Thursday, November 10, 2011

Ular Sawa melintang jalan

Bonggol Ular Sawa: Ihsan Email sahabat

Bonggol yang saya paparkan ini merupakan bonggol agak menggerukan kita. Di kampung saya ketika proses penebangan getah berlaku, banyak kes sebegini yang berlaku. Pernah suatu ketika sebuah lori terpaksa membrek secara mengejut kerana terdapat lintangan ular tedung selar yang cukup besar di atas jalan raya. Kata emak bahaya sekiranya dilanggar kerana libasan ekor ular tersebut boleh memecahkan cermin lori tersebut disebabkan terlalu besar.

Jika berkesempatan melihatnya sudah tentu kita cuak disebabkan ular yang terlalu besar. Ini belum Babi yang menghalang jalan. Silap hari bulan di kejar oleh Babi hutan yang begitu liar.

Madrasah Rahimi dan Kamal Ihsan

faisal mustaffa 2

Sebaik saja sampai daripada Sarikei kira-kira jam 1 pagi, saya terus mencapai buku untuk membaca serba sedikit berkenaan Isra dan Mikraj. Walaupun agak keletihan, tetapi keesokkan harinya saya perlu tempat sahabat saya Rahimi dan Kamal mengajar. Kebetulan pula, sehari selepas program hujung minggu saya diberikan pelepasan untuk bercuti selama sehari.

Kesempatan ini saya luangkan untuk berkongsi ilmu israk mikraj yang saya perolehi hasil pembacaan beberapa buah buku-buku berkaitan kisah tersebut. Tumpuan yang diberikan adalah berkenaan dengan Ibrah Isra’ Mikraj dan kaitannya dengan kejayaan seorang pelajar. Alhamdulillah, walaupun sedikit pening-pening keletihan, ceramah tersebut dapat disampaikan dengan baik. Semuanya adalah disebabkan kekuatan dan tenaga yang diberikan oleh Allah S.W.T.

faisal mustaff3

Para pelajar tingkatan 1 – 3 sedang mendengar ceramah Isra’ dan Mikraj

Wednesday, November 9, 2011

Petronas paling untung, Rakyat Makin Bingung

Semalam, terpampang di muka akhbar “Petronas ke-8 paling untung didunia”. Menurut laporan ini, Petronas berada di dalam ranking kelapan syarikat paling untung di dunia tahun lalu berdasarkan senarai Fortune Global 500 majalah perniagaan Fortune.
Di Asia pula, ia muncul syarikat paling untung, mengambil tempat pengeluar kereta terbesar dunia, Toyota Motor dari Jepun, yang mendahului senarai itu pada 2006.

Dalam senarai keseluruhan Fortune Global 500 yang menyenaraikan 500 syarikat terbesar dunia berdasarkan jumlah pendapatan pula, Petronas berada di kedudukan ke-95.
Di kalangan syarikat Asia, Petronas yang meraih pendapatan dalam nilai dolar Amerika Syarikat AS$66.218 bilion dan keuntungan AS$18.118 tahun lalu, berada di kedudukan ke-16 senarai berkenaan.

Perkara ini mungkin menjadi kebanggaan pemimpin negara, namun begitu keuntungan ini langsung tidak memberikan kelegaan kepada seluruh rakyat di negara kita. Hal demikian kerana, dalam kita berbangga Petronas mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda ini, rakyat dibebankan dengan kenaikkan harga minyak yang melampau. Makin bingung rakyat dibuatnya.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, November 8, 2011

Kem Solat Felda Bukit Tangga


Barisan Fasilitator bersama Guru SKFBT


Kolam ikan, kenangan sejak dulu

Kenangan Bumi Kenyalang


Demam Chikungunya

Jam menunjukkan tepat 2 pagi. Saya bangun dan membersihkan diri untuk menanti untuk ke pejabat seawal jam 4 pagi. Hendak diletakkan kembali kepada dibantal, takut pula sekiranya terus terlajak sehingga subuh. Sebab itulah saya melelapkan mata sebaik sahaja usai menunaikan solat Isya.

Terasa sakit-sakit di sendi di seluruh badan. Jika diikutkan hati, sudah berputus asa untuk mengambil penerbangan ke Kuching pada pagi ini. Namun begitu, disebabkan tanggungjawab, saya gagahi juga untuk pergi walaupun dalam keadaan demam Chingkunya belum kebah.

Sebaik selesai program Anak-anak Bernas di Nur Lembah Pangsun, mujur ada senggang masa selama 2 hari. Hal demikian kerana, selama 2 hari tersebutlah saya terkujur keletihan menanti kebahnya demam Chingkunya ini. Perit rasanya. Lidah-lidah terasa pecah dan sendi-sendi terasa sengal-sengal.

“Ujian atau Bala?” saya terfikir sendirian. Teringat saya kepada sebuah mafhum sebuah hadis baginda Rasulullah S.A.W, dimana Rasulullah S.A.W pernah berpesan bahawa sekiranya zina berleluasa maka akan datanglah penyakit-penyakit baru kepada manusia.

Sebelum ini muncul selsema burung, diikuti oleh Chikungunya dan yang terbaru datangnya serangan selsema Babi ataupun dengan nama manjanya H1N1. Menurut Tuan Guru Dr Haron Din di dalam kuliah Perubatan Islam, kerajaan seharusnya memberi arahan supaya doa qunut nazilah dibacakan diseluruh negara bagi menolak bala yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Bukan mudah untuk menolak bala sebegini melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T.

“Jangan lupa minum ayaq nyok dengan ayaq asam jawa” pesan ayah setiap kali saya memetik butang menelefon ke kampung. Kata ayah penawar bagi Chikungunya ini adalah air kelapa dan air asam jawa adalah sekadar untuk menurunkan suhu badan yang melampau. Menurut ayah, demam ini sukar untuk sembuh dan mungkin mengambil masa sehingga 8 bulan. Sebelum ini emak dan ayah juga diserang demam Chikungunya ini, dan sehingga hari ini masih belum sembuh sepenuhnya.

Lapar..lapar..lapar…perut berbunyi minta untuk diisi. Sejak daripada siang ianya tidak terisi kerana tiada selera makan. Lidah terasa pedih apabila dimasukkan makanan walaupun yang tidak pedas. Begitulah hidup di dunia ini, kita mungkin mempunyai duit untuk membeli apa sahaja jenis makanan, tetapi kita tidak berupaya untuk memberi selera untuk makan. Hanya sekadar membeli pembuka selera, tetapi tidak diberi selera oleh Allah kita tetap tidak akan dapat makan makanan tersebut.

