Friday, March 2, 2012

Sayangku tanpa balasan


Kenangan sewaktu berada di Kolej Islam Sultan Alam Shah, sesi STPM 2004/2005

Saya terkenang satu pengalaman yang pernah saya lalui tidak berapa lama dahulu. Pengalaman tersebut sedikit sebanyak telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus membangunkan insan-insan yang bermasalah dan patah semangat dalam hidup. Begini ceritanya…

Sewaktu saya menziarahi sekolah lama saya pada cuti semester yang lepas, saya bertemu dengan adik-adik junior saya yang akan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun itu. Salah seorangnya merupakan AJK saya semasa saya masih terlibat dalam organisasi BADAR di sekolah tersebut. Namanya Hafiz. Dia kelihatan sangat ceria apabila bertemu dengan saya, lalu kami berbual panjang. Namun, ketika saya ingin pulang ke rumah, dia seolah-olah keberatan untuk membenarkan saya pergi. Air mukanya bertukar murung.

“Hafiz, kenapa ni? Awak keberatan nak benarkan abang balik ya?” Saya sedikit bercanda.

Dia tersenyum hambar. Saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

“Ya, bang. Saya ada perkara nak kongsikan dengan abang. Tak apalah, abang baliklah dulu… Nanti saya hubungi abang.” Hafiz berjanji untuk menelefon saya dan kami akan berjumpa lagi. Saya tertanya-tanya apakah yang bakal dikongsikannya sementara menunggu panggilan dan pertemuan dengannya.

Akhirnya Hafiz menelefon saya dan kami telah menetapkan tarikh untuk bertemu.

25 Mei 2007,

5.30 petang,

Di tepi tasik.

Angin yang berhembus perlahan terasa nyaman dan damai, membangkitkan suasana harmoni yang sesuai untuk berbicara dari hati ke hati. Saya memilih lokasi di tepi tasik supaya Hafiz mendapat kondisi yang baik untuk bercerita tentang masalahnya. Kami duduk bersila berhadap-hadapan di tepi tasik yang indah dan tenang.

“Hafiz, ada apa yang boleh abang bantu?” Saya memulakan pertanyaan supaya dia tidak segan untuk memulakan bicara.

Hafiz tidak menjawab. Dia memegang kedua-dua pergelangan tangannya sambil menunduk sedikit merenung rerumputan yang menghijau. Daripada reaksinya itu, saya tahu dia kurang bersedia untuk ‘meluah’ kepada saya.

“Tak apalah, awak fikir dulu apa yang awak nak cakapkan. Kalau belum bersedia, it’s okay. Tapi abang sentiasa bersedia untuk mendengar cerita awak dan akan cuba bantu awak setakat kemampuan abang.” Saya berikan sedikit masa kepadanya untuk lebih tenang dan bersedia.

“Abang…” Hafiz mula bersuara setelah diam beberapa detik. “Sebenarnya ada perkara yang sekian lama mengganggu konsentrasi saya untuk belajar selama ini. Walaupun saya cuba melupakan perkara tersebut, tapi saya tak berdaya. Saya dah tak tahan untuk pendam seorang diri, bang…” Dia memandang saya, kemudian terus membuang pandang ke tasik yang sesekali berkocak tenang. Anak-anak ikan lincah berenang bermain air.

“Tapi keputusan awak dalam peperiksaan sangat memberangsangkan. Malah, awak berjaya melakukan tugas-tugas dalam persatuan dengan baik?” Saya sengaja mencetuskan persoalan supaya dia dapat bercerita dengan lebih terperinci tentang masalahnya.

“Mungkin boleh dikatakan keputusan peperiksaan dan keaktifan saya dalam persatuan agak baik. Tapi bang, sebenarnya itulah cara saya untuk melupakan seketika masalah saya. Saya sengaja mencari jalan untuk menyibukkan diri.”

“Boleh Hafiz ceritakan dengan lebih terperinci?”

“Mm, sebenarnya bang, apa yang mengganggu saya sekarang adalah masalah keluarga saya. Emak saya. Saya tak tahu sama ada dia peduli ataupun tidak tentang diri saya di sini. Selama saya menjadi anaknya, dia tak pernah menunjukkan tanda-tanda dia mengambil berat tentang saya. Apatah lagi tanda dia sayangkan saya.”

“Kebanyakan ibu bapa tetap sayang dan mengambil berat hal anak-anak walaupun kita tidak nampak tanda-tanda tersebut. Sesetengah ibu bapa lebih suka menyembunyikan perasaan mereka daripada pengetahuan anak-anak.”

“Tidak, bang. Saya tidak merasakan begitu terhadap emak saya. Dia lain. Sikapnya kadang-kadang membuatkan saya sehingga terfikir; benarkah saya ini anaknya?” Air mukanya benar-benar membayangkan kekecewaan.

