Wednesday, December 7, 2011

STRATEGI MOBILASI MASSA

STRATEGI PENGUASAAN MASSA DAN MEMOBILISASI MASYARAKAT:
SARANAN KEPADA GERAKAN MAHASISWA NASIONAL[1]

Oleh: Ust Hisomuddin

PENDAHULUAN

Gerakan mahasiswa Islam dilanda kemurungan dan kebuntuan dalam merencana gerakan di peringkat kampus dan nasional. Tekanan pihak pemerintah dan pentadbiran universiti didalangi oleh mereka yang ingin melenyapkan gerakan Islam di kampus atas label penghapusan pengaruh pro pembangkang. Pelbagai strategi pihak musuh digunakan untuk melemahkan daya juang mereka yang terlibat dalam mainstream gerakan ini. Kita sedia maklum bahawa pihak musuh Islam sentiasa bekerjasama sesama mereka untuk merosakkan Islam berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“orang-orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain, mereka menyeru membuat mungkar dan menegah membuat ma’ruf dan mereka menggenggam tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakanmereka. Sesungguhnya orang munafik itu orang yang fasik.”


Akibatnya, semangat pejuang/aktivis kian luntur, ahli makin goyah pendirian, pemimpin hilang punca, sistem tidak efisien dan pelbagai masalah lagi yang menyumbang kepada kelesuan momentum pengaruh Islam di kampus. Propaganda pihak bertentangan gagal ditangkis dengan baik dan bijaksana menambah lagi keperitan untuk meneruskan usaha dakwah di kampus mahupun nasional.

Maka, penulisan ini cuba mendobrak minda dan membuka paradigma sempit bahawa masih ada lagi jalan keluar untuk menyusun perancangan gerakan agar lebih sistematik dan efektif. Perbahasan strategi ini bertujuan memberikan cadangan alternatif bagaimana perlunya para aktivis mahasiswa Islam melihat perlunya menawan massa kampus dan masyarakat dalam menerajui setiap tindak tanduk yang dilakukan oleh jemaah. Kertas kerja ini merupakan adaptasi daripada seminar dan kertas kerja PMIUM[2] dan juga Teras Keupayaan Melayu (TERAS)[3] dan telah disusun semula oleh penulis bagi memperkemaskan persembahannya.

PENGUASAAN MASSA

Apa yang dimaksudkan dengan penguasaan massa ialah menggembleng usaha untuk memberikan maklumat kepada masyarakat seterusnya menguasai minda untuk menyokong setiap tindakan yang dilakukan oleh organisasi atau persatuan. Ini adalah selaras dengan terma gerakan atau harakah, oleh itu ia tentunya bersifat menggerakkan kelompok tertentu sesuai dengan matlamat dan objektif persatuan. Ini juga bermakna, persatuan harus beraksi di luar lingkaran formaliti bagi menjayakan gerakan menguasai massa ini. Jika terikat dengan formaliti dan teknikaliti persatuan, ianya tidak akan bergerak jauh memangkin kesedaran massa kerana ia terdedah kepada sistem yang dicipta untuk memerangkap persatuan itu sendiri. Penguasaan massa ini juga boleh diterjemahkan melalui penguasaan minda, strategi, tindakan, pengaruh, maklumat propaganda dan sebagainya.

MOBILISASI MASYARAKAT

Mobilisasi masyarakat yang dimaksudkan di sini ialah mengerahkan masyarakat unttuk berdiri sama memperjuangkan isu yang di bawa oleh mahasiswa. Masyarakat di sini merujuk kepada kelompok sasaran yang difokuskan oleh perancangan persatuan. Ia mungkin terdiri daripada masyarakat awam, kampus dan juga kelompok sasar tertentu. Pengerahan tenaga masyarakat ialah melalui manipulasi isu seterusnya meraih simpati masyarakat untuk bersama dengan nada yang dibawa oleh mahasiswa. Oleh itu, aktivis harus mendalami ilmu sains sosial agar mampu menguasai minda masyarakat yang disasarkan ini. Pengerahan dan mobilisasi ini mungkin wujud dalam bentuk sokongan bertulis, lisan, moral dan semangat, partisipasi dalam forum, piket, demontrasi dan sebagainya. Ini merupakan kemuncak kejayaan jika diukur sejauh manakah sokongan masyarakat terhadap isu yang dibawa. Ia juga menggambarkan, gerakan sudah berjaya mendidik dan membekalkan maklumat yang digariskan oleh perancangan strategik persatuan.