Terbang Ke Kuching

Sebaik sahaja selesai menjamah nasi lemak RM 2 daripada Mapley, saya terus duduk menanti jam 4 pagi. Terasa lambat masa berlalu. Mengantuk harus saya lawan kerana takut terlajak. Kira-kira 4.00 pagi saya keluar dari rumah menuju ke pejabat. Setiba di sana belum kelihatan kelibat Ust Hashim dan Ust Sayuti yang akan turut sama ke Kuching, Sarawak.

Kira-kira jam 4.30 pagi muncul Ust Sayuti menaiki LIMO dan dan disusuli Ust Hashim yang dihantar oleh anaknya. Sepanjang menaiki LIMO menuju ke KLIA, saya sempat melelapkan mata.

Risau juga di dalam hati sekiranya saya tidak lepas dikawasan pemeriksaan di KLIA dan Lapangan Terbang, Kuching. Tambahan pula dalam suasana kelam kabut demam selselma babi ini (nama manjanya H1N1) ini sudah tentu kawalan ketat yang akan dikenakan.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sehingga melepasi pemeriksaan dan menaiki pesawat Airbus Air Asia. Pesawat yang kami naiki berlepas kira-kira jam 7.30 pagi. Inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang, dan inilah juga kali pertama saya menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini.

Sepanjang penerbangan kira-kira 45 minit itu, mata meliar melihat pemandangan diluar dan semasa hendak sampai di Sarawak kelihatan muka bumi Sarawak yang penuh dengan anak-anak sungai. Betapa agungnya ciptaan Allah, sungguh cantik kelihatan bumi Kuching ini daripada udara.

Sebaik sampai di Lapangan Terbang Kuching pihak pengurusan Bernas sudah bersedia menantikan kami bersama Toyota Hilux berwarna hijau. Sebaik menaiki kereta, kami dibawa ke sebuah kedai mamak di sana. Ust Hashim meminta minuman “3 layer”. Pelik juga saya mendengarnya. Rasa teringin juga untuk mencuba, tetapi memandangkan demam Chingkunya belum kebah, saya membatalkan saja hasrat tersebut. Cukup sekadar barli suam dan roti sardin. Sebaik selesai kami menuju ke Uitm, Kota Samarahan. Program untuk anak-anak Bernas ini akan berjalan selama 4 hari 3 malam dikampus Uitm ini.

Program di Kuching

Bermulanya program kami disini kira-kira jam 2.30 petang. Sepanjang 3 hari 4 malam berprogram disana, kelihatan ada perubahan yang ketara dalam kalangan peserta anak-anak Bernas Sarawak ini. Walaupun Fitrah Perkasa jarang berprogram bersama remaja kerana menumpukan kepada syarikat-syarikat korporat, namun begitu perjalanan program tetap berjalan lancar dan modul-modulnya berkaitan kesedaran beragama dan beribadah terutama solat memberikan kesan terhadap adik-adik peserta yang hadir.

Apa yang dirasakan cukup menyentuh hati adalah apabila membaca surat wasiat para peserta. Ada yang meminta supaya ibu dan ayah mereka menjaga solat fardu 5 waktu. Ada juga yang meminta supaya ayah mereka belajar cara-cara solat jenazah supaya nanti boleh menyembahyangkan jenazah mereka.

Walaupun saya kurang bergaul dengan para peserta disebabkan kelesuan yang berpunca daripada demam Chikungunya ini, namun begitu kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Ust Hashim dan Ust Sayuti kepada para peserta meninggal kesan yang cukup mendalam.

Sehingga dihari yang terakhir, Amir selaku penghulu menyatakan di dalam ucapannya dihadapan Ketua Pengarah bahagian latihan bahawa sepanjang mengikuti program yang dianjurkan oleh Bernas, inilah kali pertama penekanan diberikan kepada unsur rohani. Harapannya supaya dimasa akan datang, program kerohanian sebegini sewajarnya diteruskan kepada anak-anak Bernas.

Bahkan Encik Mahsin, selaku pegawai Bernas cawangan Sarawak meminta supaya program ini turut diberikan kepada kakitangan Bernas seperti yang dilakukan oleh Bank Rakyat yang sudah hampir 10 tahun bersama Fitrah Perkasa.

Sebaik selesai program di Uitm Kota Samarahan, kami dihantar oleh Abang Wan ke Continential Hotel. Di sana kami akan berprogram bersama kakitangan Bank Rakyat untuk menjalankan program nilai R.A.K.Y.A.T di dalam solat. Alhamdulillah selama 2 hari 3 malam, program berjalan dengan lancar.

Namun begitu, sepanjang dibumi kenyalang ini saya tidak sempat merasa Mee Colok menikmati air “3 layer” yang menjadi makanan dan minuman yang popular di bandar Kuching ini.

Beg Tertinggal

“Alamak, mana beg biru lap top”, hati saya berbisik sendirian. Saya berpaling kepada Ust Hashim dikaki tangga pesawat Air Asia di KLIA. “Ust, beg lap top hilang. Cek dari Bank Rakyat ada dalam tu”, saya memberitahu Ust Hashim. Kelihatan wajahnya agak terkejut. Perasaan bersalah menguasai diri saya. Saya memanjat kembali tangga pesawat dan meneliti tempat duduk kami. Hampa…tiada beg seperti yang diharapkan.

“Itulah Faisal, lain kali kena teliti betul-betul barang-barang yang dibawa. Jangan harapkan orang lain”, ngomel Ust Sayuti kepada saya. Terasa bersalah di dalam hati mengenangkan kali pertama menaiki kapal terbang, tertinggal perkara yang cukup penting bagi syarikat.
Bukan sedikit jumlah cek yang tertinggal. Serabut saya memikirkan.

“Yakinlah Faisal, Allah tetap bersama kamu”, hati kecil saya berbisik sendirian. Hati sentiasa berzikir mengharapkan pertolongan Allah. Saya masih berkeyakinan bahawa hanya pertolongan Allah sebagai penyelesaian kepada masalah ini.

Mulalah terfikir perkara yang pelik-pelik. “Kalaulah beg tu terus ada kat pejabat macam kisah seorang wali kan bagus’, hati saya berbisik sambil mengingati siri kuliah Tuan Guru Dr Haron Din mengenai kisah seorang yang membayar hutang hanya dengan menghanyutkan dinar emas di dalam kayu, kemudiannya dengan izin Allah dinar tersebut sampai kepada orang yang memberi hutang. “Tapi kamu bukan wali. Banyak maksiat” hati kecil saya bercakap lagi.