“Sabar ya, Hafiz. Abang simpati dengan awak… Mm, boleh Hafiz ceritakan lagi tentang emak Hafiz? Adakah dia bekerja?”

“Emak saya seorang suri rumah. Abang, bayangkanlah… jika saya ada di rumah, contohnya berada di ruang tamu bersama-sama dengannya, dia pasti akan bingkas ke dapur. Kalau saya berada di dapur, pasti dia akan beredar ke tempat lain pula. Pendek kata, di mana-mana saja saya berada, emak pasti akan mengelak daripada bersama-sama dengan saya.” Hafiz mengeluh perlahan dan menunduk lagi merenung rumput-rumput hijau.

Saya agak terkejut mendengar cerita Hafiz. Saya tertanya-tanya kenapa emaknya bersikap demikian pasif terhadapnya.

“Hafiz anak ke berapa dan berapa bilangan adik-beradik?

“Saya anak kedua daripada lima beradik. Saya ada seorang kakak, seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan.”

“Bagaimana layanan emak terhadap adik-beradik Hafiz yang lain?”

“Itulah yang membuatkan saya sangat termakan hati dengan mak, abang. Emak melayan semua adik-beradik yang lain dengan sangat baik. Hanya saya seorang yang tersisih. Sejak dari kecil lagi saya disisihkan, cuma saya tidak sedar kerana usia saya belum matang. Tapi apabila saya semakin meningkat dewasa, saya mula menyedari layanan yang saya terima daripada emak.” Dada Hafiz dihurung sebak. Dia menahan daripada mengalirkan air mata. Saya sangat kasihan padanya. Saya juga berusaha mengawal emosi.

Saya membiarkan suasana sepi seketika supaya Hafiz dapat meneutralkan emosinya.

“Boleh Hafiz beri contoh layanan emak yang berbeza antara Hafiz dengan adik-beradik yang lain?” Saya menyambung perbualan setelah melihat Hafiz kembali tenang..

“Boleh. Contohnya bang, emak selalu mengajak kakak dan adik-adik keluar shopping, makan-makan kat luar, berjalan-jalan… Tapi saya tak pernah diajak. Kalau ayah, kakak atau adik-adik ajak saya ikut serta, emak pasti memberi pelbagai alasan supaya saya tak dapat ikut. Suruh jaga rumahlah, takut ada orang datanglah, saya boleh makan di luarlah dengan alasan saya lelaki. Perlu lebih berdikari katanya. Tapi kenapa apabila saya berada di rumah pun, dia seolah-olah tak nak tengok muka saya? Sebab tu bang, kalau saya balik ke rumah, saya hanya akan berkurung di dalam bilik atau keluar ke mana-mana kerana saya tak berdaya menahan perasaan sedih terhadap emak sendiri yang melayan saya begitu.” Hafiz mengesat air mata dengan hujung jari. Ternyata dia benar-benar sedih dan terkesan dengan perlakuan emaknya.

Saya mengeluarkan sehelai sapu tangan yang selalu saya bawa bersama-sama lalu menghulurkan kepadanya.

Saya memberi peluang kepada Hafiz untuk meredakan tangisannya. Saya dapat rasakan Hafiz benar-benar menyimpan duka dan luka yang sangat dalam dan memakan hatinya sedikit demi sedikit.

“Hanya ayah dan kakak saja yang menunjukkan sikap ambil berat terhadap saya. Saya pernah bertanya mereka, kenapa emak bersikap demikian terhadap saya? Ayah dan kakak tidak dapat memberi jawapan, atau mereka sengaja tidak mahu memberi jawapan.” Hafiz kembali menyambung.

“Sekarang, bagaimana cara Hafiz untuk cuba berhadapan dengan situasi emak Hafiz begitu?”

“Entahlah bang. Saya tak tahu sama ada tindakan saya ni betul atau tak. Tapi dah setahun lebih saya tak balik ke rumah, walaupun hari raya. Bila ayah telefon suruh balik, saya beri alasan macam-macam. Abang, saya dah rasa sangat tawar hati terhadap emak. Bukan saya tak berusaha untuk ambil hati emak. Macam-macam dah saya buat. Belikan hadiah, tolong emak, cuba bergurau senda dengan emak, tapi…”

“Tak rindu pada mak?” Saya sengaja mengujanya.

“Saya rindu sangat pada mak, abang… Saya rindu untuk mendapat layanan yang mesra daripada mak. Rindu masakan mak, segala-galanya…”

“Jadi,Hafiz tak bercadang nak balik? Mana tahu, dah setahun lebih Hafiz tak balik ke rumah, emak rindukan Hafiz? Cuma emak pun pendam macam Hafiz. Hafiz tak fikir macam tu?”

