Thursday, January 5, 2012

Rawatlah MPMUM yang kian membarah

Saudara Afandy bersama Shahir ketika majlis watikah perlantikan MPMUM
Sebaik sahaja berita ini disiarkan saya mendapat msj dari Saudara Affandi yang menyatakan mesyuarat tergempar MPMUM akan di adakan malam esok (malam ini khamis, 10 hb). Katanya telah keluar di dalam akhbar online Berita Harian, terdapat artikel yang menggesa beliau meletakkan jawatan. Ketika itu, saya sendiri belum sempat melihat artikel itu. Sebaik sahaja pulang, saya menjengah sebentar ke hadapan komputer. Jari menekan punat, terbentang di hadapan mata berita bertajuk "Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman".

Di dalam minda saya tergambar bayangan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (PAK LAH). Beliau digesa oleh beberapa pimpinan UMNO supaya berundur ekoran kekalahan dalam PRU 12 yang lalu. Saya melihat ianya merebak ke dalam arena politik kampus. Afandy merupakan bayangan kepada Pak Lah kerana beliau memimpin masyarakat kampus yang berbilang kaum. Boleh di anggap sebagai "mini Malaysia". Perkara yang berlaku di UM, selalunya menggambarkan apa yang sedang berlaku di dalam negara.

Saya merasakan tindakan yang dilakukan oleh saudara Shahir dan Hilman ini sesuatu yang luar biasa. Tindakan berani mereka boleh di anggap seperti tindakan Dato Mukhriz Mahathir mengkritik kepimpinan Pak Lah. Mengingatkan kita kembali kepada zaman Student Union (UMSU).
Ketika mana Pak Lah di kritik, saya melihat pergolakkan dalam parti sangat parah, sehinggakan di peringkat akar umbi UMNO berpecah teruk. Ianya ditonjolkan di dalam pemilihan menteri besar Terangganu baru-baru ini.

Begitu juga di dalam kampus UM, saya melihat perpecahan di kalangan Aspirasi juga menjadi salah satu sebab timbulnya isu gesaan YDP meletakkan jawatan. Ianya membarah sejak awal lagi dengan kewujudan calon bebas yang merupakan serpihan daripada Aspirasi sendiri. Ianya lebih parah apabila pihak Aspirasi menghantar calon tua yang menimbulkan kontroversi dan memberikan peluang kepada Pro-Mahasiswa memenangi 2 kerusi umum. Suatu yang di luar jangkaan.

Ada sebilangan kolej yang mengambil pendekatan mengasingkan diri daripada MPMUM dan tidak memberi sokongan padu kepada saudara Afandy. Sejak memegang tampuk kepimpinan selama 2 sesi apa yang beliau perjuangkan. Hanya sekadar menyokong apa yang dinyatakan oleh Kerajaan tanpa mengkaji terlebih dahulu buruk dan baiknya seperti dalam isu PTPTN.

Kepada MPMUM, saya harapkan krisis dalaman yang berlaku haruslah di selesaikan dengan segera. Sekiranya sakit yang parah ini tidak di rawat, ianya akan memberikan kesan yang besar terhadap kredibiliti MPMUM selaku badan pelajar yang utama.


Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman


KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mahu Yang Dipertuanya meletak jawatan berikutan kenyataannya yang dikatakan bersifat perkauman.

MPMUM berpendapat, Afandy Sutrisno Tanjung tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan selain mengetepikan pendapat anggota kabinet majlis itu dalam menyuarakan pandangan untuk faedah warga universiti, kata seorang anggota Majlis Tertinggi MPMUM, Ahmad Shahir Abdul Aziz kepada pemberita di sini, hari ini.

Afandy yang memegang jawatan itu sejak dua penggal lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau sehingga menimbulkan sentimen perkauman di kalangan warga universiti dalam perutusannya melalui satu risalah dalaman, baru-baru ini.

Ahmad Shahir berkata, beberapa siri kenyataan Afandy termasuk perutusannya itu seolah-olah menunjukkan majlis itu berkiblat kepada kepentingan Melayu saja dan tidak peka kepada sentimen kaum lain.

“Sebarang kenyataan daripada Afandy sepatutnya berasaskan kepada polisi dan objektif majlis itu untuk memperjuangkan nasib mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) tanpa mengira latar belakang kaum.

“Daripada bantahan yang kami terima, kami (anggota kabinet MPMUM) sedang berusaha untuk mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) sebelum akhir semester ini,” kata Exco Kebajikan MPMUM, Mohamad Hilman Nordin.

No comments:

Post a Comment