Sementara menunggu Ust Hashim solat di surau KLIA, saya termangu-mangu sendirian menunggu beg sambil berzikir. Usaha untuk menghubungi pihak bank rakyat untuk membatalkan cek juga tidak berjaya.

“Jangan risau Faisal, kalau Allah nak bagi balik mudah saja”, Ust Hashim menenangkan saya sebaik sahaja beliau usai solat. Hati saya tersebut bergelojak didalam sepanjang perjalanan daripada KLIA ke pejabat sehinggalah tiba dirumah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Alhamdulillah Faisal, beg dapat balik. Kawan ana dah contact pihak Airport. Dia yang akan simpankan beg tersebut”, Ust Hashim menelefon saya semasa sedang menukar minyak hitam sebelum pejabat kira-kira jam 10 pagi.

Terasa syukur ke hadrat Allah. Betapa pemurahnya Allah S.W.T yang sentiasa mengasihani hambanya walaupun sering terleka kepada-Nya.


Tarikh 9-14 Jun 2009

Sunday, November 6, 2011

Sejarah PMIUM

SEJAHTERA BERSAMA PMIUM: Mudah-mudahan dengan perkahwinan masyarakat akan menjadi sejahtera.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya atau akronimnya PMIUM telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1950-an (1956). Penubuhan PMIUM adalah hasil inisiatif Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, seorang mahasiswa Islam di Universiti Malaya, Singapura (kini dikenali sebagai National University of Singapore). Pada tahun 1059/1960, Universiti Malaya berpindah lokasi ke Kuala Lumpur. Maka, PMIUM juga turut memindahkan operasi persatuan dan gerakan dakwahnya ke kampus baru tersebut.

Kondisi uni perdana pada ketika itu sangat liberal dan jauh daripada suluhan agama dan dogma budaya ketimuran. Paradigma rata-rata mahasiswa Islam khususnya mahasiswa Melayu sendiri lebih dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan nasionalisme ekstreme. Bertitiok tolak pada hakikat ini, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas telah melakukan suatu ijtihad dengan menubuhkan PMIUM demi menggerakkan idea ‘faham Islam’ dalam lapangan umat kampus dan nasional.

Biarpun PMIUM pada peringkat awal kurang didekati oleh mahasiswa Melayu, namun sedekad usia penubuhannya mula memperlihatkan suatu pola gerakan dinamik dan menjadi sebuah badan dakwah yang sangat aktif dalam mendepani arus massa. Usrah [kini dikenali sebagai Islamic Interactive Groups - iGG) dan ceramah agama rancak diadakan di Surau-Surau Kolej Kediaman UM dan menjadi medium utama dalam membangunkan gerakan dakwah di kampus. Qiammullail, Kuliah Umum, Tamrin (workshop), rehlah (berkelah) dan muqaiyam (khemah ibadat) menjadi sebahagian program tradisi ‘tarbiyyah’ PMIUM.

Gerakan dakwah PMIUM tidak statik malah terus mara meniti arus massa kampus. Fenomena maksiat dan lucah dalam Minggu Orientasi telah mendorong PMIUM melakukan demontrasi aman pada tahun 1971. Natijahnya, PMIUM diberi ruang menyertai Jawatankuasa Orientasi (JKO) demi menerapkan ‘faham Islam’ kepada para mahasiswa baru (freshes).

Pada tahun 1986, PMIUM turut membantah majlis ball night, Malam Kebudayaan dan Malam Bakat Kampus anjuran HEP. Program-program ini bukan sahaja mempunyai unsur maksiat dan perjudian, malah tidak menepati objektif asal Haluan Siswa. Natijahnya, PMIUM dinafikan hak untuk menyertai JKO sesi selepasnya.

Pelbagai tribulasi yang menimpa PMIUM sedikit pun tidak melumpuhkan semangat PMIUM dalam meniti liku dakwah dan perjuangan di kampus. Malah, PMIUM tampil dengan wajah dinamik melalui Majlis Taaruf (kali pertama 1979/80), Minggu Muhibbah, Minggu Suai Mesra, Minggu Silaturrahim, Minggu Taaruf, dan sebagainya demi memastikan agenda dakwah sampai kepada setiap mahasiswa Islam khususnya kumpulan freshes.

Demi memastikan agenda Islah (perubahan) dapat direalisasikan, PMIUM turut menganjurkan demontrasi aman membantah ‘Konvensyen Ball’ (1974), Konsert Anita Serawak (1982), Konsert Sudirman (1985), Konsert Headwind (1987), Konsert Ramli Sarip (1988), Konsert Sheila Majid (1989), Konsert Sheila Majid & H. Amin (2002) dan sebagainya.

Program Pesta Kolej di Kolej Kediaman UM dan Pestaria Kebajikan (kini dikenali FESKUM) yang diwarnai unsur maksiat dan perjudian turut mendapat perhatian PMIUM. Atas kesedaran Islam, PMIUM telah menghantar memorandum bantahan kepada konsortium pengetua Kolej Kediaman UM dan HEP sendiri, namun dipandang enteng oleh HEP. Malah PMIUM sendiri buat julung kalinya menganjurkan Konsert Kemanusiaan dan Konsert Campusiana adalah antara modal konsert yang bercorak islamik.

Beberapa siri demontrasi anjuran PMIUM memperlihatkan berlaku pertembungan arus kepemimpinan PMIUM dengan PMUM. Fenomena ini memaksa PMIUM terjun secara langsung dalam politik kampus melalui penyertaan dalam pilihanraya kampus akhir 1970-an. PMIUM (Islamic Groups) berjaya mendominasi (2/3) PMUM pada tahun 1981. Sejak itu, PMIUM mengalami pelbagai pengalaman politik kampus. PMIUM juga pernah boikot PRK pada tahun 1983 dan 2004. Tahun 2005 menyaksikan dummy system PRK oleh PMIUM melalui tajaan calon kerusi umum lebih 30 orang mahasiswa.

PMIUM juga pernah memimpin suatu pakatan politik (tahalluf siyasi) sehingga tertutuhnya Majlis Tertinggi Nasional (MTN) hasil gabungan PMIUM. PKPIM, PAKUM (kini PEMADAH), PERMATA, PMKUM dan sebagainya demi menangani Majlis Tindakan Sementara (MTS) yang telah berjaya merampas kuasa pentadbiran UM. PMIUM juga pernah menyertai BMB, malah pernah menubuhkan NADI (1990) dan GMUM (1999).

