Alor Star, 11 Disember: Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Program anjuran Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B. Dato Seri Azizan Abd. Razak. Turut hadir ialah Y.B. Dr. Hamdan bin Khalib, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah.
Menurut Pengarah Program Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha, Saudara Osman Fikhri bin Awang Mina, antara objektif program tersebut ialah untuk menghimpunkan dan memperkenalkan mahasiswa Kedah di bawah satu wadah, iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa dengan Kerajaan Negeri Kedah.
Mengulas berkenaan sambutan yang diberikan, Presiden Penaja PERSADA, Saudara Mohd Faisal bin Mustaffa berkata, dengan jumlah hadirin seramai kira-kira 800 orang telah mencerminkan kesediaan golongan belia untuk turut sama menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan Negeri Kedah dalam segenap aspek. Beliau juga berharap PERSADA dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk idea, tenaga dan sokongan.
Hadirin yang datang ke program tersebut turut menerima pendedahan dan maklumat baru berkenaan perancangan dan pembangunan yang sedang direncanakan oleh Kerajaan Negeri.
Program yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu berakhir pada jam 2 petang.
No comments:
Post a Comment