa hari sebelum tibanya perayaan ini, masyarakat Cina berpusu-pusu menyerbu kaunter-kaunter tiket bas dan keretapi untuk membeli tiket pulang ke kampung halaman. Malah ada yang sanggup menunggang kenderaan persendirian seperti motosikal dalam jarak beratus-ratus kilometer semata-mata untuk pulang beraya bersama keluarga. Detik-detik indah sebegini amat diharapkan oleh ibu bapa yang sekian lama memendam sunyi untuk meraikan hari bahagia bersama-sama anak-anak tersayang. Tempoh ini dipanggil “Chunyun” atau feomena balik kampung dalam istilah bahasa Melayu.



Keadaan ini pastinya akan merangsang persekitaran yang positif, seperti merapatkan jurang yang jauh, mendekatkan ikatan hati dan menghapuskan permusuhan yang terpendam. Selain itu, ia berupaya menggalakkan amalan bersedekah atau memberi melalui pemberian ang pau dan menjamu selera setiap kunjungan yang datang dengan pelbagai hidangan dan juadah yang enak-enak ketika mengadakan ‘rumah terbuka.’



Begitulah uniknya sesuatu bangsa dengan adat resamnya tersendiri. Dengan adanya adat resam dan perayaan sebegini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki rencam adat dan budaya yang melambangkan identiti majmuk rakyatnya. Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya mengambil peluang untuk menyelidiki dan mengambil tahu tentang pelbagai keunikan yang terdapat di negara ini. Ia merupakan salah satu kunci pengetahuan, bahkan tidak pula menyalahi atau melanggar prinsip agama.



Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Cina di Malaysia. Ambillah kesempatan berhari raya ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan menggembirakan keluarga anda. Gong xi fa cai! (恭喜发财)

Mohd Faisal Bin Mustaffa,
Presiden Penaja,
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).

Sunday, March 11, 2012

Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim


Sama tinggi.hehe..Doakan semoga menjadi pemimpin suatu hari nanti


Saudara Ridzuan menyerahkan surat kepada Dato' Seri Anwar

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Saturday, March 10, 2012

Blog dikemaskini

Blog ini sedang di kemaskini. Sila layari web saya buat sementara waktu:


www.faisalmustaffa.com

Sapetang Membedah "Outliers"



Alhamdulillah, petang semalam sempat bersama dengan Hilman dan Pok Jak untuk membedah buku Outliers karangan Malcom Gladwell. Di penghujung sesi membedah tersebut, datang pula Shahir untuk bersama mendengar sesi perbincangan yang kali pertama diadakan ini.

Walaupun tidak ramai warga Baitul Taubah menyahut ajakan untuk membedah buku ini, tetapi perbincangan ini tetap berjalan dengan lancar. Hilman sebagai pembedah buku ini datang dengan slide powerpoint dan LCD yang lengkap bagi menjadikan pembentangan ini lebih efektif. Terima kasih Hilman diatas kesungguhan memberikan ilmu kepada kami. Terima kasih Hilman.



Penulis buku ini juga merupakan penulis kepada 2 buah buku best seller yang lain iaitu "Tipping Point" dan "Blink". Insya Allah akan di bincangkan di dalam program bedah buku akan datang.

Di dalam perbincangan ini, terdapat beberapa idea yang diketengahkan oleh penulis yang agak menarik minat kami. Antaranya berkenaan Chris Langan yang mempunyai IQ sekitar 195, namun beliau tidak berjaya di dalam hidupnya. Berbanding Newton sebanyak 150 dan purata manusia secara kebiasaannya hanya mempunyai IQ sebanyak 100.

Insya Allah, sekiranya diberi kesempatan selepas ini saya akan cuba menghuraikan isi kandungan buku ini berbekalkan paradigma Tauhid. Hal demikian kerana, terdapat satu bahagian di mana penulis menceritakan bahawa betapa beruntungnya menjadi Yahudi di dalam kisah Joe Flom, seorang peguam yang sanggup menguruskan "hostile take overs" walaupun bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat pada ketika itu.

Tetapi saya lebih berkeyakinan bahawa, menjadi seorang Islam itu sangat beruntung. Berdasarkan hadis baginda Rasulullah SAW yang mafhumnya:

"Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan yang asing. Dan ianya akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang berada dalam keadaan asing tersebut".

Minta maaf kerana terlalu sedikit saya kongsikan. Insya Allah, di lain kelapangan saya akan huraikan dengan lebih terperinci isi pokok perbincangan kami berkenaan buku ini berserta cerita-cerita yang menarik.



Friday, March 9, 2012

PMIUM & NUSMS; Antara Dua Dunia

Bergambar bersama Nani sebelum pulang

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan National University of Singapore’s Muslim Society (NUSMS) kembali bersatu! Asalnya persatuan yang sama, tetapi terpaksa berpisah kerana Universiti Malaya (UM) Singapura berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959. Semasa UM di Singapura PMIUM mula diasaskan oleh Syed Naquib Al Attas pada tahun 1956. Agenda faham Islam yang digagaskan oleh beliau berkembang selari dengan umur PMIUM yang sudah berusia 52 tahun.


Semalam (21 Ogos 2008) pmium berkesempatan untuk berjumpa dengan seorang pimpinan baru NUSMS, Nani Iryani yang memegang jawatan Bendahari Agung. Selain saya, pimpinan PMIUM yang lain iaitu Mohd Faisal, Nik Razak, Fariza dan Aisyah turut hadir perjumpaan ini. Nani yang baru seminggu memegang jawatan Bendahari Agung datang ke Malaysia untuk menghadiri ‘Global Youth Symposium’ yang diadakan di UM.

Dalam perjumpaan tersebut banyak perkara telah dibincangkan mengenai PMIUM dan NUSMS. NUSMS yang sekarang berada bawah pimpinan Saudara Harun sedang berusaha untuk menaikkan kembali imej NUSMS dikalangan mahasiswa Islam di NUS. Situasi dan pendekatan NUSMS dan PMIUM sudah jauh berbeza, walaupun objektif faham Islam kepada mahasiswa tetap sama. Perkara ini berlaku kerana pentadbiran negara Singapura dan umat Islam di sana adalah minoriti. Beberapa perkara telah dicadangkan kepada Nani untuk meningkatkan kembali imej NUSMS di sana. Perbincangan lebih tertumpu kepada kaedah untuk mewujudkan dan memberi kesedaran Islam kepada Muslim di Singapura.

sumber: minda-mahasiswa.blogspot.com

Wednesday, March 7, 2012

Impian Tercapai Melihat Kedah dibawah kepimpinan Ulama

Dato' Seri Mahdzir Khalid selaku ketua pembangkang bersalam dengan Ustaz Azizan Abd Razak selaku menteri Besar Kedah.