Pembinaan gererasi yang Islamik dan karismatik sangat penting bagi PMIUM. Sebagai contoh, inisiatif PMIUM menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM), Kursus Amal Islami (KAMI), Ijtima’ Mahasiswa Islam UM, Kuliah Tasqif , Baktisiswa (Minggu Kebajikan PMIUM ’86), Minggu Kebajikan PMIUM, Seminar Kekeluarga Islam, Malam Tokoh, Kursus Usahawan, Latihan dan Kepimpinan UM (LAKUM) (melalui proksi MPMUM 2002), Riadah Mingguan PMIUM dan sebagainya merupakan antara program tradisi PMIUM. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan menjana kapasiti intelektual dan karismatik kepemimpinan mahasiswa dalam lapangan nasional hatta global.

Tidak hairanlah sekiranya kepemimpinan lepasan PMIUM boleh dilihat dalam pelbagai lapisan sosial dari tangga kepemimpinan negara sehinggalah lapangan rakyat. Sebagai contoh, Senator Dr Fuad Zarkasi (UMNO-Johor); Ahmad Shabery Chik (UMNO-Kelantan), Che Johan Che Pa (UMNO-Kelantan), Muhammad Hussein (PAS-Kelantan), Roslan Kassim (UMNO-Jempol), Mohd Nazri Din (PAS-Perak), YAB Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyu (MB Selangor), Dato’ Dr. Siddiq Fadhil (Presiden, Kolej dar al-Hikmah), YB Dato’ Husam Musa (PAS-Kelantan), Anual bakri Haron (Setiausaha Akhbar MB Kelantan), YB Takiyuddin Ahmad (PAS-Kelantan), Ishak Ismail (Ahli Akademik UPSI), Yazid Othman (Persatuan Wartawan KL), Jamaluddin Ramli (Ahli Akademik UTM), Rosley Ahmad (Advisor RHB Securities dan RHB Equities), Dr. Zulkifli Yusof (ahli akademik UM), Zaharuddin Ab. Rahman (Panel Syariah, RHB Islamic Banking), Mohd Nazri Chik (Panel Syariah BiMB), Zaidi Zain (UMNO-Serdang) dan sebagainya adalah antara tokoh kepemimpinan nasional yang lahir daripada rahim aktivisme PMIUM.

PMIUM bukan sahaja mendominasi pola gerakan dakwah di kampus semata-mata, malah sangat peka dengan isu-isu nasional dan global. PMIUM bersama-sama PKPIM, PBMUM, PMUK dan GPMS pernah menganjurkan demontrasi membantah lawatan Thanom Kittkachorn (PM Thai) ke Kuala Lumpur berikutan rekod penindasan beliau ke atas rakyat Islam Pattani. PMIUM bersama PKPIM juga telah menganjurkan demontrasi di depan kedutaan AS berikutan campurtangan AS dalam Perang Arab-Israel.

PMIUM juga melalui GAMIS telah menganjurkan demontrasi aman membantah pencerobohan AS ke atas Libya (1986), demontrasi mempertahankan Masjid ar-Rahman dan bantah pembinaan Kerinchi Ling (1999), bantah pembinaan restoran McDonald’s di dalam UM (1999) kedatangan pasukan Kriket Israil ke Malaysia (2000).

Sesi 1968/1969 adalah penggal penting penubuhan Lajnah Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dan penubuhan ini telah memberi ‘kekuatan’ baru kepada PMIUM. Antara inisiatif HEWI yang harus dipuji adalah kecaman perlantikan Benazir Bhutto sebagai PM Pakistan. HEWI juga ke hadapan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia agar jururawat Islam dibenarkan memakai busana muslim.HEWI juga telah membuat kenyataan akhbar menyokong Hajjah Rahimah Rahim untuk tidak bergiat dalam dunia hiburan ala ‘glamour’ dan maksiat (1990).

HEWI juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengkritik Dr. Hamid Othman (Menteri JPM) yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehemdak Islam dalam isu peraturan pakaian wanita Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan (1990).

Lebih daripada itu, PMIUM turut menerbitkan beberapa majalah yang sarat dengan unsur agama dan isu semasa. Majalah SEJAHTERA merupakan keluaran sulung PMIUM pada tahun 1961. Selain daripada majalah SEJAHTERA, warkah PMIUM, Suara PMIUM, Renungan Hari Jumaat,`Why Islam Series’, ‘Islam Series’, ‘The Dawn’, ‘Study in Islam Series’, Suara Siswi, al-Muslimah, al-Multazim, al-Jamaah, Teman, ar-Rusydan (terbitan terkini) dan Jurnal Intelek merupakan antara koleksi klasik terbitan PMIUM.

Antara sumbangan besar PMIUM demi mengetengahkan agenda dakwah adalah mendesak pihak kerajaan membina masjid berhampiran Universiti Malaya. Desakan ini disambut baik oleh pihak kerajaan. PMIUM sendiri berusaha mendapatkan sebidang tanah untuk dibina Masjid ar-Rahman pada tahun 1960. PMIUM juga turut melancarkan kutipan dana sehingga masjid ini berjaya dibina pada tahun 1963.

Persediaan prasarana fizikal Universiti Malaya, Kuala Lumpur hanya menumpu pada kemudahan pembelajaran dan intelektual semata-mata, tanpa menitikberatkan soal spiritual. Mahasiswa Melayu-Islam yang kebetulan semakin bertambah bilangan mereka. Realiti ini mendorong PMIUM mendesak pihak pentadbiran UM menyediakan surau-surau di kolej kediaman Universiti Malaya dan desakan ini disambut baik oleh pentadbiran UM.

Selain itu, PMIUM juga telah menubuhkan Badan ar-Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia pada tahun 1962 yang berpusat di Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Badan ini ditubuhkan hasil kerjasama PMIUM dengan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PMIUM juga pernah menganggotai jawatankuasa kecil perhubungan dengan Masjid Negara Malaysia.

PMIUM juga telah menggerakkan suatu gerakan intelektual pada 1967 yang dikenali sebagai ‘Projek Penyelidikan Kepercayaan Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu’ sehingga berjaya membongkar permasalahan masyarakat luar bandar dalam soal kependidikan dan sosio-ekonomi/politik.

Isu kebajikan dan keselamatan juga turut menjadi fokus utama aktivisme PMIUM. Budaya maksiat acap kali dilakukan oleh segelintir mahasiswa UM khususnya di sudut-sudut gelap seperti di bukit Bukit ‘A.i’. Senarion ini bukan sahaja tidak selari dengan tuntutan agama, malah mengancam keselamatan diri dan maruah seluruh mahasiswa UM khususnya komuniti mahasiswi. Justeru, PMIUM mengambil inisiatif mendesak pentadbiran UM agar memasang lampu di sekitar tempat gelap.

