Monday, June 4, 2012

Sejahtera Bersama PMIUM siri 2



Oleh Mohd Faisal Bin Mustaffa
Setiausaha Agung PMIUM

Sejahtera Bersama PMIUM” begitulah tema Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya pada sesi kali ini. Sebagai sebuah persatuan yang sudah menjangkau usia 52 tahun, PMIUM terus bergerak sematang dengan usianya. Pada sesi kali ini, PMIUM dipimpin oleh Saudara Mohd Haafizuddin Bin Abirerah dan dibantu oleh Saudari Nur Fariza Binti Zahrin selaku Naib Yang Di Pertua.

SOROTAN SEJARAH



PMIUM ditubuhkan pada tahun 1956 oleh Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Bin Al-Attas. Ketika itu beliau merupakan mahasiswa di Universiti Malaya berpengkalan di Singapura. Selepas Universiti Malaya memindahkan operasinya di Kuala Lumpur, persatuan ini turut sama berpindah dan menggerakkan agenda dakwah di kampus Kuala Lumupur.

Situasai UM pada ketika itu sangat liberal dan jauh daripada suluhan agama dan dogma budaya ketimuran. Paradigma rata-rata mahasiswa Islam khususnya mahasiswa Melayu sendiri lebih dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan nasionalisme ekstreme. Bertitiok tolak pada hakikat ini, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas telah melakukan suatu ijtihad dengan menubuhkan PMIUM demi menggerakkan idea ‘faham Islam’ dalam lapangan umat kampus dan nasional.

Biarpun PMIUM pada peringkat awal kurang didekati oleh mahasiswa Melayu, namun sedekad usia penubuhannya mula memperlihatkan suatu pola gerakan dinamik dan menjadi sebuah badan dakwah yang sangat aktif dalam mendepani arus massa.

DAKWAH DI KAMPUS DAN MASYARAKAT

Tidak dapat dinafikan PMIUM merupakan gerakan dakwah yang paling aktif di bumi intelektual Universiti Malaya. Sasaran dakwah PMIUM bukan sahaja meliputi warga kampus, tetapi juga masyarakat di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Selangor.

Antaranya, PMIUM mengadakan Program Ziarah Mesra (PZM) 2 minggu sekali kepada pesakit-pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menjenguk dan menghulurkan bantuan kepada para pesakit tanpa mengira bangsa dan agama. Program yang diadakan secara berkala ini seringkali membuat para pesakit berasa terharu dan mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan PMIUM terhadap masyarakat setempat.

Selain itu, terdapat juga dikalangan ahli pimpinan PMIUM yang menyampaikan kuliah-kuliah di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. PMIUM juga bekerjasama dengan kakitangan Universiti Malaya untuk mengadakan kelas pengajian al-Quran kepada isteri-isteri dan anak-anak kakitangan UM yang menetap di kawasan perumahan kakitangan sokongan Universiti Malaya.

Selain itu, penubuhan Kelab Fasilitator yang dinamakan sebagai Empayar, menjadikan PMIUM terus bergerak cergas untuk memberikan khidmat ke sekolah-sekolah atau institusi pengajian lain yang berminat.

Bagi membolehkan PMIUM terus mendapat tempat dihati warga kampus, PMIUM berusaha merencana aktiviti dakwah yang lebih fleksibel dan kotemporari. Selain daripada menjalankan aktiviti ceramah di Balai-balai Islam kolej kediaman, terdapat pelbagai aktiviti yang dirancang bagi membolehkan pembawaan PMIUM diterima oleh segenap lapisan masyarakat kampus. Sebagai contoh, Program Temasya Sukan PMIUM, menghimpunkan sebahagian besar warga kampus berbilang kaum melalui pertandingan sukan yang dijalankan seperti futsal, bola jaring, badminton dan sebagainya.

BUDAYA PMIUM

Di dalam memastikan gerak kerja dalam kalangan ahli PMIUM tersusun rapi, terdapat 2 budaya yang diperkenalkan iaitu Budaya Pengamalan dan Budaya Kerja PMIUM.
Terdapat 5 budaya Pengamalan yang menjadi panduan setiap ahli PMIUM.
1. Kita adalah Daie
2. Ukhuwah Keutamaan kami
3. Budaya ilmu amalan kami
4. Akhlak keutamaan kami
5. Sunnah ikutan kami

Manakala budaya kerja PMIUM pula:

1. Syura (Collective)
2. Al-Itqan (Par Excellent)
3. Al-Takaful (Colaborative)
4. Akauntabiliti (Accountability)


NON MUSLIM
Terdapat sebilangan ahli berdaftar PMIUM yang terdiri daripada mahasiswa berbangsa Cina. Kebersamaan dan kemesraan ahli-ahli PMIUM melayani kaum beragama lain, menjadikan mahasiswa daripada agama lain tidak takut untuk mendekati PMIUM.

Selain itu, PMIUM tidak mengenepikan semangat perpaduan dengan persatuan-persatuan agama lain, sebagai contoh pada sesi lepas PMIUM menjemput kumpulan tarian singa Universiti Malaya untuk mengadakan persembahan di dalam program mega PMIUM. Melalui hubungan dua hala ini, berjaya menonjolkan sikap toleransi dan saling hormat menghormati dalam beragama ahli-ahli PMIUM kepada warga kampus.

AKADEMI MUSLIM

Di dalam memastikan lahirnya mahasiswa yang mempunyai kefahaman dan nilai-nilai Islam dalam diri mereka, PMIUM pada kali ini cuba untuk memperkenalkan program Akademi Muslim kepada seluruh warga kampus Uni Perdana.

