Saturday, August 11, 2012

CAKE jadi KACE

Jam menunjukkan 1.04 pagi. Mata masih belum mengantuk. Kebetulan petang tadi saya tidur selepas pulang dari kelas. Agak keletihan ditambah pula dengan kesejukan hujan. Guruh berdentan dentum.Malam ini, sahabat-sahabat seusrah mengadakan Qiamullail bersama di Masjid. Jadi beramai-ramai meninggalkan Baitul Taubah (nama rumah kami) untuk tidur di masjid. Kawan-kawan semua sudah tidur, memberikan saya peluang memetik kekunci lap top Daniel atapun lebih di kenali sebagai Pok Nya. Sahabat yang saya kira cukup komited dengan gerak kerja tarbiah di kampus.

Ketika berusrah bersama Abang Dzul dahulu, beliau menggelar Pok Nya dengan gelaran nama seorang sahabat. Hal demikian kerana tubuhnya yang kecil dan kerjanya cukup komited. Walaupun lahir dipenghujung tahun 1984, namun begitu akibat kelewatan didaftarkan, maka di surat beranak Pok Nya tercatat 1985 sebagai tahun kelahiran.


Saya membelek artikel berkenaan PPSMI yang diletakkan diatas tabung diluar masjid. Apabila membaca artikel tersebut, fikiran saya melayang kembali ke alam kanak-kanak. Entah kenapa, memori yang sudah lama terpadam kembali bermain difikiran. Saya tersenyum sendirian.

Hal demikian kerana ketika di sekolah rendah saya seorang yang lemah di dalam mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris. Pernah suatu ketika, semasa berada di darjah dua, guru matapelajaran bahasa inggeris (kami panggil teacher) memberikan kami soalan untuk dijawab. Soalan tersebut berupa abjad-abjad dimana kami diminta untuk menyusun abjad tersebut menjadi perkataan. Masih ingat, pada ketika itu saya bersama Nizam (sahabat sepermainan), berbincang untuk mengisi jawapan pada kertas tersebut.

Antara abjad yang diberikan kepada kami adalah, A.E.C.K dengan menunjukkan sebiji kek. Selepas berbincang dengan sahabat saya, kami dengan yakin mengisi jawapan tersebut dengan menulis KACE. Kami yakin pada ketika itu bacaannya adalah kace yang menyerupai kaca.

Setelah menginjak dewasa baru saya tahu bahawa jawapan saya itu salah. Entah mengapa memori silam boleh diingati kembali. Sedangkan peristiwa tersebut berlalu lebih dari 10 tahun lamanya.

Walaupun lemah dalam matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dapat menguasai dengan baik matapelajaran sains dan kajian tempatan. Di mana 3 tahun berturut-turut saya mendapat anugerah pelajar matapelajaran sains terbaik. Bahkan ketika peperiksaan hujung tahun, pernah suatu ketika saya menjawab hanya dalam masa 30 minit, berbanding 1 jam yang diperuntukkan. Isu ini dibincangkan sehingga sampai ke pengetahuan PIBG, namun begitu saya sedikit kelegaan apabila keputusan yang dikeluarkan menggembirakan hati saya. Sehinggalah saya berjaya menamatkan pegajian di peringkat UPSR dengan keputusan 4A1B. Walaupun pada ketika itu saya cukup lemah di dalam penguasaan matematik dan bahasa inggeris, tetapi saya dikurniakan anugerah oleh Allah untuk merasai nikmat mendapat A dalam matematik dan B dalam bahasa inggeris. Padanlah dengan usaha saya yang hanya mengulangkaji pelajaran dengan lastik di dalam hutan. Itu pengalaman saya sebagai seorang budak kampung. Mengalami kesukaran untuk menguasai Bahasa Inggeris, tetapi berjaya menguasai sains dengan baik kerana di ajar dalam bahasa melayu.

Namun begitu, situasi ini tidak berlaku kepada adik saya, Nasuha. Dia sekarang bergelut sedaya upaya untuk memahami pelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris. Sudahlah subjek Bahasa Inggeris berterabur, dibebani pula dengan dua subjek yang cukup berat ini.

Pernah dia mengadu yang dia tidak memahami apa yang diajar oleh guru. Emak dan ayah hanya mampu mengeluh. Hendak diajar, mereka sendiri tidak faham. Saya tidak menyalahkan emak dan ayah. Saya yakin guru di sekolah tidak akan menyalahkan mak dan ayah saya. Hal demikian kerana mereka tahu bahawa rata-rata dalam kalangan peneroka felda tidak boleh berbahasa inggeris. Setakat menyebut perkataan market yang sudah menjadi percakapan harian orang kedah mungkin boleh. Tetapi untuk menterjemahkan perkataan dan teori sains dan matematik yang agak kompleks mungkin mustahil.

