Wednesday, March 7, 2012

Impian Tercapai Melihat Kedah dibawah kepimpinan Ulama

Dato' Seri Mahdzir Khalid selaku ketua pembangkang bersalam dengan Ustaz Azizan Abd Razak selaku menteri Besar Kedah.



Baru-baru ini saya ada menulis tentang cita-cita untuk bermenteri besar seorang agamawan. Alhamdulillah akhirnya tercapai hajat saya. Kira-kira jam 1 pagi saya mendapat sms bahawa kerajaan Islam akan dibentuk di Kedah.

Walaupun kawasan saya membuang undi berpihak kepada pembangkang (BN sebagai pembangkang di Kedah), namun begitu saya bersyukur kemenangan pakatan (Barisan Rakyat) BR berjaya membentuk kerajaan dengan kerjasama PAS dan PKR. PAS memenangi 16 kerusi, diikuti PKR 4, DAP 1 dan BEBAS 1. Manakala parti pembangkang iaitu BN hanya meraih 14 kerusi.

Tidak sia-sia kiranya, usaha yang dilakukan oleh para bloggers untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat jelata. Walaupun diasak dan diganyang lunyai oleh media utama termasuk TV dan akhbar, namun media alternatif tetap menjadi pilihan hati pengundi pada kali ini. Blog-blog dan laman web menjadi sumber maklumat sehingga menyebabkan rakyat celik daripada terus tertipu oleh kerajaan BN.

Rakyat nampaknya semakin tidak percaya kepada "suara-suara" utama kerajaan kerana banyak kekeliruan yang ditonjolkan. Saya tertarik dengan kata-kata Dr Anuar Zaini, pengerusi BERNAMA. Beliau menyatakan bahawa media-media utama seperti TV 1 & TV 3 terlalu lembab sehingga menyebabkan rakyat semakin mual. Sebagai contoh, malam pengiraan undi ketika beliau bercakap di studio TV3 masih banyak keputusan berpihak kepada kerajaan BN. Namun begitu semasa beliau keluar ke tandas, pemandunya memberitahu bahawa 5 negeri telah jatuh ke tangan Barisan Rakyat (BR).

Saya sendiri merasakan perangkap yang dipasang oleh BN tidak mengena dan memakan diri sendiri. Keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat menjadikan rakyat lebih simpati kepada pakatan BR. Hal ini kerana, jelas di fikiran rakyat bahawa SPR sendiri mahu melakukan penipuan.Aksi yang gelisah yang ditampilkan oleh Pengerusi SPR ketika pengumuman kerajaan baru BN, jelas menunjukkan beliau tidak dapat menerima kemenangan parti pembangkang.

Semoga kerajaan PAS Kedah dapat mengorak langkah untuk memimpin dengan baik. Kemenangan ini perlu diisi dengan sebaiknya kerana ianya adalah amanah Allah dan tanggungjawab kita bersama selaku Muslim.



"Tahniah Kerajaan PAS Kedah.. Syabas kepada yang bergelar YB"

No comments:

Post a Comment