Friday, November 12, 2010

Obama dan Demokrasi



Timbul pertanyaan adakah saya menyokong Obama di kotak "shout box" saya oleh seorang teman. Ternyata sekali diatas dasar agama, saya menyatakan bahawa saya bukannya fanatik kepada Obama. Namun begitu, apa yang diharapkan adalah kemenangan ini mungkin memberikan ruang kepada dunia Islam untuk bersuara. Namun begitu, sekiranya sama sahaja, kemenangan ini juga tiada maknanya buat kita selaku umat Islam.

Kemenangan ini bukan bermaknya Obama akan membela Islam. Saya melihat itu adalah perkara itu tidak akan berlaku dan ianya bukanlah yang kita harapkan. Namun begitu, apa yang kita harapkan adalah mungkin dengan kemenangan beliau akan membaiki sistem demokrasi yang sedia ada dan terutamanya di USA.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Thursday, November 11, 2010

Ranking Universiti dan Budaya Intelektualisme

Oleh:Mohd Faisal B Mustaffa
Baru-baru ini, Times Higher Education Supplement (THES) tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007. Ini merupakan satu kekecewaan yang amat besar buat negara Malaysia yang menjadikan minda kelas pertama sebagai salah satu teras utama Misi Nasional yang terkandung dalam matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kaedah ranking ini dibuat oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES. Beberapa pihak kelihatan menggunakan alasan dengan menyalahkan kaedah yang diguna pakai oleh institusi ini menyebabkan ranking hampir keseluruhan universiti yang tersenarai dalam 20 universiti terbaik dunia juga berubah. Namun menurut THES, kaedah tersebut diubah untuk menjadikan kajian mereka lebih tepat. Justeru, siapa yang harus dipersalahkan di atas kemerosotan pencapaian universiti-universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah menduduki ranking ke 89 daripada 100 universiti terbaik dunia pada tahun 2004? Adakah kita perlu menyalahkan Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan para pentadbir universiti? Atau adakah mahasiswa sendiri yang perlu dipersalahkan? Sekarang, usahlah kita saling menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain, tetapi ayuhlah bersama-sama mencari jalan untuk menaikkan kembali imej universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah tersohor dengan jolokannya sebagai ‘Universiti Perdana.’

Mempergiatkan usaha penyelidikan oleh para pensyarah dan mahasiswa amat perlu bagi menaikkan semula ranking Universiti Malaya. Seandainya banyak penemuan yang berjaya diperolehi melalui kajian dan penyelidikan, ini akan membantu untuk membina, mempertahankan dan memperkembangkan peradaban negara, kerana kekukuhan sesuatu peradaban sangat bergantung pada kekuatan golongan intelektualnya. Sebagai contoh, kewujudan ‘Darul Hikmah’ pada zaman Abbasiyah merupakan satu usaha dalam mendukung budaya intelektualisme pada masa itu, begitu juga ‘A House of Medicine’ di Itali pada zaman Renaissance yang merupakan penganjur program berunsurkan intelektualisme dan ia sanggup menderma kepada pelbagai pihak yang berusaha mewujudkan persekitaran dan institusi intelektualisme. Dalam hal ini, di Malaysia perlu diwujudkan satu badan intelektual sebegini, yang mana akan berperanan sebagai pembiaya bagi sesuatu kajian penyelidikan dan kegiatan intelektualisme lainnya. Ini merupakan satu langkah yang harus diambil dan diteliti oleh kerajaan.

Selain itu, setiap orang daripada kita, sama ada para pentadbir universiti dan mahasiswa haruslah mempunyai pemikiran strategik dan berpandangan jauh. Dengan demikian, setiap satu agenda yang akan direncanakan merupakan pecahan bahagian daripada kerangka gagasan besar yang bertujuan untuk memantapkan nilai tinggi yang ada dalam peradaban. Dalam sejarah peradaban Islam, barisan tokoh besar Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain merupakan golongan intelektual yang bertanggungjawab menerapkan nilai Islam yang tinggi dalam kehidupan bagi memastikan kelangsungan masyarakat Muslim pada setiap zaman. Ini merupakan salah satu peranan atau usaha yang harus dititikberatkan oleh golongan terpelajar, iaitu menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam masyarakat.