STRATEGI GERAKAN

Berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat berikut yang bermaksud;

“dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kudayang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) akan menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiayai (dirugikan)”
(surah al anfal: 60)


Ayat ini menegaskan bahwa perlunya kekuatan dijana bagi mencapai kemenangan. Generasi terdahului mempunyai akidah yang kukuh dijinjing bersama strategi rapi bagi mengalahkan kebatilan. Kelalaian dan sifat tidak cermat dalam menanggapi perencanaan kini menyebabkan strategi pihak lawan lebih rapi dan terancang. Ini menepati pesan Saidina Ali KarramaLlahu Wajhah:

“ Kebenaran yang tidak mempunyai perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang mempunyai perancangan yang rapidan tersusun”


Kepelbgaian strategi yang digabungjalin dengan sistematik dan berhikmah serta menepati masa adalah penting bagi menjayakan tindakan ke arah menguasai dan memobilisasi massa/masyarakat. Di sini digariskan strategi yang boleh diaplikasi dalam perencanaan gerakan. Saya telah menyusun strategi ini mengikut flow fasa tindakan bagi memudahkan pemahaman dalam membincangkan strategi ini. Antaranya ialah

Fasa Awal 1: Pemilihan Isu, Pembahagian Isu, Penyusunan Perancangan Strategik

Dalam fasa ini, para pimpinan organisasi/ persatuan harus menilai dan memutuskan isu yng hendak difokuskan oleh persatuan bagi sesi pentadbiran mereka. Ini bagi mengelakkan kecelaruan dan caca merba dalam memberikan respon terhadap persoalan yang timbul dalam masyarakat. Kebanyakan dilema ini terjadi pada awal pentadbiran yang menyebabkan gerakan tidak terarah dan menyebabkan ruang ini dimanfaatkan oleh pihak musuh menekan gerakan Islam.


Antara tindakan awal yang dicadangkan ialah:
1. Menetapkan isu yang hendak dikaji dan diperjuangkan.
- Peringkat ini merupakan langkah asas bagi sesuatu tindakan. Pihak pimpinan perlu bersidang dan melakukan pecah minda bagi mencapai keputusan untuk menumpukan isu khusus yang hendak ditumpukan oleh mahasiswa bagi sesuatu sesi pentadbiran. Ini bagi menjejakkan idea yang retorik agar lebih realistik.
- Aspek ini juga harus mengambil kira keupayaan dan pembinaan kapasiti (capacity building), sanggup menanggung risiko, keberanian, kesatuan, sumber tenaga dan kewangan.


2. Membuat kajian mendalam terhadap potensi isu yang hendak dipilih.
- Proses envisioning terhadap isu ini perlu dilakukan dengan melihat kemampuan isu ini pergi lebih jauh dan memberikan impak positif pada gerakan.
- SWOT Analysis juga boleh dilakukan bagi menilai potensi yang wujud.
- Pemahaman masalah asas, punca, dan sebagainya perlu dibahaskan secara mendalam.
- Isu harus bersifat universal, mewakili kelompok sasar besar atau mempunyai darjah maslahah yang penting diperjuangkan.


3. Membuat penyelidikan asas, review literatur berhubung isu berkenaan.
- Kajian ini perlu bagi mengetahui mengetahui punca, strategi, kesan dan akibat daripada permasalahan tersebut.


4. Membuat pembahagian isu iaitu membahagikan kepada isu utama dan isu sampingan;
- Pembahagian perlu dilakukan bagi mengelakkan kecelaruan dari masa ke semasa. Biasanya fokus boleh mencapah apabila isu demi isu melanda yang memerlukan kenyataan dan pendirian mahasiswa.
- Isu utama harus ditangani secara serius oleh badan khas. Manakala isu capahan boleh diserahkan kepada unit atau lajnah formal biasa dalam organisasi. Ia juga boleh dilakukan oleh presiden dalam melontarkan pandangan persatuan semasa. Isu capahan tidak harus menjadi tumpuan berbanding isu utama.


