Sunday, November 6, 2011

Hari Interaksi PMIUM (IN-TEAM ’08)

Kepimpinan PMIUM bergambar bersama pimpinan Persatuan Mahasiswa Kelantan

Tanggal 2 Ogos 2008, bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mengadakan Hari Interaksi PMIUM bagi sesi 2007/2008 yang diberi nama “IN-TEAM ’08.” Program yang diadakan saban tahun ini antara lain bertujuan untuk mengumpulkan ahli-ahli PMIUM yang berdaftar, memupuk persaudaraan dalam kalangan ahli baru dan lama, memperkenalkan PMIUM sebagai persatuan mahasiswa berdaftar di kampus Universiti Malaya, serta untuk memperkenalkan barisan kepimpinan PMIUM bagi sesi 2007/2008 kepada semua ahli PMIUM.

IN-TEAM ’08 telah dirasmikan oleh wakil Timbalan Naib Canselor (TNC) bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya, iaitu Prof. Madya Dr. Ahmad Salihin bin Haji Baba. Beliau menyampaikan sedikit amanat dalam menjalankan gerak kerja dakwah, khasnya melalui platform PMIUM. Majlis seterusnya diikuti oleh pelancaran perasmian tayangan multimedia berkenaan badan mahasiswa PMIUM.

Kemuncak IN-TEAM ’08 ialah pengenalan kepada barisan kepimpinan PMIUM dan sesi dialog bersama pimpinan, yang mana dipimpin oleh Setiausaha PMIUM, Mohd Faisal bin Mustaffa, selaku moderator bagi sesi dialog tersebut. Seterusnya majlis diteruskan dengan perasmian kelab-kelab PMIUM, seperti Kelab Fasilitator, Kelab Khidmas (khidmat masyarakat), Kelab Rakan Media, Kelab Sukan, dan Kelab Penyayang.

Melalui IN-TEAM ’08, warga Universiti Malaya, khususnya ahli-ahli PMIUM dapat mengenali PMIUM dengan lebih dekat dan berpeluang terlibat secara aktif dalam persatuan ini. Segala pendapat dan harapan ahli-ahli PMIUM juga dapat disalur dan diperdengarkan menerusi sesi dialog yang diadakan untuk tindakan dan perhatian oleh barisan kepimpinan PMIUM.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

No comments:

Post a Comment