Tetapi saya yakin, pejuang bangsa yang mahukan sistem PPSMI ini diteruskan, mereka mungkin tetap akan menyalahkan ibu bapa. Hal demikian kerana mereka tidak mampu untuk membantu anak-anak menguasai bahasa inggeris. Dengan sumber keewangan yang kurang mencukupi untuk menampung kehidupan menyebabkan rata-rata mereka gagal menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa inggeris ini.

Dari kenyataan sombong mereka setiap kali mengeluarkan kenyataan, membayangkan akan keegoan yang tersemat di dalam hati menteri pendidikan ini. Saya tidak hairan mengapa anak-anak mereka mampu menguasai bahasa inggeris dengan baik. Antaranya disebabkan budaya dirumah yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pertuturan. Bagi anak-anak yang lembab pula dihantar ke pusat pengajian bahasa inggeris dan akhirnya dihantar ke luar negara untuk belajar atas pembiayaan peribadi. Sudah tentu apabila pulang ke tanah air sudah mampu bertutur menggunakan bahasa inggeris dengan baik.

Saya terfikir sendirian, sekiranya adik-adik saya di felda yang sedang membangun sukar untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa inggeris, bagaimana pula dengan masyarakat orang asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak? Pengalaman bermalam di kampung orang asli Kuala Mu, meninggalkan kesan mendalam pada jiwa saya. Bukan setakat menggunakan bahasa inggeris, menggunakan bahasa melayu untuk memahami sains dan matematik pun belum tentu boleh atau tidak.

Persoalannya, mengapakah PPSMI yang di laksanakan ini tidak mengambil kira berkenaan keseluruhan masyarakat di dalam Negara kita? Hanya disebabkan idea seorang yang sudah lanjut usianya, ianya terus dilaksanakan tanpa mengambil kira pendapat cendiakawan dan tokoh pemikir tanah air.

Mungkin niatnya murni untuk memartabatkan bangsa melayu dengan penguasaan bahasa inggeris, namun begitu sehingga hari ini saya melihat anak-anak melayu terutama diluar bandar sudah kehilangan selera untuk belajar. Mereka lebih gemar untuk ponteng kelas dan melakukan aktiviti yang tidak sihat. Keadaan ini jelas jika diperhatikan dalam kalangan anak-anak muda di kampung-kampung dan felda-felda.

Lebih jelas lagi syarikat percetakkan buku-buku teks mendapat laba yang banyak kerana mendapat tender mencetak buku teks bertimbun-timbun dalam masa yang singkat. Kesannya anak-anak melayu di kampung terus liat untuk membelek buku tersebut walaupun sudah berjuta ringgit dihabiskan untuk mencetaknya.

Sewajarnya, pihak kerajaan perlu memikirkan kaedah yang terbaik baik bagi menyelesaikan masalah pelajar yang malas untuk belajar. Di tambah pula dengan jenyayah dalam kalangan pelajar yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Pihak kementerian tidak seharusnya lepas tangan di dalam menangani isu ini.

Tindakan Dato Seri Hishamuddin, selaku menteri pelajaran yang membuat kenyataan melulu dengan mengatakan bahawa Dato’ Hassan Ahmad, A. Samad Said dan beberapa tokoh lain dipergunakan untuk kepentingan politik pembangkang cukup memalukan. Adakah golongan cerdik pandai ini terlalu naïf didalam membuat pertimbangan di dalam memperjuangkan hak bangsa. Hanya kerana memperjuangkan isu bangsa terus dilabelkan sebagai pembangkang.

Mengapa lontaran sebegini harus keluar daripada mulut seorang menteri yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama. Dengan gaya percakapan yang agak sombong, dia tetap mempertahankan PPSMI yang dipolopori oleh bekas ketuanya.

Saya memuji tindakan pimpinan PAS, PKR dan sebahagian daripada pimpinan UMNO. Walaupun ramai pimpinan UMNO bersatu mempertahankan PPSMI, namun begitu Khairy Jamaluddin dan Dato’ Puad Zarkhasyi jelas menolak perlaksanaan PPSMI ketika di wawancara oleh wartawan baru-baru ini.

Persoalannya kepada DS Hishamuddin, Adakah kedua-dua pemimpin UMNO ini turut termakan dengan hasutan pembangkang? Atau adakah mereka sedar bahawa PPSMI ini merugikan bangsa sendiri.

No comments:

Post a Comment