Jika disoroti mekanisme yang pernah digunakan oleh Imam Al-Ghazali dan intelektual Islam seangkatan dengannya dalam memantapkan peradaban Islam, mereka telah menggunakan kaedah penulisan, iaitu dengan menghasilkan karya-karya agung dan muktabar, serta mereka terkenal sebagai penulis yang prolifik. Ini adalah kerana hasil penulisan atau himpunan karya besar merupakan ‘senjata utama’ untuk berdepan dengan realiti cabaran luar, seperti penularan pengaruh ideologi dan budaya Barat. Keadaan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh golongan intelektual kita demi membangunkan dan memajukan kembali keunggulan universiti dalam negara. Inilah antara beberapa usaha dan peranan yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan, para pentadbir universiti dan mahasiswa untuk meningkatkan peradaban bermula pada peringkat universiti, seterusnya ke dalam masyarakat dan negara. Dengan demikian, pasti universiti-universiti di Malaysia akan mampu bersaing dengan universiti-universiti luar serta dapat merampas kedudukan di antara 200 universiti terbaik dunia.

Untuk akhirnya, selamat bercuti diucapkan kepada semua mahasiswa APIUM yang telah selesai menduduki peperiksaan semester. Isilah masa cuti dengan sebarang aktiviti bermanfaat yang mampu memberi faedah kepada diri dan keluarga, khususnya. Tidak dilupakan kepada pasangan mahasiswa yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat ini. Selamat pengantin baru diucapkan, dengan harapan jodoh berpanjangan dan berkekalan.

Sekian.

Wednesday, November 10, 2010

Demonstrasi bantah Fatwa



Ini merupakan video demonstrasi bantah fatwa berkenaan fatwa berkaitan dengan pengkid dan tomboy. Insya Allah selepas exam saya akan cuba menjelaskan apa itu fatwa dan sejauh mana ianya mengikat umat Islam di negara kita.

Seharusnya difahami bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya ditujukan kepada umat Islam. Fatwa ini juga tidak mengikat umat Islam sekiranya tidak digazetkan diperingkat negeri.

Sewajarnya yang haram itu tetap haram, dan yang halal itu perlu dikatakan halal. Seharusnya perkara berkaitan agama harus dihormati dan tidak dicabar. Jangan kerana mahukan kebebasan wanita tanpa batasan, mereka sanggup mencabar agama Islam.

Kepada para demonstrator, saya tahu perjuangan anda mahukan kebebasan kepada kaum wanita. Anda juga seharusnya tahu berkenaan retifikasi di dalam The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW) yang tidak dilaksanakan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Hormatilah agama Islam, kerana orang Islam menghormati agama kalian.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Saturday, November 6, 2010

PAPD bersama Takaful Nasional di Seri Pengantin





PAPD bersama Takaful Nasional
Tarikh: 19-21 Jun 2009
Puteri Ayu Resort, Janda Baik, Pahang.

Thursday, November 4, 2010

Lima Jam disoal siasat di Balai Polis Brickfields

Pengalaman disoal siasat semalam merupakan salah satu daripada detik penting yang boleh dijadikan sebagai koleksi diari peribadi diri saya. Pada petang tesebut saya bersama Hasbie dan Haafizuddin tiba di Balai Polis Brickfields kira-kira jam 5.35 petang. Sepatutnya kami perlu sampai seawal jam 5 petang, tetapi kami telah menelefon Inspektor Jothy bahawa kami perlu menyempurnakan solat asar terlebih dahulu.



