Wednesday, January 11, 2012

Perutusan Wakil Fakulti APIUM


Alhamdulillah dengan sepenuh wadah kesyukuran dirafa’kan kepada Rabbul ’Alamin di atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita terutamanya nikmat yang paling besar, iaitu nikmat Iman dan Islam, seteguh ingatan kasih buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita tergolong di dalam golongan yang mendapat redha dan rahmatNya..Amin...

Mahasiswa dan mahasiswi harapan agama…

Sedar ataupun tidak, kita semakin hampir memasuki awal Muharam yang hanya segelintir mahasiswa mengetahui dan menantikan tahun baru, berbanding bulan Muharam, persoalan di sini adakah kita selaku mahasiswa yang beragama Islam tergolong dalam golongan tersebut? Fanatik terhadap tahun baru?, sehingga tidak mengetahui apa yang dimaksudkan bulan Muharam..Muharam adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan

Mahasiswa dan mahasiswi dirahmati Allah

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri. Dalam tahap kedudukan Islam pada kedudukan yang mulia, mahasiswa tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan.

Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri. Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam. Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa mahasiswa sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap agar tidak terpesong dari landasan agamanya.

Jika kita meneliti apa yang berlaku sebelum ini, kenapa Allah menurunkan bala dan ujian kepada umat Islam, seperti tsunami, gempa bumi dan yang terbaru banjir teruk melanda Malaysia. Hal ini adalah sebagai peringatan buat kita daripada terus melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Sudah menjadi lumrah manusia yang mempunyai sifat pelupa dan sentiasa perlu diingatkan, tetapi kerana sifat ego mereka mengabaikan amaran dan peringatan dari Allah.. Usahlah kita memandang masyarakat luar, kita muhasabah kembali situasi kita sebagai mahasiswa pelajar Akademi Pengajian Islam, adakah kita menjalankan peranan kita kepada sahabat-sahabat kita, adakah kita sudah menunjukkan contoh akhlah yang terbaik? Adakah kita telah mengamalkan ajaran Islam dengan landasan yang benar? Semua jawapan ada pada IMAN sahabat-sahabat sekalian. Hanya orang yang benar-benar mahukan Islam tertegak akan berusaha sepenuh tenaga dalam memperjuangkan yang hak, dan mencegah kebatilan, tetapi berapa ramaikah yang sanggup berbuat sedemikian? Ramai umat Islam tidak sedar mereka menjadi fitnah dalam agama mereka sendiri. Na’uzubillah..

Mahasiswa dan mahasiswi penggerak ummah..

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka mahasiswa perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur. Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Mahasiswa juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh mahasiswa untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Mahasiswa juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Mahasiswa tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Mahasiswa dan mahasiswi fillah..

Bersempena awal Muharram dan peristiwa Maal Hijrah ini, marilah kita bersama-sama tajdidkan niat kita. Perkukuhkan Azam kita, merancang strategi dan menzahirkan dengan tindakan. Strategi amat penting untuk mencapai kejayaan .Hal ini dapat diperkuatkan lagi dengan kata-kata daripada sahabat nabi:” kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun”.Mahasiswa yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Mahasiswa pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak kepada penghijrahan diri ke arah yang lebih positif .Moga-moga ia menjadi medan tarbiyah kepada kita untuk lebih taqarrub kepada Allah.

Wallahu’alam..

Mohd Faisal & Izzat Amin

No comments:

Post a Comment