Tuesday, October 12, 2010

Apa sudah jadi? Harga Sticker pun akan dinaikkan


Inilah kuda tunggangan saya. Dulu digunakan oleh emak untuk mendaki bukit menoreh getah, kemudiannya kakak menggunakannya di Politeknik. Kini giliran saya membawanya ke Universiti. Motor ini sudah beberapa kali mengalami kemalangan, tetapi masih boleh bergerak ke sana-sini untuk membawa saya melaksanakan gerak kerja islam.

Selepas mengumumkan UM akan melaksanakan Protokol Kyoto dengan mengurangkan pembakaran bahan petrol melalui menguatkuasakan larangan membawa kenderaan kepada pelajar tahun satu, kini bunyi pula desas desus yang diperolehi daripada pejabat keselamatan bahawa sticker pelekat kenderaan akan dinaikkan daripada RM 1 kepada RM 10.

Apa yang menariknya antara alasan yang diberikan, melalui kenaikan ini dijangka dapat mengatasi masalah parking yang melanda Universiti pada hari ini. Hal demikian kerana, berkemungkinan para pelajar tidak akan membawa kenderaan kerana cas pendaftaran yang dikenakan agak mahal.

Namun begitu saya agak musykil, apa kaitannya kenaikkan tersebut dengan masalah parking. Apa yang saya lihat adalah, kenaikkan ini akan membebankan para pelajar dari sudut keewangan.Kenderaan adalah suatu keperluan kepada para pelajar khususnya yang tinggal di luar kolej kediaman. Kebanyakkan daripada mereka membawa kenderaan dan akan mengalami kenaikkan bayaran pendaftaran ini. Tindakan sebegini bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah parking, tetapi ianya seperti meletakkan bebanan kepada para pelajar.

Saya melihat pemerkasaan shuttle bus adalah satu penyelesaian yang hanya akan dirasai oleh pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman. Bagaimana dengan nasib para pelajar yang dibuang kolej kediaman? Mereka terpaksa mencari rumah sewa yang jaraknya agak jauh dengan kampus. Setiap hari mereka terpaksa berulang alik untuk ke kuliah. Sudah tentu bebanan kenaikkan ini sedikit sebanyak menjejaskan duit poket mereka.

Sudahlah dibebankan dengan kenaikkan harga minyak, harga makanan dan lain-lain lagi dan yang terbaru harga sticker pun hendak dinaikkan. Inilah nasib mahasiswa, sudahlah jatuh, ditimpa pula dengan tangga.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Monday, October 11, 2010

'The Life of Muhammad' Tak Wajar Diberi Ruang


Hari demi hari, dunia kian menyaksikan Islam dihina, dicerca dan dikritik semahunya mengikut akal manusia yang sengaja ingin melihat umat Islam kucar-kacir, serta mahu mencetuskan persengketaan di antara orang Islam dengan yang bukan Islam. Apakah fenomena ini sengaja dicetuskan bagi memalingkan perhatian umat Islam terhadap sesuatu agenda tersirat yang dirancang oleh mereka?

Isu penghinaan terhadap agama suci kaum Muslimin kian menjadi-jadi. Belum pun selesai isu filem pendek Fitna, Belanda umpama menyimbah minyak ke dalam api apabila seorang lagi rakyat negaranya, Ehsan Jami, menghasilkan sebuah filem animasi yang menghina peribadi Rasulullah SAW. Filem berjudul 'The Life of Muhammad' itu menghina Rasulullah dengan memaparkan naluri seks baginda. Ini ternyata amat mengguris hati kita sebagai pengikut baginda, kerana ia merupakan satu tuduhan palsu dan fitnah yang besar terhadap seorang Rasul bersifat maksum atau terpelihara daripada dosa.

Walau bagaimanpun, filem tersebut yang bakal ditayangkan pada 20 April ini terpaksa ditangguhkan, memandangkan kecaman yang diterima oleh Geert Wilders di atas penghasilan Fitna. Namun, sedutan filem The Life of Muhammad itu sempat ditayangkan di satu saluran televisyen Belanda pada minggu lalu. Meskipun kecaman hebat diterima oleh Belanda kerana hak kebebasan bersuara yang 'dianutinya,' apakah mungkin The Life of Muhammad akan tetap diberi ruang untuk ditayangkan? Jika kita melihat sikap Belanda terhadap 'anutan' yang diagung-agungkan sehingga mencetuskan sentimen agama dalam kalangan penganut Islam, maka amat tidak mustahil sekiranya Belanda turut memberikan ruang kepada Ehsan Jami bagi memaparkan tayangan filem animasinya itu.

