Friday, July 1, 2011

Bersama Keluarga Baru Rakan Masjid UUM

Jom kita sembang-sembang malam ni”, Afwan menghantar sms kepada saya. Ketika itu jam sudah menunjukkan jam 7.30 malam. Saya pula baru sampai ke rumah selepas tamat program di Pendang Resort bersama dengan kakitangan Hospital Baling.

Kebetulan pula kereta ayah meragam ketika kami berada di pecah Pendang. Terpaksan menanti sehingga mekanik datang untuk memperbaiki kipas yang tidak berpusing.

Sebaik siap, ayah pula mahu singgah di rumah kakak untuk menunaikan solat Fardhu Asar dan menikmati sedikit makanan kerana beliau belum makan pada tengah harinya.

Badan-badan saya agak kesakitan dan fikir pun sedikit kusut kerana keletihan. Tetapi disebabkan Afwan yang mengajak, tidak dapat saya menolak. Kerana keesokkan harinya, pada sebelah petang dia akan bertolak ke UIA untuk mengikuti seminar undang-undang. Manakala saya pula, pada sebelah paginya terpaksa keluar untuk menyampaikan sedikit ceramah di atas jemputan adik-adik Uitm.

Dengan hanya berpakaian ala kadar seperti seorang yang ingin bersukan, saya terus meluncurkan kereta menuju ke UUM. Sebaik tiba di sana, kelihatan jemaah masjid sedang menanti iqamah untuk menunaikan solat Fardhu Isya.

Dengan tubuh yang lesu, saya menapak untuk menaiki tangga masjid menuju ke tempat mengambil wuduk. Usai solat jemaah dan solat sunat rawatib, kelihatan Afwan duduk bersama dengan teman-temannya di dalam halaqah. Kemudiannya dia datang menghampiri saya, “ Ana nak minta enta bagi pengisian sikit kepada sahabat-sahabat baru rakan masjid”, ujar Afwan kepada saya.

Termengah-mengah saya dibuatnya. Sudahlah pakaian yang dikenakan tidak bertepatan dengan majlis, selain itu apa yang harus saya bicarakan dikala otak sedang keletihan.

Sebolehnya saya tidak mahu menghampakan adik-adik rakan masjid pada malam tersebut. Oleh itu saya gagahi juga untuk menyampaikan sedikit inzar buat mereka yang hadir.

Kelibat Ust Zubir yang ada pada ketika itu, menjadikan saya agak kekok. Sudahlah tidak bersedia, ada Ustaz pula yang datang memantau. Mujur selepas itu beliau beralih daripada tempat kami berbincang tersebut.

Saya memulakan perbincangan dengan membawakan kisah Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang tokoh dalam segenap bidang. Hal demikian kerana pada permulaannya, ketika memulakan majlis Suhasman menyatakan bahawa mereka bukannya golongan Ustaz, tetapi lebih menjurus kepada bidang professional yang tidak dalam ilmu agamanya.

Terus terang saya katakan, mereka lebih baik daripada saya di dalam penguasaan ilmu. Hal demikian kerana, sebagai seorang yang mencintai Islam mereka tidak hanyut di dalam mencari ilmu akademik semata-mata tetapi juga menekuni bidang agama.

Meneladani kepimpinan Rasulullah S.A.W, baginda merupakan tokoh di dalam setiap bidang. Di dalam bidang perniagaan baginda Rasulullah S.A.W menunjukkan kepakaran baginda berniaga semasa menjadi saudagar jualan barangan Siti Khadijah R.A. Dengan kebijaksanaan baginda, barang-barang yang diperdagangkan tersebut habis awal berbanding saudagar lain.

Begitu juga di dalam bidang ketenteraan, Rasulullah S.A.W merupakan seorang pemimpin perang yang agung dan digeruni. Sebagai seorang pemimpin perang yang bukan hanya pandai berpeluk tubuh, tetapi baginda tetap bersama-sama para sahabat turun ke medan jihad bagi menentang musuh-musuh Islam. Situasi ini juga berjaya menonjolkan bahawa Rasulullah S.A.W sebagai seorang pakar strategi perang. Bermula daripada peperangan Badar yang menyaksikan gerembolan kecil tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih besar, sehinggalah kejayaan-kejayaan yang mendatang di dalam siri-siri peperangan selepas itu.

Saya mengupas satu persatu berkenaan keperibadian Rasulullah sebagai seorang tokoh pentadbiran, sebagai tokoh di dalam bidang perubatan, dan tokoh di dalam bidang kepimpinan.
Walaupun saya tahu, sebahagian daripada adik-adik tahun satu ini kenal dan tahu serba sedikit berkenaan kisah Nabi Muhammad S.A.W, namun begitu sengaja saya ceritakan kisah ini untuk membawa mereka kembali menghayati pakej kepimpinan yang ada pada Rasulullah S.A.W.

Baginda merupakan seorang tokoh ataupun seorang Mukmin yang Profesional. Mukmin di takrifkan sebagai orang baik, manakala Profesional boleh didefinisikan sebagai orang cerdik. Orang yang baik, tetapi tidak cerdik dia akan menipu. Manakala orang yang cerdik, tetapi dia tidak baik maka dia akan menipu.

Oleh itu, saya menegaskan kepada adik-adik yang baru menjejakkan kaki ke UUM ini, jadilah sebagai seorang yang baik lagi cerdik. Dengan kecerdikkan inilah kita akan membina ketamadunan dunia, dan dengan kebaikkan inilah kita akan terus amanah di dalam membina ketamadunan tersebut.

Begitulah situasi di UUM ini. Untuk menjadi seseorang mahasiswa yang baik, maka kedua elemen ini seharusnya ada pada jiwa seorang mahasiswa muslim. Saya juga menekankan kepada mereka bahawa, elemen baik dan cerdik ini boleh dibentuk sekiranya mereka terus istiqomah di dalam mengikuti siri-siri usrah yang di anjurkan oleh pihak rakan masjid UUM. Mudah-mudahan mereka terus istiqamah di dalam dunia usrah yang baru mereka ceburi ini.


No comments:

Post a Comment