Setiba di situ kelihatan sahabat saya Vignesh juga sudah berada disitu. Kami diarahkan supaya mengikut beberapa orang pegawai cawangan khas untuk disoal siasat. Kami disoal siasat di dalam bilik berasingan dan jauh diantara satu sama lain.



Walaupun pertama kali melangkah kaki masuk ke bilik cawangan khas untuk disoal siasat, namun begitu di dalam hati saya sedikit pun tidak berasa takut. Mungkin kerana saya sendiri tidak bersalah di dalam hal ini. Kehadiran saya di sini disebabkan saya merupakan pimpinan PMIUM dan ahli exco MPMUM. Sebelum ini juga sahabat saya YDP MPMUM, Saudara Affandy, Shahir dan Hilman juga dipanggil untuk sesi soal siasat ini.



Dalam soal siasat tersebut saya diajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan politik negara. Saya tahu soalan tersebut merupakan soalan ‘killer’ yang tidak harus saya jawab. Antaranya apakah parti politik yang saya suka dan apakah pandangan saya terhadap politik negara ini. Berkenaan dengan hal ini, saya dengan tegas menyatakan pendirian bahawa hak untuk menyokong mana-mana parti politik merupakan hak individu yang menjadi kerahsian individu tersebut.



Fahaman politik bukanlah suatu perkara yang perlu dibanggakan dan dicanang kepada orang lain, tetapi ianya merupakan hak istimewa yang diberikan oleh perlembagaan persekutuan terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas. Sebab itulah saya berkeras kepada pegawai polis tersebut bahawa saya adalah seorang mahasiswa yang tidak menganuti fahaman taksub kepada mana-mana parti.



Perjalana soal siasat sesi pertama berakhir kira-kira jam 7.20 malam ketika azan maghrib berkumandang di corong radio. Saya dan Hafizuddin diberi peluang untuk solat maghrib secara berjemaah.



Usai solat maghrib, sesi soal siasat diteruskan untuk sesi bertulis. Selepas Hasbie keluar, Haafizuddin diarahkan masuk terlebih dahulu dan saya menanti diluar. Sementara menanti beliau keluar saya berborak dengan Abang SB tersebut. Banyak juga yang dibualkan. Saya sendiri tidak tahu samaada dia sengaja mengambil peluang untuk mengorek rahsia ataupun ikhlas untuk berbual. Tetapi yang pastinya saya diajak berbual soal situasi politik negara.



Kira-kira jam 8.45 malam saya giliran saya pula memasuki bilik Inspektor Jothy. Mulanya dia sengaja ingin menguji saya dengan mengatakan dia pernah bertemu dengan saya keluar makan dengan awek. Geli hati saya mendengarnya. Sejak bila saya keluar makan dengan awek seperti yang dinyatakan oleh Inspektor Jothy. Soalan yang diajukan kepada saya lebih berfokus dan telah disusun lebih awal lagi. Selepas memberikan kenyataan saya diberi peluang untuk membetulkan kenyataan tersebut dan menurunkan tanda tangan tanda persetujuan. Proses soal siasat tersebut habis kira-kira jam 10 malam.



Selepas itu saya berbincang dengan Hasbie dan Haafizuddin. Rupa-rupanya soalan yang dikemukakan kepada kami hampir sama sahaja bagi kedua-dua sesi. Bahkan provokasi yang dilakukan juga hampir serupa. Saya mengakui ada juga perkara yang sengaja diada-adakan untuk melihat reaksi kami. Mujur saya sendiri tidak menunjukkan sebarang respon agresif kerana saya sendiri jenis yang cool. Tambahan pula isu yang dibangkitkan tiada kaitan dengan diri saya.



Apa pun saya menganggap ini merupakan pengalaman biasa bagi anak muda seperti saya. Ramai yang melalui jalan sebegini. Pengalaman ini juga mematangkan diri saya dan memberi saya peluang berkenalan lebih rapat dengan abang polis. Kepada abang polis, selamat bekerja.