Oleh:Mohd Faisal B Mustaffa
Baru-baru ini, Times Higher Education Supplement (THES) tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007. Ini merupakan satu kekecewaan yang amat besar buat negara Malaysia yang menjadikan minda kelas pertama sebagai salah satu teras utama Misi Nasional yang terkandung dalam matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Kaedah ranking ini dibuat oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES. Beberapa pihak kelihatan menggunakan alasan dengan menyalahkan kaedah yang diguna pakai oleh institusi ini menyebabkan ranking hampir keseluruhan universiti yang tersenarai dalam 20 universiti terbaik dunia juga berubah. Namun menurut THES, kaedah tersebut diubah untuk menjadikan kajian mereka lebih tepat. Justeru, siapa yang harus dipersalahkan di atas kemerosotan pencapaian universiti-universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah menduduki ranking ke 89 daripada 100 universiti terbaik dunia pada tahun 2004? Adakah kita perlu menyalahkan Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan para pentadbir universiti? Atau adakah mahasiswa sendiri yang perlu dipersalahkan? Sekarang, usahlah kita saling menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain, tetapi ayuhlah bersama-sama mencari jalan untuk menaikkan kembali imej universiti kita, khasnya Universiti Malaya yang pernah tersohor dengan jolokannya sebagai ‘Universiti Perdana.’
Mempergiatkan usaha penyelidikan oleh para pensyarah dan mahasiswa amat perlu bagi menaikkan semula ranking Universiti Malaya. Seandainya banyak penemuan yang berjaya diperolehi melalui kajian dan penyelidikan, ini akan membantu untuk membina, mempertahankan dan memperkembangkan peradaban negara, kerana kekukuhan sesuatu peradaban sangat bergantung pada kekuatan golongan intelektualnya. Sebagai contoh, kewujudan ‘Darul Hikmah’ pada zaman Abbasiyah merupakan satu usaha dalam mendukung budaya intelektualisme pada masa itu, begitu juga ‘A House of Medicine’ di Itali pada zaman Renaissance yang merupakan penganjur program berunsurkan intelektualisme dan ia sanggup menderma kepada pelbagai pihak yang berusaha mewujudkan persekitaran dan institusi intelektualisme. Dalam hal ini, di Malaysia perlu diwujudkan satu badan intelektual sebegini, yang mana akan berperanan sebagai pembiaya bagi sesuatu kajian penyelidikan dan kegiatan intelektualisme lainnya. Ini merupakan satu langkah yang harus diambil dan diteliti oleh kerajaan.
Selain itu, setiap orang daripada kita, sama ada para pentadbir universiti dan mahasiswa haruslah mempunyai pemikiran strategik dan berpandangan jauh. Dengan demikian, setiap satu agenda yang akan direncanakan merupakan pecahan bahagian daripada kerangka gagasan besar yang bertujuan untuk memantapkan nilai tinggi yang ada dalam peradaban. Dalam sejarah peradaban Islam, barisan tokoh besar Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain merupakan golongan intelektual yang bertanggungjawab menerapkan nilai Islam yang tinggi dalam kehidupan bagi memastikan kelangsungan masyarakat Muslim pada setiap zaman. Ini merupakan salah satu peranan atau usaha yang harus dititikberatkan oleh golongan terpelajar, iaitu menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam masyarakat.
Jika disoroti mekanisme yang pernah digunakan oleh Imam Al-Ghazali dan intelektual Islam seangkatan dengannya dalam memantapkan peradaban Islam, mereka telah menggunakan kaedah penulisan, iaitu dengan menghasilkan karya-karya agung dan muktabar, serta mereka terkenal sebagai penulis yang prolifik. Ini adalah kerana hasil penulisan atau himpunan karya besar merupakan ‘senjata utama’ untuk berdepan dengan realiti cabaran luar, seperti penularan pengaruh ideologi dan budaya Barat. Keadaan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh golongan intelektual kita demi membangunkan dan memajukan kembali keunggulan universiti dalam negara. Inilah antara beberapa usaha dan peranan yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan, para pentadbir universiti dan mahasiswa untuk meningkatkan peradaban bermula pada peringkat universiti, seterusnya ke dalam masyarakat dan negara. Dengan demikian, pasti universiti-universiti di Malaysia akan mampu bersaing dengan universiti-universiti luar serta dapat merampas kedudukan di antara 200 universiti terbaik dunia.
Untuk akhirnya, selamat bercuti diucapkan kepada semua mahasiswa APIUM yang telah selesai menduduki peperiksaan semester. Isilah masa cuti dengan sebarang aktiviti bermanfaat yang mampu memberi faedah kepada diri dan keluarga, khususnya. Tidak dilupakan kepada pasangan mahasiswa yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat ini. Selamat pengantin baru diucapkan, dengan harapan jodoh berpanjangan dan berkekalan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment