Tun Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan yang bernada sinis, mengatakan bahawa sekiranya mahasiswa sudah dewasa maka AUKU perlu dimansuhkan. Menurut beliau, di dalam menggubal AUKU ini, beliaulah orang yang bertanggungjawab menyediakan AUKU seperti yang ada pada hari ini. Beralasankan supaya mahasiswa menumpukan kepada pelajaran, terselindung disebaliknya “mala fide” yang member keuntungan kepada pihak pemerintah.
Mungkin banyak kelemahan AUKU, namun begitu di dalam artikel permulaan ini, saya tertarik untuk membahaskan berkenaan takrifan “pelajar” yang dinyatakan di dalam rang Undang-undang pindaan AUKU:
“Pelajar” ertinya seseorang pelajar berdaftar, selain pelajar disuatu institusi yang bersekutu dengan Universiti atau Kolej Universiti, yang mengikuti kursus pengajian, pengajaran, latihan atau penyelidikan daripada apa-apa perihalan pada peringkat persediaan, praijazah, lepas ijazah atau lepas kedoktoran secara sepenuh masa atau sambilan dalam, oleh atau dari Universiti atau Kolej Universiti itu, termasuklah pembelajaran jarak jauh, luar kampus, pertukaran dan pelajar tidak berijazah:”
Menurut takrifan yang diberikan ini, pelajar yang terikat dengan AUKU ini merupakan para pelajar samaada yang menyambung pelajaran diperingkat persediaan, pra ijazah, Ijazah, Sarjana ataupun Kedoktoran.
Apabila diteliti, AUKU ini bukan sahaja mengikat mahasiswa tetapi ianya juga mengikat “pelajar” yang sudah berusia. Mungkin umur mereka 30 an, 40 an ataupun 60 an. Hal demikian kerana, rata-rata pelajar Sarjana dan Kedoktoran terdiri daripada individu yang sudah berusia. Bahkan terdapat dalam kalangan “pelajar” yang dijerut dengan AUKU ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah Universiti yang bergelar Prof. Madya memandangkan ada dalam kalangan mereka yang menyambung pengajian diperingkat Phd.
Di antara kelemahan yang dapat dilihat di sini adalah, Akta “ultra virus” ini juga menyekat kebebasan akademik dalam kalangan masyarakat Malaysia sendiri. Sebagai contoh, sekiranya berpandukan akta ini, rakyat Malaysia yang terlibat aktif di dalam politik nescaya tidak dapat menyambung pengajian mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Tun Berdiri megah bercakap berkenaan Human Rights. Bagaimana dengan hak kebebasan asasi terhadap mahasiswa dan ahli akademik di Universiti? Adakah mereka hanya layak dilayan seperti burung di dalam sangkar.
Saya tertarik dengan nasihat Tun Dr Mahathir (TDM) dalam tulisan beliau baru-baru ini yang menyatakan bahawa, mahasiswa harus bersabar kerana masa untuk belajar tidak lama sekitar 3 atau 4 tahun. Namun begitu, ternyata TDM lupa akan takrif yang beliau berikan kepada “pelajar” di dalam AUKU. Betul kata Tun, melayu mudah lupa dan Tun sendiri barangkali sudah lupa kerana sudah lama tidak bermain dengan AUKU. Tetapi Tun harus ingat bahawa, tempoh 3 atau 4 tahun yang dikatakan oleh Tun itu sebenarnya lebih daripada itu.
Sekiranya takrif ini diguna pakai, nescaya sampai tua sekalipun rakyat Malaysia yang mahu menyambung pelajaran akan menjadi seorang yang penakut. Hal demikian kerana, mereka masih terikat dengan AUKU sekiranya selepas bergelar graduan mereka menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Sampai bila rakyat kita hendak di didik dengan budaya penakut? Saya yakin, Tun juga ada jawapannya. Jawapan yang dibuat semata-mata mahu mempertahankan tindakan beliau yang “berjasa” menggubal akta yang mematikan idealisme ini ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran.
Sekiranya AUKU yang digubal ini mahu memperkasakan akademik rakyat negara kita, mengapakah dalam kalangan ahli akademik tidak diberi peluang untuk bergerak dengan lebih bebas. Timbul persoalan, mengapakah apabila wujud dalam kalangan ahli akademik mahupun mahasiswa yang terlibat dengan Parti Politik yang cenderung kepada kerajaan tidak dikenakan sebarang tindakan atau hukuman. Namun begitu, apabila dilihat mahasiswa yang beridealisma membantah sesuatu tindakan kerajaan yang dianggap tidak releven, di ambil tindakan di bawah akta yang zalim ini.
Di mana kebebasan bersuara sebagai rakyat di dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi ini?. Mengapakah wujud double standard di dalam situasi sebegini? Mengapakah AUKU yang digubal ini diluluskan dan dilaksanakan walaupun wujud percanggahan yang begitu ketara dengan Perlembagaan Persekutuan?
Persoalan demi persoalan terus dilontarkan. Namun begitu, walaupun wujud “ultra virus” yang cukup jelas di dalam AUKU ini, disebabkan ianya melibatkan keuntungan sesetengah pihak, maka AUKU terus dibiarkan memenjarakan mahasiswa di dalam negara kita.
Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com
No comments:
Post a Comment