Demam Chikungunya
Jam menunjukkan tepat 2 pagi. Saya bangun dan membersihkan diri untuk menanti untuk ke pejabat seawal jam 4 pagi. Hendak diletakkan kembali kepada dibantal, takut pula sekiranya terus terlajak sehingga subuh. Sebab itulah saya melelapkan mata sebaik sahaja usai menunaikan solat Isya.
Terasa sakit-sakit di sendi di seluruh badan. Jika diikutkan hati, sudah berputus asa untuk mengambil penerbangan ke Kuching pada pagi ini. Namun begitu, disebabkan tanggungjawab, saya gagahi juga untuk pergi walaupun dalam keadaan demam Chingkunya belum kebah.
Sebaik selesai program Anak-anak Bernas di Nur Lembah Pangsun, mujur ada senggang masa selama 2 hari. Hal demikian kerana, selama 2 hari tersebutlah saya terkujur keletihan menanti kebahnya demam Chingkunya ini. Perit rasanya. Lidah-lidah terasa pecah dan sendi-sendi terasa sengal-sengal.
“Ujian atau Bala?” saya terfikir sendirian. Teringat saya kepada sebuah mafhum sebuah hadis baginda Rasulullah S.A.W, dimana Rasulullah S.A.W pernah berpesan bahawa sekiranya zina berleluasa maka akan datanglah penyakit-penyakit baru kepada manusia.
Sebelum ini muncul selsema burung, diikuti oleh Chikungunya dan yang terbaru datangnya serangan selsema Babi ataupun dengan nama manjanya H1N1. Menurut Tuan Guru Dr Haron Din di dalam kuliah Perubatan Islam, kerajaan seharusnya memberi arahan supaya doa qunut nazilah dibacakan diseluruh negara bagi menolak bala yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Bukan mudah untuk menolak bala sebegini melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T.
“Jangan lupa minum ayaq nyok dengan ayaq asam jawa” pesan ayah setiap kali saya memetik butang menelefon ke kampung. Kata ayah penawar bagi Chikungunya ini adalah air kelapa dan air asam jawa adalah sekadar untuk menurunkan suhu badan yang melampau. Menurut ayah, demam ini sukar untuk sembuh dan mungkin mengambil masa sehingga 8 bulan. Sebelum ini emak dan ayah juga diserang demam Chikungunya ini, dan sehingga hari ini masih belum sembuh sepenuhnya.
Lapar..lapar..lapar…perut berbunyi minta untuk diisi. Sejak daripada siang ianya tidak terisi kerana tiada selera makan. Lidah terasa pedih apabila dimasukkan makanan walaupun yang tidak pedas. Begitulah hidup di dunia ini, kita mungkin mempunyai duit untuk membeli apa sahaja jenis makanan, tetapi kita tidak berupaya untuk memberi selera untuk makan. Hanya sekadar membeli pembuka selera, tetapi tidak diberi selera oleh Allah kita tetap tidak akan dapat makan makanan tersebut.
Terbang Ke Kuching
Sebaik sahaja selesai menjamah nasi lemak RM 2 daripada Mapley, saya terus duduk menanti jam 4 pagi. Terasa lambat masa berlalu. Mengantuk harus saya lawan kerana takut terlajak. Kira-kira 4.00 pagi saya keluar dari rumah menuju ke pejabat. Setiba di sana belum kelihatan kelibat Ust Hashim dan Ust Sayuti yang akan turut sama ke Kuching, Sarawak.
Kira-kira jam 4.30 pagi muncul Ust Sayuti menaiki LIMO dan dan disusuli Ust Hashim yang dihantar oleh anaknya. Sepanjang menaiki LIMO menuju ke KLIA, saya sempat melelapkan mata.
Risau juga di dalam hati sekiranya saya tidak lepas dikawasan pemeriksaan di KLIA dan Lapangan Terbang, Kuching. Tambahan pula dalam suasana kelam kabut demam selselma babi ini (nama manjanya H1N1) ini sudah tentu kawalan ketat yang akan dikenakan.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sehingga melepasi pemeriksaan dan menaiki pesawat Airbus Air Asia. Pesawat yang kami naiki berlepas kira-kira jam 7.30 pagi. Inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang, dan inilah juga kali pertama saya menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini.
Sepanjang penerbangan kira-kira 45 minit itu, mata meliar melihat pemandangan diluar dan semasa hendak sampai di Sarawak kelihatan muka bumi Sarawak yang penuh dengan anak-anak sungai. Betapa agungnya ciptaan Allah, sungguh cantik kelihatan bumi Kuching ini daripada udara.
Sebaik sampai di Lapangan Terbang Kuching pihak pengurusan Bernas sudah bersedia menantikan kami bersama Toyota Hilux berwarna hijau. Sebaik menaiki kereta, kami dibawa ke sebuah kedai mamak di sana. Ust Hashim meminta minuman “3 layer”. Pelik juga saya mendengarnya. Rasa teringin juga untuk mencuba, tetapi memandangkan demam Chingkunya belum kebah, saya membatalkan saja hasrat tersebut. Cukup sekadar barli suam dan roti sardin. Sebaik selesai kami menuju ke Uitm, Kota Samarahan. Program untuk anak-anak Bernas ini akan berjalan selama 4 hari 3 malam dikampus Uitm ini.