Kini, lampu bukan sahaja dipasang sepanjang jalan di dalam UM, malah di semua fakulti dan akademi turut dipasang lampu demi mengawal sosial masyarakat kampus. Era 1990-an, PMIUM mara selangkah lagi melalui penubuhan sebuah badan pencegah maksiat yang dikenali sebagai BADAR. Modal dan modus operandi badan ini kini diimport oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kod Etika Pemakaian dan Moral yang diperkenalkan oleh HEPA kini adalah hasil desakan PMIUM mengadakan demontrasi pada 1974 di depan kediaman Pengetua Kolej Kediamana Ke-5 UM (KK5 UM) bertujuan menyokong tindakan Pengetua tersebut yang menguatkuasakan dasar dan peraturan universiti berhubung moral mahasiswa dan sanggup menyingkirkan 3 mahasiswa disebabkan masalah moral.

Sebenarnya masih banyak lagi eposid unik PMIUM yang berusia 50 tahun masih belum diteroka dan dibongkarkan sejarah silamnya. Agak sukar kini kita temukan kajian ilmiah dan penulisan tentang PMIUM khususnya pasca periodisasi pertengahan 1990-an sehingga zaman milenium masih belum. Mudah-mudahan kajian ilmiah dan penerbitan ‘koleksi emas’ ini dapat disempurnakan demi kepentingan Islam dan ummah sejagat. “50 tahun, PMIUM Meniti Liku Perjuangan”

Hari Interaksi PMIUM (IN-TEAM ’08)

Kepimpinan PMIUM bergambar bersama pimpinan Persatuan Mahasiswa Kelantan

Tanggal 2 Ogos 2008, bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mengadakan Hari Interaksi PMIUM bagi sesi 2007/2008 yang diberi nama “IN-TEAM ’08.” Program yang diadakan saban tahun ini antara lain bertujuan untuk mengumpulkan ahli-ahli PMIUM yang berdaftar, memupuk persaudaraan dalam kalangan ahli baru dan lama, memperkenalkan PMIUM sebagai persatuan mahasiswa berdaftar di kampus Universiti Malaya, serta untuk memperkenalkan barisan kepimpinan PMIUM bagi sesi 2007/2008 kepada semua ahli PMIUM.

IN-TEAM ’08 telah dirasmikan oleh wakil Timbalan Naib Canselor (TNC) bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya, iaitu Prof. Madya Dr. Ahmad Salihin bin Haji Baba. Beliau menyampaikan sedikit amanat dalam menjalankan gerak kerja dakwah, khasnya melalui platform PMIUM. Majlis seterusnya diikuti oleh pelancaran perasmian tayangan multimedia berkenaan badan mahasiswa PMIUM.

Kemuncak IN-TEAM ’08 ialah pengenalan kepada barisan kepimpinan PMIUM dan sesi dialog bersama pimpinan, yang mana dipimpin oleh Setiausaha PMIUM, Mohd Faisal bin Mustaffa, selaku moderator bagi sesi dialog tersebut. Seterusnya majlis diteruskan dengan perasmian kelab-kelab PMIUM, seperti Kelab Fasilitator, Kelab Khidmas (khidmat masyarakat), Kelab Rakan Media, Kelab Sukan, dan Kelab Penyayang.

Melalui IN-TEAM ’08, warga Universiti Malaya, khususnya ahli-ahli PMIUM dapat mengenali PMIUM dengan lebih dekat dan berpeluang terlibat secara aktif dalam persatuan ini. Segala pendapat dan harapan ahli-ahli PMIUM juga dapat disalur dan diperdengarkan menerusi sesi dialog yang diadakan untuk tindakan dan perhatian oleh barisan kepimpinan PMIUM.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Penghinaan terhadap ISLAM

Selepas menjengah beberapa buah blog, saya menjumpai beberapa fakta berkenaan penghinaan yang berlaku terhadap Islam. Mungkin fakta-fakta ini boleh dijadikan pedoman oleh sahabat pengunjung untuk mengetahui dengan lebih jelas berkenaan hal ini:

Antara isi kandungan 'The Satanic Verses' karya Salman Rushdie :

1-Wahyu yang diturunkan ke atas Rasulullah (saw) telah dihantar oleh syaitan malah Rasulullah (saw) tertipu dengan wahyu tersebut. Kemudian Rasulullah (saw) menyampaikan wahyu tersebut sebagai ayat atau surah dalam al-Quran.

2-Pusat pelacuran di kota Mekah diuruskan oleh semua isteri Rasulullah.

3-Salahuddin al-Ayyubi, panglima perang Islam dalam Perang Salib dikatakan sebagai syaitan.

*Ini antara sebab Salman Rushdie dijatuhkan hukuman mati oleh Imam Khomeini.
*Sedikit maklumat mengenai Salman Rushdie :

1-Kerajaan British telah menganugerahkan pingat 'Knight Bachelor' (yang membawa gelaran 'Sir') kepada penulis novel 'Surah Syaitan' kelahiran India itu. Salman yang menghina Islam dan Rasulullah (saw) menerima anugerah tersebut dalam satu majlis sempena ulangtahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81. Salman Rushdie, 60 tahun, anak seorang Muslim dilahirkan di Bombay pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja John Conon kemudian di King College, Cambridge. Pada tahun 1988, ia menulis novel 'The Satanic Versus' (surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Republik Islam Iran, Imam Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Salman Rushdie dihukum bunuh. Sejak itu, Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.

*Kronologi Penghinaan Terhadap Rasulullah (saw) :

1-1969 : Salman Rushdie menghina Nabi (saw) dalam karyanya 'The Satanic Verses'.

2-1990-an : Taslima Nasreen (warga Bangladesh) menghina Nabi (saw) dalam karyanya dan hidup mewah hasil jualan karyanya.

3-Haidar Bin Haidar (rakyat Syria dan bermastautin di Mesir) telah memasukkan Ahli Keluarga Nabi sebagai watak dalam novelnya dan menghina mereka.

4-Seorang editor akhbar 'Nigeria This Day' telah menghina Nabi (saw) dalam kolumnya dengan menyatakan Nabi (saw) akan membenarkan pertandingan ratu cantik di Nigeria dan memilih salah seorang pemenang sebagai isterinya.

5-1997 : Tatyana Suskin (wanita Yahudi) membuat dan menyebarkan 20 poster yang menghina Islam dan Nabi (saw) , antaranya gambar seekor babi.

6-2000 : Farish Noor menulis artikelnya 'Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality' dalam New Straits Times dengan menghina Nabi (saw).

