Friday, February 11, 2011

Filem Dunia Baru The Movie Hina Islam




Perhatikan dan perhalusi, suatu penghinaan secara halus terhadap agama Islam yang kita pegang selama ini. Yang amat menyedihkan lagi, perkara ini dilakukan oleh saudara kita yang mengaku beragama Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. Renung-renungkan.

Wednesday, February 9, 2011

Panggilan Ibu Pejabat Brickfields


Sebentar tadi saya mendapat panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Brickfields. Saya diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Brickfields pada jam 5 petang ini. Inilah kali pertama disoal siasat oleh pihak polis. Gusar juga rasa hati. Sebelum ini saya hanya pernah berhadapan dengan guru kaunseling semasa di Kolej Islam Sultan Alam Shah sebanyak dua kali. Ketika itu saya antara pimpinan BADAR yang menaungi dan berpengaruh dibumi waqafan. Bahkan pengaruh kepimpinan lebih lagi dirasai oleh para pelajar berbanding pengetua sendiri.

Mungkin ketika itu isunya adalah berbeza, tetapi saya ianya masih lagi dalam konsep yang sama. Ketika itu saya dipanggil atas pertuduhan melakukan perkara yang bercanggah dengan peraturan pihak kolej yang melarang BADAR masuk campur dalam urusan minggu suai kenal pelajar. Kami tidak dibenarkan menegur para pelajar walaupun mereka melakukan kesalahan. Saya akur dengan arahan tersebut dan langsung tidak mengganggu adik-adik junior yang baru masuk. Akhirnya, saya dilepaskan daripada pertuduhan tersebut kerana pihak pentadbiran gagal mengemukakan bukti yang kukuh.

Namun begitu, apa yang bakal bakal berlaku saya sendiri tidak ketahui. Saya sendiri masih kabur kenapa saya dipanggil. Adakah diatas dasar saya sebagai Majlis Tertiggi PMIUM ataupun diatas kapasiti saya sebagai exco MPMUM. Segala persoalan yang bergelegar dikepala akan terjawab pada petang ini. Mudah-mudahan urusan saya diberi kemudahan dan kelapangan oleh Allah SWT.

Monday, February 7, 2011

Makanan Kafe APIUM mahal?

Petang tadi ada seorang sahabat saya mendekati saya sambil berseloroh, “Ha, ni wakil fakulti. Macam mana ni harga makanan mahal?”. Sudah ramai mahasiswa APIUM yang menemui saya turut meluahkan rasa sedemikian. Harga makanan yang dijual kepada mahasiswa tidak konsisten.

Sebagai contoh, saya sendiri mengalaminya. Pagi semalam saya dan Syahir sempat bersarapan di Kafe APIUM. Pada awalnya saya mengambil koew teow sebagai hidangan dan diikuti oleh Syahir. Apa yang dipelikkan oleh saya adalah koew teow yang dimakan oleh saya jauh lebih mahal sebanyak RM 0.50. Saya kehairanan kerana jumlah dan jenis makanan yang diambil sama sahaja dengan Syahir.

Yang menimbulkan persoalan dalam kalangan mahasiswa adalah, mengapakah harga makanan di Kafe APIUM jauh lebih mahal daripada Kafe Kolej Kediama ke-12. Hal demikian kerana, masing-masing berniaga di dalam kawasan Universiti yang rata-ratanya menjual makanan dengan harga yang sederhana, sesuai dengan sebahagian besar para pelajar yang hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN yang tidak seberapa.

Sekiranya mendapat semuanya mendapat tajaan biasiswa, sudah tentu mereka tidak mengeluh kerana jumlah tajaan bagi biasiswa KPM, JPA dan MAWIP naik sehingga mencecah angka RM 6000 bagi setiap semester. Namun begitu, bagi yang bergantung harap dengan pinjaman PTPTN mereka hanya menerima sekitar RM 3*** sebulan.

Di tambah lagi dengan bebanan kenaikkan harga minyak menyebabkan mahasiswa sedikit sebanyak terpaksa menanggung derita yang semakin dirasai ini. Inilah yang dikatakan kenaikkan berantai kesan daripada kenaikkan harga minyak bulan lepas.

