Mereka juga ada cita-cita tersendiri
Sen nasil? Harap-harap semuanya sihat sejahtera. Rasanya sudah lama tidak berceloteh dalam ruangan maya ini. Jika ada sekalipun hanya sekadar artikel-artikel , video atau gambar sahaja. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini semakin culas untuk menulis. Kepala asyik bingung memikirkan sesuatu ,yang saya sendiri pun tidak tahu apa yang saya fikirkan. (hehe..saja bagi memeningkan orang yang tidak pening).
Semasa kecil dahulu saya sering berangan-angan ingin menjadi seorang Bomba. Kata saya kepada diri, saya ingin membantu orang yang rumahnya terbakar. Kemudian, ketika berumur 9 tahun, cita-cita saya bertukar untuk menjadi seorang peguam. Entah kenapa perkataan peguam berlingkar dikepala saya tanpa saya mengerti apa itu peguam pada ketika itu. Naik darjah 4, oleh kerana minat subjek sains maka cita-cita saya berubah untuk menjadi seorang jurutera. Ketika itu saya sendiri tidak tahu kenapa saya ingin menjadi seorang jurutera.
Bila masuk ke alam Sekolah Menengah, saya impikan untuk menjadi seorang ustaz, kerana di dalam keluarga saya masih kekurangan “ustaz”. Namun begitu apabila masuk Tingkatan 4, saya memilih untuk memasuki kelas sains. Sekali lagi cita-cita saya menjadi kabur. Hendak jadi ustaz? Sudah tentu lari dari bidang pengajian.
Semasa berada di KISAS, naqib saya berpesan sebelum berangkat ke Mesir. Katanya “ Sekiranya mahu menyambung pelajaran ke IPTA tempatan, ambilah jurusan Undang-undang, jika mahu menyambung jurusan agama ana menunggu nta di bumi anbiya”. Menitis air mata saya mendengar nasihat daripada Abang Azam, naqib saya semasa di Kolej Islam. Seorang yang alim dan warak. Tak pernah saya melihat seorang pelajar yang mampu memberi kuliah dengan penuh ilmiah. Setiap hari memberi tazkirah sekurang-kurangnya setengah jam. Di bulan ramadhan, setiap kali selepas Subuh, Asar dan Maghrib beliau akan memberi kuliah tanpa kekeringan idea. Mungkinkah kepulangan anak muda ini dari bumi anbiya akan membuka lembaran baru kepada negeri Kedah. Kerana beliau merupakan anak jati Kedah Darul Aman.
Alhamdulillah, akhirnya selepas menduduki STPM di KISAS, akhirnya saya berjaya juga memasuki bidang pengajian agama. Biarpun peringkat awalnya hati lebih cenderung untuk memilih jurusan undang-undang, namun apabila memikirkan nasib keluarga yang ketandusan ustaz, maka saya memilih bidang pengajian Syariah dan Undang-undang. Biarpun semangat membara kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi anbiya, namun perjuangan mesti saya teruskan. Hasrat dihati untuk menjadi seorang peguam tetap tidak luntur.Alhamdulillah kedua-dua saya dapat, iaitu “Ustaz” dan “Peguam”. Tetapi belum tentu kesudahannya, kerana masa depan masih jauh.
Kata Abang Dzul naqib saya, “ Sal tumpu betul-betul dan jadi peguam, sebab zaman sekarang penting peguam yang ada kefahaman Islam”. Kata Pak Lang saya kepada saya, “ Shan, jangan jadi peguam , nanti cepat masuk neraka”.
Sungguh berbeza antara keduanya. Mentaliti bapa saudara saya adalah mewakili sebahagian kecil pandangan orang kampung kepada peguam. Kebanyakkan daripada mereka berpendapat kerja peguam adalah kerja yang menempah api neraka. Saya pula tersenyum sendiri, “Aku sekadar peguam syarie, bukannya peguam sivil”.
Walaupun sejak kecil saya sering bertukar cita-cita, namun yang utama saya tetap bercita-cita ingin masuk syurga Allah SWT. Namun begitu, saya sendiri tidak tahu adakah mampu untuk mencapai cita-cita tersebut. Saya sendiri takut sekiranya tersungkur dalam mengejar cita-cita ini.
‘Ya, Allah kau berikanlah aku peluang untuk memasuki syurga-Mu , Kerana aku tidak mampu menahan azab pedih api neraka –Mu”
No comments:
Post a Comment