Sunday, February 5, 2012

Gunakan Cuti Untuk Berbakti




Alhamdulillah, usai sudah peperiksaan bagi semester kali ini. Tamatnya peperiksaan bermakna semester juga telah bermula. Kegirangan menyambut percutian ini mungkin tidak bermakna bagi saya kerana terpaksa menikuti Latihan Industri (LI) di sebuah firma guaman.

Untuk LI pada kali ini, saya lebih senang untuk menempatkan diri di firma guaman sekitar Kuala Lumpur. Jika sebelum ini latihan praktikal saya adalah di negeri sendiri, namun begitu pada kali ini saya telah memohon restu daripada emak lebih awal lagi bahawa latihan praktikal saya akan dibuat di Kuala Lumpur. Mujur emak dan ayah benarkan.

Motif yang paling utama, sepanjang cuti saya perlu menghabiskan masa di Kuala Lumpur bagi menumpukan kepada kerja-kerja yang belum diselesaikan. Masih banyak urusan yang masih tertangguh yang memerlukan komitmen dan tenaga saya disini.
BELAJAR MEMASAK

Semalam saya sempat berborak bersama beberapa orang teman semasa makan. Hidangan yang disediakan adalah kari ikan kembung (ikan termenung bagi orang kedah). Uniknya, kari ini bukanlah hasil air tangan saya, tetapi hasil air tangan “sahabat didikan” saya. Hehehe. Sejak kebelakangan ini saya sering memberi tunjuk ajar kepada sahabat saya Ghaffar yang mahu belajar memasak. Bermula daripada teknik membuat sup ayam, sayur kubis, sambal ikan keli dan semalam saya perturunkan ilmu untuk membuat kari.

Ghaffar seorang yang cepat belajar. Sekali tunjuk, beliau sudah pandai untuk membuat hidangan untuk seisi rumah. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya, Bad dan Halim untuk memasak. Tetapi apa yang saya harapkan adalah semua ahli rumah saya pandai memasak. Bukan hanya sekadar tahu untuk makan, tetapi pandai juga untuk menyediakan juadah.

Mungkin sekarang belum nampak kepentingannya. Saya yakin kebaikkannya akan terserlah selepas berumah tangga. Mungkin ada yang beranggapan bahawa air tangan isteri adalah ramuan terbaik keharmonian ikatan rumah tangga. Jadi tidak perlulah si suami belajar memasak. Mungkin ini ada benarnya. Tetapi tidak dinafikan, sekiranya seorang suami mampu menyediakan juadah, sudah tentu isteri akan terasa bahagia. Dilayan seperti permaisuri didalam istana.

Bukan setiap hari suami perlu memasak. Sudah memadai pada hari-hari tertentu yang begitu bermakna buat isteri. Misalnya pada hari lahir isteri atau hari ulang tahun perkahwinan. Saya yakin dan percaya tarikh keramat tersebut akan lebih bermakna dan ceria sekiranya suami menyediakan juadah istimewa untuk isteri.

Tetapi kini, suami lebih rela membawa isteri ke restoren untuk meraikan hari penting tersebut. Alasanya, pada hari tersebut suami tidak mahu membebankan isteri dengan kerja-kerja memasak di dapur. Bagi saya itu suatu perkara yang agak melucukan. Sudahlah disiang hari ketika bekerja suami jarang-jarang makan dirumah. Masakan yang dirasai juga bukanlah hasil air tangan isteri. Mungkin juga air tangan mek Pattani ataupun Minah Indon. Apabila tiba tarikh penting, suami sekali lagi mengajak isteri makan diluar sebagai tanda penghargaan. Air tangan yang dirasai pada malam tersebut juga air tangan mek Pattani ataupun Minah Indon.

Jika suami yang memasak untuk isteri, sudah tentu air tangan dirasai oleh isteri adalah daripada suami yang dicintai. Sudah tentu bahagia bukan? Rasanya semuanya boleh berfikir sedemikian. Adillah sekiranya suami membalas kepada isteri dengan sekali masakan, berbanding isteri yang setiap hari menyediakan juadah untuk suami dan anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, lebih banyak lagi kelebihan yang akan diperolehi sekiranya kaum adam tahu memasak.

KASIH SAYANG IBU AYAH

Berbalik kepada perbincangan saya bersama sahabat-sahabat saya semalam. Masing-masing bersetuju apabila saya menceritakan perihal emak saya yang sering menanti kepulangan saya untuk bercuti. Setiap kali bercuti ada sahaja makanan yang emak simpan untuk saya. Daging lembu, siput lala dan lain-lain lagi. Daging lembu kenduri kahwin Abang Jeffri, terperuk didalam peti ais hampir tiga bulan. Minggu lepas emak menelefon, katanya dia menyimpan siput lala kering untuk saya, adik dan kakak yang berada di Politeknik.

Kata emak, setiap kali makan makanan kegemaran saya, dia akan teringat kepada saya. Begitu juga kepada Adik Syam dan Kak Mina. Jamah laksa teringat Kak Mina. Makan ikan goreng bantut cabai kering teringat kepada Syam. Bila makan dalca teringat pula kepada saya. Pernah ayah mengirimkan buah dokong sekotak besar kepada saya semata-mata kerana saya gemar menikmati buah dokong. Kebetulan ketika itu ayah menolong Pak Mat Desa menjual buah dokong.

Razali mengiakan apa yang saya ceritakan. Sahabat saya Nik Abdul Razak juga bersetuju dan mengalami pengalaman yang sama. Saya yakin dan percaya hampir semua dikalangan sahabat-sahabat merasai pengalaman seperti ini.

Semua emak dan ayah sayangkan kita marijuana detox kit. Mungkin naluri emak yang lembut jiwanya menonjolkan rasa sayang mereka kepada kita. Ayah yang lebih cenderung untuk menunjukkan wajah yang agak garang, bukan bermaksud mereka tidak penyayang. Sifat ayah agak berlainan dari ibu.
Akhir kalam, kepada sahabat-sahabat yang berpeluang bercuti, gunakanlah peluang ini sebaiknya. Jadikan cuti ini waktu untuk membuatkan hati ibu dan ayah kita gembira. Walaupun kita sudah dewasa, tetapi ibu dan ayah tetap sayangkan kita. Selamat Bercuti!

No comments:

Post a Comment