Kepada rakan-rakan yang mengharapkan tindakan dari kami, insya Allah dalam masa yang terdekat kami akan cuba berusaha membuat survey dan mengusulkan perkara ini kepada pihak pentadbiran. Namun begitu, sekiranya tidak berjaya, barulah kita menjalan jalan penyelesaian yang lain.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Saturday, February 5, 2011

Akhirnya saya melabuhkan sauh di Fitrah Perkasa


Semalam semasa bertaaruf bersama generasi baru PMIUM, telefon bimbit saya bergetar. SMS tersebut berbunyi, “Tahniah! Anda berjaya melepasi temuduga. Anda diminta lapor diri pada 20 Mei 2009 di Fitrah Perkasa”. Rasa syukur di dalam hati yang sebelum ini sudah berbunga gembira kerana menerima adik-adik baru daripada rahim tarbiah PMIUM.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pemohon yang lebih tua, namun begitu Allah tetap mengurniakan saya rezeki untuk mencari pengalaman di Fitrah Perkasa. Ketika ditemuduga, kelihatan wajah Ustaz Phahrol dan Tuan Haji Ahmad Salim agak terkejut apabila saya menyatakan bahawa saya baru menghabiskan menghadapi peperiksaan semester akhir pada 29 April lepas dan belum konvo.

Tidak dinafikan, selain daripada rezeki daripada Allah SWT, pengalaman menguruskan program-program motivasi secara percuma sejak daripada tingkatan 5 lagi menjadi kredit kepada saya semasa ditemuduga. Bukan niat untuk menceritakan kerja kebajikan selama ini, namun begitu ianya terpacul sebaik sahaja saya disoal berkaitan dengan pengalaman di dalam bidang motivasi ini. Saya masih ingat, ketika ditemuduga oleh panel Biasiswa OCBC berkenaan aktiviti kemasyarakatan, saya menceritakan aktiviti motivasi percuma yang dijalankan dari sekolah ke sekolah. Alhamdulillah, di dalam temuduga tersebut saya berjaya menjadi mahasiswa jurusan pengajian Islam pertama dianugerahkan biasiswa OCBC. Semuanya dibuat semata-mata mahu melihat dunia ini dihiasi dengan generasi baru yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Saya berpegang teguh dengan pesanan nabi, “Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hak kamu”. Pernah pada tahun 2005, pihak pengurusan Felda menghilangkan nama saya sebagai penerima anugerah tunggal anak felda yang mendapat STPM terbaik iaitu 5 Prinsipal A dan digantikan dengan penerima yang mendapat 3 Prinsipal A dan teman satu sekolah yang mendapat 4 Prinsipal A dan 1 B. Tetapi hati saya tetap reda berhadapan dengan cabaran ini. Saya melihat ayah seakan-akan mahu menangis kerana kecewa. Sudahlah sebelum ini hak untuk mendapatkan lembu pawah dinafikan, tetapi dengan berkat kesabarannya lembu yang dipelihara sendiri sudah mencecah angka puluhan ekor. Ujar saya kepada ayah, “Biarlah depa nak buat apa pun, Rezeki ni hak Allah. Insya Allah ada rezeki yang akan Allah bagi yang kita tak Nampak”.

Berkat kesabaran, akhiranya saya ditawarkan biasiswa JPA dan OCBC. Saya membuat perhitungan untuk memilih OCBC sebagai penaja saya kerana jumlah yang ditawarkan lebih lumayan berbanding biasiswa JPA pada ketika itu dan tidak terikat dengan pihak penaja. Ketika inilah emak dan ayah betul-betul terharu kerana buat pertama kalinya diberikan peluang menjejakkan kaki ke Hotel di tengah bandaraya atas tajaan pihak OCBC kerana menghadiri majlis penganugerahan biasiswa yang saya terima. Inilah yang dikatakan rezeki daripada Allah SWT. Tiada siapa yang boleh melawan kehendak-Nya.

Ketika saya memaklumkan kepada Syakir bahawa saya telah mendapat kerja, beliau membalas “Rezeki pejuang memang dipermudahkan oleh Allah”. Saya tersenyum sendirian membaca sms yang dikirimkan tersebut.

Jika diikutkan kehendak hati sememangnya saya tidak mahu bekerja kerana berkeinginan hendak menyambung Master ataupun Diploma Amalan Guaman dan Kehakiman (DAIJ), tetapi faktor keewangan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menambah pendapat disamping membantu ibu dan ayah dikampung. Tambahan pula pada hujung bulan ini berkemungkinan tinggi pokok getah yang sudah cukup tempohnya akan ditebang. Ini akan menambahkan bebanan mereka yang hanya bergantung kepada wang sara hidup yang dibekalkan oleh pihak Felda.