5. Dan menyusun kerangka pelan tindakan strategik isu yang hendak dibawa.
- Selepas isu diputuskan, maka satu grand design pelan starategik perlu dirangka. Ini bagi menzahirkan secara blue print tindakan yang akan dilakukan dalam jangka masa panjang mahu pun dekat.


6. Menubuhkan panel penasihat atau perunding isu.
- Usaha ini perlu dilakukan bagi mengumpulkan tenaga berpengalaman dalam bidang masing-masing memandu dan membantu jika situasi buntu berlaku.
- Antara panel yang boleh ditubuhkan:
i) Panel Undang-undang: Bertanggungjawab memberi nasihat dalam aspek perundangan.
ii) Panel Penasihat Politik: Bertanggungjawab memastikan tindakan selari dengan prinsip jemaah dan syariat.
iii) Panel Memantau Isu: Bertanggungjawab mengumpulkan maklumat, respon, kenyataan balas musuh, propaganda/serangan gerak saraf dan sebagainya. Mereka hanya mengumpul, mendokumentasi dan menganalisis apa yang berlaku dari masa ke semasa.
iv) Panel Tindakan Khas: Unit ini bertanggungjawab mengumpulkan maklumat dari lapangan. Kajian lapangan juga adalah sebahagian daripada portfolio kelompok ini.
v) Panel teknikal dan kewangan: Ini kumpulan khas yang menumpukan dalam aspek teknikal dan berkaitan dengannya. Bahan cetak, penerbitan, risalah dan bahan disaring oleh kelompok ini. Unit ini juga perlu menjana kerana sektor ini memerlukan sumber dana yang besar.


7. Penubuhan unit media dan rakaman.
- Unit ini tidak boleh diabaikan dan dipandang remeh. Rakaman merupakan bukti paling kukuh yang diperlukan sebagai sokongan dalam setiap tindakan. Unit ini perlu merakamkan setiap event utama dan perkara penting dalam tindakan sepanjang gerakan memobilisasi isu.
- Selain itu, bahan rakaman boleh disebarkan dalam bentuk CD dan sebagainya. Ia juga boleh menjadi sumber kewangan pada gerakan.


Fasa Awal 2: Memperkenalkan Isu

Pendekatan sistemik berhubung setiap isu memerlukan satu usaha memperkenalkan isu terlebih dahulu kepada ahli dan sasaran awam. Antaranya tindakan atau langkah dalam fasa ini seperti;
8. Menulis makalah yang berorientasikan akademik dalam media cetak dan portal laman elektronik (web site).
- Langkah ini merupakan pengenalan kepada tindakan persatuan terhadap isu yang difokuskan. Penulisan boleh atas kapasiti persatuan, presiden, ahli persatuan, atau individu lain yang mulai prihatin dengan isu berkenaan. Semua pihak harus memberikan komentar sama ada menyokong dan membantah secara sistematik bagi membuka dan menarik perhatian masyarakat awam.
- Menghantar sebanyak mungkin artikel bersifat pandangan, komentar, analisis perbandingan dan yang seumpama dengannya. Objektif ini belum lagi bersifat serangan, tetapi lebih kepada penerangan konsep dan apa yang berlaku atas landasan ilmiah.
- Perlu mengenalpasti dan membuat senarai majalah, akhbar dan portal untuk menghantar pandangan serta hasil penuisan berkenaan.
- Contoh majalah: Minda, Millenia, Falsafah, Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, dll
- Contoh Portal Elektronik: malaysiakini.com, harakahdaily.net, umno-reform.com, malaysia-today.net, tranungkite.net, laman marhaen, terengganukini.net, jiwa-merdeka.net, dll.