7-2002 : Islama Daniel (wartawan Nigeria) menulis tentang Rasul (saw) dan Miss World. Pertandingan itu adalah untuk memperlekehkan pelaksanaan syari'ah Islam di Nigeria.

8-2004 : Theo Van Gogh (penerbit filem) menghina Islam dan Nabi (saw) dalam sebuah dokumentari atas dasar kebebasan berkarya.

9-2005 : Akhbar Denmark 'Jylands Posten' menerbitkan watak kartun Nabi (saw) sebagai pengganas yang tidak berakhlak. Akhbar-akhbar dari Jerman, Perancis, Belanda, Itali dan Sepanyol turut menghasilkan kartun yang sama untuk menyokong tindakan akhbar Denmark itu.

10-Akhbar 'Sarawak Tribune' menyiarkan kartun yang menghina Nabi (saw) .

11-Akhbar 'Guang Ming Daily' turut menyiarkan foto akhbar yang menyiarkan karikatur itu.

12-Akhbar 'New Straits Times' menyiarkan kartun lain yang menghina Islam dan Nabi (saw).

13-2007 : Salman Rushdie mendapat gelaran 'SIR' daripada kerajaan Britain atas karyanya 'The Satanic Verses'.

* Artikel ini sekadar untuk dijadikan bahan kajian oleh semua pihak.

ihsan dari: Ummu Abiha

Saturday, November 5, 2011

Berehat bersama teman


Bersama saudara Ridzuan Mohammad, dalam satu program kursus kepimpinan

Kepimpinan Baru PMIUM

Bersama dengan sahabat-sahabat PRO-M iaitu saudara Hilman, Saudara Shahir dan Saudara Izzat Amin (YDP PMAPIUM) selepas AGM. Dua dari kiri Ustaz Haafizuddin selaku YDP PMIUM yang baru. Saya dan Hasbie juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pro-M merangkap ahli majlis eksekutif PMIUM 07/08.



Saff kepimpinan baru PMIUM. Dari kanan TYDP Nur Fariza Bt Zahrin (Fakulti Sains), YDP, Mohd Haafizuddin B Abirerah (Akademi Islam), Saya sendiri selaku Setiausaha Agung (Akademi Islam), dan Hasbie Muda selaku Bendahari Kehormat (Fakulti Ekonomi.

Friday, November 4, 2011

Tahniah dan Tazkiah kepada sahabatku Izzat


Saya bersama Izzat pada hari penamaan

Syukran kepada pengunjung yang sudi melawat jendela hikmah ana. Kepada Kak Munawawwirah, ana tidak naik pangkat. Bahkan sudah diturunkan pangkat dalam AGM PMAPIUM 2 hari lepas. Sahabat saya, Izzat Amin, Salsabil, Aizul dan Sobirine diberi taklifan baru untuk memacu perjuangan PMA bagi sesi 08/09.

Mudah-mudahan kepimpinan baru mampu memacu perjuangan Islam dibumi Akademi Islam. Saya merasakan baton yang dipegang oleh Izzat Amin mampu memberi impak yang lebih maksima terhadap perjalanan PMA pada kali ini.

Seorang yang berwajah keanak-anakan. Comel!. Campuran darah Melayu Siam. Anak kelahiran kawasan Baling ini dilihat berkeyakinan meneruskan kesinambungan kepimpinan Islam di bumi APIUM ini.

Izzat Amin merupakan kenalan saya sejak zaman persekolahan lagi. Walaupun beliau pelajar Maktab Mahmud, namun begitu kami pernah berprogram bersama dibawah anjuran Persatuan Pelajar Islam Kedah. Program 2 minggu sekali yang menghimpunkan para pelajar dari seluruh negeri Kedah.

Tetapi perkenalan tersebut tidak membawa kepada bibit ukhuwah yang betul-betul teguh. Kemudian kami bertemu di Masjid Zahir, dalam sesi temuduga ke Darul Quran (DQ). Namun rezki tidak menyebelahi diri. Sebaik sahaja memasuki UM barulah saya tahu Izzat juga tidak tercicir daripada memasuki DQ. Nasibnya lebih baik apabila terpilih memasuki Nilam Puri, dalam bidang Pendidikan Islan pengkhususan Pengajian Al-Quran.

Tautan ukhuwah kami semakin tercantum ketika sama-sama mengikuti latihan calon PRK. Ketika itu Izzat agak keberatan untuk bertanding. Pelabagai alasan yang diberikan. Itulah, inilah. Semuanya untuk melepaskan diri. Geli hati saya mengingati karenah “si comel” bermata sepet ini. Jangan marah Izzat. Ana yakin dengan kapasiti nta.

Saya sendiri beberapa kali memujuk beliau. Akhirnya beliau menjadi gandingan saya dalam mempertahankan kerusi Akademi Pengajian Islam. Semasa hari penamaan calon saya masih ingat, Izzat tersalah isi borang. Walaupun telah berkali-kali diingatkan namun beliau alpa. Pucat muka saya ketika itu. Kering darah memikirkan nasib Izzat. Mujur ada sehelai lebihan borang yang disimpan. Sebelum masuk ke dalam dewan, saya merupakan pemegang rekod “perosak” borang paling tinggi, 11 keping semuanya. Membazir betul, itulah akibat terlalu cuai.

Saya masih teringat ketika Izzat menemani saya untuk berceramah di Kedah menggantikan Abang Dzul yang ketika itu berangkat ke Mesir. Kebetulan tempat ceramah tersebut berhampiran rumah beliau. Saya mengambil kesempatan berehat dirumah beliau dan merasai air tangan emaknya. Namun persinggahan saya di bumi Balinh ini hanya sebentar. Pada malam tersebut, usai saja berceramah kami terus memacu kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur memandangkan keesokkanya harinya ada kelas yang masih menunggu. Sepanjang saya memandu, Izzatlah orang yang menemani saya. Walaupun dia tersengguk-sengguk, namun tetap berusaha untuk bersembang dengan saya. Hati kecil saya tersenyum ketika itu.

Pernah juga suatu ketika, Izzat bersama dengan saya membawa Abg Dzul berceramah di Johor. Ketika orang lain terlena, dialah yang menjadi teman saya berbicara. Sehingga tiba di perhentian Seremban sekitar jam 5 pagi untuk bersahur. Betapa setianya Izzat sebagai seorang teman.

