Monday, August 8, 2011

Buang Kolej : Elak sebelum terkena

Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12)

Semalam sewaktu sedang menjawab kertas Sistem Pentadbiran Islam saya menerima sms daripada sahabat saya Izzat Amin. Kandungan sms beliau berbunyi “Ramai budak AI kena buang kolej. Apa kita nak buat. Bagi ana no En Apandi”. Hanya hanya sempat membalas sms beliau untuk memberikan no hp En Apandi sahaja tanpa bertanya panjang kerana di sebelah petang saya akan berhadapan dengan kertas Qawaid Tafsir pula.

Petang tadi saya sempat berborak dengan seorang sahabat, dia meluahkan isu ramai pelajar Akademi Pengajian Islam (APIUM) yang dibuang kolej. Inilah isu saban tahun yang tidak pernah selesai. Para pelajar APIUM sering menjadi mangsa pihak yang kurang senang dengan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Mereka melabelkan pelajar APIUM sebagai “budak” PMIUM.

Saya juga merupakan salah seorang mangsa buangan kolej. Ketika itu saya berada disemester kedua tahun yang pertama. Bukan hendak diungkit, tetapi saya tetap merasakan ianya merupakan satu kezaliman terhadap diri saya. Jika diikutkan hati sememangnya saya sendiri tidak gemar untuk tinggal di kolej, namun apabila memikirkan tanggungjawab dakwah untuk menggerakkan Balai Islam KK5, saya gagahi juga untuk mengisi borang KK5. Harapan senior-senior Balai Islam sendiri mahukan sahabat-sahabat APIUM terus tinggal di kolej.

Jika diikutkan dari segi kos, tinggal diluar lebih jimat. Yuran kolej sahaja RM 1400 lebih. Berbanding tinggal diluar, sewa rumah hanya sekitar RM 600 satu semester. Tapi itu bukan halangan yang besar untuk tinggal di kolej. Matlamat untuk berdakwahlah menyebabkan ramai dikalangan pelajar APIUM untuk terus tinggal di kolej kediaman, bukannya untuk merasai kesenangan.

Alasan utama yang sering digunakan kononnya pelajar APIUM tidak aktif program kolej. Saya berani katakan ini suatu penipuan sebab itu hanyalah alasan semata-mata. Saya merupakan Johan pertandingan Manifestasi Puisi dan menjadi pemuisi terbaik dalam Festival Seni 2 yang lalu. Saya pernah mendapat anugerah bintang harapan daripada pihak kolej.Saya juga terlibat sebagai ketua Unit Dakwah Balai Islam KK5, namun semua itu diketepikan kerana label sebagai budak PMIUM itu lebih kuat. Bagi mereka apa sahaja usaha pembersihan pelajar APIUM di KK5 harus dilakukan kerana pada tahun tersebut GAGASAN menang besar di KK5. Usaha mereka berjaya. Kemasukkan sesi baru yang lepas menyaksikan tiada seorang pun pelajar baru APIUM yang ditempatkan di KK5.

Kemasukkan pelajar disekat bermakna KK5 bakal pupus dengan pelajar APIUM. Namun mujur masih ada sahabat-sahabat PALAPES yang ditempatkan disitu. Mereka juga merupakan penggerak dakwah. Tetapi saya merasa bimbang kerana PALAPES kebanyakkannya merupakan pelajar lelaki. Bagaimana nasib pelajar wanita apabila keluarnya generasi yang sedia ada, sudah tentu tiada generasi pelapis daie muslimat daripada APIUM.

Sahabat-sahabat di Kolej 8, Kolej 11, dan Kolej 12 juga mengalami nasib yang sama. Pernah saya persoalkan kepada Saudara Afandy, YDP MPMUM. Apa tindakan MPMUM yang ingin memperjuangkan hak mahasiswa, tetapi isu pelajar terutamanya dari APIUM dibuang kolej masih lagi berleluasa. Yang menghairankan, ada dikalangan pelajar lain yang menaiki kereta mewah untuk ke kuliah, mereka tidak dibuang. Ada dalam kalangan mereka yang tidak aktif kolej. Disini timbulnya ketidak adilan. Pelajar APIUM rata-ratanya tidak mempunyai sebarang kenderaan. Dari sudut logiknya sudah tentu pelajar yang berkereta dan mempunyai kenderaan tidak mempunyai kenderaan diutamakan untuk tinggal di kolej kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjaga. Tanpa kenderaan, kehidupan mereka di luar kampus agak kurang selamat. Jika ada kelas ganti dimalam hari agak sukar untuk mereka pulang sendirian. Menaiki teksi berseorangan bererti menanggung risiko.