9. Meminta pandangan ahli akademik dan pihak yang mempunyai maklumat berkaitan isu.
- Peringkat ini memerlukan pimpinan membuat tinjauan elit bagi mendapatkan pendirian dan sikap para elit seperti ahli akademik, NGO, alim ulama’, mufti dan yang boleh memberikan pandangan alternatif berhubung isu yang diperjuangkan.
- Pandangan ini boleh dilakukan secara profesional sama ada temuramah lisan, bertulis dan sebagainya. Ini merupakan bukti yang boleh mengukuhkan hujah untuk dijinjing bersama selepas ini.
- Mengeluarkan kenyataan hasil temuramah dan pertemuan berkenaan kepada media seperti mana di atas.


10. Membuat tinjauan/kajian lapangan untuk mendapatkan respon/ pandangan awal masyarakat.
- Tinjauan lapangan boleh dilakukan dengan menubuhkan satu unit khas menjalankan survey yang sistematik. Persampelan in akan digunakan bagi mewakili keseluruhan kelompok sasar yang ditetapkan.
- Kajian ini mampu memberikan gambaran asas dan boleh digunakan untuk menyusun strategi seterusnya.
- Membuat lawatan dan meninjau kawasan isu yang boleh dijadikan contoh permasalahan kajian serta mengumpulkan pendapat masyarakat setempat.

Fasa Pertengahan 1: Menyatakan Pendirian

11. Menulis surat memohon penjelasan kepada pihak berwajib.
- Surat rasmi mewakili organisasi untuk mendapatkan pendirian sebenar pihak yang bertanggungjawab terhadap isu. Selain daripada tindakan formal ini, agen khas badan bertindak boleh menjalankan risikan secara bijak bagi mengetahui pendirian pihak pesaing terbabit.

12. Mengadakan dialog dengan pihak berwajib untuk memohon/memberikan penjelasan berhubung isu.
- Dialog secara bersemuka secara psikologinya ialah untuk menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap isu yang membabitkan pihak berkenaan. Menerusi dialog berkenaan, persatuan atau organisasi harus menyatakan secara jelas pendirian mahasiswa.
- Mencatatkan hujah balas dan alasan yang dikemukakan dengan terperinci. Sekiranya rakaman dibolehkan, ini lebih mudah dan berkesan.


13. Mengadakan sidang media menyatakan pendirian mahasiswa.
- Langkah ini perlu dilakukan sejurus pertemuan atau dialog berkenaan. Ini bagi menghebahkan kepada pihak media pendirian asas mahasiswa berhubung isu ini. Selain itu juga, ulasan mengenai pendirian pihak yang terbabit dengan isu ini boleh diulas secara ringkas.
- Kekuatan mental pemimpin perlu di tahap ini bagi menahan asakan soalan dari pihak media. Kemampuan menjawab dengan baik, serta mempunyai persefahaman dalam mengeluarkan pendirian akan memperlihatkan kekuatan yang dimiliki oleh mahasiswa.
- Aspek teknikal penting bagi melancarkan perjalanan sesi ini. Ini termasuk jemputan pihak media secara rasmi, penyediaan media kitt, backdrop dan susunan kedudukan media dan pimpinan semasa sidang dijalankan.


14. Mengeluar dan mengedarkan kenyataan akhbar kepada media tempatan dan antarabangsa.
- Tindakan ini adalah bagi menampung perkara di atas, iaitu melengkapkan media yang tidak menghadiri sidang yang dilakukan.
- Kenyataan rasmi pihak mahasiswa boleh difakskan atau melalui email kepada pihak media cetak dan elektronik.


15. Menulis rencana khas di dalam majalah dan akhbar.
- Kupasan ilimiah diselitkan dengan pendirian mahasiswa berhubung isu direncanakan. Ini bagi mendapatkan simpati dan menyebarkan maklumat kepada golongan tertentu yang membaca melalui akhbar mahupun majalah sasaran.


16. Menulis surat bantahan rasmi.
- Bantahan rasmi boleh dikemukakan dengan menjawab setiap hujah pihak terbabit berdasarkan pada pertemuan dan sidang dialog tadi.
- Bantahan itu perlu diperkukuhkan dengan mengedarkan “salinan kepada(s.k)” pihak yang berpengaruh. Ini sebagai psikologi kepada pihak berkenaan bahawa isu ini juga dihebahkan kepada pihak lain yang mungkin boleh mengenakan tindakan dan tekanan kepada mereka.

