Thursday, October 4, 2012

Hilangnya permata berharga

Pagi tadi saya mendapat sms berkenaan perginya seorang ulama tersohor di tanah air kita.Penguasa Pondok Lubok Tapah, Tuan Guru Haji Abdullah Abdul Rahman, telah kembali ke Rahmatullah selepas keuzuran akibat penyakit angin ahmar dihidapinya sejak beberapa bulan lalu.

Tuan Guru Haji Abdullah meninggal dunia kira-kira jam 7.00 pagi ini dalam usianya yang menjangkau 74 tahun selepas mewakafkan sebahagian besar dari hayatnya mencurah ilmu agama tanpa henti dan turut bersama-sama mendukung perjuangan politik Islam di negeri Kelantan bersama PAS.

Sepanjang hayatnya Allahyarham seorang pejuang yang istiqamah mendukung perjuangan PAS dan sering dipanggil untuk mengimami solat hajat khususnya dalam mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan.

Sejak akhir-akhir ini Allahyarham agak keuzuran menyebabkan beliau tidak menghadiri majlis-majlis anjuran PAS, termasuk ketika Munajat Perdana di Stadium Sultan Mohd Ke-IV sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-12 baru- baru ini.

Jenazahnya dijangka dikebumikan jam 5 petang ini. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hajjah Kamariah Abdul Ghani dan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan serta ribuan anak muridnya. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa semoga roh Allahyaraham ditempatkan bersama roh para Anbia’ dan Solihin. Amin.

Ada pihak ambil kesempatan terhadap UM

Saya sempat menjengah ruangan “terkini” utusan online dan berita harian. Memang sudah menjadi kegemaran saya menjengah ruangan ini setiap petang kerana memuatkan berita terkini yang panas setiap hari.

Hari ini Timbalan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin membuat kenyataan media berkenaan wujudnya pihak yang mengambil kesempatan terhadap UM. Beliau hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan pihak yang kononnya mendakwa mewakili universiti tersebut menawarkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi itu.

Menurut Beliau, wujud pihak UM tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian dari segi kewangan atau harta benda sekiranya urusan kemasukan ke universiti itu melalui saluran yang tidak sah.

Beliau menjelaskan, segala urusan kemasukan termasuk pengeluaran surat tawaran ke universiti itu hanya dikendalikan oleh Bahagian Akademik Jabatan Pendaftar bagi calon Ijazah Sarjana Muda dan Institut Pengajian Siswazah bagi calon pasca siswazah. ``Kami tidak pernah melantik pihak lain untuk menguruskan tawaran kemasukan ke universiti ini,’’ tegas beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Menurut Profesor Dato’ Mohd. Amin memberitahu, pihak pengurusan universiti menerima beberapa aduan daripada orang ramai berkenaan tawaran kemasukan palsu ke UM baru-baru ini.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Tuesday, October 2, 2012

Teknik Membuat Blog Peribadi


Sudah lama saya menginginkan ramai dalam kalangan pemuda pemudi menjadi bloggers. Alhamdulillah sekarang sudah ramai sudah memiliki blog peribadi sendiri. Masih ada yang belum memiliki lapangan maya ini. Hal inilah yang menyebabkan hati saya tergerak untuk menyiapkan sebuah panduan berkenaan membina blog peribadi. Mudah-mudahan dengan sedikit petunjuk yang diberikan ini, ianya boleh dijadikan panduan oleh sahabat-sahabat sekalian. Insya Allah, sekiranya ada rezeki, pada masa akan datang saya akan cuba mengeluarkan buku-buku kecil untuk diedarkan secara percuma kepada sahabat-sahabat di UM khususnya bagi membolehkan mahasiswa celik dengan dunia blogging ini. Selamat mencuba!

BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT BLOG

Langkah Pertama

1. Langkah yang pertama layari www.gmail.com
2. Sign Up akaun gmail anda
3. Akaun gmail tersebut akan digunakan sebagai username dan password automatik semasa mendaftar blog anda.

Langkah Kedua

1. Untuk langkah seterusnya buka laman www.blogger.com
Sekiranya anda sudah mendaftar akaun gmail, akaun anda sudah terdaftar automatik.
2. Klik pada “create account”
3. Masukkan kata laluan dan password anda (akaun gmail)
4. Namakan blog anda cth : http://faisalkini.blogspot.com
5. Ikuti langkah seterusnya dan pilih tamplate yang anda sukai.

Teknik Menukar Tamplate Yang Menarik

1. Layari laman web yang menawarkan tamplet berformat XML secara percuma.
-cth : www.finalsense.com
2. Pilih tamplate blog yang berformat XML yang anda sukai.
3. Copy kod tersebut.
4. Buka dashboard akaun blog anda.
5. Klik pada layout, kemudiannya klik pada HTML.
6. Kemudian buang kod yang sedia ada dan pastekan HTML yang baru diperolehi.
7. Save dan lihat blog anda yang berwajah baru.

p/s: sesetengah blog menawarkan tamplate jenis upload. Oleh itu tamplate tersebut perlu didownload terlebih dahulu dan diupload. Step yang digunakan adalah sama dengan diatas. Pastikan anda menggunakan perisian mozzila fireworks semasa mendownload. Contoh web yang menawarkan tamplate berbentuk upload adalah :

1. http://layout4all.blogspot.com/


Cara meletakkan shout box

1. Layari http://cbox.ws/?r=4-3384896
2. Kemudian sign up akaun baru anda
3. Ikuti langkah seperti yang diarahkan
4. Copy kod HTML
5. Kemudian buka laman dashboard anda
6. Klik pada add page element
7. Klik pada HTML
8. Kemudian paste HTML dalam kotak tersbut.
9. Save hasil anda.
10. Kemudian klik view dan lihatlah blog anda sudah mempunyai shout box.
Cara post artikel terbaru.

1. Layari www.blogger.com
2. Sign in dengan id anda
3. Kemudian klik new post pada blog anda.
4. Isikan kotak yang tersedia dengan artikel anda.
5. Kemudian tekan publish post.
6. Lihatlah artikel anda sudah tersiar.