Pada peringkat awal, sememangnya Izzat agak ragu-ragu untuk memacu perjuangan PMAPIUM. Hal demikian kerana beliau bukannya berlatar belakangkan daripada AJK PMA. Tidak seperti saya yang pernah berkerja bersama PMA. Namun saya tetap member keyakinan kepada beliau. Hal demikian kerana saya melihat, imej professional Ustaz yang beliau tampilkan adalah imej PMA itu sendiri. Kepimpinan beliua juga disegani oleh setiap warga Akademi Islam.

Ketekunannya dalam melaksanakan gerak kerja amat saya hargai. Di kala saya sibuk menguruskan hal-hal lain, beliaulah yang menggerakkan Sekretariat Wakil Fakulti. Bermula dari kejayaan memperbanyakkan plug sehinggalah kepada usaha untuk mengindahkan dan menceriakan suasana Akademi Islam sendiri. Sebagai salah seorang AJK keceriaan APIUM, mewakili para pelajar untuk bersama pentadbiran. Beliau tetap bijak menguruskan masa walaupun menghadapi kekangan waktu, disamping latihan sebagai Palapes.

Akhir kata, saya mengharapkan sahabat saya ini mampu menggalas cabaran berat ini. Sesuai dengan jiwanya yang cenderung kepada tarbiah, wajarlah dia memacu agenda perjuangan PMAPIUM. Semoga Allah memberkati usaha Izzat untuk memperkasa agenda tarbiah PMAPIUM.

Insya Allah, saya sentiasa bersama Izzat. Perjuangan saya juga sentiasa "seiring bersama PMAPIUM".

Thursday, November 3, 2011

Taqwa Asas Menjadi Pemimpin


Gambar penembak tepat yang merancang membunuh Obama


Selepas dikejutkan dengan kesalahan cetakan kertas undi yang mengandungi nama Barrack Osama, kini timbul pula isu baru iaitu perancangan membunuh “bakal” Presiden Amerika Syarikat ini. Tatkala beliau meraih sokongan padu daripada penduduk AS, terdapat segelintir kecil masyarakat kulit putih AS yang prejudis terhadap beliau hanya kerana beliau berasal daripada masyarakat kulit hitam.

Kehadiran Obama di dalam kancah politik AS, menyaksikan majoriti masyarakat AS menerima pemimpin muda yang berwawasan ini. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berwawasan dan mempunyai karismatik yang hebat. Di hormati dan di geruni lawan.

Daripada ancaman ini, kita boleh melihat bahawa masyarakat AS yang mengaku bahawa merekalah pendokong demokrasi dunia tetapi masih lagi bermain dengan sentimen perkauman. Mereka menghentam Islam secara terang-terangan dengan melabelkan Islam sebagai pengganas, tetapi mereka tidak pernah menghayati apakah isi kandungan Islam yang sebenarnya.

Sebagai contoh, di dalam memilih kepimpinan. Islam tidak pernah menjadikan warna kulit sebagai ukuran. Bahkan pernah disebut di dalam hadis bahawa, sekiranya seorang hamba kulit hitam yang tebal bibirnya, dan rompong hidungnya sekalipun pun menjadi pemimpin maka wajib ke atas rakyat untuk mentaatinya.

Islam meletakkan syarat taqwa yang paling utama di dalam memilih pemimpin. Bukan sahaja di dalam urusan kepimpinan,bahkan di dalam setiap urusan kehidupan taqwa itu menjadi persoalan utama kepada umat Islam. Biarpun setinggi mana pangkatnya, begudang-gudang hartanya. Tetapi sekiranya kufur kepada Allah, maka darjatnya lebih rendah lagi daripada haiwan ternakkan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Babi yang menggemparkan


Sebelum ini tidak pernah terfikir "babi' akan menginap di dalam Universiti Malaya. Namun begitu, baru-baru ini pada 16 Januari, tanpa disangka-sangka telah muncul kepala babi di dalam surau Akademi Pengajian Islam.

Entah angkara siapa yang melakukan perkara yang keji ini. Babi yang begitu menyentuh sensitiviti umat Islam ini diletakkan di dalam surau yang suci.

Sama-sama kita doakan, mudah-mudahan siapa yang membuat kerja terkutuk ini diberi hidayah oleh Allah S.W.T.

Wednesday, November 2, 2011

Bangsa Merdeka hanya dilayan sebagai pengawal Istana?

Setelah 51 tahun merdeka daripada tanah jajahan British, mentaliti rata-rata rakyat dinegara kita pada masa ini sudah menganggap bahawa kita sudah merdeka sepenuhnya. Masing-masing merasakan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dapat terus dipertahankan dan dipandang tinggi oleh dunia luar.

Namun begitu apabila disiarkan berkenaan Batalion Pertama Askar Melayu yang diberi peluang untuk mengawal Istana Buckingham di London, ramai juga dalam kalangan masyarakat negara kita yang berbangga dengan perkara tersebut. Alasannya kerana penghormatan tersebut merupakan satu kepercayaan yang cukup bermakna daripada sebuah negara besar kepada sebuah negara kerdil seperti Malaysia. Tersirap darah saya mendengar anak merdeka member jawapan sebegini. Inikah yang dinamakan jiwa bangsa merdeka?

Sesetengan golongan melihat perkara ini merupakan suatu penghinaan daripada sebuah negara penjajah kepada negara yang pernah dijajahnya. Apa nilainya sekiranya sebuah ketumbukan ketenteraan yang dilatih untuk mempertahankan negara hanya dilayan sebagai pengawal istana apabila berada di Kota London. Adakah itu menjadi kayu ukur untuk menentukan kejayaan dan kecemerlangan ketumbukan tentera sebuah negara merdeka?

Amerika Syarikat yang merupakan negara bekas tanah jajahan British mengambil keputusan keluar daripada kesatuan negara-negara Komanwel semata-mata tidak mahu dilihat sebagai sebuah negara jajahan, tetapi malangnya negara kita masih lagi tunduk dibawah kekuasaan British. Mungkin untuk keluar daripada kesatuan negara-negara Komanwel ada pro dan kontranya, namun begitu mengapa kita sanggup memperhambakan tentera-tentera kita untuk menjadi pengawal istana di sebuah negara yang pernah menjajah kita.

Sekiranya kita mahu mengucapkan terima kasih kepada British kerana membantu negara kita semasa ditawan oleh tentera Jepun dan juga berusaha menghalau komunis daripada negara ini, ini bukanlah caranya. Kehadiran British ke Tanah Melayu merupakan atas dasar menjajah. Perbuatan mereka secara terang-terangan menzalimi penduduk tempatan.