Fasa Pertengahan 2: Pengembangan Isu.

17. Menganjurkan bengkel, kolokium, simposium, forum dan seminar khas.
- Langkah ini memerlukan usaha yang kuat untuk mengumpulkan hasil set idea yang berkaitan dengan isu yang dibincangkan.
- Forum dan seangkatan dengannya boleh digunakan bagi mengumpulkan pandangan rasmi pihak yang dijemput berhubung isu atas pentas mahasiswa. Ini bagi mngesahkan secara jelas pendirian mereka.
- Medan ini juga boleh digunakan untuk berhujah secara berdepan dengan berhikmah serta melihat kekuatan mantik masing-masing.
- Resolusi akhir harus menjurus kepada objektif asal serta menyumbangkan kekuatan tambahan kepada perjuangan isu berkenaan.


18. Melaksanakan siri ceramah/syarahan penerangan dan roadshow
- Siri penerangan ini boleh dilakukan secara rasmi mahupun tidak.
- Penerangan rasmi ialah melalui majlis atau program yang dirancang oleh pihak persatuan atau proksinya.
- Instrumen tidak rasmi pula boleh dilalkukan melalui elemen ziarah, kuliah maghrib, dan sebagainya.


19. Melancarkan kempen.
- Secara umumnya, kempen adalah segala usaha yang meliputi kegiatan dan tindakan dengan menggunakan pendekatan untuk mempengaruhi pendapat umum atau sokongan terhadap isu yang dibawa.
- Kempen ini bertujuan untuk menghebahkan pendirian melalui cara yang lebih kreatif dan lembut.
- Kempen bertujuan mempengaruhi masyarakat umum terhadap sesuatu perkara dan isu yang dibawa.
- Untuk melakukan perubahan perlakuan/tindakan di peringkat pelbagai lapisan masayarakat umum dan akar umbi terhadap perkara/isu yang diperjuangkan.
- Untuk mendapatkan sokongan masyarakat umum terhadap isu yang diperjuangkan
- Untuk berlakunya perubahan dasar/polisi di peringkat makro sesebuah negara – pentadbiran, perundangan, kehakiman dan kesultanan.


20. Mengadakan pameran khas
- pameran ini merupakan salah satu instrumen pecahan daripada kempen. Pameran boleh menggambarkan pendirian dan menghebahkan kepada masyarakat dan partisipan yang hadir.
- Bahan pameran merupakan himpunan gerakerja kronologi, tindakan, himpunan foto, himpunan kenyataan, keratan akhbar/makalah yang berkaitan, himpunan surat bantahan, memorandum, referendum dan sebagainya.


21. Mencetak poster khas dan sepanduk propaganda terhadap isu.
- poster merupakan instrumen promosi terhadap ekspresi perasaan dan pendirian mahasiswa.
- Kenyataan di poster harus mengandungi ayat propaganda dan pendirian tegas berhubung isu selaras dengan pendirian mahasiswa.
- Selain itu juga poster mampu menarik perhatian masyarakat umum dengan tarikan kepada pernyataan poster sama ada bersifat agresif mahupun menagih simpati.


22. Mengedarkan surat pekeliling meminta sokongan dari orang awam, NGO, dan individu berpengaruh.
- Surat pekeliling sokongan bertujuan untuk menilai sejauh mana pendirian pihak lain yang mempunyai pengaruh terhadap isu yang dimainkan. Sekiranya sokongan pihak berkenaan diterima ia merupakan bonus dan hujah untuk mengukuhkan premis dan konsensus perjuangan isu tersebut.

23. menubuhkan badan bertindak di kalangan komuniti terlibat untuk menyelesaikan isu
- bagi membentuk momentum gerakan yang lebih besar, gerakan perlu menubuhkan pecahan badan bertindak untuk mengetuai isu berkenaan.
- Nama-nama singkatan yang boleh menggambarkan aspirasi pendirian mahasiswa berhubung isu berkenaan boleh diwujudkan. Sebagai contoh dalam menangani isu ISA, mahasiswa menubuhkan Gabungan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) pada tahun 2000.


