Saturday, September 3, 2011

Hari Bumi Sedunia


Saya tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Yahoo dan Google menukar warna logo mereka kepada warna hijau pada hari itu. Logo Yahoo seperti tiga segi kitar semula, manakala google lebih kepada batang pokok yang berwarna hijau. Saya bertanya kepada sahabat-sahabat, masing-masing menerka jawapan. Ada yang berpendapat Yahoo dan Google merebranding semula logo mereka kepada yang lebih mesra alam. Ada juga sahabat yang berpendapat bahawa mungkin sempena hari alam sekitar.

Apabila disoal kembali, masing-masing tiada jawapan yang tepat. Perkara tersebut saya biarkan kerana saya berpendapat tiada gunanya saya fikirkan sesuatu yang saya tidak pasti jawapannya.Pada saat itu saya pening memikirkan peperiksaan yang bakal dihadapi. Tidak terlintas langsung untuk mengkaji punca kenapa warna merah dan biru bertukar menjadi hijau.

Semalam saya sempat membalas kunjungan daripada sahabat saya Hilman. Melalui blog beliaulah saya ketahui bahawa hari “hijau” tersebut merupakan hari bumi sedunia. Baru saya tahu bahawa adanya hari bumi sedunia yang disambut pada tanggal 22 April setiap tahun.

Terlalu banyak hari yang perlu disambut saban tahun, sehingga menyebabkan saya tidak tahu hari apa yang disambut melainkan yang sudah popular dalam kalangan masyarakat. Hari Merdeka bagi rakyat Malaysia, Hari Buruh, Hari Guru, Hari Mahasiswa Sedunia, Remembrance Of Al-Quds, Hari Ibu, Hari Ayah dan lain-lain. Jika dihitung terlalu banyak.

Khabarnya sambutan ini diasaskan oleh Gaylord Nelson pada tanggal 22 April 1970. Beliau merupakan senator Amerika Syarikat yang begitu mengambil berat berkenaan isu alam sekitar. Rentetan daripada perjuangan beliau, maka tarikh 22 yag dicanangkan oleh beliau diterima pakai sebagai hari bumi sedunia. Kemudiannya beliau menggagaskan lagi pada 5 Jun 1972 iaitu Hari Lingkungan Hidup Sedunia.

Sambutan Hari Bumi Sedunia ini bukanlah adat kebiasaan masyarakat dinegara kita. Bahkan saya yakin dan percaya sekiranya ianya disambut, akan wujud pihak yang mengatakan ianya adalah perkara baru yang direka-reka. Tiada nas di dalam al-Quran dan hadis baginda SAW yang menyatakan berkenaan sambutan Hari Bumi Sedunia ini. Bagi sesetengah golongan lagi mereka seperti tidak ambil endah berkenaan hal ini. Bagi mereka tiada maknanya. Namun saya yakin, bagi pecinta alam sekitar, Hari Bumi Sedunia akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada bumi ini.

Kita boleh melihat sendiri, Amerika Syarikat merupakan negara yang beria-ia -menyambut Hari Bumi Sedunia ini, tetapi merekalah yang menjadi “tangan-tangan” jahat merosakkan bumi ini. Lihatlah bagaimana mereka menggeledah bumi Afghanistan dan Iraq. Beribu-ribu rangkaian bom ditaburkan di atas muka bumi ini. Bahan kimia inilah yang banyak mencemarkan alam sekitar. Namun mereka tidak menyedari bahawa perbuatan buruk mereka diperhatikan oleh penduduk seluruh dunia. Mereka berlagak sebagai polis dunia untuk menentang keganasan. Sewajarnya gelaran polis dunia ini wajar ditukar kepada perompak dunia.

Apa yang saya ingin ingatkan kepada sahabat-sahabat, tugas kita sebagai khalifah Allah adalah untuk menjaga muka bumi ini daripada dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Jangan sekadar kita mencanangkan Hari Bumi Sedunia, tetapi kita sendiri yang menjadi agen perosak kepada muka bumi ini.

Ketahuilah bumi yang kita diami ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Firman Allah SWT di dalam surah Toha ayat ke 6, “ Apa yang ada di langit, segala yang ada di bumi, segala yang wujud di antara keduan-duanya dan semua yang wujud di bawah tanah, semuanya kepunyaan Allah”.

No comments:

Post a Comment