Tempoh setahun terasa amat pendek. Ibarat bayi yang baru dilahirkan pada hari ini dengan kulit kemerah-merahan dan lemah badannya, tiba-tiba berubah sebagai seorang kanak-kanak kecil yang memiliki beberapa batang gigi dengan badan mulai bertubuh, mula belajar merangkak dan berjalan. Itulah perumpamaan setahun. Panjang tetapi sekejap. Dalam setahun, ada episod duka, ada kisah ria, dan juga rencam cerita yang terakam sebagai satu simpanan rekod kehidupan.
Setiap tahun kita akan mengira detik 12 malam untuk tiba ke tahun baru, dan setiap kali itulah juga ramai warganegara Malaysia berpusu-pusu keluar bagai kelkatu semata-mata untuk menyambutnya. Apa istimewanya tahun baru? Apakah ia mendatangkan apa-apa erti dan nilaian tertentu? Perkara inilah seharusnya kita renungkan kembali setiap kali kita berbicara tentang kegembiraan menyambut tahun baru. Apakah nilainya tahun baru pada diri kita seandainya perilaku dan sikap masih belum berubah, sedangkan kita semakin berhijrah kepada tahun demi tahun sehingga usia kita juga semakin mencanak? Bermulanya tahun baru bererti kita semakin menghampiri kepada kedewasaan, usia tua serta kematian. Maka, kedatangan tahun baru seharusnya dinantikan dengan renungan dan muhasabah ke dalam diri tentang apakah yang telah kita lakukan dalam tempoh setahun yang telah berlalu. Apakah amal yang telah kita kerjakan sebagai bekal jalan ke hadapan? Mencukupi atau tidak? Sia-sia atau bermanfaat? Perlukah diperbaiki atau ditebus kembali? Inilah perkara-perkara yang harus kita fikirkan semula, bukan semata-mata menyambut tahun baru yang menyusul dengan berhibur, membuang masa dan semakin hanyut ditelan gelombang alpa.
Sempena kedatangan Tahun Baru 2009 yang baru sahaja berusia 2 hari, maka saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Tahun Baru 2009 kepada seluruh rakyat Malaysia, mahasiswa amnya dan mahasiswa Kedah khususnya, sambutlah tahun baru ini dengan terus memperbaiki diri, memuhasabah dan menilai diri sendiri dari masa ke masa supaya cela dan lompang dapat ditampal segera, dan tingkatkanlah azam dan semangat untuk terus berusaha mencari ilmu dan beramal untuk agama, nusa dan bangsa. Selamat Tahun Baru 2009!
Mohd Faisal bin Mustaffa,
Presiden Penaja,
Persatuan Mahasiswa Kedah Darul Aman
(PERSADA).
No comments:
Post a Comment