Fasa Akhir 1: Penegasan Tindakan

24. Penyediaan memorandum
- Memorandum adalah ekspresi tegas gerakan. Kebiasaannya memorandum adalah jalan yang boleh diklasifikasikan hampir ke klimaks tindakan diplomasi. Kebiasaanya ianya menyumbangkan impak besar terhadap isu ini. Political milage boleh dibesarkan menerusi rombongan kelompok kecil mengiringi pemimpin menyerahkan memorandum berkenaan.
- Selain itu juga, memorandum merupakan signal bagi pihak yang terbabit menggambarkan keseriusan tindakan jika tiada sebarang perubahan selepas penyerahan berkenaan.
- Memorandum harus mengandungi latarbelakang masalah/ isu, kronologi, hujah yang dibalas, cadangan penyelesaian, dan senarai kekuatan alliances yang terbabit dn bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.


25. Merangka model penyelesaian mahasiswa
- Kerangka model penyelesin harus dikemukakan bagi menangkis serangan balas menyatakan bahawa mahasiswa seperti PMI, GAMIS, BBMN hanya tahu mengkritik tetapi dangkal dan tandus menyatakan jalan penyelesaian. Rumusan aksi penyelesaian harus realistik dan mempunyai kajian yang mendalam.

26. Penyediaan referendum.
- Referendum kebiasannya mengiringi memorandum. Ia membuktikan pungutan suara masyarakat yang menyokong usaha yang dilakukan oleh persatuan/organisasi dalam isu berkenaan.
- Referendum harus mengandungi penyataan ringkas isu yang diperjuangkan dan ruangan butiran maklumat penyokong referendum berkenaan. Jumlah ini harus valid dan mempunyai kekuatan dalam menyokong isu.
- Secara psikologinya, ia memberikan kekuatan moral bagi pemimpin untuk berdepan dengan pihak yang ingin dikemukakan bantahan atau sebagainya.


27. Menyediakan soalan atau pendirian kepada pihak ADUN dan Ahli Parlimen.
- Medium ini kebanyakannya gagal dimanfaatkan oleh mahasiswa. Ini adalah medium yang cukup efektif dalam memberikan kesan mendalam kepada penggubal polisi. Selain itu juga, ianya mengundang terjahan yang baik dan bersih dalam menaikkan perbahasan isu ini.
- Sepertimana kita maklum, kuasa legislatif ini mampu membuka minda strategi mahasiswa dalam membiaskan serangannya.


28. Melancarkan boikot
- Boikot ini merupakan tindakan awal kekecewaan hasil tindak balas pihak yang terbabit. Boikot ini boleh dilakukan apabila kuasa massa sudah berada di pihak gerakan. Jika massa tidak kukuh, strategi ini tidak wajar dilakukan.
- Kebiasaannya boikot dilakukan apabila mahasiswa ingin menyatakan pendirian secara kasar dan agresif dan mempromosikan sikap sebenar mereka.

29. Mengadakan piket, demontrasi aman, dan mogok.
- Biasanya bila disebut istilah ini, inilah perkara pertama yang berlegar dalam kotak minda para aktivis, padahal ianya sudah berada di penghujung jalan diplomasi. Langkah demontrasi perlu melihat kepada flow dan graf gerakan awal. Jika flownya menaik, maka demontrasi dan tunjuk perasaan perlu dilakukan.
- Tunjuk perasaan merupakan penilaian terhadap usaha mobilisasi dan penguasaan massa di peringkat awal perancangan isu.
- Demontrasi memerlukan badan khas yang disusun secara rahsia bagi mengendalikan atu demontrasi yang tersusun.
- Badan khas iin perlu menyususn strategi yang mengambil kira aspek keselamatan mahasiswa yang akan terlibat. Pelan kontigensi juga perlu diatur jika berhadapan dengan suasana genting.