Apakah peranan kita selaku pengikut Nabi Muhammad? Adakah sekadar mendengar kejian, hinaan dan fitnah yang dilempar kepada baginda sambil mengutuk penerbit filem berkenaan? Suatu penyelesaian di meja rundingan perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam bagi memikirkan jalan terbaik mengelakkan Islam terus dijadikan bahan sandiwara mereka yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, imej Islam yang suci perlu dipelihara dengan memberi gambaran sebenar tentang kemurnian dan kecantikan yang terkandung di dalamnya. Salah tanggapan terhadap Islam sebagai agama pengganas perlu diperbetulkan dengan kenyataan bahawa Islam merupakan agama pembawa rahmat. Buktinya cukup jelas ketika dalam peperangan, di mana Islam tidak membenarkan orang Islam yang berperang untuk membunuh rahib-rahib di gereja. Ini tanda yang sudah cukup membuktikan Islam amat menghormati agama lain, bukan seperti yang sering dimomokkan oleh para orientalis Barat dan mereka yang memusuhi Islam.

Justeru, perlu ditegaskan di sini bahawa sentimen agama, perkauman atau apa sahaja perkara yang boleh mencetuskan provokasi perlulah dielakkan demi menghormati latar masyarakat dunia yang berbilang-bilang bangsa, agama dan budaya. Tidak seharusnya berlaku penghinaan terhadap sesuatu golongan kerana setiap golongan itu memiliki landasan hidup tersendiri.

Mohd Faisal Bin Mustaffa,
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Sesi 2008/2009

Sunday, October 10, 2010

Status Halal Meragukan

Artikel Respon

Apa sudah jadi dengan status 'halal' di Malaysia?

27-11-2007 12:58:57 PM

SAYA menyokong 100 % email saudara Mohd Faisal Mustaffa dalam ruangan pendapat mSTAR semalam tentang 'Status halal di Malaysia kian meragukan!'.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan barang keperluan seharian khususnya makanan yang dijual sama ada di pasaraya besar mahupun kedai runcit mempunyai logo halal Jakim. Namun, kita tidak tahu sama ada logo itu palsu mahupun asli.

Saya cukup terkilan dengan laporan dalam akhbar baru-baru ini tentang ayam selasih yang disembelih tidak mengikut syarak.

Bukan itu sahaja pelanggan terbabit disogok dengan wang RM 20,000 untuk mengaburi mata pelanggan tersebut daripada mendedahkannya kepada pihak berkuasa. Nasib baiklah pelanggan itu tidak gelap mata.

Baru-baru ini juga kecoh tentang sebuah kilang memproses bihun dan laksa di Pulau Pinang menggunakan logo halal palsu dan berdekatan dengan kandang khinzir.

Bukan itu sahaja, malah saluran perpaipan dan saliran najis juga dikongsi. Khabarnya sudah berpuluhan tahun syarikat terbabit yang sebelum itu memohon sijil logo halal namun tidak berjaya, menjalankan operasi dan kebanyakannya pelanggannya dari kalangan peniaga Melayu Muslim. Apa sudah jadi? Tidak adakah pemantauan?

Sebelum ini kita sudah terdengar pelbagai kejadian yang cuba menganiaya kita sebagai pelanggan Muslim. Bukan sahaja dari segi makanan, malahan barang-barang keperluan harian yang lain seperti kasut, getah ikat rambut dan sebagainya.

Sampai bilakah semua ini akan berlaku? Adakah kita sebagai sebuah negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa? Malulah jika selama ini kerajaan mengwar-warkan negara kita akan jadi 'Hab Halal Sedunia' tetapi hanya "Indah Khabar Dari Rupa' andai kata perkara sebegini pun tidak dapat diatasi.

Diharapkan pihak berkenaan khususnya pihak Jakim dan majlis agama negeri memainkan peranan yang penting bagi memastikan kesucian agama Islam tidak mudah dipermain-mainkan.

MOHD RUFFEDGE


Artikel Saya

Status halal di Malaysia kian meragukan!
26-11-2007 11:53:13 AM

PELBAGAI jenis makanan kian melambak di pasaran sekarang, terutamanya bagi makanan jenis segera atau ‘instant.’