Kita tidak pernah mempersoalkan siapakah gerangan penjajah yang membunuh Tok Janggut? Siapakah yang menzalimi Dato Maharaja Lela di negeri Perak. Tetapi kita hanya berbincang berkenaan tentera British yang membantu kita menghambat komunis daripada negara ini. Andainya kita berjiwa merdeka, mengapa ruh menentang penjajah yang ada pada Mat Kilau dan Tok Bahaman tidak kita sematkan di dalam diri kita.

Entah bagaimana perasaan pahlawan-pahlawan kemerdekaan ini sekiranya mereka masih hidup dan melihat anak bangsa mereka dilayan sebagai penjaga Istana kepada bangsa penjajah ini. Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, mungkin kita boleh fikir-fikirkan dimanakah nilai kita sebagai sebuah negara merdeka. Adakah sekadar layak menjadi pengawal Istana ataupun lebih daripada itu.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Belia Felda perlu ikon Mahasiswa


Sempena majlis Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008, yang di adakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini, Felda telah melantik beberapa ikon Belia Felda Malaysia untuk dijadikan inspirasi kepada generasi beliau di seluruh tanah rancangan Felda di negara kita.

Antara mereka yang dipilih adalah Datuk Azhar Mansor; ratu skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David; Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed; wanita pertama menakluk kutub, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir; Kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat; Pengasas Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood; pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah; jaguh bowling, Shalin Zulkifli; wanita pertama menawan gunung Everest, Marina Ahmad dan kumpulan nasyid, Raihan.

Anugerah yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib ini dilihat sebagai satu langkah yang baik ke arah melahirkan generasi baru Felda yang lebih cemerlang dan terbilang. Seperti yang diketahui umum, masalah sosial yang ketara dalam kalangan generasi kedua Felda cukup membimbangkan. Bahkah kawasan felda seringkali dikaitkan dengan “sarang” dadah dan belia bermasalah.

Di sebalik penganugerahan ini, kami diperingkat mahasiswa melihat sewajarnya pihak FELDA jangan melupakan golongan mahasiswa Felda. Sewajarnya golongan mahasiswa daripada anak Felda juga patut dijadikan ikon kepada golongan belia Felda. Tetapi di dalam pemilihan ini kami melihat, ikon yang dipilih bukannya daripada anak-anak Felda sendiri.

Mahasiswa Felda juga merupakan salah satu daripada entiti masyarakat Felda generasi kedua. Tidak dinafikan hari ini ramai dalam kalangan anak-anak peneroka sudah berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading. Hasil usaha anak-anak kampung ini dilihat sebagai satu motivasi yang besar sekiranya kejayaan mereka diiktiraf oleh pihak Felda.

Akhirnya, kami di peringkat mahasiswa Felda mengharapkan pihak Felda dapat menilai kembali cadangan ini. Sekiranya golongan mahasiswa diberi peluang untuk membantu memperkasakan belia Felda, saya yakin pembangunan belia Felda akan lebih rancak dan efektif.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Koordinator
Persatuan Mahasiswa Felda Nasional

Tuesday, November 1, 2011

“Ujian diatas titian sirat dalam perjalanan menuju ke syurga Allah” -siri 1


Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekalian,

Bersama-samalah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar erti kata taqwa, dengan kita melaksanakan segala titah perintahnya serta menjauhi larangannya.Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang bertaqwa.Firman Allah SWT didalam al-Quran:

13. Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Hadirin sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini, khatib akan mengingatkan hadirin jumaat sekalian berkenaan 7 pemeriksaan yang akan dihadapi kelak ketika mana berjalan diatas titian sirat Allah SWT.

Antara perkara ghaibiyyat yang wajib kita percaya adalah berkenaan dengan “sirat” atau titian yang merentangi neraka jahannam untuk menuju ke syurga Allah SWT.Semua manusia tanpa berkecuali akan melalui titian ini.Titian ini adalah lebih halus lagi daripada rambut.Lebih tajam daripada mata pedang.

Firman Allah SWT:

71. Dan tidak ada seorangpun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.

Ayat tersebut dengan jelasnya menyatakan kepada kita bahawa setiap dari kalangan akan melalui titian sirat ini.Samada dari kalangan Rasul, para nabi ataupun manusia biasa.Kejayaan untuk melepasi titian ini adalah bergantung kepada amal soleh kita semasa berada didunia.Kejayaan melepasi titian ini jugalah merupakan rahmat terbesar dari Allah SWT, kerana insan tersebut berjaya memasuki syurga Allah SWT.

Ada dikalangan manusia yang melintasi titian sirat dalam sekelip mata.Ada pula yang melintasinya sepantas panahan kilat.Ada juga manusia yang melintasi dengan keadaan berlari.Ada pula yang berjalan dan ada pula yang terpaksa merangkak dan sebagainya.Keadaan melintasi titian ini adalah bergantung kepada amal kebaikan yang dilakukan semasa hidup didunia.Ada pula yang tidak melepasi titian ini, lalu tercampak ke dalam api neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT

72. Kemudian kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.

Golongan yang terselamat menyeberangi titian ini bukanlah atas kebijaksanaan akal fikiran mereka.Hal demikian adalah kerana Allah SWT menyelamatkan mereka berasaskan keimanan dan ketakwaan mereka.Bagi orang yang zalim dan mendustakan rasulnya akan dibiarkan jatuh ke dalam neraka Allah SWT.

Sidang jumaat sekalian.

Sekatan yang pertama yang akan dilalui oleh manusia adalah sekatan yang akan ditanya berkenaan syahadah mereka.Adakah mereka benar-benar beriman kepada Allah SWT seperti mana syahadah yang diucapkan oleh mulut mereka.Pada hari ini terbukalah segala-galanya.Sekiranya seseorang itu hanya sekadar mengucap dua kalimah syahadah semasa berada didunia, namun begitu hati mereka berpaling dan mensyirikkan Allah SWT.Maka hal tersebut secara tidak langsung meruntuhkan iman mereka.

Firman Allah SWT:

8. Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

9. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka Hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menerangkan kepada kita bahawa wujud golongan yang mempunyai talam dua muka.Mereka bagaikan pelakon yang berpura-pura dan cuba menipu Allah SWT.Namun begitu, mereka tidak sedar bahawa penipuan tersebut diketahui oleh Allah SWT.Sebab itulah sebagai seorang mukmin yang sejati, kita perlu menghayati dengan sepenuh hati apabila kita melafazkan kalimah syahadah.

Bersambung…

p/s: ayat-ayat al-Quran tidak dapat diletakkan kerana masalah tidak dapat dibaca dalam blog.Begitu juga dgn tulisan intro puji-pujian dlm bahasa arab.Khutbah ini merupakan sebahagian khutbah yang ditulis oleh penulis.