Baru-baru ini saya ada menulis tentang cita-cita untuk bermenteri besar seorang agamawan. Alhamdulillah akhirnya tercapai hajat saya. Kira-kira jam 1 pagi saya mendapat sms bahawa kerajaan Islam akan dibentuk di Kedah.

Walaupun kawasan saya membuang undi berpihak kepada pembangkang (BN sebagai pembangkang di Kedah), namun begitu saya bersyukur kemenangan pakatan (Barisan Rakyat) BR berjaya membentuk kerajaan dengan kerjasama PAS dan PKR. PAS memenangi 16 kerusi, diikuti PKR 4, DAP 1 dan BEBAS 1. Manakala parti pembangkang iaitu BN hanya meraih 14 kerusi.

Tidak sia-sia kiranya, usaha yang dilakukan oleh para bloggers untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat jelata. Walaupun diasak dan diganyang lunyai oleh media utama termasuk TV dan akhbar, namun media alternatif tetap menjadi pilihan hati pengundi pada kali ini. Blog-blog dan laman web menjadi sumber maklumat sehingga menyebabkan rakyat celik daripada terus tertipu oleh kerajaan BN.

Rakyat nampaknya semakin tidak percaya kepada "suara-suara" utama kerajaan kerana banyak kekeliruan yang ditonjolkan. Saya tertarik dengan kata-kata Dr Anuar Zaini, pengerusi BERNAMA. Beliau menyatakan bahawa media-media utama seperti TV 1 & TV 3 terlalu lembab sehingga menyebabkan rakyat semakin mual. Sebagai contoh, malam pengiraan undi ketika beliau bercakap di studio TV3 masih banyak keputusan berpihak kepada kerajaan BN. Namun begitu semasa beliau keluar ke tandas, pemandunya memberitahu bahawa 5 negeri telah jatuh ke tangan Barisan Rakyat (BR).

Saya sendiri merasakan perangkap yang dipasang oleh BN tidak mengena dan memakan diri sendiri. Keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat menjadikan rakyat lebih simpati kepada pakatan BR. Hal ini kerana, jelas di fikiran rakyat bahawa SPR sendiri mahu melakukan penipuan.Aksi yang gelisah yang ditampilkan oleh Pengerusi SPR ketika pengumuman kerajaan baru BN, jelas menunjukkan beliau tidak dapat menerima kemenangan parti pembangkang.

Semoga kerajaan PAS Kedah dapat mengorak langkah untuk memimpin dengan baik. Kemenangan ini perlu diisi dengan sebaiknya kerana ianya adalah amanah Allah dan tanggungjawab kita bersama selaku Muslim.



"Tahniah Kerajaan PAS Kedah.. Syabas kepada yang bergelar YB"

Sunnah Berjuang


Dedikasi buat sahabat-sahabat semua. Cerpen ini ana siapkan pada tahun 2003 ketika mengambil SPM di SMKA Agama Kedah.Kemudian dibuat penilaian kembali ketika berada di KISAS pada tahun 2005 bertempat di Masjid Sultan Sulaiman. Ya Allah kurniakan kepada kami syahid yang abadi.

Subhanallah…Betul ke apa yang aku nampak ni?Mana mungkin teori E=Mc² Enstein yang di agung selama ini tersilap?Aku bagaikan tak percaya.Aku kembali memeriksa bacaan itu.Ya ternyata aku bukan bermimpi.Mana mungkin aku bermimpi di siang hari.Aku menarik nafas perlahan-lahan sambil hati kecilku bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.

Teori Enstain bukannya Qat’ie seperti hukum Al-Quran,mana mungkin ianya tidak boleh di sanggah.Kehebatannya selama ini pun hanya di canangkan oleh pihak barat sahaja untuk menunjukkan kehebatan tamadun mereka.Kalau hukum al-quran yang dzanni pun berubah mengikut zaman,selari dengan sifat islam yang Thabat dan Murunah,inikan pula hukum yang hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa bimbingan Illahi.Sudah tentu ada cacat dan celanya.

Tapi sekiranya hal ini benar,maknanya keamanan dunia juga semakin terancam.Kuasanya melebihi tenaga nuklear yang sedia ada.Tapi adakah aku hanya perlu berdiam diri dengan penemuan yang hebat ini.

“Dar’al Mafasad Awla Min Jilbal Masalih” ucap Ust Wan Abdullah. “Ini bermakna sekira bertembung di antara keburukan dan kebaikan, yang paling utama untuk kita ambil ialah kebaikan” tambah Ustaz Wan lagi.

Tiba-tiba di kepalaku terngiang-ngiang suara Ustaz Wan mengajar Qawaid Fiqhiah semasa berada di Tingkatan 6 di KISAS 20 tahun yang lalu.Aku termenung sendirian. Adakah dengan penemuan ini membawa kemudaratan yang lebih besar kepada dunia. Tapi kiranya dikatakan kemudaratan,apa jalan yang terbaik untuk aku lakukan untuk membela umat islam di bumi Palestin.Takkan aku hanya nak berdiam diri dikala Zionist yahudi sewenang-wenangnya mencabuli hak umat islam.Apa yang akan aku jawab kiranya ditanya di hadapan Allah kelak.

Aku termenung seketika.Memori indah ketika berada di bumi Waqafan kembali menyelubungi fikiran,kucapai majalah “The Propagate” dan ku tatap satu persatu wajah sahabat-sahabatku semasa berada di Tingkatan 6 dahulu.Dan yang paling menarik hatiku ialah gambar sahabat-sahabatku di kelas 6 An-Nasaie.

Ustaz Lah dan Ustazah Nik Mahizan khabarnya telah pulang ke Kedah selepas pencen.Bahagia sungguh mereka.Pertemuan di bumi waqafan ini jugalah membawa kepada terbina sebuah Baitul Muslim yang utuh hingga ke hari ini.Sebaik sahaja tamat pengajian dan berjaya membawa pulang segulung ijazah dari lembah nil,mereka terus menabur bakti di bumi waqafan hingga ke pencen.Walaupun di tawarkan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi,tetapi di sebabkan suburnya cinta dibumi waqafan ini membuatkan mereka sukar untuk berpisah dengannya.Di sini juga membuktikan lambang cinta sejati mereka apabila ketiga-tiga anak mereka, Nabilah, Huda dan Nuha di lahirkan dan di besarkan di sini dan akhirnya di langsungkan perkahwinan mereka juga di bumi waqafan.

Helmi pula sekarang telah menjadi pengarah eksekutif di sebuah syarikat di ibu kota.Angan-angannnya untuk mendirikan rumahtangga dengan sahabat seperjuangan dari Kedah telah menjadi kenyataan dan telah di kurniakan 4 orang cahaya mata.Hamzah pula sudah bergelar “Tan Sri” dan sekarang merupakan pengarah syarikat HBK Security.Hakimi pula sudah mempunyai syarikat rakaman sendiri.Manakala Zaidi dan Ammar pula sudah bergelar Ustaz dan masing-masing sudah berkeluarga.Budiman dan Mubaraq menghilangkan diri tanpa khabar berita.Kali terakhir bertemu mereka pun semasa re-union batch 19 tahun yang lalu.Tokoh kelas pula iaitu Johari sekarang telah menjadi Majistret di Mahkamah Tinggi Shah Alam.Zaaba, telah kembali ke KISAS dan menjawat jawatan sebagai Pengetua.Sudah menjadi kelaziman bumi waqafan,di mana Pengetuanya mestilah insan yang pernah mendapat tarbiyyah di bumi tersebut.