Makanan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya dan mula mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya masyarakat bandar.

Kebanyakan barangan ini memiliki logo Halal dari JAKIM, malah tak kurang juga yang tidak mendapat kelulusan dari JAKIM. Namun, sesetengah masyarakat yang hidup penuh kemodenan jarang mempedulikan atau menitikberatkan soal ini, asalkan semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan segera.

Terbaru, saya ada membaca paparan akhbar tentang ayam selasih atau ayam hitam yang dibeli di pasar raya besar disembelih tidak mengikut hukum syarak. Pelanggan yang membeli ayam tersebut mendapati seekor ayam yang dibelinya tiada leher, manakala seekor lagi didapati urat pada lehernya tidak putus.

Malah, pelanggan ini ditawarkan RM 20 000 oleh pengurusan pasar raya besar ini sebagai ‘upah’ supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah dibuat aduan tentang ayam yang dibelinya tidak disembelih mengikut hukum syarak. Namun, beliau tidak gelap mata, dan terus membuat aduan kepada JAKIM.

Saya tertanya-tanya; pasar raya besar tersebut mempunyai pegawai yang memeriksa status halal pada barangan yang dijual, namun kenapa hal ini masih lagi terjadi? Adakah pegawai di situ benar-benar menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan yang dijual, terutama makanan segar, disahkan halal?
Atau, pemeriksaan hanya dilakukan pada kali pertama barangan tersebut dihantar, dan pada kali yang seterusnya tidak lagi diperiksa kerana telah disahkan halal sebelumnya? Hairan juga saya. Prosedur bagaimana yang dilakukan sehingga status halal pada barangan makanan ini boleh dimanipualsi?

Dalam situasi yang lain pula, saya mendapati antara aduan yang diterima oleh orang ramai berkenaan masalah ayam ialah ayam yang dibeli di pasar raya berbau busuk, ayam yang dihantar bercampur bersama daging babi serta terdapat haiwan lain di dalam plastik bungkusan ayam.

Seorang pengguna pula mendakwa ayam segera yang dibeli di sebuah pasar raya mengandungi cicak di dalam salutan tepung ayam tersebut.

Selain masalah ayam, sebelum ini kita didedahkan dengan sebuah kegiatan syarikat katering, di mana syarikat ini menggunakan pelbagai jenis wain bagi memerap masakannya, terutama ayam dan daging, malah syarikat ini turut menggunakan sijil halal palsu yang dibeli daripada anggota sindiket menjual sijil halal palsu dengan harga RM 2 500.

Akal saya mula ligat berfikir; jika kita sendiri boleh tertipu dengan logo halal ini, bagaimana kita hendak memastikan sesuatu barangan atau makanan itu benar-benar disahkan halal?

Sekalipun telah mendapat sijil halal, terdapat juga sesetengah pengeluar yang melakukan penyelewengan dengan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan JAKIM. Bagaimana JAKIM mahu mengatasi masalah ini?

Saya berharap JAKIM dapat melakukan pemeriksaan terperinci ke atas sesuatu barangan sebelum mengeluarkan sijil halal, dan terus membuat pemantauan ke atas pengeluar walaupun setelah sijil halal dikeluarkan bagi memastikan pengeluar tersebut tidak melakukan sebarang penyelewengan.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah berhati-hati ketika hendak membeli ayam bagi mengelakkan ayam yang dibeli tidak elok atau tidak halal, begitu juga dengan pemilihan dalam membeli barangan atau menempah makanan melalui katering. Jika hendak membeli ayam di pasar raya, teliti dahulu ayam tersebut.

Jika meragukan, usahlah dibeli. Ini lebih baik daripada memakan ayam yang diragui status halalnya, kerana ia termasuk dalam perkara syubhah dan lebih baik ditinggalkan.

Lebih selamat jika kita membeli ayam di pasar pagi kerana ia masih segar serta boleh dilihat dan diperiksa dengan jelas. Pendek kata, umat Islam hendaklah sensitif dan berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Halalan toyyiba.

MOHD FAISAL MUSTAFFA

Saturday, October 9, 2010

Jamun Rakan Media & Bloggers

Saya bersama Abang Syaari, Riduan Bakar dan Tn Hj Mahfuz di dalam Majlis Makan Malam Kelab Rakan Media PAS.

