Wednesday, February 2, 2011

Mahasiswi dan Perjuangan Hak Wanita


Terdapat 6 orang jururawat pelatih lelaki yang hadir pada kuliah pagi tersebut

Ramai lelaki sering mengeluh apabila berbincang soal wanita. Lazim kedengaran suara-suara kecil yang memperkecilkan wanita seperti wanita kuat merajuk, wanita kuat menangis, wanita itu dan ini. Rata-ratanya bercakap soal kelemahan kaum wanita.

Entah mengapa, seringkali dikaitkan wanita dengan sikap yang negatif. Seringkali saya fikirkan, sekiranya wanita itu kuat merajuk, ada juga lelaki yang kuat merajuk. Bahkan lebih teruk rajuknya dari wanita. Sekiranya wanita dituduh kuat menangis, tidak dinafikan lelaki juga ada yang kuat menangis.

Begitu juga lelaki. Sekiranya ditunding jari bahawa lelaki tidak kemas dan bersih, maka ada wanita yang bukan pengemas dan pembersih orangnya. Sekiranya di katakan lelaki itu kuat, ada juga wanita yang kuat. Begitulah perumpamaan yang cuba saya bawakan di dalam kisah permulaan berkenaan wanita ini. Saya tertarik untuk membincangkan berkenaan wanita ini kerana ianya adalah suatu perkara yang menarik. Bahkan ianya menjadi topik hangat yang dibincangkan secara serius di mana-mana sahaja.

Tidak dinafikan, sikap merendah-rendahkan kaum wanita ini sudah menjadi tradisi dan tertanam di dalam kehidupan masyarakat Melayu di negara kita. Bahkan secara tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri melakukannya.


Jururawat Pelatih PPUM sedang mendengar kuliah

Apabila membincangkan berkenaan persoalan lelaki dan wanita, seringkali kita melihat kaum wanita selalu diperlekehkan. Mereka seringkali dianiyai dan di pergunakan. Antaranya penganiyaan dari sudut perlaksanaan (genital multination) ataupun penyiksaan terhadap alat kelamin anak perempuan, sexual and emotional harassment dan sebagainya. Apabila mereka cuba bersuara, seringkali hak mereka dinafikan.

Daripada situasi inilah lahirnya golongan-golongan feminisme yang memperjuangkan hak kebebasan wanita. Hal demikian kerana mereka bangun untuk menyatakan rasa hati mereka bahawa sebagai seorang manusia, mereka juga mempunyai hak kebebasan. Dari sini lahirnya golongan-golongan Feminisme Liberal, Feminisme Radikal, Feminisme Marxis.

Sengaja saya menyentuh secara ringkas berkenaan isu ini diperingkat permulaan saya menulis artikel ini. Hal demikian kerana saya akan cuba membincangkan isu ini sehingga selesai sehingga menyentuh dasar-dasar berkenaan dengan The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW) yang cuba diserap masuk di dalam negara kita dengan beberapa pengubah suaian bertepatan dengan hukum syarak. Di dalam artikel ini saya hanya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan sikap mahasiswi-mahasiswi ahli Gerakan Mahasiswa Islam di negara kita.

Sudah hampir 50 tahun Gerakan Mahasiswa Islam mewarnai corak politik kampus dinegara kita, tidak dinafikan kebangkitan ini sering dikaitkan dengan kewujudan sayap kiri perjuangan iaitu golongan siswi itu sendiri. Di mana saja selalu di kumandangkan bahawa mahasiswi adalah sayap kiri perjuangan, tanpa mereka maka cacatlah perjuangan ini.

Saya tertanya-tanya adakah disebabkan doktrin sayap kiri perjuangan inikah yang menyebabkan golongan mahasiswi takut untuk ke hadapan memimpin perubahan dan mencorakkan gerakkan mahasiswi yang lebih bertenaga dan radikal.

Sebagai contoh dinegara barat, golongan-golongan radical feminisme ini dengan beraninya bangkit memperjuangkan hak mereka. Walaupun perjuangan mereka salah kerana mahukan kesamarataan yang melampau, misalnya sekiranya kaum adam boleh berjalan di bandar tanpa memakai baju mereka juga mahu melaksanakan perkara sedemikian.

Apa yang saya ingin tekankan disini, sewajarnya semangat memperjuangkan hak wanita yang ada pada golongan ini diambil oleh siswi GMI bagi memperkasakan gerakan mahasiswi. Tidak cukup dengan sekadar melaungkan slogan 3 B (Bijak, Berani dan Berdikari), tetapi mahasiswi seharusnya bergerak maju ke hadapan untuk memperjuangkan hak mahasiswi yang tertindas.

Banyak isu yang boleh diperjuangkan misalnya berkenaan gangguan seksual, manipulasi wanita dan sebagainya. Sewajarnya mahasiswi-mahasiswi GMI menghadam di dalam diri mereka berkenaan dengan peruntukkan dan dasar-dasar yang dibuat untuk menjaga hak wanita. Saya yakin dan percaya, sekiranya hal sedemikian dilaksanakan nescaya akan lahir generasi ahli gerakan yang mempunyai wawasan dan cita-cita yang besar tanpa terikat dengan kepompong pemikiran lama yang hanya suka menjadi follower, bukannya menjadi leader.

Saya mengharapkan suatu hari nanti, wujudnya golongan-golongan mahasiswi yang lebih agresif sehingga ketika itu mungkin mereka sendiri yang memacu perjuangan gerakan mahasiswa. Siapa tahu suatu hari nanti pengganti Ust Dzulkhairi di dalam GAMIS adalah seorang wanita. Tidak mustahil perkara ini berlaku, kerana perlunya pemerkasaan wanita di setiap peringkat gerakan Islam.

Sekiranya hari ini wanita sudah mampu bergelar Naib Canselor, sudah mampu menjadi Gabenor bank negara, maka sewajarnya ahli gerakan mahasiswi merencanakan hala tuju mereka untuk meletakkan tokoh-tokoh mahasiswi untuk mengisi jawatan-jawatan penting di masa akan datang.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


No comments:

Post a Comment