BERDASARKAN sirah Rasulullah SAW, terdapat beberapa kisah yang wajar dijadikan rujukan dan pedoman oleh masyarakat Islam hari ini dalam menentukan sama ada seseorang yang baru memeluk Islam itu wajib mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka.
Dalam satu kejadian, sahabat Rasulullah yang terkenal dengan keberaniannya sebelum dan sesudah Islam iaitu Saidina Umar Al-Khattab telah mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka di hadapan ketua kabilah Quraisy. Ini menunjukkan bahawa seseorang mualaf dibenarkan mengisytiharkan pengislamannya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki.
Namun begitu, terdapat juga beberapa peristiwa di mana saudara baru tidak memaklumkan status pengislamannya secara terang-terangan disebabkan faktor-faktor tertentu. Merujuk kepada sirah, pada hari pertama penghijrahan baginda Nabi ke Madinah, Abdullah bin Salam, seorang rahib Yahudi yang terkenal telah pergi menemui baginda bagi memastikan kebenaran risalah yang telah dibawa. Setelah yakin dengan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi, beliau telah memeluk Islam, namun beliau meminta izin daripada baginda bagi menyembunyikan status keislamannya kerana bimbang dengan ancaman Yahudi terhadapnya. Lalu baginda telah memperkenankan permintaannya itu.
Kisah-kisah yang berlaku dalam sirah Rasulullah ini membuktikan bahawa seseorang yang bergelar ‘saudara baru’ diberikan hak dan kebebasan dalam membuat pilihan sama ada mahu mengisytiharkan pengislamannya secara terbuka ataupun tidak.
Mengulas mengenai peraturan mengisytiharkan status memeluk Islam yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria berpendapat bahawa syarat itu boleh dikecualikan sekiranya ia menimbulkan masalah keselamatan dan nyawa kepada mualaf terbabit.
Justeru, seseorang yang memeluk Islam sepatutnya mempunyai hak untuk memilih sama ada mengisytiharkan atau menyembunyikan status agamanya. Itu hak asasi mereka dalam membuat pemilihan. Tambahan pula, hak merahsiakan keimanan adalah selari dengan tuntutan syarak kerana kebanyakan saudara baru adalah mereka yang imannya masih belum kukuh dan mudah goyah terhadap desakan-desakan tertentu. Oleh yang demikian, kita seharusnya menghormati keputusan mereka sama ada mahu mengisytiharkan status pengislaman secara terbuka, atau berhasrat menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga buat sementara waktu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan saudara baru itu sendiri.
No comments:
Post a Comment