Minggu lepas saya telah menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh Lujnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat. Makan malam tersebut berlangsung di Hotel Grand Season, Jalan Pahang bertarikh 13 Mei 2008, hari selasa. Saya mendapat jemputan ini melalui email atas alasan bahawa saya merupakan salah seorang bloggers. Lebih mengejutkan saya ialah, email saya berada sebaris dengan email Ust Hasrizal, Abg Syaari, Kak Munawwirah UITM dan beberapa blogger lain yang tidak dikenali. Untuk maklumat lanjut klik disini.

Friday, October 8, 2010

Mulakan menulis blog dari langkah yang pertama



Sejak akhir-akhir ini saya melihat anak-anak muda terutamanya golongan mahasiswa cenderung untuk menjadi seorang bloggers. Saya sendiri berasa gembira diatas kewujudan blog-blog anak muda sebegini kerana saya sememangnya mengharapkan wujudnya ramai bloggers yang kreatif dan kritis.

Seperti sahabat-sahabat di bumi kinanah, mereka telah berjaya mewujudkan rangkaian blog yang cukup ramai melalu al-azharian top site. Walaupun disitu wujudnya pelbagai blog-blog persendirian, sekurang-kurangnya golongan yang bakal bergelar ustaz dan ustazah ini sudah maju di dalam bidang media alternatif ini.

Ada dikalangan anak muda yang menjadikan blog mereka sebagai luahan hati mereka terhadap dunia politik pada hari ini. Terdapat blog-blog mahasiswa yang hanya menyiarkan diari hidup mereka di dalam olahan yang cukup menarik. Bagi golongan ustaz dan ustazah ini kebanyakkan daripada mereka lebih gemar menjadikan blog mereka sebagai medan dakwah dengan menampilkan artikel-artikel yang menjelaskan tentang Islam.

Ramai juga dikalangan sahabat-sahabat saya yang menjadikan blog mereka sebagai tempat untuk menayangkan artikel yang di “copy paste” daripada blog orang lain. Bagi mereka himpunan artikel terpilih boleh membantu sahabat-sahabat mereka mencari maklumat dengan lebih mudah.

Saya tidak kisah semua ini. Biarlah mereka mencuba untuk berbloggers. Janganlah dikritik semangat mereka. Untuk melahirkan seorang insan yang gemar menulis bukannya mudah. Tidak ramai yang sanggup menghadap komputer semata-mata mahu menyiapkan sebuah artikel. Mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan melayari friendster berbanding menulis artikel-artikel yang bermanfaat.

Saya pernah melalui semua ini. Di awal tingkatan 2, saya mula mengenali internet dan pada ketika itu tujuan ke Cyber Cafe semata-mata untuk berchatting diruangan MIRC. Ada dikalangan sahabat-sahabat saya yang ketagih MIRC sanggup melompat pagar diwaktu malam untuk melepaskan ketagihan mereka. Wang saku dan biasiswa dihabiskan semata-mata untuk melayari ruangan chatting untuk “war”. War ialah istilah yang digunakan untuk berperang didalam ruangan MIRC.

Mujur dikala itu saya tidak terjebak ke kancah yang membawa kepada gian. Saya sekadar suka-suka untuk berchatting. Apabila masuk tingkatan lima, tujuan saya ke CC adalah semata-mata mencari bahan Usrah buat adik-adik bersama rakan saya Idris. Banyak bahan yang kami perolehi dan diphotostat untuk bacaan adik-adik di SMKAK. Ketika itu saya sudah mengenali friendster, namun saya bukanlah kaki friendster. Sehingga hari ini saya jarang menjengah laman friendster saya. Kewujudan friendster sekadar untuk mengikat tali persahabatan dengan sahabat sejak dari zaman persekolan. Manakala multiply pula dibuat atas sebab ingin mempromosikan blog saya yang sedia ada.

