Thursday, August 4, 2011

Khasiat Madu Lebah

Masuk minggu ini, sudah dua minggu saya mengamalkan minum madu yang di bancuh dengan air gau. Selepas membaca tulisan Dr Danial Zainal Abidin di dalam buku beliau, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden barulah saya tahu bahawa Rasulullah S.A.W gemar minum air kosong yang dicampur madu. Sabda baginda, “Sesiapa yang meminum madu di waktu pagi, tiga kali pada setiap bulan, dia tidak akan menghidap penyakit berbahaya”.

Kebetulan minggu ini juga saya berkeupayaan untuk memiliki sebuah buku terjemahan Tib An-Nabawiy ataupun Berubat Mengikut Cara Nabi karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziah.Sebelum ini, saya sendiri belum mendalami apakah isi kandungan buku ini. Namun begitu, selepas ianya sering disebut oleh Tuan Guru Haron Din di dalam siri-siri kelas perubatan di Darus Syifa’, hati saya tertarik untuk mendapatkan buku ini. Tuan Guru selalunya menyebut tajuk buku ini yang diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Medicine of Prophet’. Pernah suatu ketika saya terjumpa karya tersebut. Namun apabila dibelek herganya, saya melupakan hasrat tersebut sehinggalah menjumpai karya terjemahan di dalam bahasa melayu yang jauh lebih murah.


Saya tidak kisah berapa pun harga buku tersebut, kerana sudah menjadi “kewajipan” bagi diri saya untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah buku sekiranya melewati kedai-kedai buku. Hal demikian kerana, sudah menjadi tabiat saya sejak kecil menggilai buku untuk diisi ke dalam rak buku saya dan dibaca apabila mempunyai masa yang terluang. Setidak-tidaknya buku tersebut menjadi rujukan apabila saya hendak menyampaikan kuliah atau tazkirah di surau. Namun begitu disebabkan kekurangan dana, saya menangguh dahulu pembelian di peringkat awalnya.

Berkenaan madu ini, pernah Tuan Guru Haron Din memberi petua kepada kami di dalam kelas. Katanya madu ini berkhasiat bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak sempurna atau tidak tersusun. Caranya ialah dengan minum sesudu madu bersama seulas bawang putih. Sekiranya di amalkan secara berterusan nescaya akan pulih kitaran haid seperti sedia kala.

Mungkin ini hanya sekadar petua, namun begitu sekiranya di amalkan saya yakin ianya mempunyai khasiat yang tersendiri. Mungkin coretan ini terlalu ringkas jika hendak dibandingkan dengan kandungan kedua-dua buku perubatan yang saya baca ini. Untuk mengetahui lebih lanjut bolehlah sahabat-sahabat membacanya sendiri dengan mendapatkan buku tersebut.

No comments:

Post a Comment