Adalah yang terpaksa memberanikan diri menaiki teksi berseorangan malam hari. Saya rasakan hal ini adalah berbahaya dan tidak wajar. Tetapi mereka tiada pilihan. Walaupun mereka boleh disalahkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini, tetapi yang yang patut disalahkan tidak lain adalah pihak pentadbiran kolej di Universiti Malaya kerana membuang pelajar seperti ini daripada kolej kediaman.

Saya bukan bercakap kosong. Saya punyai seorang sahabat disebuah maktab di timur tanah air. Suatu hari dia menghubungi saya untuk membantu salah seorang sahabatnya yang dirogol. Sahabat tersebut merupakan seorang muslimat yang bertudung labuh dan berlatar belakangkan pengajian agama sebelum ini dan belajar di Universiti bersebelahan maktabnya. Suatu hari petang ketika berjalan-jalan dia diculik dan dirogol oleh 4 orang lelaki disuatu tempat. Hal ini disembunyikan daripada sahabat-sahabatnya selama dua minggu kerana trauma. Sehinggalah dia memberitahu sahabat saya. Kemudiannya dia meminta pertolongan saya untuk menyelesaikan hal ini.

Mujur saya mempunyai sahabat “seperjuangan” dari negeri tersebut. Saya perolehi no telefonnya daripada sahabat saya yang berasal dari negeri yang sama. Alhamdulillah, khabarnya pada hari ini muslimat tersebut sudah pulih seperti biasa. Apa yang saya kesalkan, dia tidak membuat laporan polis kerana malu. Mujur dia tidak mengalami sindrom muntah-muntah. Jika tidak hal ini akan menjadi lebih berat lagi.

Mungkin hal ini dipandang ringan oleh sesetengah pihak, namun saya melihat isu ini adalah sangat besar dan perlukan pembelaan. Apa jaminan pihak universiti bahawa pelajar UM yang tinggal diluar kolej itu selamat? Sudah tentu tiada jaminannya? Sekiranya berlaku hal yang tidak diingini apakah yang akan mereka lakukan? Sudah tentu tiada jawapannya. Masing-masing akan sibuk ber “post mortem”. Bagi saya post mortem selepas terjadi itu sia-sia kerana masalah ini boleh dicegah dari sekarang. Kepada pihak Universiti ingatlah, mencegah itu lebih baik dari merawat. Buktikan bahawa UM is the one.

Sunday, August 7, 2011

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani wafat sebagai syuhada


Usrah bersama sahabat-sahabat pecinta Islam..

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah.
SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.

Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.

Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.

Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).

Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.

Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.

Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.

Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.

Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.

Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.

Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.

Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.

Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.

Pulang ke nusantara buat kali kedua

Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.

Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.

Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.

Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.

Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.

Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.

Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).

Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.

Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.

Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.

Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.

Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.

Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.

Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.

Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.

Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.

Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

Saturday, August 6, 2011

Boleh merokok di Kafe?



Semalam saya sebelum mesyuarat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) saya sempat menjamah nasi lemak di kafe Kolej Kediaman Ke 12. Sambil makan, saya memerhati gelagat pelanggan disekitar kafeteria tersebut.

Rata-ratanya berwajah agak kebudak-budakan. Hati kecil saya menerka mereka adalah pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Mana mungkin siswa-siswi UM, memandangkan sekarang masing-masing berada di kampung kerana sedang menghabiskan cuti semester.

Selepas membeli air, saya berkira-kira mahu bergerak ke bilik sekretariat MPMUM untuk menghadiri mesyurat sesegera mungkin. Ketika itu saya terpandang 2 orang budak lelaki sedang memegang sebatang rokok. Seorang di sebelah hujung kedai, dan seorang lagi betul-betul dihadapan saya. Wajahnya kelihatan agak muda. Barangkali lebih muda daripada saya.

Sebelum ini saya jarang melihat mahasiswa merokok di kawasan terbuka terutamanya di kafeteria kolej kediaman. Ini kerana kawasan universiti merupakan kawasan larangan merokok. Bagi saya untuk merokok itu adalah hak individu, tetapi menjadi suatu kesalahan sekiranya golongan pelajar-pelajar ini merokok di kawasan kafeteria yang terbuka.