Manakala Faisal yang paling beruntung kerana di usia yang masih muda telah di jemput bertemu Illahi sebagi seorang syuhada di bumi Palestin.Mungkin berkat keazaman yang tinggi akhirnya syuhada yang di impi di temui juga.Bukan mudah untuk mencapai maqam syuhada.Bahkan Khalid Al-Walid sendiri pun mati di atas katil.Syahid yang di nanti tak kunjung tiba.Hanya orang yang terpilih sahaja akan merasai nikmatnya.

Kemudian mataku terpandang pula pada pelajar muslimat.Ayeesha khabarnya sedang menyambung phD di England dalam bidang Sains Politik.Hajar dan Hafizah pula sekarang sudah menjadi usahawan yang berjaya.Che Yusairah pula sudah bergelar Menteri Hal Ehwal Wanita. Bergaya juga seorang Ustazah apabila bergelar Menteri.Najihah Ahmad pula sekarang merupakan penyandang johan tilawah Al-Quran diperingkat Kebangsaan dan telah mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anbiah yang juga merupakan johan menunggu bagi ketagori Qari.Hasil perkongsian hidup ini mereka telah dikurniakan 7 orang cahayamata.Manakala Najihah Ali dan Asifah pula hilang tanpa khabar berita sama seperti Mubaraq dan Budiman.Rabiatul pula sudah menjadi tukang masak yang berjaya.

“Dr Azid, ada orang menanti diluar”, kedengaran suara pembantu makmal memanggil namaku dari alat khas yang di pasang di penjuru makmalku. “Astaqhfirullahal’azim,aku mengelamun rupanya” desis hati kecilku.Semoga Allah mengampuni dosaku kerana telah melupaiNya untuk seketika waktu.

Aku segera keluar dari bilikku.Sudah menjadi kebiasaan Dr Anuar datang menjengukku di sini sambil berbual-bual.Beliau merupakan Pakar di dalam bidang biokimia.Kami sama-sama di tugaskan untuk membuat uji kaji bagi oleh pihak kerajaan.Kajianku adalah untuk menghasilkan tenaga nuklear daripada uranium.Manakala Dr Anuar pula membuat kajian berkenaan senjata biokimia.

“Aku nampak muka kau ni lain macam je,tak sihat ke?ataupun dah rindu kat anak isteri?soal Dr Anuar kepadaku sambil tersenyum sinis. “Ish, kau ni Anuar,aku tak ada apa-apalah.Biasa je,nampak lain mungkin sebab letih sikit berjaga semalaman” ujarku untuk mengelak Dr Anuar bertanya lebih lanjut.

“Kau jangan nak tipu aku Azid,dah lama aku kenal kau.Kau bukannya orang yang tak biasa berjaga malam.Ni mesti ada rahsia yang kau sembunyikan dari aku ni” Dr Anuar menyangkal jawapanku.Silap aku juga sebab berdalih.

Aku berfikir sendirian,adakah wajar aku menceritakan penemuan terbaru ini kepada Dr Anuar.Aku takut penemuan di luar jangkaan ini akan menyebabkan dunia ditimpa kemusnahan yang lebih dahsyat.Tugasku hanya untuk menghasilkan tenaga nuklear,bukannya bom nuklear.Namun begitu hasil kajian yang di perolehi menunjukkan kuasa nuklear yang di temui ini 2 kali ganda lebih besar daripada bom nuclear yang sedia ada.

“Aku bukan nak tipu kau Anuar, tetapi fikiranku runsing sekarang ni.Aku takut aku menjadi golongan yang melakukan kerosakkkan di atas muka bumi ini seperti yang di nyatakan oleh Allah swt kepada para malaikat sebelum kejadian manusia sebagai khalifah” aku meluahkan rasa hatiku kepada Dr Anuar. “Apa yang kau merepek ni Azid.Semacam je aku dengar,dah tak sempat nak tunggu 3 kali jumaat lagi ke ni,kalau ada wasiat apa-apa bagitau kat aku je la” seloroh Dr Anuar sambil ketawa kecil.

Aku menggelengkan kepala.Beginilah perangai Dr Anuar yang kukenali, tak pernah serius dalam berbual.Lebih banyak loyar buruk daripada isi.Kadang-kadang bengang juga aku di buatnya.Tapi kadang-kadang terhibur juga di buatnya.

“Aku serius ni Anuar,karang tak fasal-fasal aku ketuk kepala kau yang botak ni,baru kau tahu” aku sengaja meninggikan suara kepada Dr Anuar. “Ish..kau ni, botak-botak aku pun,sayang juga bini aku kat aku tau” senyum Dr Anuar kepadaku.

Aku menggeleng kepala kepadanya,lain yang di kata lain pula yang di jawabnya.Rasa seperti malas hendak melayan loyar buruknya itu.Tapi aku tahan juga demi persahabatan yang telah lama tejalin.Lagipun aku tahu,sebenarnya loyar buruknya itu sengaja di buat-buat untuk menghilangkan “stress” setelah penat seharian menjalankan kajian makmal di tengah-tengah pulau sebegini.Memang perit,tambahan pula apabila terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri yang di sayangi.

“Sebenarnya Anuar,aku telah menemui suatu penemuan baru berkaitan tenaga nuklear” ujarku kepada Dr Anuar walaupun berat hatiku untuk menceritakannya. “Alah,biasalah takkan sebelum ni kau tak pernah menemui sesuatu yang baru,bahkan di seluruh negara telah gah nama kau sebagai seorang penyelidik yang selalu menemui penemuan yang baru” kata Dr Anuar kepadaku. “Ini lain Anuar,penemuan ini menafikan kehebatan teori Enstain” tambahku lagi.Ianya membuatkan Dr Anuar terdiam.

“Kau ni biar betul Azid, apa sebenarnya yang sudah kau temui hinggakan boleh menyangkal teori Enstain yang di guna pakai selama ini” Dr Anuar mula menunjukkan sikap seriusnya.Beginilah sikapnya,walaupun banyak loyar buruk,tetapi jika melibatkan hasil kajian beliau sangat serius.Ini kerana beliau sangat mementingkan kualiti dalam melaksanakan sesuatu kerja.Aku kemudiannya,menerangkan satu-persatu berkenaan penemuanku kepada Dr. Anuar.
“Apa,kau menjumpai zarah atom subtomik yang mempunyai kuasa berlipat kali ganda lagi daripada pembelahan atom Uranium-235” Teriak Dr Anuar apabila aku memberitahunya mengenai penemuanku.