Untuk Hiasan Lain anda boleh layari:

1. Jam : http://www.clocklink.com/
2. Counter : http://www.histats.com/viewstats/?SID=309638&f=1v
3. Bahan: http://pimp.myyearbook.com/glitter-word-generator.php
4. Hiasan lain : http://photobucket.com/
5. Map of visitor: http://feedjit.com/
6. Shout Box : http://cbox.ws/?r=4-3384896
7. Widget: http://adiwidget.blogspot.com/

Wednesday, September 12, 2012

Program pertama bersama Fitrah Perkasa


Ust Sayuti bersama peserta wanita


Ust Hashim menjenguk peserta lelaki


Bersama abang-abang Bank Rakyat



Berbaris untuk bersalam-salaman



Abang Wan jabatan latihan Bank Rakyat

Ini merupakan program pertama saya bersama fitrah perkasa di Residence pada 21-23 Mei 2009. Program ini merupakan Modul Solat bersama kakitangan Bank Rakyat.

Sunday, September 9, 2012

KPPD pertama bersama Jaya Bumi


Ust Nasib sedang membelek fail



Tok Penghulu sedang memerhati anak-anak buah


Slot Penghayatan Ibadah


Si Buta sedang mencari "dosa" dan 'pahala".

Tempat: Kem Puteri Ayu
Tarikh: 26-28 Mei 2008
Peserta: Kakitangan Jaya Bumi Sdn Bhd

Saturday, September 8, 2012

Denai Sejarah


Denai sejarah telah merakam
Lencun baju yang dibasahi keringat
Bukti setianya para pahlawan
Membasuh kembali kesucian bangsa yang telah ternoda.

Lalu
Tumpah darah yang menitis diresap bumi
Menyaksi sebuah pengorbanan berepisod duka
Demi membawa siri bahagia buat bangsa
Pada suatu masa.

Lalu,
Suara tangisan pun memecah
Bila kalbu dirodok pilu
Melihat insan pejuang ditikam kaku.

Maka,
Nilaian apakah merdeka di hati kita?

-Selamat Hari Merdeka ke-51!

Tuesday, September 4, 2012

PMIUM sokong cadangan pakaian uniform sekolah dikaji semula


"Sesungguhnya sebilangan daripada ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian, tetapi bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Nas hadis di atas jelas merupakan satu amaran daripada baginda Rasulullah SAW tentang aspek berpakaian yang tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Amaran tersebut merangkumi cara berpakaian yang nipis atau jarang, berpakaian ketat atau membentuk tubuh badan dan mendedahkan bahagian-bahagian tubuh tertentu. Untuk apa amaran tersebut? Sudah tentulah demi menjaga maruah wanita Islam, selain merupakan bukti kecintaan baginda kepada umatnya.

Saya merujuk kepada cadangan yang dikemukakan oleh Munirah binti Bahari selaku Naib Presiden Hewi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kepada Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Cadangan tersebut meminta supaya Kementerian Pelajaran merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan Islam di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dengan menukar baju seragam putih kepada baju seragam berwarna. Hal ini demikian bagi mengelakkan jenayah seksual dan penzinaan yang mungkin berlaku berikutan baju seragam sedia ada yang berwarna putih adalah jarang atau dalam bahasa Inggerisnya disebut 'transparent.'

Justeru, saya merasakan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah wajar dan seharusnya disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan satu langkah pencegahan yang baik bagi mengelakkan barah sosial sedia ada dalam masyarakat daripada terus merebak. Kita sering mendengar peribahasa Melayu yang menyebutkan 'mencegah lebih baik daripada merawat.' Jadi, mengapa kita tidak praktikkan peribahasa ini dalam perkara-perkara yang dirasakan wajar dan perlu?

Sebagai menambah cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tersebut, saya turut mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran lebih berhati-hati dalam setiap penentuan pakaian seragam sekolah supaya ianya selaras dengan etika pemakaian dalam Islam, kerana seperti yang kita maklumi, setiap penetapan yang telah dibuat oleh Islam pasti bertujuan menjaga kemaslahatan ummah. Selain daripada faktor pakaian seragam, adalah menjadi peranan ibu bapa dan guru-guru untuk memberi kefahaman kepada anak-anak dan pelajarnya melalui didikan agama, khususnya tentang etika pemakaian dalam Islam. Dengan demikian, pelajar akan lebih tahu 'menjaga diri' mereka ketika berada dalam sebarang situasi.

Sehubungan dengan itu, saya merasakan cadangan yang diutarakan oleh pucuk pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu adalah sangat wajar, sesuai dengan situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Justeru, cadangan ini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat dan dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran. Semoga manfaatnya kembali kepada para pelajar itu sendiri.

Mohd Faisal Bin Mustaffa,
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Monday, September 3, 2012

Bersama Dr Asri, Mufti Perlis


Semalam, Selasa 10 Jun 2008 saya bersama rakan-rakan PMIUM sempat bertemu dengan Dr Asri Zainul Abidin yang merupakan mufti Perlis. Di dalam pertemuan tersebut kami sempat berbincang dengan masalah yang timbul daripada pinjaman PTPTN dan isu-isu berkaitan dengan kemahasiswaan. Kami merentas perjalanan sejauh 400 km lebih menuju ke utara semata-mata mahu mendapatkan pandangan dengan beliau seterusnya membuat jemputan secara rasmi sebagai forum di dalam program HEWI yang akan diadakan pada bulan Ogos akan datang. Melalui perkongsian dua hala ini, pelbagai input yang telah kami perolehi


Pimpinan PMIUM sesi 08/09 bergambar bersama Dr Asri


Bersoal jawab berkenaan isu PTPTN dan isu Mahasiswa Islam


Sedang menantikan Dr Asri di dalam bilik mahkamah syariah

Sunday, September 2, 2012

Provokasi kanak-kanak Rebena & Air Mata


Rasanya sudah 2 hari kerajaan Negeri Kedah dibentuk. Selama dua hari ini sudah 2 isu yang dimainkan untuk menjatuhkan imej kerajaan Negeri. Ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahan ini menyerang bertubi-tubi untuk meraih simpati rakyat kekalahan dibeberapa buah negeri.