Dengan gaji yang tidak seberapa ini saya berdoa kepada Allah SWT untuk terus memberi kekuatan kepada saya untuk mengirimkan wang saku kepada emak dan ayah dikampung. Ketika saya menelefon emak menyatakan hasrat tersebut, beliau menolak hasrat tersebut dan menyuruh saya menyimpan wang tersebut untuk masa depan. Namun begitu, saya memberitahu ibu bahawa biarlah gaji sedikit tetapi keberkatan dan doa emak yang saya harapkan. Inilah niat dan harapan saya.

Saya yakin, bukan wang yang dapat membahagiakan emak dan ayah, tetapi wang tersebut dapat menceriakan mereka kerana ianya datang daripada anak yang dikandungnya selama ini. Saya hanya mampu berdoa setiap kali selepas solat agar Allah SWT sentiasa merahmati emak dan ayah dan membahagiakan kehidupan mereka.

Saya teringat kisah As-Syahid Abdullah Azzam yang memberikan lebih daripada separuh gajinya untuk kedua orang tuanya. Mungkin saya tidak sehebat itu, namun dihati ini tersemat niat untuk menyumbang sebahagian gaji kepada emak dan ayah. Biarlah sedikit sepadan dengan gaji yang kecil, tetapi sekurang-kurangnya mendapat berkat daripada Allah. Saya yakin, kegembiraan emak dan ayah lebih membuatkan saya bahagia.

Di samping itu, saya juga mengharapkan dengan bekerja di Fitrah Perkasa ini dapat memberi ruang kepada saya menghabiskan pengajian bersama Tuan Guru Dr Haron Din, di Pusat Perubatan Darus Syifa yang bakal berlangsung sehingga bulan 12 nanti. Pesan Tuan Guru selalu saya pegang, iaitu setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah dengan ikhlas. Hanya dengan ikhlas inilah martabat kita sebagai seorang insan akan makin bertambah. Bahkah akan dihormati oleh seluruh makhluk di langit dan di bumi.

Mudah-mudahan peluang pekerjaan yang diberikan ini tidak menghalang saya daripada bergerak kerja di dalam jemaah. “Ya Allah, Aku bermohon supaya engkau merahmati pekerjaan baruku ini. Mudah-mudahan dengan pekerjaan ini ianya akan merapatkan lagi diriku dengan Islam dan menjadi tiket untuk mencium bau syurga-Mu”.

Terima kasih kepada pihak Fitrah Perkasa yang memberi ruang kepada saya untuk mencari pengalaman di sini. Insya Allah, esok saya akan bersama tenaga kerja Fitrah Perkasa akan bergerak ke Paka, Terangganu menguruskan program di sana.

Friday, February 4, 2011

SEJAHTERA Bersama PMIUM SIRI 1: (Perbezaan tema antara PMI)


Poster sesi lepas selepas. Sekarang semua kepimpinan PMIUM merupakan pelajar tahap akhir yang berada di tahun ketiga

Sejahtera Bersama PMIUM. Itulah tema PMIUM pada sesi kali ini yang dipilih bagi menggantikan “PMIUM untuk semua”. Walaupun ada yang masih sayang dengan tema “PMIUM untuk semua” namun begitu ianya digantikan kerana telah diguna pakai oleh sebuah parti politik di dalam negara kita. Kerana tema tersebut, ramai yang membuat polemik bukan-bukan berkenaan dengan PMIUM. Sedangkan penggunan PMIUM untuk semua lebih awal daripada parti politik tersebut. Bagi mengelakkan tuduhan liar ini terus dilemparkan, maka lahirlah ilham ‘Sejahtera bersama PMIUM’.

Bagi Ikatan Studi Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), mereka memilih untuk mengekalkan tema tahun lepas iaitu “ISLAM untuk semua”. Manakala bagi Kelab Makruf (Ma’ruf Club) di UIAM mereka memilih tema “Discover The Beuty Of Islam”. Persatuan Mahsiswa Islam Univesiti Putra Malaysia pula memilih tema “Your Excellent Partner”. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) pula memilih tema “Bersama Membangun Ummah”. Bagi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) pula tema mereka cukup ringkas dan padat iaitu “Islam Syumul”.

Jika dibandingkan diantara kesemua tema tersebut, tema PMIUM mempunyai keunikan tersendiri. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan perbezaan tersebut. Tetapi saya yakin ramai juga yang sedar akan perbezaan tersebut.

Jika diletakkan titik persamaan, terdapat persamaan diantara tema Ma’ruf Club, ISIUKM, PMIUTM dan PMIUSM. Keempat-empat persatuan ini memilih untuk menonjolkan ciri-ciri tarbiah di dalam tema mereka kepada masyarakat kampus. Melalui tema tersebut, masyarakat kampus sudah sedia maklum bahawa PMI dikampus tersebut merupakan badan induk bagi mahasiswa Islam.