Program di Kuching
Bermulanya program kami disini kira-kira jam 2.30 petang. Sepanjang 3 hari 4 malam berprogram disana, kelihatan ada perubahan yang ketara dalam kalangan peserta anak-anak Bernas Sarawak ini. Walaupun Fitrah Perkasa jarang berprogram bersama remaja kerana menumpukan kepada syarikat-syarikat korporat, namun begitu perjalanan program tetap berjalan lancar dan modul-modulnya berkaitan kesedaran beragama dan beribadah terutama solat memberikan kesan terhadap adik-adik peserta yang hadir.
Apa yang dirasakan cukup menyentuh hati adalah apabila membaca surat wasiat para peserta. Ada yang meminta supaya ibu dan ayah mereka menjaga solat fardu 5 waktu. Ada juga yang meminta supaya ayah mereka belajar cara-cara solat jenazah supaya nanti boleh menyembahyangkan jenazah mereka.
Walaupun saya kurang bergaul dengan para peserta disebabkan kelesuan yang berpunca daripada demam Chikungunya ini, namun begitu kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Ust Hashim dan Ust Sayuti kepada para peserta meninggal kesan yang cukup mendalam.
Sehingga dihari yang terakhir, Amir selaku penghulu menyatakan di dalam ucapannya dihadapan Ketua Pengarah bahagian latihan bahawa sepanjang mengikuti program yang dianjurkan oleh Bernas, inilah kali pertama penekanan diberikan kepada unsur rohani. Harapannya supaya dimasa akan datang, program kerohanian sebegini sewajarnya diteruskan kepada anak-anak Bernas.
Bahkan Encik Mahsin, selaku pegawai Bernas cawangan Sarawak meminta supaya program ini turut diberikan kepada kakitangan Bernas seperti yang dilakukan oleh Bank Rakyat yang sudah hampir 10 tahun bersama Fitrah Perkasa.
Sebaik selesai program di Uitm Kota Samarahan, kami dihantar oleh Abang Wan ke Continential Hotel. Di sana kami akan berprogram bersama kakitangan Bank Rakyat untuk menjalankan program nilai R.A.K.Y.A.T di dalam solat. Alhamdulillah selama 2 hari 3 malam, program berjalan dengan lancar.
Namun begitu, sepanjang dibumi kenyalang ini saya tidak sempat merasa Mee Colok menikmati air “3 layer” yang menjadi makanan dan minuman yang popular di bandar Kuching ini.
Beg Tertinggal
“Alamak, mana beg biru lap top”, hati saya berbisik sendirian. Saya berpaling kepada Ust Hashim dikaki tangga pesawat Air Asia di KLIA. “Ust, beg lap top hilang. Cek dari Bank Rakyat ada dalam tu”, saya memberitahu Ust Hashim. Kelihatan wajahnya agak terkejut. Perasaan bersalah menguasai diri saya. Saya memanjat kembali tangga pesawat dan meneliti tempat duduk kami. Hampa…tiada beg seperti yang diharapkan.
“Itulah Faisal, lain kali kena teliti betul-betul barang-barang yang dibawa. Jangan harapkan orang lain”, ngomel Ust Sayuti kepada saya. Terasa bersalah di dalam hati mengenangkan kali pertama menaiki kapal terbang, tertinggal perkara yang cukup penting bagi syarikat.
Bukan sedikit jumlah cek yang tertinggal. Serabut saya memikirkan.
“Yakinlah Faisal, Allah tetap bersama kamu”, hati kecil saya berbisik sendirian. Hati sentiasa berzikir mengharapkan pertolongan Allah. Saya masih berkeyakinan bahawa hanya pertolongan Allah sebagai penyelesaian kepada masalah ini.
Mulalah terfikir perkara yang pelik-pelik. “Kalaulah beg tu terus ada kat pejabat macam kisah seorang wali kan bagus’, hati saya berbisik sambil mengingati siri kuliah Tuan Guru Dr Haron Din mengenai kisah seorang yang membayar hutang hanya dengan menghanyutkan dinar emas di dalam kayu, kemudiannya dengan izin Allah dinar tersebut sampai kepada orang yang memberi hutang. “Tapi kamu bukan wali. Banyak maksiat” hati kecil saya bercakap lagi.
Sementara menunggu Ust Hashim solat di surau KLIA, saya termangu-mangu sendirian menunggu beg sambil berzikir. Usaha untuk menghubungi pihak bank rakyat untuk membatalkan cek juga tidak berjaya.
“Jangan risau Faisal, kalau Allah nak bagi balik mudah saja”, Ust Hashim menenangkan saya sebaik sahaja beliau usai solat. Hati saya tersebut bergelojak didalam sepanjang perjalanan daripada KLIA ke pejabat sehinggalah tiba dirumah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Alhamdulillah Faisal, beg dapat balik. Kawan ana dah contact pihak Airport. Dia yang akan simpankan beg tersebut”, Ust Hashim menelefon saya semasa sedang menukar minyak hitam sebelum pejabat kira-kira jam 10 pagi.
Terasa syukur ke hadrat Allah. Betapa pemurahnya Allah S.W.T yang sentiasa mengasihani hambanya walaupun sering terleka kepada-Nya.
Tarikh 9-14 Jun 2009
No comments:
Post a Comment