Sekiranya mahu merokok carilah tempat yang sesuai. Bukannya ditempat mahasiswa menjamah makanan. Sewajarnya pelajar-pelajar ini menghormati peraturan yang dikuatkuasakan di dalam Universiti, bahawa para pelajar dilarang merokok di dalam kawasan awam yang terbuka di dalam universiti. Sekiranya mahu merokok pandai-pandailah untuk mencari tempat, bukannya dengan merokok di kawasan yang terbuka seperti kafeteria sehingga mengganggu ketenteraman di kawasan tersebut.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Friday, August 5, 2011

Mahasiswa bangga kejayaan pembaharuan kerajaan Kedah

Tindakan Menteri Besar Kedah menyatakan ketegasan terhadap bahawa tiada kos bawah meja bagi apa saja projek yang melibatkan kerajaan negeri dilihat sebagai langkah yang bertepatan dengan masanya. Di kala Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerang ahli politik samaada daripada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional, Kerajaan Negeri Kedah seharusnya lebih berhati-hati bagi mengelakkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah Darul Aman.

Langkah yang diambil oleh Menteri Besar Kedah ini secara tidak langsung berjaya menarik lebih ramai para pelabur ke negeri Kedah ini. Dalam perkembangan terbaru Kerajaan Negeri merancang menambah 450 ekar lagi kawasan pelaburan iaitu Fasa IV Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dengan nilai sebanyak RM100 juta, memandangkan fasa sedia ada tidak lagi mampu menampung kehendak pelabur yang membuat permohonan.

Sebuah syarikat semi konduktor terbesar Fuji Electric Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan akan membuat pelaburan sebanyak kira-kira RM 1.4 Bilion lagi untuk tujuan pembangunan dan memantapkan sistem operasinya di KHTP.

Sebelum itu, First Solar Incorporated mengumumkan pelaburan sebanyak AS$680 juta (RM2.2 Bilion) di kawasan yang sama. Ia dijangka akan mengwujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam bidang pengurusan, perakaunan, kejuruteraan, sumber manusia dan operasi kilang apabila keempat-empat kilangnya beroperasi sepenuhnya menjelang tahun hadapan.

Di Langkawi Permata Kedah, sebuah syarikat asing 99’ East Langkawi Living menjalin kerja sama dengan Kedah Corporation membangunkan bidang pelancongan di pulau peranginan itu. Projek bernilai RM1.9 billion itu akan dilaksanakan di Bukit Malut, Mukim Ulu Melaka.

Sebuah syarikat swasta EDEN Incorporated Berhad telah membuat pelaburan sebanyak RM100 juta untuk membina tangki tambahan di Under Water World Langkawi.

Di bidang pertanian, sebuah syarikat dari Los Angeles iaitu H&T Seafood Incorporated melabur dalam projek ternakan ikan air tawar di Tasik Pedu. Ia melibatkan 3,000 sangkar ikan berskala besar.

Sebuah syarikat dari Taiwan Ocean Ranch Limited sedang membuat pelaburan di bidang ternakan ikan dalam sangkar menggunakan teknologi Norway. Projek tersebut dijalankan di Zon Industri Akuakultur di Pulau Simpang Tiga, Langkawi.

Projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri yang lalu kini diteruskan dengan versi baru dengan tidak melibatkan pengambilan tanah sawah milik rakyat.

Jika dahulu pelaburan untuk ZIPY hanya berjumlah RM53 Billion, kini ianya bertambah kepada RM83 Billion, sekaligus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang ada sekarang bertambah.

Melihat kepada perkembangan positif ini, mahasiswa yakin agenda perubahan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dapat ditunaikan di negeri Kedah Darul Aman. Oleh itu, pembaharuan yang dibuat ini mestilah diperkasakan dan diteruskan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Presiden Penaja PERSADA

Thursday, August 4, 2011

Khasiat Madu Lebah

Masuk minggu ini, sudah dua minggu saya mengamalkan minum madu yang di bancuh dengan air gau. Selepas membaca tulisan Dr Danial Zainal Abidin di dalam buku beliau, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden barulah saya tahu bahawa Rasulullah S.A.W gemar minum air kosong yang dicampur madu. Sabda baginda, “Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi, tiga kali pada setiap bulan, dia tidak akan menghidap penyakit berbahaya”.

Kebetulan minggu ini juga saya berkeupayaan untuk memiliki sebuah buku terjemahan Tib An-Nabawiy ataupun Berubat Mengikut Cara Nabi karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziah.Sebelum ini, saya sendiri belum mendalami apakah isi kandungan buku ini. Namun begitu, selepas ianya sering disebut oleh Tuan Guru Haron Din di dalam siri-siri kelas perubatan di Darus Syifa’, hati saya tertarik untuk mendapatkan buku ini. Tuan Guru selalunya menyebut tajuk buku ini yang diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Medicine of Prophet’. Pernah suatu ketika saya terjumpa karya tersebut. Namun apabila dibelek herganya, saya melupakan hasrat tersebut sehinggalah menjumpai karya terjemahan di dalam bahasa melayu yang jauh lebih murah.


