Thursday, April 12, 2012

Anugerah Ramadan

DSC_3083

Panas membahang. Udara kering. Matahari yang tergantung tinggi di atas kepala mencerlangkan cahaya bersama kibaran habanya. Ramadan datang lagi. Untuk ke sekian kali, rahmat Allah menaungi bukaan harinya, disusuli pengampunan dan maghfirah daripada-Nya ketika di pertengahan, serta kemerdekaan daripada api neraka saat di penghabisan.

Ramadan sering digelar ‘madrasah tarbiah’ oleh umat Islam. Gelaran ini ternyata tepat memandangkan fungsi yang dimainkan oleh Ramadan untuk mentarbiah umat tidaklah kecil. Keistimewaan yang terdapat padanya tidak juga menyerupai mana-mana hari dan bulan yang lain. Justeru, untuk menilai harga kehebatan Ramadan, eloklah kita melihat kepada tawaran dan bonus pahala yang berganda-ganda oleh Allah S.W.T. kepada orang-orang yang berpuasa, di mana kemuncaknya adalah sebutan kebanggan oleh-Nya dengan perkataan yang menyeronokkan hati, iaitu:

“Puasa itu istimewa untuk-Ku, maka Aku sendirilah yang akan mengurniakan ganjarannya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Harus diingat bahawa kedatangan Ramadan adalah menawarkan beberapa pakej, antaranya ialah puasa, solat terawih, tahajjud dan tilawah al-Quran. Setiap pakej yang ditawarkan mengandungi mata ganjaran dan nilai pahala tersendiri di sisi Allah S.W.T. Selain itu, anugerah tertinggi pada bulan ini ialah Malam al-Qadar. Allah S.W.T. telah mengikat janji-Nya menerusi lembaran suci berkenaan kelebihan yang bakal kita nikmati daripada malam istimewa diturunkan al-Quran ini.

“Malam kemuliaan (al-Qadar) itu adalah lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” Surah Al-Qadr: 3-5

Bulat tidak akan bergolek, pipih tidak akan melayang. Untuk mencapai tawaran dan bonus seperti mana yang telah dijanjikan, usaha jitu harus digerakkan. Ia mesti dicari, diperjuangkan dan direbut dengan sesungguh hati. Tidak dapat tidak, persediaan harus dilakukan sebelum detik pertama ketibaan Ramadan bermula. Persediaan yang dimaksudkan bukanlah semata-mata menyediakan bahan-bahan juadah untuk bersahur atau berbuka, tetapi persediaan dari segi ilmu berpuasa. Ini penting untuk mendatangkan kepuasan zahir dan batin sehingga kegembiraan yang hadir kerana nikmat ilmu dan iman semakin memuncak di hati.

Demikianlah besarnya rahsia Allah di sebalik kelazatan berpuasa, sepertimana yang terucap melalui sabda Rasulullah S.A.W.: “Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan sewaktu bertemu dengan Tuhannya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ramadan datang lagi. Menawarkan pelbagai pakej daripada Cinta Agung. Dianugerahi pahala dan bonus berganda buat yang mahu merebutnya.

Faisal Mustaffa

Seksyen 14

No comments:

Post a Comment