Tuesday, January 10, 2012

Israk dan Mikraj bersama pelajar Sek Keb SS 6, Damansara

P7230184

Puan Dasimah menyampaikan plak cenderamata kepada saya

“Kenapa masam muka adik-adik ni? Menurut pakar motivasi, orang tidak ceria dipagi hari. Tidak akan bahagia kehidupannya pada hari tersebut”, saya memulakan ceramah Israk dan Mikraj kepada adik-adik di Sek Keb Seksyen 6, Kota Damansara pada hari Jumaat, 24 Julai lepas.

“Ustaz nak adik-adik semua senyum nampak semua gigi”, saya cuba menarik perhatian pelajar-pelajar darjah 5 dan 6 yang merupakan audiens saya dalam ceramah tesebut.

Jemputan ceramah ini saya perolehi daripada Ustazah Faizah yang merupakan isteri kepada Ust Raja Hisamuddin pensyarah APIUM. Memandangkan pada tarikh tersebut jadual saya masih kosong, membolehkan saya menerima jemputan ceramah tersebut.

Saya memulakan ceramah dengan mengheret hati pelajar menghayati 3 peristiwa yang berlaku sebelum Rasulullah S.A.W di Israk dan Mikrajkan. Pertamanya kewafatan Saidatina Khadijah, keduanya kematian Abu Talib dan ketiganya peristiwa Rasulullah dihalau semasa berdakwah di Taif.

P7230174

Dengan alunan suara mendaya-dayu, kelihatan pelajar-pelajar sunyi sepi mendengar jalan cerita yang mungkin menyentuh hati mereka.

Antaranya dialog Siti Khadijah kepada Rasulullah yang menyuruh Baginda menjual tulang belulangnya untuk mendapatkan wang bagi perjuangan Islam dan keduanya peristiwa mengalirnya darah di betis Rasulullah S.A.W ketika terkena batu yang dibaling oleh anak-anak penduduk Taif.

Selepas berceramah, saya dibawa oleh Puan Dasimah Bt Ahmad selaku guru besar bersama dengan Ust Hasan untuk menjamu selera dikantin sekolah. Saya sempat berkongsi pengalaman bersama dengan kedua orang guru yang saya kira cukup berpengalaman di dalam bidang pendidikan ini.

Ketika makan inilah juga Puan Dasimah bercadang untuk menjemput saya sekali lagi untuk memimpin khemah ibadah untuk pelajar-pelajar darjah 6. Tetapi ajakan tersebut terpaksa saya tolak kerana saya sudah maklum, program-program Fitrah Perkasa setiap bulan cukup padat. Permintaan terlalu banyak dan tenaga yang ada tidak mampu menampung permintaan tersebut.

Saya cuba membantu pihak sekolah dengan memberikan cadangan-cadangan sahabat-sahabat saya merupakan sukarelawan muda untuk membantu pihak sekolah menjalankan program tersebut. Bahkan sebelum ini ada pertanyaan daripada sebuah sekolah di Seksyen 14 pun saya alihkan kepada sahabat-sahabat saya yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa ini. Mereka adalah teman setia saya di Baitul Taubah wa Tarbiah.

faisal doa

Saya memimpin adik-adik mengalunkan doa taubat

Ketika saya sampai di pejabat saya menerima sms daripada Ustazah Faizah. “Syukran Ustaz atas ceramah yang disampaikan. Guru Besar gembira kerana inilah ceramah yang paling senyap. Guru Besar cadang lepas ni nak jemput Ustaz bagi ceramah pada guru-guru pula. Harap Ustaz sudi”, saya terkedu membaca sms tersebut.

Lantas saya membalas, “Terima kasih juga pada sekolah yang sudi menjemput. Sekiranya nak jemput untuk beri ceramah kepada guru-guru, saya cadangkan Tok Guru saya di Fitrah Perkasa iaitu Ust Nasib yang saya rasa lebih menyentuh hati. Insya Allah saya akan cuba membantu”. Rendah diri rasanya kepada guru-guru yang lebih berpengalaman ini.

Sebagai orang baru di dalam bidang ini, saya sendiri terkedu kerana penyampaian saya pada hari tersebut berjaya menyakinkan guru-guru di sekolah tersebut. Tidak seperti sebelum ini, penyampaian sebagai seorang Trainer ini rupanya lebih menyentuh hati pendengar berbanding penyampaian sebagai seoang penceramah.

No comments:

Post a Comment