Mulanya mereka menipu melalui media bahwa Kerajaan Negeri Kedah yang baru dibentuk telah mengarahkan supaya Tadika Kemas di tutup. Entah dari mana khabar angin sebegini diperolehi. Bagi saya sepatutnya berita khabar-khabar angin sebegini perlu diteliti dan dikaji dari mana sumbernya. Mungkin ianya sekadar provokasi sesetengah pihak yang tidak berpuas hati. Sedangkah tiada arahan yang dikeluarkan sedemikian rupa.


Itulah, sepatutnya wartawan yang hendak dihantar ke Negeri "Islam" ini sewajarnya diberi pendedahan khusus berkenaan firman Allah SWT yang berpesan kepada orang-orang mukmin agar menyelidik dahulu berita yang diperolehi daripada orang-orang yang fasik. Lafaz "Fatabayyanu" jelas memberi peringatan kepada kita supaya meneliti, mengkaji dan sedaya upaya mendapatkan maklumat yang tepat sebelum disebarkan.


Namun yang berlaku adalah sebaliknya.Inilah yang saya jangkakan selepas negeri Jelapang Padi mendapat kerajaan baru. Tidak mustahil rakyat Kedah yang di wara-warakan kaya sebelum ini akan jatuh miskin kerana dinaungi kerajaan yang mengamalkan Al-Quran dan As-Sunnah. Mungkin Selangor, sebuah negeri yang maju turut sama akan menjadi negeri yang miskin, diikuti Perak dan Pulau Pinang. Tersenyum saya sendirian kerana sebelum ini hanya Negeri Kelantan sahaja yang "miskin". Negeri Terangganu yang menduduki tangga negeri termiskin di semenanjung Malaysia pun diaggap kaya oleh media.Ajaib betul..Saya tersenyum sendiri.


Kes yang kedua adalah kenaikkan Harga Tambang Feri ke Pulau Langkawi.Daripada RM15 menjadi RM20.Alasannya kerana pengusaha tidak mampu menanggung kos minyak dan penyelenggaraan Feri yang kian naik. Saya sendiri merasakan, ini merupakan rancangan sesetengah pihak yang mahu memburukkan imej Kerajaan dimata penduduk Pulau Langkawi yang dimenangi oleh pembangkang.Nasihat saya, janganlah menunding jari kepada Kerajaan Baru yang dibentuk.Ini kerana apa yang ditanggung oleh pengusaha adalah warisan daripada Kerajaan yang memerintah dahulu. Sudahlah meninggalkan hutang sebanyak 1.8 billion kepada kerajaan sekarang. Betapa beratnya beban amanah yang perlu dipikul oleh kerajaan negeri yang baru dibentuk ini.


Sekiranya harga minyak dikatakan punca, salah siapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah salah Kerajaan Pusat yang menaikkan harga minyak tersebut.Kenapa pula Kerajaan Negeri yang disalahkan.Bagi saya, provokasi yang dilakukan ini tidak lain adalah mainan kanak-kanak rebena. Biarlah provokasi ini dimainkan. Saya yakin dan percaya, senjata yang dihunus ini kelak akan memakan tuannya kembali.Lihatlah PRU 12 menjadi buktinya.


Setakat ini dulu coretan saya.Insya Allah kita akan ketemu lagi.Sekiranya hari ini mereka menindas kita. Kita yakin dan percaya kelak Allah akan bersama dengan kita. Sekiranya hari ini Tuan Guru Nik Abdul Azizi Menangis. Saya juga mengharapkan Ustaz Azizan juga akan menangis bermunajat bersama dengan rakyat yang ditindas .Sesungguhnya Air Mata para ulama bermunajat sangat berharga. Semoga Islam terus subur di Negeri Hijau Kuning


"Ya Allah, Kau jadikan kami pengikut yang baik kepada pemimpin kami yang soleh"



Saturday, September 1, 2012

Selamat Hari Guru!


Buat guru di seluruh dunia...
Jasamu sentiasa dikenang.
Tiada ternilai dek harta.
Walau pun selautan dunia.
Hanya Allah yang dapat membalas segala
Di dunia
Jua di akhirat sana...

Saturday, August 11, 2012

CAKE jadi KACE

Jam menunjukkan 1.04 pagi. Mata masih belum mengantuk. Kebetulan petang tadi saya tidur selepas pulang dari kelas. Agak keletihan ditambah pula dengan kesejukan hujan. Guruh berdentan dentum.Malam ini, sahabat-sahabat seusrah mengadakan Qiamullail bersama di Masjid. Jadi beramai-ramai meninggalkan Baitul Taubah (nama rumah kami) untuk tidur di masjid. Kawan-kawan semua sudah tidur, memberikan saya peluang memetik kekunci lap top Daniel atapun lebih di kenali sebagai Pok Nya. Sahabat yang saya kira cukup komited dengan gerak kerja tarbiah di kampus.

Ketika berusrah bersama Abang Dzul dahulu, beliau menggelar Pok Nya dengan gelaran nama seorang sahabat. Hal demikian kerana tubuhnya yang kecil dan kerjanya cukup komited. Walaupun lahir dipenghujung tahun 1984, namun begitu akibat kelewatan didaftarkan, maka di surat beranak Pok Nya tercatat 1985 sebagai tahun kelahiran.


Saya membelek artikel berkenaan PPSMI yang diletakkan diatas tabung diluar masjid. Apabila membaca artikel tersebut, fikiran saya melayang kembali ke alam kanak-kanak. Entah kenapa, memori yang sudah lama terpadam kembali bermain difikiran. Saya tersenyum sendirian.

Hal demikian kerana ketika di sekolah rendah saya seorang yang lemah di dalam mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris. Pernah suatu ketika, semasa berada di darjah dua, guru matapelajaran bahasa inggeris (kami panggil teacher) memberikan kami soalan untuk dijawab. Soalan tersebut berupa abjad-abjad dimana kami diminta untuk menyusun abjad tersebut menjadi perkataan. Masih ingat, pada ketika itu saya bersama Nizam (sahabat sepermainan), berbincang untuk mengisi jawapan pada kertas tersebut.