Saya mengenali blog ketika tahun satu di Universiti Malaya. Blog saya yang pertama ialah http://syababmuslims.blogspot.com. Ketika itu bahannya sekadar bahan tugasan saya dan artikel yang di “copy paste” daripada laman web dan blog-blog yang lain. Ketika itu saya masih lagi mentah. Tidak tahu menilai apa gunanya blog yang saya miliki. Bagi saya blog merupakan tempat saya meluahkan apa sahaja yang saya fikirkan. Akhirnya, menukarkan blog saya kepada http://faisalkini.blogspot.com. Blog lama saya masih lagi digunakan untuk menayangkan video-video yang saya rasakan menarik. Tujuan blog ini ditukarkan nama adalah untuk menjadikannya lebih fimilar dengan masyarakat kampus yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Saya bukannya penulis yang hebat. Bahkan artikel-artikel saya sering dikritik kerana gaya bahasa yang ditampilkan tidak puitis dan kurang kritikal. Berbanding dengan aktivis mahasiswa yang lain, ramai menampilkan idealisme yang cukup tajam dan menarik. Walaupun dikritik saya tetap cuba untuk menulis kerana ingin belajar menjadi seorang penulis yang kritis dan menarik. Bagi saya kritikan yang diberikan saya terima dengan lapang dada dan dijadikan pedoman untuk memperbaiki tulisan untuk artikel yang akan datang.

Sebab itu saya suka sahabat-sahabat membuat blog sendiri. Saya tahu ada yang kurang senang dengan kehadiran bloggers baru ini. Ada yang berpendapat blog menjadikan mereka tidak pro aktif kerana bermain di lapangan maya. Ada juga sahabat-sahabat yang menimbulkan persoalan mengapa perlu wujudnya blog jika tiada arah dan tujuan. Berblog semata-mata untuk popular atau berdakwah. Banyak lagi persoalan yang ditimbulkan.

Saya rasakan lontaran persoalan itu ada betulnya. Namun begitu, bagi saya sekiranya blog yang dihasilkan itu tidak bercanggah dengan etika dan nilai moral kehidupan sebagai seorang muslim, ada baiknya kita memberikan galakkan kepada generasi baru untuk mempunyai blog sendiri. Ini bagi mencungkil bakat mereka yang sedia ada dan menanamkan sifat suka menulis dikalangan mereka.

Bagi saya dunia blog menjadi medan kepada generasi muda terutamanya pendakwah untuk mengenali dunia global. Kita tidak boleh mengharapkan Ust Hasrizal dan Ust Zaharuddin semata-mata, tetapi perlu lahir generasi pelapis yang mampu untuk menjayakan misi dakwah di lapangan maya ini. Mulalah dengan langkah pertaman, saya yakin sahabat-sahabat mampu untuk meneruskan langkah yang seterusnya sehingga suatu hari nanti kita berjaya mewujudkan bloggers muslim united. Insya Allah...

Wednesday, October 6, 2010

Mahasiswa sokong tawaran kursus pengajian blog


Cadangan pihak pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog dilihat sebagai suatu langkah positif ke arah melahirkan lebih ramai penulis-penulis blog di negara kita. Melalui kursus yang ditawarkan ini, sekurang-kurangnya dapat membantu pengendali blog yang baru dan berkeinginan untuk berkecimpung di arena blog ini.

Walaupun perkembangan blog dinegara kita bergerak dengan pantas, namun begitu ianya hanya bergelegar dikalangan golongan yang berminat dengan dunia politik sahaja. Tetapi kehangatan dunia blogger ini kurang menyerap masuk ke dalam diri mahasiswa. Kebanyakkan daripada mereka masih kurang sedar mengenai kepentingan blog. Hal demikian kerana kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai ilmu dan kepakaran untuk membina dan mengendalikan blog.

Sebab itulah saya melihat cadangan memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog ini suatu cara untuk mengatasi masalah ini. Perlaksanaannya bukan sekadar dilakukan di UiTM bahkan di seluruh universiti dan dijadikan sebagai subjek elektif untuk semua pelajar. Melalui pembelajaran ini secara tidak langsung mutu dan etika penulisan dikalangan blogger muda ini dapat diterapkan dengan baik.

Sekiranya ianya dijadikan sebagai subjek elektif bagi semua pelajar, sekurang-kurangnya pihak unversiti telah membantu mahasiswa supaya celik IT. Hal demikian kerana ramai dikalangan mahasiswa di negara masih lagi lemah dari sudut penguasaan IT.

Selain daripada menulis hal-hal yang berkaitan isu semasa, blog juga dilihat sebagai medium yang terbaik bagi golongan mahasiswa berkongsi ilmu-ilmu yang diperolehi mereka dibilik-bilik kuliah untuk disebarkan kepada masyarakat. Kebanyakkan kajian yang dibuat oleh golongan mahasiswa ini boleh dikongsi dengan golongan masyarakat dan bukannya disimpan didalam muzium peribadi mereka.