Program ini mensasarkan seluruh mahasiswa yang beragama Islam bagi menerapkan aspek Islam didalam kehidupan mereka seharian. Melalui program ini, para peserta akan dilatih dan dibimbing selama dua semester oleh mentor yang dilantik untuk memastikan mereka dapat menguasai asas-asas penting sebagai seorang Muslim.

Menurut pelan yang dicadangkan, program ini terbuka kepada seluruh warga kampus yang mahu mempelajari dan memperkasakan diri mereka dengan ilmu asas dalam Islam. Para peserta akan dilatih oleh mentor masing-masing sehinggalah mereka berupaya menguasai dan mempraktikkan keseluruhan asas-asas penting Islam di dalam diri mereka.

Antaranya, teknik bacaan al-Quran dengan betul, teknik solat dengan betul dan sebagainya. Di akhir program ini, para peserta akan dinilai oleh mentor masing-masing dan akan dibuat pemilihan secara terbuka melalui pertandingan seperti program realiti TV yang ada pada hari ini.

TOKOH-TOKOH PMIUM

Pada hari ini kita dapat menyaksikan, ramai dalam kalangan pemimpin di negara kita yang lahir daripada rahim PMIUM. Melalui hasil tarbiah yang diperolehi semasa bergiat aktif di dalam PMIUM, tokoh-tokoh ini berjaya menjadi suri tauladan di mana sahaja mereka berada.

Di dalam bidang akademik, lahirnya tokoh-tokoh seperti Dato’ Dr Siddiq Fadhil (Presiden di Kolej Darul Hikmah), Profesor Dr Zulkifli Yusof (Pensyarah UM), Dr Ishak Suliaman (Pensyarah UM), Jamaluddin Ramli (Pensyarah UTM) dan sebagainya.

Di dalam bidang keewangan Islam, lahirnya tokoh-tokoh seperti Zaharuddin Abd Rahman (Pakar Keewangan Islam), Mohd Nazeri Chik (Panel Syariah BiMB), Mohd Ramadhan Fitri Bin Illiyas (Panel Syariah RHB Islamik Banking).

Di dalam bidang perundangan, antara nama-nama besar yang lahir daripada rahim PMIUM adalah Dato’ Zaidi Zain, yang merupakan pemilik firma Tetuan Zaidi Zain and Associates. Antara lain, Mohd Faiz Bin Adnan yang merupakan pemilik kepada Firma tetuan Faiz Adnan and Associates. Beliau merupakan salah seorang ahli exco Persatuan Peguam-peguam Syarie Malaysia.

Selain itu, PMIUM juga melahirkan tokoh-tokoh di dalam bidang politik. Antaranya Dato Ahmad Shabery Chik (Menteri Penerangan), Dato’ Dr Ahmad Puad Zarkashi (UMNO-Johor), Che Johan Che Pa (Umno-Kelantan), Dato’ Seri Dr Khir Toyo (Bekas Menteri Besar Selangor), Roslan Kassim (UMNO-Jempol), Muhammad Hussien (Ahli Parlimen Pasir Puteh-PAS), Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap-PAS), Husam Musa (Adun PAS- Kelantan), Takiyyuddin Hasan (Adun PAS- Kelantan), dan lain-lain.

Di dalam bidang NGO, lahirnya tokoh anak muda seperti Mohd Nazree Bin Yunus yang merupakan pengerusi GERAK bagi menggantikan saudara Mohd Ezam Bin Noor.

Bagi wanita pula, antaranya Dato’ Zakiah Binti Kassim (Penasihat Undang-udang Kerajaan Negeri Kedah) dan Ustazah Nuridah Binti Saleh (Ketua Dewan Muslimat).

PEMBANGUNAN WANITA DAN MAHASISWI

Biro Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi (HEWI) merupakan salah satu daripada entiti PMIUM. Melalui slogan 3 B (Bijak, Berani dan Berdikari), HEWI berusaha merancang untuk menjayakan agenda pembangunan Mahasiswi kepada seluruh siswi PMIUM dan warga kampus.

HEWI pada sesi kali ini dipimpin oleh Saudari Nur Fariza Binti Zahrin, selaku Naib Yang di Pertua PMIUM merangkap pengerusi HEWI. Antara program-program yang dirancang adalah Forum Pembangunan Wanita, Hari keselamatan wanita dan sebagainya.

Apa yang menarik, program-program pembangunan mahasiswi yang bakal dilaksanakan oleh HEWI mendapat sokongan penuh daripada Bonda Naib Canselor Dato’ Rafiah Salim.

BLOGGERS PMIUM

Di dalam memastikan dakwah PMIUM selari dengan kehendak semasa, PMIUM mewujudkan rangkaian bloggers PMIUM. Menjadikan blog saifulislam.com dan zaharuddin.net sebagai pedoman, setiap pimpinan dan ahli PMIUM digalakkan untuk mempunyai blog sendiri dan menulis artikel-artikel untuk disebarkan melalui akhbar, majalah dan media elektronik.

Melalui medan ini, ahli PMIUM akan dilihat lebih responsif dan boleh menyampaikan buah fikiran mereka secara langsung kepada masyarakat. Secara tidak langsung, mereka akan menjadi dutu-duta PMIUM kepada masyarakat kerana setiap kali artikel tersebut diterbitkan, akan tertera nama PMIUM. Di setiap blog ahli PMIUM pula, mereka diwajibkan meletakkan logo PMIUM, sebagai sokongan dan usaha untuk mempromosikan PMIUM diperingakat nasional ataupun antarabangsa.

Ikuti siri akan datang…

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com

No comments:

Post a Comment