Antara abjad yang diberikan kepada kami adalah, A.E.C.K dengan menunjukkan sebiji kek. Selepas berbincang dengan sahabat saya, kami dengan yakin mengisi jawapan tersebut dengan menulis KACE. Kami yakin pada ketika itu bacaannya adalah kace yang menyerupai kaca.

Setelah menginjak dewasa baru saya tahu bahawa jawapan saya itu salah. Entah mengapa memori silam boleh diingati kembali. Sedangkan peristiwa tersebut berlalu lebih dari 10 tahun lamanya.

Walaupun lemah dalam matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dapat menguasai dengan baik matapelajaran sains dan kajian tempatan. Di mana 3 tahun berturut-turut saya mendapat anugerah pelajar matapelajaran sains terbaik. Bahkan ketika peperiksaan hujung tahun, pernah suatu ketika saya menjawab hanya dalam masa 30 minit, berbanding 1 jam yang diperuntukkan. Isu ini dibincangkan sehingga sampai ke pengetahuan PIBG, namun begitu saya sedikit kelegaan apabila keputusan yang dikeluarkan menggembirakan hati saya. Sehinggalah saya berjaya menamatkan pegajian di peringkat UPSR dengan keputusan 4A1B. Walaupun pada ketika itu saya cukup lemah di dalam penguasaan matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dikurniakan anugerah oleh Allah untuk merasai nikmat mendapat A dalam matematik dan B dalam bahasa inggeris. Padanlah dengan usaha saya yang hanya mengulangkaji pelajaran dengan lastik di dalam hutan. Itu pengalaman saya sebagai seorang budak kampung. Mengalami kesukaran untuk menguasai Bahasa Inggeris, tetapi berjaya menguasai sains dengan baik kerana di ajar dalam bahasa melayu.

Namun begitu, situasi ini tidak berlaku kepada adik saya, Nasuha. Dia sekarang bergelut sedaya upaya untuk memahami pelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris. Sudahlah subjek Bahasa Inggeris berterabur, dibebani pula dengan dua subjek yang cukup berat ini.

Pernah dia mengadu yang dia tidak memahami apa yang diajar oleh guru. Emak dan ayah hanya mampu mengeluh. Hendak diajar, mereka sendiri tidak faham. Saya tidak menyalahkan emak dan ayah. Saya yakin guru di sekolah tidak akan menyalahkan mak dan ayah saya. Hal demikian kerana mereka tahu bahawa rata-rata dalam kalangan peneroka felda tidak boleh berbahasa inggeris. Setakat menyebut perkataan market yang sudah menjadi percakapan harian orang kedah mungkin boleh. Tetapi untuk menterjemahkan perkataan dan teori sains dan matematik yang agak kompleks mungkin mustahil.

Tetapi saya yakin, pejuang bangsa yang mahukan sistem PPSMI ini diteruskan, mereka mungkin tetap akan menyalahkan ibu bapa. Hal demikian kerana mereka tidak mampu untuk membantu anak-anak menguasai bahasa inggeris. Dengan sumber keewangan yang kurang mencukupi untuk menampung kehidupan menyebabkan rata-rata mereka gagal menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa inggeris ini.

Dari kenyataan sombong mereka setiap kali mengeluarkan kenyataan, membayangkan akan keegoan yang tersemat di dalam hati menteri pendidikan ini. Saya tidak hairan mengapa anak-anak mereka mampu menguasai bahasa inggeris dengan baik. Antaranya disebabkan budaya dirumah yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pertuturan. Bagi anak-anak yang lembab pula dihantar ke pusat pengajian bahasa inggeris dan akhirnya dihantar ke luar negara untuk belajar atas pembiayaan peribadi. Sudah tentu apabila pulang ke tanah air sudah mampu bertutur menggunakan bahasa inggeris dengan baik.

Saya terfikir sendirian, sekiranya adik-adik saya di felda yang sedang membangun sukar untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa inggeris, bagaimana pula dengan masyarakat orang asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak? Pengalaman bermalam di kampung orang asli Kuala Mu, meninggalkan kesan mendalam pada jiwa saya. Bukan setakat menggunakan bahasa inggeris, menggunakan bahasa melayu untuk memahami sains dan matematik pun belum tentu boleh atau tidak.

Persoalannya, mengapakah PPSMI yang di laksanakan ini tidak mengambil kira berkenaan keseluruhan masyarakat di dalam Negara kita? Hanya disebabkan idea seorang yang sudah lanjut usianya, ianya terus dilaksanakan tanpa mengambil kira pendapat cendiakawan dan tokoh pemikir tanah air.

Mungkin niatnya murni untuk memartabatkan bangsa melayu dengan penguasaan bahasa inggeris, namun begitu sehingga hari ini saya melihat anak-anak melayu terutama diluar bandar sudah kehilangan selera untuk belajar. Mereka lebih gemar untuk ponteng kelas dan melakukan aktiviti yang tidak sihat. Keadaan ini jelas jika diperhatikan dalam kalangan anak-anak muda di kampung-kampung dan felda-felda.

Lebih jelas lagi syarikat percetakkan buku-buku teks mendapat laba yang banyak kerana mendapat tender mencetak buku teks bertimbun-timbun dalam masa yang singkat. Kesannya anak-anak melayu di kampung terus liat untuk membelek buku tersebut walaupun sudah berjuta ringgit dihabiskan untuk mencetaknya.

Sewajarnya, pihak kerajaan perlu memikirkan kaedah yang terbaik baik bagi menyelesaikan masalah pelajar yang malas untuk belajar. Di tambah pula dengan jenyayah dalam kalangan pelajar yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Pihak kementerian tidak seharusnya lepas tangan di dalam menangani isu ini.

Tindakan Dato Seri Hishamuddin, selaku menteri pelajaran yang membuat kenyataan melulu dengan mengatakan bahawa Dato’ Hassan Ahmad, A. Samad Said dan beberapa tokoh lain dipergunakan untuk kepentingan politik pembangkang cukup memalukan. Adakah golongan cerdik pandai ini terlalu naïf didalam membuat pertimbangan di dalam memperjuangkan hak bangsa. Hanya kerana memperjuangkan isu bangsa terus dilabelkan sebagai pembangkang.