Bagi PMIUPM, tema mereka agak menarik. Your Excellent Partner. Lafaznya begitu ringkas dan membawa maksud yang mendalam. Bersesuaian dengan kondisi masyarakat kampus UPM yang rata-ratanya merupakan golongan bukan Islam, pemilihan tema yang bersifat kekitaan ini boleh mencuit hati rakan tahalluf PMIUPM yang terdiri daripada kaum Cina dan India. Sudah tentu tema yang ditonjolkan lebih berbentuk dakwah, bukannya berbentuk Tarbawi.

Bagi PMIUM pula, tema pada kali ini masih lagi mengekalkan konsep yang sama dengan tema PMIUM untuk semua. Hal demikian kerana tema ini menonjolkan PMIUM sebagai doktrin utama kepada warga kampus. Melalui wadah PMIUM seluruh warga kampus akan mendapat kesejahteraan dan keharmonian. Hal demikian kerana teras pembawaan PMIUM adalah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itulah lahirlah tema Sejahtera Bersama PMIUM yang diharmonikan lagi bagi membolehkan PMIUM terus diterima oleh masyarakat kampus.

Dalam tema yang digunakan ini, sudah ternyata PMIUM mempunyai persamaan dengan PMIUPM kerana tema yang diwar-warkan kepada masyarakat kampus adalah tema yang berbentuk siasah dan dakwah. Bagi PMIUM situasinya adalah sama dengan sahabat-sahabat di UPM. Tema yang digunakan ini adalah mengambil kira komposisi masyarakat bukan Islam yang wujud di dalam kampus.

Ia juga bagi mengharmonikan hubungan diantara kaum yang terjalinan samada di dalam tahalluf siasi semasa Pilihan Raya Kampus ataupun melalui hubungan persaudaraan sesama manusia. Dengan pembawaan yang sederhana inilah, terdapat ahli berdaftar PMIUM yang merupakan mahasiswa bukan Islam. Ini kerana mereka percaya bahawa, PMIUM bukan sekadar membawa kesejahteraan kepada masyarakat Islam, tetapi membawa kesejahteraan kepada seluruh mahasiswa di Universiti Malaya ini

Walaupun tidak ditonjolkan perkataan Islam ataupun perkataan yang mempunyai unsur-unsur tarbiah, namun begitu agenda pembawaan PMIUM pada kali ini tetap menjadikan “idea faham Islam” sebagai intipati perjuangan. Hal ini bagi memastikan berlakunya Ledakan Ubudiyyah dalam kalangan masyarakat kampus.

Penggunaan Sejahtera bersama PMIUM juga adalah untuk diwara-warakan kepada seluruh warga kampus bahawa PMIUM bukannya sebuah persatuan yang ekstrim, tetapi sebuah persatuan yang menjadikan Islam sebagai agenda perjuangan. Islam itu sendiri membawa maksud Sejahtera dan Selamat.

Ikuti siri seterusnya..

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Wednesday, February 2, 2011

Mahasiswi dan Perjuangan Hak Wanita


Terdapat 6 orang jururawat pelatih lelaki yang hadir pada kuliah pagi tersebut

Ramai lelaki sering mengeluh apabila berbincang soal wanita. Lazim kedengaran suara-suara kecil yang memperkecilkan wanita seperti wanita kuat merajuk, wanita kuat menangis, wanita itu dan ini. Rata-ratanya bercakap soal kelemahan kaum wanita.

Entah mengapa, seringkali dikaitkan wanita dengan sikap yang negatif. Seringkali saya fikirkan, sekiranya wanita itu kuat merajuk, ada juga lelaki yang kuat merajuk. Bahkan lebih teruk rajuknya dari wanita. Sekiranya wanita dituduh kuat menangis, tidak dinafikan lelaki juga ada yang kuat menangis.

Begitu juga lelaki. Sekiranya ditunding jari bahawa lelaki tidak kemas dan bersih, maka ada wanita yang bukan pengemas dan pembersih orangnya. Sekiranya di katakan lelaki itu kuat, ada juga wanita yang kuat. Begitulah perumpamaan yang cuba saya bawakan di dalam kisah permulaan berkenaan wanita ini. Saya tertarik untuk membincangkan berkenaan wanita ini kerana ianya adalah suatu perkara yang menarik. Bahkan ianya menjadi topik hangat yang dibincangkan secara serius di mana-mana sahaja.