“Alangkah bagusnya jika itu menjadi realiti, bang… Saya bukan tak nak balik, tapi saya takut kecewa lagi dan terhiris dengan layanan mak.”

“Abang faham perasaan Hafiz sekarang. Tapi pernah tak Hafiz terfikir, jika kita sayangkan seseorang, tak semestinya perlu mengharapkan balasan? Dalam kes Hafiz ni, agaknya, perlukah kasih sayang Hafiz mendapat balasan daripada emak? Contoh yang abang bawakan di sini, Rasulullah dahulu tetap menghormati dan menyuap makanan ke mukut seorang tua beragama Yahudi di pasar walaupun Baginda dimaki hamun oleh orang tua tersebut. Bayangkanlah bagaimana perasaan kita jika kita berbuat baik, tetapi dibalas dengan kejahatan. Tentu kita fikir tidak patut. Tapi Rasulullah tetap meneruskan pekerjaannya memberi makan dan menyuap orang tua tersebut sehingga ke akhir hayat Baginda. Tahu bagaimana kesudahannya?”

Hafiz menggeleng. Air mukanya membayangkan perasaan inkuiri yang sangat tinggi untuk mengetahui kesudahan cerita tersebut.

“Pada suatu hari, orang tua itu diberi makan oleh Saidina Abu Bakar. Tetapi dia bertanya; di manakah lelaki yang selalu memberinya makan? Saidina Abu Bakar menjawab, dialah orang yang selalu memberinya makan. Tapi orang tua itu tidak percaya, kerana katanya, orang yang selalu memberinya makan pasti akan terlebih dahulu menghancurkan makanan yang dibawanya lalu disuap ke mulut orang tua tersebut, tetapi Saidina Abu Bakar tidak melakukan demikian. Saidina Abu Bakar tersentak mendengar keterangan daripada orang tua itu, kerana beliau tidak menyangka sehingga tahap itu layanan Rasulullah terhadap orang yang mengkeji dan berkelakuan buruk terhadap Baginda. Saidina Abu Bakar lalu menjelaskan bahawa mulai pada saat itu, beliaulah yang akan mengambil alih tugas memberinya makan kerana Rasulullah telah wafat. Orang tua itu menangis, dan akhirnya telah memeluk Islam.”

Hafiz terdiam mendengar kesudahan cerita tersebut. Dia seolah-olah sedang berfikir.

“Lihatlah, Rasulullah tidak mengharapkan apa-apa balasan di atas kebaikan yang diberikan kepada orang tua tersebut, tapi nampak tak bagaimana cantik kesudahannya? Ternyata, setiap amal kebaikan pasti akan dibalas kebaikan. Jika tidak di dunia, nun di Akhirat sana. Betul tak?”

“Err, itu memang betul, bang… Tapi saya tiada kekuatan untuk balik ke rumah.”

“Hafiz tak pernah fikir, kalau-kalau emak sedang rindukan Hafiz? Sejak Hafiz tidak pulang ke rumah, dia sentiasa menanti-nanti kepulangan Hafiz. Ingin memasak lauk yang sedap-sedap untuk menyambut kepulangan Hafiz. Pernah terfikir tak? Mungkin saat ini dia sedang menangis menahan rindu terhadap Hafiz…Dan cuba bayangkan, kemungkinan inilah peluang terakhir Hafiz untuk sempat bertemu dengannya. Mungkin ada sesuatu yang ingin dia luahkan. Ataupun inilah masanya dia ingin melayan Hafiz penuh mesra dengan sentuhan lembut seorang ibu…”

“Mak…” Nafas Hafiz turun naik menahan sebak yang berombak. Mukanya merah dibahangi hangat air mata.

“Baliklah…” Saya menepuk lembut bahunya.

Hafiz mengangguk setuju. Dan, pada petang itu juga, sebaik tamat sesi ‘luahan’ tersebut, Hafiz terus pulang ke asrama sekolahnya untuk berkemas-kemas, lantas menaiki bas untuk pulang ke rumah.

Beberapa hari kemudian, saya mendapat panggilan telefon daripada Hafiz. Dia beritahu saya bahawa dia sedang cuba menanamkan dalam dirinya perasaan sayang tanpa mengharapkan balasan daripada emaknya. Dan dia juga sering memotivasikan diri dengan kisah Rasulullah yang pernah saya sampaikan. Ternyata, dia semakin tenang. Semakin tenang setelah beberapa waktu berlalu, emak Hafiz akhirnya terbuka pintu hati sedikit demi sedikit untuk menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

“Saya hanya berdoa, bang. Dan Allahlah yang telah membuka pintu hati emak,” katanya dalam nada yang ceria sebelum mengakhiri perbualan kami.

TAMAT

p/s:Merupakan pengalaman hidup yang menjadi bahan untuk subjek kaunseling dakwah..Doakan ana dapat A untuk subjek ini

No comments:

Post a Comment