Mengapa lontaran sebegini harus keluar daripada mulut seorang menteri yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama. Dengan gaya percakapan yang agak sombong, dia tetap mempertahankan PPSMI yang dipolopori oleh bekas ketuanya.

Saya memuji tindakan pimpinan PAS, PKR dan sebahagian daripada pimpinan UMNO. Walaupun ramai pimpinan UMNO bersatu mempertahankan PPSMI, namun begitu Khairy Jamaluddin dan Dato’ Puad Zarkhasyi jelas menolak perlaksanaan PPSMI ketika di wawancara oleh wartawan baru-baru ini.

Persoalannya kepada DS Hishamuddin, Adakah kedua-dua pemimpin UMNO ini turut termakan dengan hasutan pembangkang? Atau adakah mereka sedar bahawa PPSMI ini merugikan bangsa sendiri.

Wednesday, August 8, 2012

Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional


Hari-hari berlalu terlalu pantas. Saya kira setiap hari ada sahaja yang perlu dinukilkan di atas hamparan maya ini, namun begitu masa begitu mencemburui. Disaat-saat keletihan sekerja seharian dan malamnya meneyelesaikan tanggungjawab lain, agak sukar bagi saya untuk mencurahkan idea diatas hamparan maya ini. Namun begitu diatas permintaan sahabat-sahabat, saya gagahi juga untuk mengetuk papan kekunci ini.

Hujung minggu lalu, iaitu pada 6-8 Jun telah diadakan Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional. Program ini dirancang bertujuan bagi memperkasakan Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Sejak kebelakangan ini BBMN dilihat sebagai sebuah badan yang lesu dan seperti tidak menyengat. Hidup segan, mati tak mahu. Itulah perumpamaan yang mungkin sesuai untuk saya padankan. BBMN kehilangan pemimpin yang berjiwa besar untuk menerajui kepimpinan disaat-saat menghadapi kekalahan. Ruh pengasas BMMN Prof. Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Bin Yusof mungkin tidak sampai kepada generasi BBMN yang baru ini. Begitu juga energy yang ada pada Amin Idris tidak lagi diwarisi oleh pendokong BBMN dikala ini.

Bagi ahli Pro-M yang memenangi kerusi samaada diperingkat Umum ataupun Fakulti, mereka merasakan diri kerdil dan tidak yakin untuk menonjol. Seperti seekor semut merah yang kecil saiznya berhadapan dengan Sang Gajah yang begitu besar. Mereka tidak sedar bahawa semut merah ini lebih bertenaga daripada Sang Gajah yang besar tersebut. Bisa menggigit sang gajah. Sudah tentu Sang Gajah akan meronta kesakitan dek kenakalan dan gangguan daripada semut merah ini.

Pemerintah yang dianggap “Super Power” seperti Namrud sendiri pun dikalahkan oleh seekor Nyamuk. Tubuh bukan menjadi ukuran. Yang penting semangat yang membara di dalam ahli BBMN sendiri yang akan menjadikan halatujunya lebih jelas dan tersusun.

Melalui ini konvensyen ini, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa sebulat suara melantik Saudara Hilman B Nordin sebagai Pengerusi BBMN yang baru. Insya Allah dengan kapasiti yang ada pada beliau saya yakin dan percaya, BBMN pada kali ini mampu untuk bersuara memperjuangkan suara mahasiswa. Di bantu oleh Saudari Nur Izati sebagai timbalan pengerusi , Nor Farhana Farzieana bt Azmi sebagai setiausaha agung dan beberapa wakil yang bakal mengepalai zon masing-masing.

Konvensyen ini juga telah memberi signal awal bahawa BBMN sudah bersedia untuk memanjat pejabat PM dan menteri-menteri di Putrajaya untuk memperjuangkan isu mahasiswa.Kepada sahabat-sahabat BBMN, kalian merupakan pemimpin yang dipilih oleh sahabat-sahabat kita didalam PRK kampus. Kalian umpama YB-YB yang menerima amanah daripada rakyat. Sekiranya GAMIS menjadi himpunan kepada wakil GMI seluruh kampus untuk bersidang, maka BBMN menjadi medan untuk YB-YB dari setiap kampus untuk memperjuangkan isu kemahasiswaan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Sunday, August 5, 2012

Status Halal di Malaysia Kian Meragukan

Pelbagai jenis makanan kian melambak di pasaran sekarang, terutamanya bagi makanan jenis segera atau ‘instant.’ Makanan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya dan mula mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya masyarakat bandar. Kebanyakan barangan ini memiliki logo Halal dari JAKIM, malah tak kurang juga yang tidak mendapat kelulusan dari JAKIM. Namun, sesetengah masyarakat yang hidup penuh kemodenan jarang mempedulikan atau menitikberatkan soal ini, asalkan semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan segera.

Terbaru, saya ada membaca paparan akhbar tentang ayam selasih atau ayam hitam yang dibeli di pasar raya besar disembelih tidak mengikut hukum syarak. Pelanggan yang membeli ayam tersebut mendapati seekor ayam yang dibelinya tiada leher, manakala seekor lagi didapati urat pada lehernya tidak putus. Malah, pelanggan ini ditawarkan RM 20 000 oleh pengurusan pasar raya besar ini sebagai ‘upah’ supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah dibuat aduan tentang ayam yang dibelinya tidak disembelih mengikut hukum syarak. Namun, beliau tidak gelap mata, dan terus membuat aduan kepada JAKIM.

Saya tertanya-tanya; pasar raya besar tersebut mempunyai pegawai yang memeriksa status halal pada barangan yang dijual, namun kenapa hal ini masih lagi terjadi? Adakah pegawai di situ benar-benar menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan yang dijual, terutama makanan segar, disahkan halal? Atau, pemeriksaan hanya dilakukan pada kali pertama barangan tersebut dihantar, dan pada kali yang seterusnya tidak lagi diperiksa kerana telah disahkan halal sebelumnya? Hairan juga saya. Prosedur bagaimana yang dilakukan sehingga status halal pada barangan makanan ini boleh dimanipualsi?

