Saturday, February 5, 2011

Akhirnya saya melabuhkan sauh di Fitrah Perkasa


Semalam semasa bertaaruf bersama generasi baru PMIUM, telefon bimbit saya bergetar. SMS tersebut berbunyi, “Tahniah! Anda berjaya melepasi temuduga. Anda diminta lapor diri pada 20 Mei 2009 di Fitrah Perkasa”. Rasa syukur di dalam hati yang sebelum ini sudah berbunga gembira kerana menerima adik-adik baru daripada rahim tarbiah PMIUM.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pemohon yang lebih tua, namun begitu Allah tetap mengurniakan saya rezeki untuk mencari pengalaman di Fitrah Perkasa. Ketika ditemuduga, kelihatan wajah Ustaz Phahrol dan Tuan Haji Ahmad Salim agak terkejut apabila saya menyatakan bahawa saya baru menghabiskan menghadapi peperiksaan semester akhir pada 29 April lepas dan belum konvo.

Tidak dinafikan, selain daripada rezeki daripada Allah SWT, pengalaman menguruskan program-program motivasi secara percuma sejak daripada tingkatan 5 lagi menjadi kredit kepada saya semasa ditemuduga. Bukan niat untuk menceritakan kerja kebajikan selama ini, namun begitu ianya terpacul sebaik sahaja saya disoal berkaitan dengan pengalaman di dalam bidang motivasi ini. Saya masih ingat, ketika ditemuduga oleh panel Biasiswa OCBC berkenaan aktiviti kemasyarakatan, saya menceritakan aktiviti motivasi percuma yang dijalankan dari sekolah ke sekolah. Alhamdulillah, di dalam temuduga tersebut saya berjaya menjadi mahasiswa jurusan pengajian Islam pertama dianugerahkan biasiswa OCBC. Semuanya dibuat semata-mata mahu melihat dunia ini dihiasi dengan generasi baru yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Saya berpegang teguh dengan pesanan nabi, “Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hak kamu”. Pernah pada tahun 2005, pihak pengurusan Felda menghilangkan nama saya sebagai penerima anugerah tunggal anak felda yang mendapat STPM terbaik iaitu 5 Prinsipal A dan digantikan dengan penerima yang mendapat 3 Prinsipal A dan teman satu sekolah yang mendapat 4 Prinsipal A dan 1 B. Tetapi hati saya tetap reda berhadapan dengan cabaran ini. Saya melihat ayah seakan-akan mahu menangis kerana kecewa. Sudahlah sebelum ini hak untuk mendapatkan lembu pawah dinafikan, tetapi dengan berkat kesabarannya lembu yang dipelihara sendiri sudah mencecah angka puluhan ekor. Ujar saya kepada ayah, “Biarlah depa nak buat apa pun, Rezeki ni hak Allah. Insya Allah ada rezeki yang akan Allah bagi yang kita tak Nampak”.

Berkat kesabaran, akhiranya saya ditawarkan biasiswa JPA dan OCBC. Saya membuat perhitungan untuk memilih OCBC sebagai penaja saya kerana jumlah yang ditawarkan lebih lumayan berbanding biasiswa JPA pada ketika itu dan tidak terikat dengan pihak penaja. Ketika inilah emak dan ayah betul-betul terharu kerana buat pertama kalinya diberikan peluang menjejakkan kaki ke Hotel di tengah bandaraya atas tajaan pihak OCBC kerana menghadiri majlis penganugerahan biasiswa yang saya terima. Inilah yang dikatakan rezeki daripada Allah SWT. Tiada siapa yang boleh melawan kehendak-Nya.

Ketika saya memaklumkan kepada Syakir bahawa saya telah mendapat kerja, beliau membalas “Rezeki pejuang memang dipermudahkan oleh Allah”. Saya tersenyum sendirian membaca sms yang dikirimkan tersebut.

Jika diikutkan kehendak hati sememangnya saya tidak mahu bekerja kerana berkeinginan hendak menyambung Master ataupun Diploma Amalan Guaman dan Kehakiman (DAIJ), tetapi faktor keewangan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menambah pendapat disamping membantu ibu dan ayah dikampung. Tambahan pula pada hujung bulan ini berkemungkinan tinggi pokok getah yang sudah cukup tempohnya akan ditebang. Ini akan menambahkan bebanan mereka yang hanya bergantung kepada wang sara hidup yang dibekalkan oleh pihak Felda.

Dengan gaji yang tidak seberapa ini saya berdoa kepada Allah SWT untuk terus memberi kekuatan kepada saya untuk mengirimkan wang saku kepada emak dan ayah dikampung. Ketika saya menelefon emak menyatakan hasrat tersebut, beliau menolak hasrat tersebut dan menyuruh saya menyimpan wang tersebut untuk masa depan. Namun begitu, saya memberitahu ibu bahawa biarlah gaji sedikit tetapi keberkatan dan doa emak yang saya harapkan. Inilah niat dan harapan saya.

Saya yakin, bukan wang yang dapat membahagiakan emak dan ayah, tetapi wang tersebut dapat menceriakan mereka kerana ianya datang daripada anak yang dikandungnya selama ini. Saya hanya mampu berdoa setiap kali selepas solat agar Allah SWT sentiasa merahmati emak dan ayah dan membahagiakan kehidupan mereka.

Saya teringat kisah As-Syahid Abdullah Azzam yang memberikan lebih daripada separuh gajinya untuk kedua orang tuanya. Mungkin saya tidak sehebat itu, namun dihati ini tersemat niat untuk menyumbang sebahagian gaji kepada emak dan ayah. Biarlah sedikit sepadan dengan gaji yang kecil, tetapi sekurang-kurangnya mendapat berkat daripada Allah. Saya yakin, kegembiraan emak dan ayah lebih membuatkan saya bahagia.

Di samping itu, saya juga mengharapkan dengan bekerja di Fitrah Perkasa ini dapat memberi ruang kepada saya menghabiskan pengajian bersama Tuan Guru Dr Haron Din, di Pusat Perubatan Darus Syifa yang bakal berlangsung sehingga bulan 12 nanti. Pesan Tuan Guru selalu saya pegang, iaitu setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah dengan ikhlas. Hanya dengan ikhlas inilah martabat kita sebagai seorang insan akan makin bertambah. Bahkah akan dihormati oleh seluruh makhluk di langit dan di bumi.

Mudah-mudahan peluang pekerjaan yang diberikan ini tidak menghalang saya daripada bergerak kerja di dalam jemaah. “Ya Allah, Aku bermohon supaya engkau merahmati pekerjaan baruku ini. Mudah-mudahan dengan pekerjaan ini ianya akan merapatkan lagi diriku dengan Islam dan menjadi tiket untuk mencium bau syurga-Mu”.

Terima kasih kepada pihak Fitrah Perkasa yang memberi ruang kepada saya untuk mencari pengalaman di sini. Insya Allah, esok saya akan bersama tenaga kerja Fitrah Perkasa akan bergerak ke Paka, Terangganu menguruskan program di sana.

No comments:

Post a Comment