Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) hari ini menjelaskan bahawa tiada kenaikan yuran pengajian dilaksanakan bagi penuntut Akademi Pengajian Islam universiti itu.Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata apa yang berlaku sekarang adalah satu proses mendapatkan maklum balas daripada penuntut Akademi Pengajian Islam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini yang melaporkan bahawa cadangan kenaikan yuran sebanyak 75 peratus meresahkan penuntut apabila Akademi Pengajian Islam mengeluarkan pekeliling semakan semula kadar yuran berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Sebarang perubahan pada yuran, jika dilaksanakan, adalah selepas perbincangan dan maklum balas daripada penuntut dan Pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa Universiti Malaya sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penuntut dan pihak pengurusan Akademi Pengajian Islam akan selalu mengadakan pertemuan dengan penuntut dari semasa ke semasa. - Bernama
No comments:
Post a Comment