Thursday, November 4, 2010

Lima Jam disoal siasat di Balai Polis Brickfields

Pengalaman disoal siasat semalam merupakan salah satu daripada detik penting yang boleh dijadikan sebagai koleksi diari peribadi diri saya. Pada petang tesebut saya bersama Hasbie dan Haafizuddin tiba di Balai Polis Brickfields kira-kira jam 5.35 petang. Sepatutnya kami perlu sampai seawal jam 5 petang, tetapi kami telah menelefon Inspektor Jothy bahawa kami perlu menyempurnakan solat asar terlebih dahulu.



Setiba di situ kelihatan sahabat saya Vignesh juga sudah berada disitu. Kami diarahkan supaya mengikut beberapa orang pegawai cawangan khas untuk disoal siasat. Kami disoal siasat di dalam bilik berasingan dan jauh diantara satu sama lain.



Walaupun pertama kali melangkah kaki masuk ke bilik cawangan khas untuk disoal siasat, namun begitu di dalam hati saya sedikit pun tidak berasa takut. Mungkin kerana saya sendiri tidak bersalah di dalam hal ini. Kehadiran saya di sini disebabkan saya merupakan pimpinan PMIUM dan ahli exco MPMUM. Sebelum ini juga sahabat saya YDP MPMUM, Saudara Affandy, Shahir dan Hilman juga dipanggil untuk sesi soal siasat ini.



Dalam soal siasat tersebut saya diajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan politik negara. Saya tahu soalan tersebut merupakan soalan ‘killer’ yang tidak harus saya jawab. Antaranya apakah parti politik yang saya suka dan apakah pandangan saya terhadap politik negara ini. Berkenaan dengan hal ini, saya dengan tegas menyatakan pendirian bahawa hak untuk menyokong mana-mana parti politik merupakan hak individu yang menjadi kerahsian individu tersebut.



Fahaman politik bukanlah suatu perkara yang perlu dibanggakan dan dicanang kepada orang lain, tetapi ianya merupakan hak istimewa yang diberikan oleh perlembagaan persekutuan terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas. Sebab itulah saya berkeras kepada pegawai polis tersebut bahawa saya adalah seorang mahasiswa yang tidak menganuti fahaman taksub kepada mana-mana parti.



Perjalana soal siasat sesi pertama berakhir kira-kira jam 7.20 malam ketika azan maghrib berkumandang di corong radio. Saya dan Hafizuddin diberi peluang untuk solat maghrib secara berjemaah.



Usai solat maghrib, sesi soal siasat diteruskan untuk sesi bertulis. Selepas Hasbie keluar, Haafizuddin diarahkan masuk terlebih dahulu dan saya menanti diluar. Sementara menanti beliau keluar saya berborak dengan Abang SB tersebut. Banyak juga yang dibualkan. Saya sendiri tidak tahu samaada dia sengaja mengambil peluang untuk mengorek rahsia ataupun ikhlas untuk berbual. Tetapi yang pastinya saya diajak berbual soal situasi politik negara.



Kira-kira jam 8.45 malam saya giliran saya pula memasuki bilik Inspektor Jothy. Mulanya dia sengaja ingin menguji saya dengan mengatakan dia pernah bertemu dengan saya keluar makan dengan awek. Geli hati saya mendengarnya. Sejak bila saya keluar makan dengan awek seperti yang dinyatakan oleh Inspektor Jothy. Soalan yang diajukan kepada saya lebih berfokus dan telah disusun lebih awal lagi. Selepas memberikan kenyataan saya diberi peluang untuk membetulkan kenyataan tersebut dan menurunkan tanda tangan tanda persetujuan. Proses soal siasat tersebut habis kira-kira jam 10 malam.



Selepas itu saya berbincang dengan Hasbie dan Haafizuddin. Rupa-rupanya soalan yang dikemukakan kepada kami hampir sama sahaja bagi kedua-dua sesi. Bahkan provokasi yang dilakukan juga hampir serupa. Saya mengakui ada juga perkara yang sengaja diada-adakan untuk melihat reaksi kami. Mujur saya sendiri tidak menunjukkan sebarang respon agresif kerana saya sendiri jenis yang cool. Tambahan pula isu yang dibangkitkan tiada kaitan dengan diri saya.



Apa pun saya menganggap ini merupakan pengalaman biasa bagi anak muda seperti saya. Ramai yang melalui jalan sebegini. Pengalaman ini juga mematangkan diri saya dan memberi saya peluang berkenalan lebih rapat dengan abang polis. Kepada abang polis, selamat bekerja.



No comments:

Post a Comment