Dalam situasi yang lain pula, saya mendapati antara aduan yang diterima oleh orang ramai berkenaan masalah ayam ialah ayam yang dibeli di pasar raya berbau busuk, ayam yang dihantar bercampur bersama daging babi serta terdapat haiwan lain di dalam plastik bungkusan ayam. Seorang pengguna pula mendakwa ayam segera yang dibeli di sebuah pasar raya mengandungi cicak di dalam salutan tepung ayam tersebut. Selain masalah ayam, sebelum ini kita didedahkan dengan sebuah kegiatan syarikat katering, di mana syarikat ini menggunakan pelbagai jenis wain bagi memerap masakannya, terutama ayam dan daging, malah syarikat ini turut menggunakan sijil halal palsu yang dibeli daripada anggota sindiket menjual sijil halal palsu dengan harga RM 2 500. Akal saya mula ligat berfikir; jika kita sendiri boleh tertipu dengan logo halal ini, bagaimana kita hendak memastikan sesuatu barangan atau makanan itu benar-benar disahkan halal? Sekalipun telah mendapat sijil halal, terdapat juga sesetengah pengeluar yang melakukan penyelewengan dengan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan JAKIM. Bagaimana JAKIM mahu mengatasi masalah ini? Saya berharap JAKIM dapat melakukan pemeriksaan terperinci ke atas sesuatu barangan sebelum mengeluarkan sijil halal, dan terus membuat pemantauan ke atas pengeluar walaupun setelah sijil halal dikeluarkan bagi memastikan pengeluar tersebut tidak melakukan sebarang penyelewengan.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah berhati-hati ketika hendak membeli ayam bagi mengelakkan ayam yang dibeli tidak elok atau tidak halal, begitu juga dengan pemilihan dalam membeli barangan atau menempah makanan melalui katering. Jika hendak membeli ayam di pasar raya, teliti dahulu ayam tersebut. Jika meragukan, usahlah dibeli. Ini lebih baik daripada memakan ayam yang diragui status halalnya, kerana ia termasuk dalam perkara syubhah dan lebih baik ditinggalkan. Lebih selamat jika kita membeli ayam di pasar pagi kerana ia masih segar serta boleh dilihat dan diperiksa dengan jelas. Pendek kata, umat Islam hendaklah sensitif dan berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Halalan toyyiba.

Wednesday, July 11, 2012

Kenangan Usrah KISAS

700392662l

Usrah terakhir bersama sahabat-sahabat di Masjid Sultan Sulaiman, Klang

Belakang : Amir (mesir), Fitri (UM), Hafez Sabri (UM), Amar (UKM), & Saya
Depan Sabri (UM), Hafiz (UKM) dan Iman (UKM)

Sementara menanti setiap kumpulan membentang kesalahan-kesalahan di dalam solat di dalam program Penghayatan nilai R.A.K.Y.A.T di dalam solat, saya sempat menjengah ke laman freindster sahabat saya Fitri.

Apabila saya melihat gambar-gambar di dalamnya, terkenang memori beberapa tahun yang lalu. Saat jiwa muda yang berkocak mahu memperjuangkan Islam dan beriltizam mahu mahu masuk ke Universiti.

Gambar Usrah di atas adalah merupakan gambar yang diambil seingat saya ketika pertemuan usrah terakhir dikala mahu mengambil STPM.


Saya kira inilah usrah pertama saya yang paling mencabar kerana memimpin sahabat-sahabat yang sama umurnya. Usrah kelompok kecil ini merupakan usrah khusus yang dicadangkan oleh sahabat saya iaitu Hafez Sabri. Saban malam kami berbincang, akhirnya terbentuklah kumpulan usrah ini. Alhamdulillah, ke semuanya sehingga hari ini terus istiqamah di dalam memperjuangkan agenda Islam di kampus masing-masing.

Pada awalnya saya dilantik menjadi ketua Usrah bagi seluruh tingkatan 6 Rendah, dan akhirnya menjadi Exco Usrah BADAR pada tahun tersebut. Usrah yang yang dijalankan secara mingguan ini adalah secara besar-besaran iaitu melibatkan keseluruhan warga tingkatan enam tanpa berkecuali. Di dalam usrah ini kebiasaannya akan dijadikan medan muhasabah buat seluruh pelajar lelaki tingkatan 6 di KISAS.

Dengan karektor yang tegas, saya selalunya mengambil bahagian untuk memberi teguran dan kata-kata semangat bagi membolehkan imej tingkatan 6 tidak dipandang rendah.Saudara Azuan selalunya memberikan inzar berbentuk mensucikan hati bersesuaian dengan imej “tok guru” yang ada pada beliau. Rindu rasanya pada Azuan. Walaupun kadang-kadang terlihat isyarat YM beliau menyala, terasa malu untuk menegur. Risau “ulama muda” ini terganggu dalam menelaah kitab-kitab turath dibumi anbiya sana. Pernah saya menegur, tetapi tidak mendapat jawapan.

Alhamdulillah, berkat usaha seluruh warga tingkatan 6 pada tahun tersebut, maka tercatatlah jumlah sebanyak 5 orang mendapat 5 Prinsipal A, dan 18 orang mendapat 4 Prinsipal A .

641870399l

Gambar di kelas 6 Atas 6, KISAS.

1_353885547l

Azuan, Aji dan Habib yang dirindui. Insya Allah pada tarikh 20/02/2020 akan bertemu alumni STPM Kisas 2005 di masjid Sultan Sulaiman jam 2.20 petang.

Tuesday, July 10, 2012

Semoga Allahyarhamah Aina Mardiah dirahmati Allah


Hadirin mendoakan kesejahteraan jenazah Aina Mardiah

Kehilangan Aina Mardiah iaitu anak sulung kepada salah seorang tahanan ISA, Kekanda Shahrial Sirin bisa, menyentuh hati manusia yang masih hidup kalbunya. Namun begitu tidak dapat dinafikan, masih ada hati-hati yang sudah mati dan tidak bisa untuk merasai kepedihan yang ditanggung ini.

Setelah menjangkau 7 tahun dikurung didalam jerangkap besi yang penuh dengan kezaliman dan kesengsaraan, terpisah pula dengan anak-anak dan isteri begitu menjerut jiwa insan ini. Kini Kekanda Shahrial kehilangan pula anak yang di sayangi. Tidak dapat saya bayangkan betapa sedihnya hati Kekanda Shahrial apabila kepulangan beliau hanya sempat menatap wajah pucat anak kesayangannya.

