Friday, June 8, 2012

Apabila Mahasiswa "cemerlang" berdemonstrasi

JHR000027314

Terima kasih kepada mahasiswa UiTM kerana berdemonstrasi

Mahasiswa berdemonstrasi tidak cemerlang??? Itulah pertanyaan yang bermain-main dalam fikiran saya pada hari ini apabila melihat pelajar-pelajar UiTM seluruh negara bangkit menunjukkan perasaan mereka menuntut MB Selangor menarik balik kenyataan beliau berkenaan cadangan supaya dibuka kuota 10% UiTM kepada bukan Bumiputera. Walaupun ini merupakan isu yang agak terpencil, namun begitu mahasiswa-mahasiswa UiTm ini memberikan satu signal bahawa berdemonstrasi itu “dibenarkan” kepada mahasiswa.

Dato’ Mahadhir Khir menggelarkan “budak-budak” dan “pentadbiran” UiTM sebagai kurang cerdik semasa forum di Akademi Pengajian Melayu baru-baru ini. Beliau membangkitkan persoalan kenapa isu cadangan pemberian kouta 10% ini yang menjadi kemarahan pelajar UiTM, sedangkan isu pemberian biasiswa JPA yang begitu besar kepada kaum bukan bumi putera tidak menjadi api kemarahan mereka. Sebelum ini jumlahnya adalah 90%, tetapi selepas dibuat perubahan kadar ini turun kepada 50% untuk Bumiputera, 45% bukan Bumiputera dan 5% untuk lain-lain.

Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa tindakan “bodoh” ini juga akan merugikan orang Melayu sendiri. Mengapakah tindakan kerajaan yang di kira-kira merugikan orang Melayu dipandang sebelah mata oleh mahasiswa yang bergelar Pro-Aspirasi kerajaan. Di sinilah kita dapat menilai taraf pemikiran mahasiswa yang telah dicucuk hidungnya.

Pernah suatu ketika, YDP MPMUM mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan mahasiswa UM berdemonstrasi. Tindakan ini disokong oleh salah seorang exco penerangan MPMUM. Di dalam sebuah konvensyen MPP seluruh Malaysia di Bangi baru-baru ini, ahli exco tersebut menggelar mahasiswa yang suka berdemonstrasi ini sebagai mahasiswa yang tidak cemerlang. Tidak lain dan tidak bukan, ungkapan tersebut ditujukan kepada golongan Pro-Mahasiswa.

Hari ini,mungkin YDP dan Exco MPMUM ini melihat Naib Canselor UiTM Shah Alam sudah tidak cemerlang orangnya. Sahabat-sahabat beliau yang berdemonstrasi juga tidak cerdik? Hal demikian kerana mahasiswa Aspirasi sendiri memberi label yang sebegitu kepada sahabat mereka atas alasan “berdemonstrasi”. Jika mereka "cemerlang" sekalipun, isu yang mereka perjuangkan langsung dianggap "tidak cemerlang".

Mungkin ketika ini YDP dan Exco MPMUM tersebut sedang berfikir, bagaimanakah hendak menarik balik kenyataan mereka sebelum ini. Hal demikian kerana, label yang diberikan oleh mereka terhadap golongan yang berdemonstrasi ini terpalit kepada “kaum” mereka sendiri.
Bagitu jugalah di dalam isu Auku dan PTPTN. Pernah suatu ketika, YDP MPMUM mengherdik saudara Shahir Abd Aziz di dalam mesyuarat MPMUM dan menggelar mahasiswa yang menganggap cas 3% PTPTN adalah riba sebagai golongan yang jahil ekonomi. Bahkan beliau menganggap cas 3% ini adalah selari dengan Islam. Beliau berpendapat bahawa tidak releven isu tersebut diperjuangkan.

Namun begitu, sehari dua selepas kerajaan membuat cadangan untuk mengkaji 3% cas PTPTN dan ingin meminda AUKU, YDP MPMUM sekali lagi membuat kenyataan bahawa beliau menyokong perkara tersebut. Antara kenyataan “tidak malu” yang dibuat oleh beliau adalah semasa Minggu Haluan Siswa (MHS) baru-baru ini. Di hadapan khalayak ramai, beliau membuat kenyataan bahawa hasil kejayaan beliaulah cas PTPTN dan AUKU akan dikaji semula. Entah jenis apakah manusia sebegini. Hanya mahu nama dan mempedulikan perjuangan orang lain. Lembu punya susu, sapi dapat nama. Mungkin penurunan cas PTPTN kepada 1% ini juga akan dijajanya ketika kempen PRK akan datang bahawa inilah kejayaan terbesar beliau ketika memimpin MPMUM.

Saya terfikir, dimana letaknya nilai kepimpinan di dalam diri golongan-golongan sebegini. Mereka terikut-ikut dengan tindakan kerjaan sehinggakan sikap dan perbuatan mereka sendiri menyerupai tindakan pemimpin kerjaan yang sememangnya menjadi “talam dua muka”. Perjuangan mereka bukanlah mahu memperjuangkan agenda mahasiswa, namun begitu agenda mereka adalah mahu hidung mahasiswa terus dicucuk oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebab itulah apabila Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat kenyataan bahawa beliau diliwat, saya sukar untuk mempercayainya. Hal demikian kerana beliau merupakan bekas “orang kuat” Aspirasi semasa berada di Uniten suatu ketika dahulu. Di dalam fikiran saya hanya terfikir, Aspirasi hanya mengeluarkan “budak suruhan” tetapi tandus dalam melahirkan kepimpinan yang idealistik.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
http//:faisalkini.blogspot.com


No comments:

Post a Comment