Sunday, March 6, 2011

Golongan Belia Perlu Sensitif Terhadap Sosialisasi Politik Negara

Oleh: Mohd Faisal Bin Mustaffa


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada awal tahun ini pernah mengumumkan bahawa terdapat seramai 4.9 juta penduduk yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus terdiri daripada mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun. Fakta ini dapat ditafsirkan, iaitu sejumlah 3.9 juta belia yang layak belum mendaftar sebagai pengundi. Sementara menurut laporan oleh Merdeka Centre baru-baru ini, 1/3 golongan belia berumur 20 hingga 35 tahun tidak mendaftar sebagai pengundi. Antara alasan mereka ialah undian mereka tidak mampu mempengaruhi dasar-dasar kerajaan dan masa depan negara, tiada masa untuk mengundi, tidak berminat, malas, tidak penting, malah ada yang mengatakan tidak tahu di mana hendak mengundi!

Keseluruhan sikap generasi muda ini benar-benar menunjukkan bahawa mereka tidak peka dan sensitif terhadap sosialisasi politik negara. Jika belia kita terus demikian pasif serta tiada ‘cakna’ dalam aktiviti sosialisasi politik, nescaya kita akan ketandusan pemimpin-pemimpin berkaliber dalam proses pengurusan dan pentadbiran negara pada masa hadapan. Kajian Indeks Belia Malaysia 2006 turut membuktikan kenyataan ini, di mana hasil kajian mereka mendapati sosialisasi politik dalam kalangan belia adalah di peringkat sederhana baik sahaja kerana ramai belia yang tidak membabitkan diri dalam aktiviti sosialisasi politik.

Sosialisasi politik seperti yang didefinisikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof. Dr. Samsudin A. Rahim, bermaksud bagaimana kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan kita. Sosialisasi politik dipengaruhi oleh ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya, malah media dalam menerima atau menolak sesuatu parti politik. Namun keentengan generasi muda terhadap perkara ini menyebabkan mereka menunjukkan sikap berkecuali dengan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka menganggap bahawa tugas kerajaan adalah untuk melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka, namun mereka tidak membantu dari segi kestabilan politik negara dengan tidak mendaftar sebagai pemilih, atau telah mendaftar, tetapi tidak membuang undi. Kajian juga melaporkan bahawa generasi muda berumur 21 hingga 25 tahun (seperti yang diketahui pada usia ini lazimnya terdiri daripada golongan mahasiswa di IPTA atau IPTS) adalah paling ramai belum mendaftar, bahkan menyatakan tidak mengundi dalam pilihan raya yang lalu sekalipun telah mendaftar. Ternyata ia merupakan fenomena yang merugikan negara.

Antara faktor golongan belia hari ini kurang sensitif terhadap aktiviti sosialisasi politik negara mungkin disebabkan hidup mereka dikaburi keselesaan hidup yang sedang mereka nikmati. Selagi mana makan dan minum mereka tidak terputus, selagi itulah mereka akan terus bersikap sambil lewa terhadap kesedaran berpolitik. Memetik kata-kata seorang tokoh: “Orang Melayu ini hanya memikirkan kesenangan hidup, tidak fikir tentang hak Melayu, demokrasi, isu kemiskinan, pemimpin korup dan lain-lain…” Selain itu, persepsi generasi muda yang sempit terhadap politik turut mempengaruhi sikap berkecuali mereka dalam sosialisasi politik negara. Mereka beranggapan bahawa keterlibatan dalam politik adalah berusaha untuk menjadi pemimpin parti politik di peringkat tempatan dan nasional. Di samping itu, kelekaan golongan muda dalam arus hiburan dan keseronokan menyebabkan mereka mengabaikan hal-hal lain yang lebih besar dalam kehidupan mereka, khususnya dalam berpolitik.

Langkah drastik perlu diambil oleh kerajaan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga ke arah yang sama. Kerajaan mungkin boleh menyuntik kefahaman dalam kalangan belia dengan mewujudkan satu subjek khas di sekolah atau di institut pengajian tinggi tentang struktur dan pentadbiran kerajaan Malaysia supaya golongan belia akan sedar dan memahami tanggungjawab mereka dalam kepentingan politik negara. Pelbagai kursus untuk menimbulkan kesedaran berpolitik juga wajar dilaksanakan oleh semua pihak bertanggungjawab. Di samping itu, pihak IPT juga perlu memainkan peranan untuk mencetuskan kesedaran dalam kalangan para mahasiswa serta menggalakkan mereka keluar mengundi dengan mengisytihar cuti umum ketika pilihan raya berlangsung.

Kesimpulannya, golongan belia perlulah sedar untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang akan berlangsung tidak lama lagi demi kebaikan agama, bangsa dan negara. Kita tidak sepatutnya berfikiran negatif terhadap sosialisasi politik kerana kepemimpinan masa hadapan tetap akan tergalas di bahu kita. Persediaan ilmu dan pengalaman pada masa sekarang adalah amat penting dalam melicinkan pentadbiran politik negara pada masa hadapan. Semoga pilihan raya pada kali ini menyaksikan pilihan raya yang lebih telus dan adil seperti mana hasil kajian oleh TNS dan Gallup International, iaitu Malaysia adalah negara paling bebas dan adil dalam kalangan negara Asia. Sebarang usaha untuk meningkatkan ketelusan dalam pilihan raya perlu disokong meski terpaksa menandakan jari dengan dakwat bagi yang telah mengundi. Biarlah ia dianggap kolot asalkan bersih. Dengan itu, mungkin negara kita akan tersenarai pula sebagai negara paling adil dan bersih dalam pilihan raya dalam kalangan negara-negara dunia! Siapa tahu?

No comments:

Post a Comment