Saya tidak kisah berapa pun harga buku tersebut, kerana sudah menjadi “kewajipan” bagi diri saya untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sekiranya melewati kedai-kedai buku. Hal demikian kerana, sudah menjadi tabiat saya sejak kecil menggilai buku untuk diisi ke dalam rak buku saya dan dibaca apabila mempunyai masa yang terluang. Setidak-tidaknya buku tersebut menjadi rujukan apabila saya hendak menyampaikan kuliah atau tazkirah di surau. Namun begitu disebabkan kekurangan dana, saya menangguh dahulu pembelian di peringkat awalnya.

Berkenaan madu ini, pernah Tuan Guru Haron Din memberi petua kepada kami di dalam kelas. Katanya madu ini berkhasiat bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak sempurna atau tidak tersusun. Caranya ialah dengan minum sesudu madu bersama seulas bawang putih. Sekiranya di amalkan secara berterusan nescaya akan pulih kitaran haid seperti sedia kala.

Mungkin ini hanya sekadar petua, namun begitu sekiranya di amalkan saya yakin ianya mempunyai khasiat yang tersendiri. Mungkin coretan ini terlalu ringkas jika hendak dibandingkan dengan kandungan kedua-dua buku perubatan yang saya baca ini. Untuk mengetahui lebih lanjut bolehlah sahabat-sahabat membacanya sendiri dengan mendapatkan buku tersebut.

Wednesday, August 3, 2011

Isu SMPI: Antara Cita dan Kerjaya

Minggu ini gempar dalam kalangan pelajar-pelajar Pendidikan Islam APIUM bahawa mereka dikehendaki menukar kos pengajian mereka suapaya memilih jurusan lain. Mereka diberi pilihan samaada memilih bidang pengajian Syariah atau Usuluddin untuk meneruskan pengajian mereka. Hal demikian kerana sekiranya mereka memilih bidang pendidikan, tiada jaminan daripada pihak pentadbiran bahawa mereka akan mendapat tempat untuk “posting” selepas grade kelak.

Selaku wakil fakulti APIUM, sudah tentu saya dan Izat menjadi tempat sahabat-sahabat APIUM mengadu. Bagi adik-adik tahun satu ini, mereka sememangnys “mencintai” bidang perguruan ini. Mereka sanggup untuk menerima pinjaman PTPTN asalkan mereka dibenarkan berada di dalam bidang pendidikan ini. Biarpun mereka tidak mendapat tajaan KPM, mereka sanggup untuk mengikuti jejak langkah senior-senior mereka yang sebilangan besarnya merupakan peminjam PTPTN.

Sebelum ini, panas dengan isu cadangan kenaikkan yuran pengajian, kenaikkan harga makanan, isu solat jumaat, parking dan banyak lagi isu yang dibangkitkan oleh sahabat-sahabat di bumi APIUM. Rintihan tersebut disampaikan kepada pihak atasan melalui sahabat-sahabat di dalam PMAPIUM.

Sebagai perantara diantara mahasiswa APIUM dengan pihak pentadbiran, tidak dapat tidak isu berbangkit yang ditimbulkan oleh para pelajar terpaksa kami bawa kepada pihak pentadbiran. Keputusannya bergantung kepada pertimbangan daripada pihak pentadbiran sendiri.

Oleh itu, saya merasakan di dalam isu ini sewajarnya sahabat-sahabat Sarjana Muda Pedidikan sendiri bertindak dengan lebih pantas. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain, sekiranya terdapat masalah di dalam apa jua perkara, selain daripada mengadu kepada wakil fakulti, saya mencadangkan supaya rakan-rakan menggunakan sebaiknya peti QAMU yang ada. Insya Allah, segala luahan sahabat-sahabat sekalian akan di ambil berat oleh pihak pentadbiran.

Sebagai wakil fakulti, kami hanya mampu menjadi pemudah cara di dalam memperkatakan isu kebajikan sahabat-sahabat semua, namun begitu kami juga menghadapi kesulitan di dalam menyelesaikan isu ini.

Walaubagaimanapun, di dalam isu mahasiswa ini, kami berjanji akan berbuat sehabis baik dalam melaksanakan manifesto kami. Kepada rakan-rakan di APIUM, kebajikan kalian Insya Allah akan kami perjuangkan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com