Anak yang ditinggalkan dalam keadaan tersenyum ceria, tetapi disaat kepulangannya hanya sekujur tubuh yang tidak bisa membuat apa-apa menjemputnya. Selama 7 tahun anak-anak ini ketandusan kasih sayang seorang ayah. Salam takziah daripada PMIUM kepada keluarga Allahyarhamah Aina Mardiah. Semoga bahagia diakhirat sana.


“ Ya Allah, kau rahmatilah Allahyarhamah Aina Mardiah di akhirat sana. Kau tabahkanlah hati kedua ibu-bapanya. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, sekiranya hari ini saudara kami di dalam ISA ini dizalimi, kau berikanlah balasan yang selayaknya kepada orang yang menzalimi mereka. Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, kau tabahkanlah hati saudara kami, Kekanda Shahrial dan keluarganya. Kau berikanlah kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang menentang kezaliman. Amin”.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Monday, July 9, 2012

Tazkirah Ringkas


Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).8:60

Wabak H1N1, peringatan buat semua

a-h1n1

Semalam saya sempat bersama dengan adik-adik Maktab Perguruan Bahasa Melayu, Lembah Pantai. Walaupun saya balik agak lambat daripada pejabat kerana menyusun atur pejabat bagi membolehkan saya dan Che Mat mempunyai meja sendiri ditingkat atas pejabat. Ustaz Nasib orang yang paling bersemangat mahukan kami berdua menyusun meja pada petang semalam.

Biar pun badan agak letih memandangkan simptom demam Chingkungnya belum sembuh sepenuhnya, namun disebabkan rasa rindu pada adik-adik di IPBM saya tetap bersemangat untuk melangkah kaki ke sana. Kelihatan awan mendung selepas hujan dan guruh yang masih berbunyi, menuntut saya membawa bekalan baju hujan di dalam kotak “doraemon” dibelakang motor saya.

Saya memulakan bicara saya bersama adik-adik dengan membawa pesanan Tuan Guru Dr Haron Din di dalam kelas di Darus Syifa baru-baru ini berkenaan fenomena “Selsema Babi”. Suatu fenomena yang menyebabkan seluruh dunia berada di dalam ketakutan. Ini kerana, sehingga 6 Julai sudah 434 kes yang dicatatkan berbanding hanya 2 kes pada 2 jun lepas.


Saya mengajak mereka supaya melihat fenomena selsema babi ini dengan 4 pandangan. Melihat dengan pandangan mata, pandangan akal, pandangan nafsu dan pandangan mata hati.

c9013d8fdfe9b7da92806cacac9f9244

Pertamanya dengan pandangan mata. Melihat dengan pandangan mata, seseorang itu hanya mampu melihat peristiwa selsema babi ini secara fizikalnya sahaja. Cuba kita renungkan, apakah yang hanya boleh dilihat dengan mata di dalam kejadian selesema babi ini. Maka tidak lain dan tidak bukan kita hanya akan mampu melihat fakta statistik peningkatan wabak. Mungkin juga kita dapat melihat tanda-tanda symptom wabak ini pada tubuh pesakit, tetapi semuanya adalah berkisar berkenaan fizikal tubuh badan pesakit itu sahaja.

h1n1

Seterusnya, melihat selsema babi ini dengan pandangan akal. Kebiasaannya melihat dengan pandangan akal ini adalah kebiasaan pandangan para-para cerdik pandai atau pun saintis di dalam bidang ini. Mereka melihat dengan ilmu yang mereka ada untuk mencari punca-punca merebaknya wabak selsema babi ini. Melalui penelitian dan pengkajian ini, mereka akan cuba mencari jalan penyelesaian kepada penyakit yang belum ada jalan penyelesaian ini.

Manakala pandangan ketiga adalah melihat dengan pandangan nafsu. Apabila fenomena selsema babi ini dilihat dengan pandangan nafsu, maka akan adalah golongan-golongan yang bergelak ketawa sambil bertepuk tangan melihat negara-negara yang diserang dengan wabak ini. Ianya akan menjadi suatu keuntungan sekiranya ubat yang ditemui boleh dipasarkan dengan harga yang mahal. Seperti kata sahabat saya Fahyshal di dalam ruangan komen Facebook saya iaitu, selsema babi ini juga mainan kapitalis farmaseutikal yang menggunakan bioteknologi untuk menghasilkan virus demi kelangsungan jualan ubat.

Manakala pandangan yang keempat adalah melihat serangan wabak selsema babi ini dengan pandangan mata hati. Inilah pandangan orang yang tinggi keimanannya kepada Allah S.W.T. Mengapakah berlakunya fenomena sebesar ini? Adakah tiada jalan penyelesaian kepada permasalahan ini? Sekiranya seseorang itu melihat fenomena ini dengan pandangan mata hati, sudah tentu ianya adalah merupakan suatu bala yang ditimpakan oleh Allah S.W.T terhadap penduduk di atas muka bumi ini.

Punca kepada berlakunya wabak ini adalah kerana kederhakaan manusia kepada Allah S.W.T. Maka tiada cara lain untuk menghadapi perkara ini melainkan kita kembali mentaati ajaran Islam dan mengamalkannya. Bersamalah kita meningkatkan amalan kita dan meletakkan ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah S.W.T.
Kepada adik-adik, saya meninggalkan pesanan Tuan Guru Ust Haron Din supaya masing-masing mengamalkan Qunut Nazilah dan beberapa bacaan doa penolak bala. Mudah-mudahan dengan amalan tersebut kita semua akan dilindungi oleh Allah S.W.T.

Nota :
Ini komen Abang Hasrul di Face Book saya berkenaan saranan membaca Qunut Nazilah ketika wabak H1N1 ini:

Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat SUNAT qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan SUNAT SOLAT bukannya doa qunut. Mazhab Hambali menyatakan bahwa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman saidina Umar dan beliau TIDAK QUNUT dan tidak menyuruh orang lain qunut.

