Limau Mandarin berona oren kemerah-merahan menghiasi ruang mata. Ke mana sahaja pergi, limau yang rasanya masam-masam manis ini pasti akan menjadi perhatian tumpuan. Kecur liur dan sungguh menggiurkan! Limau Mandarin merupakan salah satu simbol bagi kaum berbangsa Cina di seluruh dunia, khasnya sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Mengikut kalendar Gregory, tanggal 26 Januari 2009 yang merupakan tarikh bermakna bagi kaum berbangsa Cina adalah Tahun Lembu. Ini bermakna, perayaan besar yang disambut oleh mereka pada tahun ini adalah Tahun Lembu. Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan, yang muncul setiap 12 tahun sekitar musim sejuk untuk memburu manusia. Menurut versi-versi lain pula, raksasa ini muncul dari bawah laut. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa Raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru Cina yang pertama. Atas sebab inilah juga kita mendapat tahu mengapa setiap kali tibanya perayaan besar tersebut, mereka akan membakar mercun, memukul gendang dengan kuat dan membuat bunyi simbal yang memekakkan telinga dengan diiringi tarian singa, kerana tujuannya adalah untuk mengusir puaka jahat.
Dalam setiap agama dan kepercayaan bangsa, kaum atau suku apa pun, sesuatu perayaan lazimnya membawa maksud dan tujuan yang baik. Begitu juga dengan Tahun Baru Cina. Cuba kita lihat, beberapa hari sebelum tibanya perayaan ini, masyarakat Cina berpusu-pusu menyerbu kaunter-kaunter tiket bas dan keretapi untuk membeli tiket pulang ke kampung halaman. Malah ada yang sanggup menunggang kenderaan persendirian seperti motosikal dalam jarak beratus-ratus kilometer semata-mata untuk pulang beraya bersama keluarga. Detik-detik indah sebegini amat diharapkan oleh ibu bapa yang sekian lama memendam sunyi untuk meraikan hari bahagia bersama-sama anak-anak tersayang. Tempoh ini dipanggil “Chunyun” atau feomena balik kampung dalam istilah bahasa Melayu.
Keadaan ini pastinya akan merangsang persekitaran yang positif, seperti merapatkan jurang yang jauh, mendekatkan ikatan hati dan menghapuskan permusuhan yang terpendam. Selain itu, ia berupaya menggalakkan amalan bersedekah atau memberi melalui pemberian ang pau dan menjamu selera setiap kunjungan yang datang dengan pelbagai hidangan dan juadah yang enak-enak ketika mengadakan ‘rumah terbuka.’
Begitulah uniknya sesuatu bangsa dengan adat resamnya tersendiri. Dengan adanya adat resam dan perayaan sebegini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki rencam adat dan budaya yang melambangkan identiti majmuk rakyatnya. Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya mengambil peluang untuk menyelidiki dan mengambil tahu tentang pelbagai keunikan yang terdapat di negara ini. Ia merupakan salah satu kunci pengetahuan, bahkan tidak pula menyalahi atau melanggar prinsip agama.
Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Cina di Malaysia. Ambillah kesempatan berhari raya ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan menggembirakan keluarga anda. Gong xi fa cai! (恭喜发财)
Mohd Faisal Bin Mustaffa,
Presiden Penaja,
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).
No comments:
Post a Comment