“Ya ,sekiranya dilanggar dengan anti zarah,subtomik itu seperti proton dengan anti proton yang berlanggar untuk membebaskan sinar gamma”.Jelasku dengan wajah yang penuh tenang dan yakin.

“ Sekiranya benar,tenaga yang akan dihasilkan adalah 10000 lebih kuat daripada pembelahan atom Uranium-235”.Sambungku dengan penuh yakin.

“Hebat!”, kata Dr Anuar dengan nada kagum.Dihatikku tersembunyi sejuta kesyukuran kepada Allah swt di atas penemuan ini.Sekurang-kurangnya masih ada “Jabbar Al-Hayyan” di alaf baru yang mampu memecah monopoli barat di dalam bidang sains dan teknologi ini.Islam agama yang hebat,unggul,moden dan bertamadun.Bahkan Hadarah Islamiah yang dibina mendahului ketamadunan barat yang ketika itu masih lagi berada di dalam kegelapan.Cumanya,sejarah ini telah di kaburi oleh oleh propaganda barat yang melabelkan Islam sebagai pengganas.Walhal tidak pernah tercatat didalam fiqh pemerintahan Islam bahawa islam itu adalah agama keganasan.

Islam mengusai dunia selama 800 tahun di bawah satu khilafah.Sepanjang penguasaan ini umat manusia mampu untuk hidup secara bertoleransi antara satu sama lain.Tiada kecelaruan yang berlaku.Sesuai dengan sifatnya yang membawa rahmat ke seluruh alam.Setiap agama bebas mengamalkan ajaran masing-masing tanpa diganggu oleh pemerintah Islam.

Tapi tamadun barat yang ada pada hari ini,belum sampai umurnya 200 tahun.Dalam jangka masa yang pendek ini pun sudah banyak kemusnahan yang berlaku.Di atas dasar ini jugalah aku menjadi runsing kerana dunia hari ini di monopoli oleh barat.Sekiranya ada penemuan baru yang hebat berkaitan dengan persenjataan maka hak untuk membangunkannnya adalah tertakluk kepada budi bicara mereka.Kerana kuasa Veto pada mereka.Kalau tersilap langkah,buruk padahnya.Lihat saja apa yang berlaku ke atas bumi Iraq,di ganyang sampai lumat tanpa ada perikemanusiaan.

“Kau boleh bentangkan penemuan ini di perhimpunan saintis sedunia di Jerman pada bulan depan.Aku yakin,sudah tentu suatu hari nanti hadiah nobel akan menjadi milikmu”,Dr Anuar bersuara kepadaku.

“Anuar,penemuan ini mesti dirahsiakan walaupun kepada pihak kerajaan.Aku takut penemuan ini mengulangi sejarah Dr Oppenheimer yang mencipta senjata nuklear.Einstain sendiri turut kecewa kerana persamaan mahsyurnya E=Mc² telah disalahgunakan”ujarku kepada Dr Anuar.Dr Anuar mengangguk seperti memikirkan sesuatu.

“Tapi Azid ini merupakan satu kerugian di dalam perkembangan dunia sains.Di sinilah kita boleh tunjukkan kemampuan kita kepada dunia barat” ujar Dr Anuar memberi peransang kepadaku. “Tapi terpulanglah kepada kau,aku tidak memaksa” tambahnya lagi.

“Oh ya Azid,esok aku akan kembali ke Tanah Besar untuk bercuti selama seminggu.Jadi tak dapatlah aku nak temankan kau disini lagi.Lagipun sekarang aku kena luangkan sedikit masa untuk isteri aku yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak” Ujar Dr Anuar sambil tersenyum.

Suatu hari aku mendapat tahu penemuannya telah dibocorkan orang melalui pembantuku.Jiwaku menjadi tidak keruan.Aku runsing memikirkan apakah natijah yang akan di rasai oleh penduduk muka bumi selepas ini.Aku hairan,bagaimana ianya boleh di ketahui orang.Sedangkan yang mengetahui cerita ini hanya Dr Anuar. “Ini mesti kerja Dr Anuar” getus hati kecilku.

Tanpa berlenggah panjang,aku terus menghamparkan sejadah untuk “bertemu” Allah swt.Selepas selesai menunaikan solat sunat 2 rakaat,aku bermunajat setulus hati memohon supaya aku di berikan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini.Sudah menjadi kebiasaanku untuk bekerja dalam keadaan berwuduk,dan sekiranya ada masalah aku akan terus sujud menyembah Allah Rabbul Jalil yang menjadi sumber terbesar ketengangan jiwa.

Malam itu, Dr Anuar muncul dimuka pintu.Aku terus menerpa ke arahnya.“Kau ke yang membocorkan rahsia penemuan ini kepada pihak berkuasa?” Tanyaku kepada Dr Anuar dengan nada yang kasar.Muka Dr Anuar pucat, tangannya terketar-ketar.

“Maafkan aku Azid, aku terpaksa “.Ujar Dr Anuar, “Ah, kau tipu”,mahu saja aku lempang muka Dr Anuar pada ketika itu.“Dengar dulu penjelasan aku Azid,aku terpaksa,keluarga aku dalam bahaya, aku tak sanggup melihat mereka terseksa” terang Dr Anuar sambil menitiskan air mata. “Semasa sampai di Tanah Besar aku telah di tahan oleh agen CIA.Aku di soal siasat berkenaan gerak kerja kita di sini terutamanya berkaitan pembangunan tenaga nuklear yang kau lakukan.Kalau tidak mereka mengancam untuk membunuh anak isteriku” tambah Dr Anuar lagi.

“Kejam sungguh dunia ini”, desis hati kecilku.Marahku mula reda dengan penjelasan itu.Aku memikirkan apakah yang perlu aku lakukan.Dari berita yang di sampaikan oleh Dr Anuar membayangkan diri aku turut menjadi buruan.

Aku masuk ke dalam bilik dan meninggalkan Dr Anuar di luar.Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat ini dengan sepantas mungkin.Ini bagi mengelakkan aku di soal siasat berkenaan penemuan ini.Aku mencapai sebatang pen dan kertas untuk ku tinggalkan warkah buat isteriku yang akan ku kirimkan melalui Dr Anuar.