Insya Allah kita guna pandangan pertama, mudahan H1N1 jd ujian penghapus dosa Insya Allah..AMIN

Sunday, July 8, 2012

Cetusan Pak Rae


Semalam saya sempat melayari laman blog terbaru Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya Dr Azrae Bin Hj Idris. Walaupun kewujudan ini agak terlewat berbanding anak-anak buahnya, namun begitu kewujudan blog ini mendahului TNC Hep daripada kampus-kampus lain.

Sebagai “pemantau” kepada aktiviti pelajar, kewujudan blog ini amat bermakna kerana segala buah fikiran dan cadangan yang beliau akan kemukakan kepada para pelajar dapat dilayari terus didalam laman blog beliau. Segala respon daripada para pelajar akan terus disampaikan kepada beliau. Jika sebelum ini, Perdana Mail menjadi tempat beliau meluahkan rasa, namun begitu ianya kurang berkesan kerana tidak semua pelajar cakna dengan Perdana Mail mereka.

Kepada Ayahanda Dr Azrae, semoga terus tegar dalam menulis. Semoga usaha yang dilakukan ini akan memberikan manfaat kepada mahasiswa baru di Universiti ternama ini. Mungkin selepas ini akan menyusul pula blog Naib Canselor. (^^,). Untuk Melayari blog ayahanda TNC, Dr Azrae KLIK DI SINI

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

Berbloggerlah dengan bebas sebebasnya

Alhamdulillah, hari ini pihak kerajaan menerusi Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata berkata pihak kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan kepada mana-mana blogger di negara ini. Hal ini ada persetujuan sebulat suara di dalam mesyuarat kabinet.

Berdasarkan keputusan tersebut, maka sekatan-sekatan sebelum ini adalah terbatal secara automatik. Sebagai salah seorang blogger mahasiswa yang tegar, walaupun bukan atas isu yang kritikal tetapi saya merasakan suatu kebebasan kepada individu untuk berblogger.

Sebelum ini ada sahabat saya dari UMS yang menghubungi saya meminta pendapat berkenaan dengan berblogging ini. Katanya takut dikenakan prosiding oleh pihak pentadbiran Universiti kerana berblogging. Jawab saya, "blogging jer, asalkan kita tetap berdiri atas stand mahasiswa".

Memandangkan pihak kerajaan sendiri telah memberi green light kepada blogger-blogger untuk berblogging dengan sepuas-puasnya tanpa sekatan, maka nasihat saya kepada mahasiswa gunakanlah peluang ini untuk terus mencurahkan idea dan buah fikiran anda.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


Wednesday, July 4, 2012

SMS dari sahabat

Dari kiri Zaidi, Ustaz Wahab, Saya dan Apple (Azfar pusat kebudayaan) ketika ekspedisi dakwah orang asli di Kg Bersoak. Insya Allah saya akan ceritakan dalam artikel akan datang

SMS Menarik yang saya terima hari ini (9 mac 2008). Sudah sekian lama tidak mendapat msj tazkirah. Tetapi hari banyak pula yang saya terima. Sengaja saya kongsikan bersama sahabat-sahabat semua.

SMS 1
Msj ini masuk ketika tengah hari tadi.

Alangkah bagusnya aku menjadi burung, tidak aku dibebani bebanan seperti ini. Hidup bebas di udara. Alangkah indahnya jika aku menjadi seperti ikan, tidak perlu aku memikirkan masalah dunia ini. Berenang riang dilautan. Tapi tuhan telah memilih aku menjadi seorang khalifah untuk aku bersyukur ke atasnya..Islam..Ihsan..Iman dan Taqwa…Memimpin dunia..Memilih antara hak dan batil.Syurga/Neraka..Wslm

SMS 2
Oh Azwary. Sahabat sekampung saya. Tiba-tiba msj saya pagi tadi. Tetapi versi berbeza dengan kisah ayah, anak dan burung murai dalam iklan petronas .

Anak : Ayah, ni siput apa?
Ayah: Siput babi.
Anak: Siput apa?
Ayah: Siput babi nak.
Anak: Siput apa?
Ayah: Siput babi saying.
Anak: Siput apa?
Ayah: Siput la…babi!

SMS 3
Ini msj yang saya terima awal pagi tadi. Ada kawan yang ingin mengusik saya.

Awak adalah member saya lain dari yang lain…

Sebab Awak…

Sistematik..

Ekonomikal…

Nasionalisme…

Gigih…

Aktif…

Lasak…

Senang citer camni ar…

S.E.N.G.A.L..

SMS 4
Msj ini saya terima daripada Fauzan ketika waktu kelas metodologi syariah. Terkejut juga menerima msj sebegini panjang daripada Fauzan. Sebelum ini dia hanya menghantar msj untuk bertanyakan hal keewangan MIHAR.

Nak dengar cerita tak? Apa kesan fitna kat Belanda. Satu dunia sekarang nie telah berpusu-pusu mencari kitab al-Quran untuk dibaca. Mereka ingin mengetahui mengapakah umat Islam begitu marah sekali sungguh pun ianya hanyalah sebuah kitab sahaja. Kerajaan Belanda telah memberi percuma kepada rakyatnya untuk membaca kitab Islam yang teramat suci iaitu Al-Quran. Syukurlah wahai umat Islam sekalian, walaupun agama kita dihina tetapi secara tersiratnya, semua itu ada hikmah disebalik kejadian tersebut. Dan satu lagi sumber, negara Denmark yang membuat karikatur Nabi Muhammad SAW telah kerugian 1.6 juta dolar sehari kerana barangan negara itu diboikot. Dan jika semua umat Islam bersatu padu, musuh-musuh Islam tidak akan berani mengancam kesejahteraan Islam. Bersyukurlah kerana kita tergolong di dalam agama yang diredhai Allah.. Alhamdulillah..

SMS 5
Msj ini saya terima daripada sahabat saya Apple.

Apple tanya saya: Faisal, bila nak bagi gambar Kuala Mu?
Saya jawab : Esok ana bawa, ana bagi pada anta.
Apple balas: Esok ana bawa, ana bagi pada anta ya.

Saya tersenyum sendirian. Dia menganggap ana itu adalah ganti nama saya, dan anta itu adalah ganti nama dia.