Tuesday, March 8, 2011

Hadiah Sempena Memperingati Hari Al-Quds Sedunia

Jarum jam yang berdetik terus berputar laju tanpa berpatah lagi ke belakang; kecuali jam yang rosak, barangkali. Sedar tak sedar, sejarah telah merakamkan usia 39 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, iaitu pada 21 Ogos 1969 yan lalu, oleh seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan. Api yang marak telah membakar tembok serta mimbarnya yang besar, iaitu Mimbar Solahuddin.

Penduduk Islam Palestin berusaha keras memadamkan kebakaran tersebut. Melihatkan situasi kebakaran yang begitu dahsyat, di samping tiada langsung bantuan daripada pihak bomba, maka tiada lain yang terlintas di hati rakyat Palestin tika itu selain mengharapkan pertolongan Allah semata-mata. Mungkin daripada segi logik akal, dengan api yang marak sebegitu lazimnya pasti akan menghancur-lebur dan meluputkan langsung Masjid Al-Aqsa dari bumi Palestin. Namun Allah itu Maha Hebat, lagi Maha Perkasa, maka siapakah yang mampu melawan Kuasa-Nya yang Agung? Dengan kehendak-Nya, terselamatlah Masjid Al-Aqsa daripada hangus terbakar ditelan api.

Ternyata, peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam merupakan suatu agenda jahat rejim Zionis Yahudi terhadap umat Islam. Buktinya, Dennis Michael Rohan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kebakaran tersebut telah dibebaskan oleh Yahudi atas alasan bahawa dia ‘gila’ meskipun Rohan merupakan seorang doktor perubatan yang taatkan agamanya kerana dia sendiri telah mengakui melakukan pembakaran tersebut, bersesuaian dengan berita daripada Kitab Zakaria.

Disebabkan tiada pembelaan terhadap Masjid Al-Aqsa yang telah dibakar dan dihina sedemikian rupa, maka negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Sejak itulah tanggal 21 Ogos pada setiap tahun telah diangkat sebagai Hari Memperingati Al-Quds Sedunia (Rememberance Of Al-Quds) bagi memperingati tragedi kebakaran tersebut. Ia merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Justeru, sempena Hari Memperingati Al-Quds Sedunia ini, apakah peranan kita selaku umat Islam? Apakah sekadar mengingati tarikh penting ini sahaja sambil bergoyang kaki tanpa adanya sebarang sensitiviti di hati? Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam. Satunya kerana, kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Maka, ‘hadiah’ yang selayaknya diberikan oleh kita selaku umat Islam terhadap isu-isu berhubung Palestin ini, khasnya sempena Hari Memperingati Al-Quds Sedunia ialah beruaha melahirkan iltizam, sensitiviti, kecenderungan untuk terus membela dan memajukan umat Islam, khususnya bagi membantu saudara-saudara kita yang tertindas di tanah air mereka yang dirampas secara kejam sehingga menjadi pelarian di negara sendiri. Seterusnya, kita hendaklah bermuhasabah dengan menjadikan tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa dan segala penindasan yang berlaku ke atas umat Islam sebagai suatu peringatan, pengajaran serta motivasi untuk bersiap sedia dengan segala kelengkapan dan pertahanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan daripada pihak musuh yang senantiasa berusaha menindas dan menjatuhkan empayar Islam.

Oleh itu, marilah bersama-sama menjadikan Hari Al-Quds Sedunia sebagai medan memuhasabah dan memperbaiki diri sendiri.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


No comments:

Post a Comment