Assalamualaikum.. kepada insan yang melahirkan anak-anakku,
Masihkah kau ingat peristiwa ketika malam pertama perkahwinan kita dahulu.Malam bersejarah yang menyaksikan dirimu menangis sebaik sahaja aku menerangkan kepadamu bahawa engkau telah dimadukan.Di atas tikar sembahyang itu juga dirimu menuduhku seorang lelaki yang tidak jujur tanpa usul periksa.
Namun begitu,apabila aku menerangkan kepadamu bahawa madumu ialah Perjuangan Allah dan Rasulnya.Dirimu terus tersenyum dan meredhainya.Dan hari ini,di atas keredhaanmu itulah “madumu” telah menuntutku untuk bersamanya.
Wahai isteriku,
Semasa dirimu membaca surat ini,berkemungkinan besar aku telah pergi jauh meninggalkanmu.Barangkali pemergianku pada kali adalah untuk selama-lamanya. Aku mengharapkan semasa ketiadaanku disisimu,engkau dapat menjaga maruah keluarga kita.Aku sentiasa mendoakanmu agar menjadi ibu yang berjaya dalam mendidik anak-anak kita.
Wahai ibu kepada anak-anakku,
Didiklah anak-anak kita,Musa,Muhammad,Muadz,Marhamah dan Masyitah supaya menjadi pejuang di jalan Allah.Mudah-mudahan dengan didikan yang ikhlas ini mampu melahirkan ulama’ yang bakal menggegarkan dunia ini pada masa akan datang.Abang yakin dengan didikan yang abang berikan padamu selama ini, akan dapat engkau wariskan kepada anak-anak kita.
Akhir kalam,
Abang doakan semoga dirimu akan selamat bersama anak-anak kita sepanjang peninggalan abang.Yakinlah dengan ganjaran yang akan Allah kurniakan kepada kita yang berjuang di jalannya.Janganlah engkau menitiskan air mata semasa ketiadaanku kerana aku bimbang ianya akan memberi kesan dalam proses pentarbiahan anak-anak kita.Tunjukkanlah pada mereka bahawa dirimu adalah seorang ibu yang cekal walaupun peritnya hatimu untuk menahannya.Kerana inilah sunnah yang perlu kita lalui sebagai seorang pejuang.
Salam Perjuangan,
Abu Musa

Aku menitiskan air mata sebaik sahaja menamatkan baris surat yang terakhir kepada isteriku.Bukan aku tidak sayang pada isteriku,bukan aku tidak sayang pada anak-anakku.Aku sangat kasih dan sayangkan pada mereka.Namun begitu kasih yang paling tinggi haruslah pada Allah dan Rasulnya serta perjuangannya.

“Anuar ini ada surat untuk isteri aku,Nurul Aisyah,aku harap kau dapat serahkan padanya” Dr Azid terus menyerahkan surat itu kepada Dr Anuar.“Kau hendak ke mana ni Azid,takkan kau nak keluar dari pulau malam-malam buta begini” Dr Anuar menyoalku.

“Ini persoalan keamanan sejagat,aku akan meninggalkan pulau ini malam ini juga untuk menuju ke seberang.Di sana aku mahu berlindung di bawah kawalan tentera mujahidin.Aku pasti penemuan ini akan dapat di manfaatkan oleh mereka sebaiknya” aku menjawab dengan tergesa-gesa kepada Dr Anuar.

Dr Aizd terus menghilangkan diri di celah-celah kegelapan malam.Dia keluar melalui pintu khas supaya tidak dapat dikesan oleh mana-mana pihak.Akhirnya dia berjaya sampai ke jeti tempat bot laju di tambat.

Tanpa di sedarinya,pada ketika itu beberapa orang penembak tepat telah bersedia bersama sebuah helikopter untuk mengejarnya. Mereka mahu memastikan riwayat Dr Azid ditamatkan pada malam ini juga bagi membolehkan penemuannya di manipulasikan oleh mereka.

Dr Azid terus memecut bot lajunya.Dia terkejut apabila dirinya diekori oleh sebuah helikopter.Dia kehairanan,siapakah yang mengekorinya pada waktu-waktu begini.Adakah gerak-gerinya telah di kesan oleh pihak lain.Dimulutnya tidak henti-henti berzikir kepada Allah SWT.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, Nada polifonik lagu Sunnah Berjuang kedengaran di sebalik deruan enjin bot lajunya. Dr Azid menekan punat untuk menjawab panggilan tersebut.
“Selamat tinggal Azid, pergi mampus kau”.Kedengaran suara Dr Anuar menyingga sinis kepadanya. Kemudian talian diputuskan, “celaka punya kawan”, getus hati kecil Dr Azid dengan nada kecewa.

Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi, belum sempat dijawab tiba-tiba beberapa das tembakan telah menyinggahi tubuh Dr Azid. Dia hanya sempat bertakbir beberapa kali sebelum dunia di sekelilingnya menjadi kelam.Tubuhnya terhumban ke dalam laut.Manakala telefon bimbitnya terus berbunyi tanpa henti.

Berjuang menempuh susah,
Menanggung derita menongkah fitrah,
Itulah gelombang hidup samudera luka,
Seorang mujahid menunggu memburu syahid,
Berjuang ertinya terkorban,
Rela terhina kerna kebenaran,
Antara dua pasti terjadi,
Tunggulah syahid atau menang..

Tut…..tut……tut…..tuttttt…. Talian pun terputus,

Hasil nukilan,
Pemburu Syahid,
Said Azzubair,
29 NOVEMBER 2005,
Masjid Sultan Sulaiman, Klang..

Tuesday, March 6, 2012

FORUM YDP PMI & YDP MPMUM

Forum Bicara Siswa

Tajuk:

"Rasulullah Tokoh Penyatuan Ummah"

Panel:

1.Affandy B Sutrisno Tanjung
(YDP MPMUM)

2.Mohd Haafizuddin B Abirerah
(YDP PMIUM)

Moderator:
Saudara Zulkifli

Tempat: Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu

Hari : Rabu Tarikh: 9 Mac 2008 Jam: 8 Malam

Semua Di Jemput Hadir

"Sejahtera Bersama PMIUM"


Monday, March 5, 2012

Saat Cinta Bertasbih

jundi

Dapatkan segera untuk rujukan anda

Semalam sempat saya siapkan poster promosi buku terbaru Ust Riduan Mohd Nor dicelah-celah menaip sebuah artikel berkenaan darah rakyat untuk diposting diblog ini. Buku ini menceritakan berkenaan kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan seorang tokoh yang dikagumi oleh kawan mahupun lawan.

Sebagai promoter internet kepada Jundi Resouces, saya cuba memberikan yang terbaik supaya khazanah ilmu yang dicoretkan oleh Ust Riduan Mohd Nor dapat disebar luaskan. Sekiranya ada sahabat-sahabat yang mengenali saya, buku ini juga boleh ditempah melalui saya sendiri. Untuk memudahkan urusan sahabat-sahabat untuk mendapatkan buku-buku terbitan syarikat Jundi Resources, saya sedia membantu ditalian 013-2007135

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Saturday, March 3, 2012

Mengapa Wajib Mengundi Calon Bukan Islam?