Melalui lapangan blog ini, golongan mahasiswa lebih bebas menulis tanpa terikat dengan etika kewartawanan tertentu yang diguna pakai oleh media tradisional. Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah ''Sesiapa sahaja (media alternatif) boleh menulis. Mereka tidak perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika pemberitaan dan jarang sekali didakwa di mahkamah. Kebebasan ini menakutkan,'' katanya.

Media alternatif ini juga boleh dijadikan ruang oleh golongan mahasiswa ini untuk menjadi pengimbang kepada media perdana yang dikatakan mempunyai banyak berita-berita yang berbentuk propaganda dan didakwa cenderung melakukan penipuan dan berat sebelah. Oleh itu melalui ruang yang ada mahasiswa sewajarnya memperbetulkan kesalahan tersebut melalui medium blog ini.

Tuesday, October 5, 2010

Kais Pagi, Makan Pagi

Belum reda ribut, taufan pula yang menjelma. Si nelayan yang menanti untuk turun mencari rezki di laut kehampaan. Kepalanya ligat berfikir. Mahu ke laut, nyawa jadi taruhan. Jika menanti redanya ribut, sudah tentu dapurnya tidak berasap. Si nelayan tua menjadi serba salah. Apakah yang harus dia lakukan. Dia tidak sanggup melihat anak-anaknya yang kecil menangis minta di isi perut.

Itulah realiti yang selalu dihadapi oleh rakyat kelas bawahan. Bagi golongan atasan mungkin perkara ini di lihat dalam kaca mata yang berbeza. Bagi mereka wang itu adalah satu perkara yang mudah. Tetapi bagi golongan kelas bawahan, yang rata-ratanya miskin dan berpendapatan sederhana soal keewangan sering menjadi masalah utama. Bahkan mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk mendapatkan wang bagi membesarkan anak-anak mereka.

Kenapa saya membawa situasi di atas? Sudah tentu sahabat-sahabat dapat menerka. Kadang-kadang saya merenung sendirian memikirkan nasib golongan bawahan ini. Ini kerana saya sendiri lahir daripada golongan yang berpendapatan senderhana. Ibarat kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang.

Di kala itu pendapatan ayah sekitar RM100 sebulan untuk menampung kehidupan kami 4 beranak. Hidangan dirumah sekadar cukup untuk mengenyangkan perut. Mujur ketika itu saya dan kak tidak banyak karenah. Ikan tamban kering masin menjadi juadah istimewa. Jika mahu merasa makan ayam, ayah akan membeli kaki ayam di pasar untuk kami sekeluarga. Asalkan ayam, walaupun sekadar kaki ayam saya dan kakak sudah ketawa girang. Bukan mudah untuk makan binatang bergelar “ayam”. Mujur masih ada makanan yang boleh di makan. Sekurang-kurangnya tidak kebuluran.

Ada dikalangan sahabat-sahabat saya, sebaik sahaja masuk wang pinjaman PTPTN mereka akan menghantar wang tersebut kepada keluarga mereka di kampung. Bila disoal mengapa, jawapannya wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan harian dan sekolah adik-adik mereka. Tidak dapat saya gambarkan, betapa mulianya hati sahabat saya ini. Mengikat perut untuk kepentingan dan masa depan keluarganya.

Sebab itulah, saya tidak hairan apabila terdapat ramai dikalangan mahasiswa UM yang gagal untuk menduduki peperiksaan akibat bebanan hutang yang melebihi RM 500. Rata-ratanya adalah Melayu beragama Islam. Sebangsa dengan saya. Memang benar ada di kalangan mereka yang menyalahgunakan wang tersebut untuk berfoya-foya. Namun begitu masih ada dikalangan mereka yang kurang bernasib baik. Wang mereka digunakan untuk membantu keluarga mereka. Sebagai seorang sahabat, selami hati sahabat-sahabat kita ini. Kepada sahabat-sahabat yang belum memahami, renung-renungkanlah.

Saturday, October 2, 2010

Suara mendayu mengingati Illahi



Al-Fatihah kepada arwah Ust Asri Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Friday, October 1, 2010

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-Usman Awang

Sumber: http://www.liriklagu.com/imnogman/UsmanAwang_Puisi_F.html