Tidak dinafikan, sikap merendah-rendahkan kaum wanita ini sudah menjadi tradisi dan tertanam di dalam kehidupan masyarakat Melayu di negara kita. Bahkan secara tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri melakukannya.


Jururawat Pelatih PPUM sedang mendengar kuliah

Apabila membincangkan berkenaan persoalan lelaki dan wanita, seringkali kita melihat kaum wanita selalu diperlekehkan. Mereka seringkali dianiyai dan di pergunakan. Antaranya penganiyaan dari sudut perlaksanaan (genital multination) ataupun penyiksaan terhadap alat kelamin anak perempuan, sexual and emotional harassment dan sebagainya. Apabila mereka cuba bersuara, seringkali hak mereka dinafikan.

Daripada situasi inilah lahirnya golongan-golongan feminisme yang memperjuangkan hak kebebasan wanita. Hal demikian kerana mereka bangun untuk menyatakan rasa hati mereka bahawa sebagai seorang manusia, mereka juga mempunyai hak kebebasan. Dari sini lahirnya golongan-golongan Feminisme Liberal, Feminisme Radikal, Feminisme Marxis.

Sengaja saya menyentuh secara ringkas berkenaan isu ini diperingkat permulaan saya menulis artikel ini. Hal demikian kerana saya akan cuba membincangkan isu ini sehingga selesai sehingga menyentuh dasar-dasar berkenaan dengan The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW) yang cuba diserap masuk di dalam negara kita dengan beberapa pengubah suaian bertepatan dengan hukum syarak. Di dalam artikel ini saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan sikap mahasiswi-mahasiswi ahli Gerakan Mahasiswa Islam di negara kita.

Sudah hampir 50 tahun Gerakan Mahasiswa Islam mewarnai corak politik kampus dinegara kita, tidak dinafikan kebangkitan ini sering dikaitkan dengan kewujudan sayap kiri perjuangan iaitu golongan siswi itu sendiri. Di mana saja selalu di kumandangkan bahawa mahasiswi adalah sayap kiri perjuangan, tanpa mereka maka cacatlah perjuangan ini.

Saya tertanya-tanya adakah disebabkan doktrin sayap kiri perjuangan inikah yang menyebabkan golongan mahasiswi takut untuk ke hadapan memimpin perubahan dan mencorakkan gerakkan mahasiswi yang lebih bertenaga dan radikal.

Sebagai contoh dinegara barat, golongan-golongan radical feminisme ini dengan beraninya bangkit memperjuangkan hak mereka. Walaupun perjuangan mereka salah kerana mahukan kesamarataan yang melampau, misalnya sekiranya kaum adam boleh berjalan di bandar tanpa memakai baju mereka juga mahu melaksanakan perkara sedemikian.

Apa yang saya ingin tekankan disini, sewajarnya semangat memperjuangkan hak wanita yang ada pada golongan ini diambil oleh siswi GMI bagi memperkasakan gerakan mahasiswi. Tidak cukup dengan sekadar melaungkan slogan 3 B (Bijak, Berani dan Berdikari), tetapi mahasiswi seharusnya bergerak maju ke hadapan untuk memperjuangkan hak mahasiswi yang tertindas.

Banyak isu yang boleh diperjuangkan misalnya berkenaan gangguan seksual, manipulasi wanita dan sebagainya. Sewajarnya mahasiswi-mahasiswi GMI menghadam di dalam diri mereka berkenaan dengan peruntukkan dan dasar-dasar yang dibuat untuk menjaga hak wanita. Saya yakin dan percaya, sekiranya hal sedemikian dilaksanakan nescaya akan lahir generasi ahli gerakan yang mempunyai wawasan dan cita-cita yang besar tanpa terikat dengan kepompong pemikiran lama yang hanya suka menjadi follower, bukannya menjadi leader.

Saya mengharapkan suatu hari nanti, wujudnya golongan-golongan mahasiswi yang lebih agresif sehingga ketika itu mungkin mereka sendiri yang memacu perjuangan gerakan mahasiswa. Siapa tahu suatu hari nanti pengganti Ust Dzulkhairi di dalam GAMIS adalah seorang wanita. Tidak mustahil perkara ini berlaku, kerana perlunya pemerkasaan wanita di setiap peringkat gerakan Islam.

Sekiranya hari ini wanita sudah mampu bergelar Naib Canselor, sudah mampu menjadi Gabenor bank negara, maka sewajarnya ahli gerakan mahasiswi merencanakan hala tuju mereka untuk meletakkan tokoh-tokoh mahasiswi untuk mengisi jawatan-jawatan penting di masa akan datang.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com