Calon yang mewakili mahasiswa kampus diibaratkan seperti mereka yang bermain bola sepak. Dalam erti kata yang lain, mereka bergerak dan berperanan secara berkumpulan. Segala pertimbangannya juga bukanlah berasaskan pertimbangan peribadi, tetapi bersandarkan kepada ‘fatwa’ dan kesepakatan bersama dalam kumpulan yang diwakilinya.

Dalam konteks pilihanraya di universiti-universiti, calon-calon Kumpulan A misalnya merupakan mereka yang mewakili gabungan beberapa persatuan pelajar yang mahu menegakkan keadilan dan kesaksamaan, serta mereka yang berusaha memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa menurut Syariat Islam, juga undang-undang negara. Golongan ini menentang sebarang penyelewengan, korupsi, penafian hak dan sebarang ketidakadilan serta kezaliman yang berlaku di dalam dan di luar kampus. Sementara Kumpulan B terdiri daripada mereka yang bersekongkol dengan kezaliman serta bekerjasama melakukan penyelewengan, di mana mereka turut menghantar calon bagi mewakili kumpulan mereka untuk bertanding dalam pilihanraya kampus.

Maka, kelebihan personaliti seseorang calon hanya mewakili sebahagian kecil sahaja daripada kelayakan dirinya untuk dinilai oleh pengundi. Kelebihan personaliti, integriti dan kualiti seseorang calon adalah merupakan urusan kumpulan yang diwakilinya untuk meneliti, dan akhirnya meletakkan hanya yang terbaik sebagai calon. Ada pun bagi pengundi, mereka harus memahami bahawa menghantar wakil untuk bertanding dalam pilihanraya bukanlah seperti menghantar pemain badminton, tetapi pasukan bola yang akan bermain di dalam satu pasukan.
Maka jangan hanya menilai peribadi calon, tetapi tumpukan kepada pasukan yang diwakilinya.
Jika anda menyokong ISLAM, bermakna anda menyokong PRINSIP. Islam sebagai prinsip menjulang keadilan, ketelusan, komitmen kepada perjanjian dan amanah, iaitu nilai-nilai yang didukung bukan sahaja di atas nama Islam, tetapi boleh juga tanpa nama Islam.

Akan tetapi jika anda menyokong MUSLIM, maka anda mempertimbangkan identiti calon, dan bukan prinsip serta integritinya. Jika anda mengundi seorang calon hanya kerana dia itu MUSLIM… anda tidak berlaku adil, anda pengamal ASABIYYAH.

“Rasulullah SAW ditanya, apakah dianggap ‘Asabiyyah jika seseorang itu mengasihi kaumnya? Baginda SAW menjawab, “TIDAK, AKAN TETAPI APA YANG DIANGGAP SEBAGAI ‘ASABIYYAH ITU IALAH APABILA SESEORANG ITU MENOLONG KAUMNYA ATAS KEZALIMAN!” [Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, hadith Wathilah bin al-Asqa']

Sama ada seseorang itu diundi kerana dirinya seorang Melayu, atau semata-mata dirinya seorang Muslim, sedangkan pengundian itu bakal mengekalkan kezaliman pasukan yang diwakilinya ke atas sekalian rakyat, maka pemilihan itu adalah ‘ASABIYYAH, tidak mungkin sama sekali boleh dilihat sebagai suatu pilihan yang disandarkan kepada mana-mana prinsip Islam.

Islam menjulang keadilan dan menentang kezaliman. Keadilan harus dipertahankan, biar pun dengan mempertahankan seorang bukan Muslim. Kezaliman mesti dibanteras, biar pun pelakunya adalah seorang Muslim, hatta bapa atau anakmu sendiri.


KEADILAN UNTUK SEMUA

Prinsip Islam tidak mengenal Muslim atau bukan Muslim. Apa yang dipertahankan dan dijulang adalah keadilan. Pilihanraya adalah proses terpenting untuk membersihkan negara daripada keangkuhan kuasa yang sudah lama bertahan, dan sewenang-wenangnya melakukan kezaliman dan penindasan.

Daripada Anas Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “BANTULAH SAUDARA KAMU, SAMA ADA DIA ITU ZALIM ATAU DIZALIMI.” Para sahabat berkata, “wahai Rasulullah, kami pasti membantu orang yang dizalimi ini, tetapi bagaimana pula kami boleh mambantu orang yang zalim?” Baginda S.A.W. menjawab, “CEGAHLAH SI ZALIM ITU DARI TERUS MELAKUKANNYA” (Hadith riwayat al-Bukhari)


TOLONG MEREKA YANG DIZALIMI

Jika anda mahu membantu sekalian yang dizalimi sama ada di dalam tahanan ISA, yang dituduh tanpa kesalahan, yang menjadi mangsa penipuan, penindasan, tekanan ekonomi, politik dan sosial, MAKA BUATLAH PILIHAN YANG BETUL DENGAN MENYOKONG ISLAM, BUKANNYA MUSLIM. Sokonglah pasukan yang memperjuangkan keadilan, ketelusan, dan kebajikan sekalian rakyat tanpa memilih bangsa dan agama.


TOLONG MEREKA YANG ZALIM

Jika anda mahu benar-benar membantu sekalian yang zalim dan bongkak selama ini, hentikan mereka dari terus menang dan berpeluang meneruskan kezaliman.


TOLONG KEZALIMAN

Akan tetapi, jika anda memilih Muslim dan non Muslim yang zalim atau menambahkan kekuatan pasukan yang zalim, untuk terus melakukan kezaliman, “ucapkanlah selamat tinggal kepada umat yang pasti binasa itu!”

Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, “Wahai zalim”, maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (H.R. Ahmad)


-Idea penulisan ini diambil daripada artikel Ustaz Hasrizal atau lebih dikenali sebagai 'Abu Saif', dan diolah mengikut keperluan kampus untuk menjawab SMS palsu terhadap info SMS berbunyi: "Manakah lebih baik daripada mengundi orang bukan Islam mewakili Kumpulan A, berbanding mengundi orang Islam Kumpulan B."

Friday, March 2, 2012

Sayangku tanpa balasan


Kenangan sewaktu berada di Kolej Islam Sultan Alam Shah, sesi STPM 2004/2005

Saya terkenang satu pengalaman yang pernah saya lalui tidak berapa lama dahulu. Pengalaman tersebut sedikit sebanyak telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus membangunkan insan-insan yang bermasalah dan patah semangat dalam hidup. Begini ceritanya…

Sewaktu saya menziarahi sekolah lama saya pada cuti semester yang lepas, saya bertemu dengan adik-adik junior saya yang akan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun itu. Salah seorangnya merupakan AJK saya semasa saya masih terlibat dalam organisasi BADAR di sekolah tersebut. Namanya Hafiz. Dia kelihatan sangat ceria apabila bertemu dengan saya, lalu kami berbual panjang. Namun, ketika saya ingin pulang ke rumah, dia seolah-olah keberatan untuk membenarkan saya pergi. Air mukanya bertukar murung.

“Hafiz, kenapa ni? Awak keberatan nak benarkan abang balik ya?” Saya sedikit bercanda.

