Monday, January 7, 2013

AUKU: Mahasiswa Aspirasi sudah mula bersuara


Sejak kerajaan memalu gendang mahu meminda AUKU, banyak pihak yang memberi respon positif. Mahasiswa samaada berlatar belakangkan Pro-Mahasiswa mahupun Aspirasi sudah mula menunjukkan mereka mual dengan kongkongan AUKU. Bagi mereka AUKU seperti jeriji besi yang menghalang mereka daripada bersuara dengan bebas dan sukar untuk menampilakn idealisme mereka sebagai seorang mahasiswa.

Bagi golongan yang sekian lama sudah mengambil berat berkenaan isu AUKU, sudah lama diwujudkan GMA (Gerakan Mansuhkan Auku) dan kemudiannya di tukar kepada GMMA (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku). Perjuangan mereka dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak kerana tuntutan yang dibuat tidak pernah membuahkan hasil. Sekadar berdemonstrasi dan menyerahkan memorandum. Hasilnya tetap sama, tiada sebarang perubahan.

Selepas pihak kerajaan merespon untuk memansuhkan AUKU, golongan yang dulunya memuja AUKU kini sudah mula berani bersuara. Ternyata membisunya mereka selama ini kerana mereka takutkan AUKU. Bagi mereka AUKU ini umpama kitab suatu ajaran agama yang harus ditaati. Sekiranya dilanggar akan terkena tulah yang berupa sekatan ataupun apa sahaja hukuman yang diberikan oleh pihak Universiti.

Saya bawakan beberapa petikan daripada pemimpin Aspirasi daripada beberapa kampus yang menyatakan bahawa mereka sendiri kurang senang dengan AUKU. Sebelum hanya golongan Pro-Mahasiswa sahaja yang berani bersuara. Sebelum ini kebanyakkan daripada mereka akan menjadi pendokong yang padu kepada dasar yang ditetapkan berkaitan dengan mahasiswa disebabkan idealisme perjuangan mahasiswa mereka dimatikan oleh AUKU.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus yang merupakan sahabat serpejuangan di Kolej Islam Sultan Alam Shah, berkata ”disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat. Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas,”

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan. Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Saya mengucapkan tahniah kepada YDP MPP daripada UKM dan YDP UPM. Keberanian kalian berdua dalam menyatakan pendirian berkaitan hal ini amat saya puji. Saya merasakan pandangan kedua-dua YDP MPP ini memberi signal bahawa mahasiswa Aspirasi pun sudah sedar berkenaan hak mereka. Ternyata pandangan kedua-dua Presiden ini lebih menonjolkan prinsip mereka sebagai seorang pemimpin mahasiswa yang memperjuangkan hak mahasiswa.

Kepada YDP MPP lain yang masih lena dibuai mimpi, bangunlah segera untuk menyatakan pendirian berkaitan isu AUKU ini. Bersama-samalah kita bergabung untuk menyatakan pendirian supaya halangan jeriji AUKU ini terus terkubur di dalam kamus kehidupan mahasiswa.

No comments:

Post a Comment