30. Mendapatkan pandangan dan pendirian melalui bidang undang-undang.
- memahami aspek undang-undang adalah wajib bagi pimpinan. Mereka perlu bengkelkan bagi memahami ruang yang diperuntukkan undang-undang agar tindakan yang dilakukan masih lagi dalam lingkungan undang-undang yang dibenarkan.
- Perlembagaan Malaysia, Akta polis, akta hasutan, AUKU, statut universiti, ISA dan lainya perlu dikhatam oleh para aktivis.
- BAR Council juga boleh dijadikan sebagai proksi sandaran dalam menguatkan sokongan dan bantuan dalam aspek undang-undang.
- Firma guaman ahli gerakan begitu banyak perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan pendedahan berkaitan dengan undang-undang.

31. Membuat laporan kepada pihak berkuasa.
- Laporan polis juga boleh digunakan, tetapi tidak disyorkan sangat memandangkan pihak PDRM tidak menyebelahi pihak mahasiswa. Tetapi sebagai tindakan wajib dan terdesak, ianya boleh dilakukan. Ini bagi membolehkan langkah perundangan dilakukan sekiranya laporan polis dilakukan.

32. Mengambil tindakan undang-undang.
- pendakwaan di mahkamah adalah langkah terakhir dengan menyeret pihak terbabit. Ini adalah klimaks bagi tindakan, dan aspek perundangan memakan masa dan lebih kompleks untuk tindakan. Namun, ianya juga sebahagian daripada strategi dalam gerakan mahasiswa.
- Contoh kes Rizal Annan vs UUM, ISA7.

Fasa Akhir 2: Penilaian Akhir

33. Menyediakan kronologi peristiwa.
- Kronologi peristiwa yang berlaku perlu dirakamkan dengan baik. Ini dapat memperlihatkan graf dan flow tindakan terhadap isu ini. Ia juga boleh dikepilkan bersama deraf penerangan kepada masyarakat awam apa yang telah dilakukan oleh mahasiswa.


34. Menghasilkan Dossier (laporan lengkap isu) untuk diedarkan kepada masyarakat awam.
- Dossier merupakan satu set laporan lengkap yang dirangkumkan keseluruhan yang berkaitan dengan isu yang dibawa. Badan khas pemantau bertanggungjawab menyiapkan laporan ini.


35. Laporan lengkap diserahkan kepada pihak yang berkenaan seperti kementerian, agensi dan pihak pentadbiran universiti.
- Dossier dan laporan formal yamg lengkap boleh menjadi langkah akhir yang memperlihatkan mahasiswa Islam profesional dalam menampilkan isu. Penyelesaian dan langkah alternatif yang dicadangkan mampu menangkis pandangan negatif seterusnya menaikkan imej mahasiswa sebagai kelompok pressure yang matang dalam tindakan.


KESIMPULAN

Berdasarkan apa yang dipersembah dan dihuraikan, masih banyak ruang yang boleh dimanfaatkan oleh para aktivis dalam melestarikan gerakan. Harapan saya, moga strategi ini boleh dijadikan panduan dalam merangka gerakan yang lebih sistematik, berperancangan dan bijaksana. Saya menegaskan di sini, usah terikat dengan jumlah yang diketengahkan di atas kerana masih banyak strategi boleh dilakukan untuk memartabatkan kembali pengaruh Islam di kampus yang kini dilanda pengaruh jahiliyyah. Di bahu kalian tertanggung amanah untuk menebus semula kesan dogma negatif agar generasi akan datang akan merasai nikmatnya bersama Islam di kampus. Akhir kata: lakukan apa sahaja yang menguntungkan Islam dan lakukanlah SEKARANG! Bertindak demi masa depan bersama....



[1] Kertas kerja ini disediakan sempena Mukhayyam Tarbawi di Sri Melawi Resort, Kelantan pada 30 Januari 2005; 8.30 pagi.
[2] Faisal Abdul Rahman. Senarai Semak Gerakkerja PMIUM dalam Mobilisasi Masyarakat Menangani Isu: Kemahiran- Kemahiran yang Perlu dikuasai oleh Aktivis PMIUM. Universiti Malaya Kuala Lumpur. 2000.
[3] Mohd Burhanuddin Adnan. Menguasai Pandangan Awam dibentangkan sempena Simposium Penyelidikan `02, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2002/2003.

No comments:

Post a Comment