Dia tersenyum hambar. Saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

“Ya, bang. Saya ada perkara nak kongsikan dengan abang. Tak apalah, abang baliklah dulu… Nanti saya hubungi abang.” Hafiz berjanji untuk menelefon saya dan kami akan berjumpa lagi. Saya tertanya-tanya apakah yang bakal dikongsikannya sementara menunggu panggilan dan pertemuan dengannya.

Akhirnya Hafiz menelefon saya dan kami telah menetapkan tarikh untuk bertemu.

25 Mei 2007,

5.30 petang,

Di tepi tasik.

Angin yang berhembus perlahan terasa nyaman dan damai, membangkitkan suasana harmoni yang sesuai untuk berbicara dari hati ke hati. Saya memilih lokasi di tepi tasik supaya Hafiz mendapat kondisi yang baik untuk bercerita tentang masalahnya. Kami duduk bersila berhadap-hadapan di tepi tasik yang indah dan tenang.

“Hafiz, ada apa yang boleh abang bantu?” Saya memulakan pertanyaan supaya dia tidak segan untuk memulakan bicara.

Hafiz tidak menjawab. Dia memegang kedua-dua pergelangan tangannya sambil menunduk sedikit merenung rerumputan yang menghijau. Daripada reaksinya itu, saya tahu dia kurang bersedia untuk ‘meluah’ kepada saya.

“Tak apalah, awak fikir dulu apa yang awak nak cakapkan. Kalau belum bersedia, it’s okay. Tapi abang sentiasa bersedia untuk mendengar cerita awak dan akan cuba bantu awak setakat kemampuan abang.” Saya berikan sedikit masa kepadanya untuk lebih tenang dan bersedia.

“Abang…” Hafiz mula bersuara setelah diam beberapa detik. “Sebenarnya ada perkara yang sekian lama mengganggu konsentrasi saya untuk belajar selama ini. Walaupun saya cuba melupakan perkara tersebut, tapi saya tak berdaya. Saya dah tak tahan untuk pendam seorang diri, bang…” Dia memandang saya, kemudian terus membuang pandang ke tasik yang sesekali berkocak tenang. Anak-anak ikan lincah berenang bermain air.

“Tapi keputusan awak dalam peperiksaan sangat memberangsangkan. Malah, awak berjaya melakukan tugas-tugas dalam persatuan dengan baik?” Saya sengaja mencetuskan persoalan supaya dia dapat bercerita dengan lebih terperinci tentang masalahnya.

“Mungkin boleh dikatakan keputusan peperiksaan dan keaktifan saya dalam persatuan agak baik. Tapi bang, sebenarnya itulah cara saya untuk melupakan seketika masalah saya. Saya sengaja mencari jalan untuk menyibukkan diri.”

“Boleh Hafiz ceritakan dengan lebih terperinci?”

“Mm, sebenarnya bang, apa yang mengganggu saya sekarang adalah masalah keluarga saya. Emak saya. Saya tak tahu sama ada dia peduli ataupun tidak tentang diri saya di sini. Selama saya menjadi anaknya, dia tak pernah menunjukkan tanda-tanda dia mengambil berat tentang saya. Apatah lagi tanda dia sayangkan saya.”

“Kebanyakan ibu bapa tetap sayang dan mengambil berat hal anak-anak walaupun kita tidak nampak tanda-tanda tersebut. Sesetengah ibu bapa lebih suka menyembunyikan perasaan mereka daripada pengetahuan anak-anak.”

“Tidak, bang. Saya tidak merasakan begitu terhadap emak saya. Dia lain. Sikapnya kadang-kadang membuatkan saya sehingga terfikir; benarkah saya ini anaknya?” Air mukanya benar-benar membayangkan kekecewaan.

“Sabar ya, Hafiz. Abang simpati dengan awak… Mm, boleh Hafiz ceritakan lagi tentang emak Hafiz? Adakah dia bekerja?”

“Emak saya seorang suri rumah. Abang, bayangkanlah… jika saya ada di rumah, contohnya berada di ruang tamu bersama-sama dengannya, dia pasti akan bingkas ke dapur. Kalau saya berada di dapur, pasti dia akan beredar ke tempat lain pula. Pendek kata, di mana-mana saja saya berada, emak pasti akan mengelak daripada bersama-sama dengan saya.” Hafiz mengeluh perlahan dan menunduk lagi merenung rumput-rumput hijau.

Saya agak terkejut mendengar cerita Hafiz. Saya tertanya-tanya kenapa emaknya bersikap demikian pasif terhadapnya.

“Hafiz anak ke berapa dan berapa bilangan adik-beradik?

“Saya anak kedua daripada lima beradik. Saya ada seorang kakak, seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan.”

“Bagaimana layanan emak terhadap adik-beradik Hafiz yang lain?”

“Itulah yang membuatkan saya sangat termakan hati dengan mak, abang. Emak melayan semua adik-beradik yang lain dengan sangat baik. Hanya saya seorang yang tersisih. Sejak dari kecil lagi saya disisihkan, cuma saya tidak sedar kerana usia saya belum matang. Tapi apabila saya semakin meningkat dewasa, saya mula menyedari layanan yang saya terima daripada emak.” Dada Hafiz dihurung sebak. Dia menahan daripada mengalirkan air mata. Saya sangat kasihan padanya. Saya juga berusaha mengawal emosi.

Saya membiarkan suasana sepi seketika supaya Hafiz dapat meneutralkan emosinya.

“Boleh Hafiz beri contoh layanan emak yang berbeza antara Hafiz dengan adik-beradik yang lain?” Saya menyambung perbualan setelah melihat Hafiz kembali tenang..

“Boleh. Contohnya bang, emak selalu mengajak kakak dan adik-adik keluar shopping, makan-makan kat luar, berjalan-jalan… Tapi saya tak pernah diajak. Kalau ayah, kakak atau adik-adik ajak saya ikut serta, emak pasti memberi pelbagai alasan supaya saya tak dapat ikut. Suruh jaga rumahlah, takut ada orang datanglah, saya boleh makan di luarlah dengan alasan saya lelaki. Perlu lebih berdikari katanya. Tapi kenapa apabila saya berada di rumah pun, dia seolah-olah tak nak tengok muka saya? Sebab tu bang, kalau saya balik ke rumah, saya hanya akan berkurung di dalam bilik atau keluar ke mana-mana kerana saya tak berdaya menahan perasaan sedih terhadap emak sendiri yang melayan saya begitu.” Hafiz mengesat air mata dengan hujung jari. Ternyata dia benar-benar sedih dan terkesan dengan perlakuan emaknya.

Saya mengeluarkan sehelai sapu tangan yang selalu saya bawa bersama-sama lalu menghulurkan kepadanya.

