Friday, May 4, 2012

Exco Kerajaan Terangganu kempunan naik Mercedes E200 Kompressor?


Apabila timbul isu berkaitan dengan pembelian Mercedes E200 Kompressor oleh kerajaan Negeri Terangganu, maka semakin panaslah punggung pemimpin-pemimpin negeri Terangganu. Ada yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka secara terbuka kepada para wartawan kerana mewar-warkan isu ini sehingga menyebabkan pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) campur tangan di dalam isu ini. Selain itu, kenyataan Perdana Menteri yang melarang kereta mewah ini digunakan menambahkan bara api dalam kalangan mereka.

Datuk Rosli Mat Hassan yang juga merupakan Setiausaha UMNO Negeri turut mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia melaporkan isu itu di muka hadapan akhbar tersebut. Menurutnya, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3.43 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri. Rosli hairan mengapa ia diheboh-hebohkan.

''Awak fikir RM3.43 juta beli Mercedes ini besar sangatkah bagi sesebuah negeri? Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," ujarnya.
Mengapa beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian? Untuk menyanggah kenyataan Perdana Menteri sudah tentu beliau tidak berani. Namun begitu beliau cuba mempersalahkan media yang menghebahkan berita tersebut sehingga mereka kempunan untuk merasai nikmat ke hulu ke hilir dengan kereta mewah.

Walaupun begitu, mereka mungkin masih boleh tersenyum kerana Menteri Besar, Datuk Ahmad Said membenarkan mereka menggunakan kereta tersebut kerana kereta Perdana V6 yang sedia ada masih lagi di siasat oleh pihak BPR. Taktik ini juga mungkin menjadi alas an untuk ahli exco negeri terus menggunakan kereta-kereta mewah ini dikala isu ini sudah reda.

Di kala rakyat menghadapi bebanan akibat kenaikan harga minyak dan harga barang yang melampau, pemimpin negeri pula dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang negeri untuk kemudahan peribadi.

Cadangan yang dikemukan oleh Perdana Menteri suapay kereta ini digunakan oleh tetamui kerajaan negeri yang datang daripada luar negara juga dilihat agak tidak berkesan kerana penggunaan 14 buah kereta untuk tetamu sebuah negeri bukanlah suatu yang praktikal. Mana mungkin dalam tempoh setahun, kerajaan negeri akan menerima tetamu dalam jumlah yang ramai pada setiap masa.

Sewajarnya peringkat pemimpin tertinggi UMNO bertegas suapaya kereta tersebut dijual dan hasil jualan tersebut di agihkan kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup yang meningkat. Ataupun wang berkenaan boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang dilihat semakin hari semakin daif kerana kekurangan dana untuk proses penyelenggaraan sekolah.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

No comments:

Post a Comment