Saya memberi peluang kepada Hafiz untuk meredakan tangisannya. Saya dapat rasakan Hafiz benar-benar menyimpan duka dan luka yang sangat dalam dan memakan hatinya sedikit demi sedikit.

“Hanya ayah dan kakak saja yang menunjukkan sikap ambil berat terhadap saya. Saya pernah bertanya mereka, kenapa emak bersikap demikian terhadap saya? Ayah dan kakak tidak dapat memberi jawapan, atau mereka sengaja tidak mahu memberi jawapan.” Hafiz kembali menyambung.

“Sekarang, bagaimana cara Hafiz untuk cuba berhadapan dengan situasi emak Hafiz begitu?”

“Entahlah bang. Saya tak tahu sama ada tindakan saya ni betul atau tak. Tapi dah setahun lebih saya tak balik ke rumah, walaupun hari raya. Bila ayah telefon suruh balik, saya beri alasan macam-macam. Abang, saya dah rasa sangat tawar hati terhadap emak. Bukan saya tak berusaha untuk ambil hati emak. Macam-macam dah saya buat. Belikan hadiah, tolong emak, cuba bergurau senda dengan emak, tapi…”

“Tak rindu pada mak?” Saya sengaja mengujanya.

“Saya rindu sangat pada mak, abang… Saya rindu untuk mendapat layanan yang mesra daripada mak. Rindu masakan mak, segala-galanya…”

“Jadi,Hafiz tak bercadang nak balik? Mana tahu, dah setahun lebih Hafiz tak balik ke rumah, emak rindukan Hafiz? Cuma emak pun pendam macam Hafiz. Hafiz tak fikir macam tu?”

“Alangkah bagusnya jika itu menjadi realiti, bang… Saya bukan tak nak balik, tapi saya takut kecewa lagi dan terhiris dengan layanan mak.”

“Abang faham perasaan Hafiz sekarang. Tapi pernah tak Hafiz terfikir, jika kita sayangkan seseorang, tak semestinya perlu mengharapkan balasan? Dalam kes Hafiz ni, agaknya, perlukah kasih sayang Hafiz mendapat balasan daripada emak? Contoh yang abang bawakan di sini, Rasulullah dahulu tetap menghormati dan menyuap makanan ke mukut seorang tua beragama Yahudi di pasar walaupun Baginda dimaki hamun oleh orang tua tersebut. Bayangkanlah bagaimana perasaan kita jika kita berbuat baik, tetapi dibalas dengan kejahatan. Tentu kita fikir tidak patut. Tapi Rasulullah tetap meneruskan pekerjaannya memberi makan dan menyuap orang tua tersebut sehingga ke akhir hayat Baginda. Tahu bagaimana kesudahannya?”

Hafiz menggeleng. Air mukanya membayangkan perasaan inkuiri yang sangat tinggi untuk mengetahui kesudahan cerita tersebut.

“Pada suatu hari, orang tua itu diberi makan oleh Saidina Abu Bakar. Tetapi dia bertanya; di manakah lelaki yang selalu memberinya makan? Saidina Abu Bakar menjawab, dialah orang yang selalu memberinya makan. Tapi orang tua itu tidak percaya, kerana katanya, orang yang selalu memberinya makan pasti akan terlebih dahulu menghancurkan makanan yang dibawanya lalu disuap ke mulut orang tua tersebut, tetapi Saidina Abu Bakar tidak melakukan demikian. Saidina Abu Bakar tersentak mendengar keterangan daripada orang tua itu, kerana beliau tidak menyangka sehingga tahap itu layanan Rasulullah terhadap orang yang mengkeji dan berkelakuan buruk terhadap Baginda. Saidina Abu Bakar lalu menjelaskan bahawa mulai pada saat itu, beliaulah yang akan mengambil alih tugas memberinya makan kerana Rasulullah telah wafat. Orang tua itu menangis, dan akhirnya telah memeluk Islam.”

Hafiz terdiam mendengar kesudahan cerita tersebut. Dia seolah-olah sedang berfikir.

“Lihatlah, Rasulullah tidak mengharapkan apa-apa balasan di atas kebaikan yang diberikan kepada orang tua tersebut, tapi nampak tak bagaimana cantik kesudahannya? Ternyata, setiap amal kebaikan pasti akan dibalas kebaikan. Jika tidak di dunia, nun di Akhirat sana. Betul tak?”

“Err, itu memang betul, bang… Tapi saya tiada kekuatan untuk balik ke rumah.”

“Hafiz tak pernah fikir, kalau-kalau emak sedang rindukan Hafiz? Sejak Hafiz tidak pulang ke rumah, dia sentiasa menanti-nanti kepulangan Hafiz. Ingin memasak lauk yang sedap-sedap untuk menyambut kepulangan Hafiz. Pernah terfikir tak? Mungkin saat ini dia sedang menangis menahan rindu terhadap Hafiz…Dan cuba bayangkan, kemungkinan inilah peluang terakhir Hafiz untuk sempat bertemu dengannya. Mungkin ada sesuatu yang ingin dia luahkan. Ataupun inilah masanya dia ingin melayan Hafiz penuh mesra dengan sentuhan lembut seorang ibu…”

“Mak…” Nafas Hafiz turun naik menahan sebak yang berombak. Mukanya merah dibahangi hangat air mata.

“Baliklah…” Saya menepuk lembut bahunya.

Hafiz mengangguk setuju. Dan, pada petang itu juga, sebaik tamat sesi ‘luahan’ tersebut, Hafiz terus pulang ke asrama sekolahnya untuk berkemas-kemas, lantas menaiki bas untuk pulang ke rumah.

Beberapa hari kemudian, saya mendapat panggilan telefon daripada Hafiz. Dia beritahu saya bahawa dia sedang cuba menanamkan dalam dirinya perasaan sayang tanpa mengharapkan balasan daripada emaknya. Dan dia juga sering memotivasikan diri dengan kisah Rasulullah yang pernah saya sampaikan. Ternyata, dia semakin tenang. Semakin tenang setelah beberapa waktu berlalu, emak Hafiz akhirnya terbuka pintu hati sedikit demi sedikit untuk menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

“Saya hanya berdoa, bang. Dan Allahlah yang telah membuka pintu hati emak,” katanya dalam nada yang ceria sebelum mengakhiri perbualan kami.

TAMAT

p/s:Merupakan pengalaman hidup yang menjadi bahan untuk subjek kaunseling dakwah..Doakan ana dapat A untuk subjek ini

Thursday, March 1, 2012

PANTUN MELAYU NUSANTARA

Anak teruna menanam betik
Buah cempedak dalam raga
Apa guna berwajah cantik
Kalau kurang budi bahasa

Ayam hutan terbang ke hutan
Tali tersangkut pagar berduri
Adik bukan saudara bukan
Hati tersangkut kerana budi

Kalau roboh Kota Melaka
Papan dari Jawa hamba dirikan
Kalau sudah bagai di kata
Jiwa dan raga hamba serahkan