Sunday, December 5, 2010

Jururawat dan Ghulam Dakwah

Baru-baru ini saya dijemput oleh seorang junior sekolah lama untuk memberi sedikit pengisian di Kolej tempat dia belajar. Dalam perbincangan dengannya, dia hanya menjelaskan kepada saya apakah harapan dia dan sahabat-sahabatnya. Saya juga agak “blur” memikirkan apakah kaedah terbaik untuk memberi penerangan kepada mereka. Memang mudah untuk berteori, tetapi bagaimana untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang jururawat. Bagaimana saya hendak menerangkan kepada mereka, apakah kaitan jururawat dengan dakwah.Bagi yang membaca artikel ini anda jangan tersalah anggap, junior saya merupakan jururawat lelaki.(^^,). Ini membuatkan saya lebih mudah mendampingi mereka.

Apabila difikirkan metod apakah yang paling sesuai untuk digunakan, pada ketika itu saya mendapat idea untuk membincangkan kisah ashabul ukhudud ataupun dikenali juga dengan kisah ghulam dakwah. Lebih mudah untuk saya terangkan kepadanya memandangkan dia sendiri merupakan bekas pelajar KISAS. Bahkan berjaya dengan cemerlang dalam STPM dan mendapat tawaran dalam jurusan Syariah di Akademi Pengajian Islam, Univeristi Malaya. Oleh kerana minat yang mendalam untuk menceburi bidang kejururawatan, maka dia memilih bidang yang mula diteroka oleh golongan lelaki ini.

Selalunya bidang kejururawatan ini dikaitkan dengan wanita sahaja. Bahkan Tokoh Jururawat tersohor daripada kalangan kaum wanita. Tanggal 12 Mei setiap tahun, diseluruh dunia para jururawat akan mengadakan sambutan Hari Jururawat Sedunia, yang diambil sempena kelahiran tokoh jururawat Florence Nightingale. Dikisahkan bahawa pada tahun 1854, Nightingale bersama sekumpulan jururawat merawat mangsa Perang Crimea. Hasil daripada kisah inilah tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah institusi kejururawatan yang khusus.

Dengan lahirnya Jururawat lelaki yang berjiwa Islam, secara tidak langsung ianya memberikan ruang yang lebih luas untuk dakwah Islam bergerak. Tambahan pula jururawat merupakan orang yang lebih dekat dengan pesakit. Sekurang-kurangnya dengan adanya jururawat sebegini urusan hal ehwal orang Islam di dalam wad lebih terjaga. Maruah orang lelaki juga terjaga. Sekiranya sebelum ini jururawat wanita yang bertugas untuk membersihkan alat sulit pesakit, namun begitu tugas ini boleh diambil alih oleh kaum lelaki.

Saya sendiri mengidamkan, suatu hari nanti semua jururawat yang beragama Islam melaksanakan tugas mengikut ajaran Islam itu sendiri dengan berbekalkan semangat berdakwah. Sekiranya wujud pesakit yang tidak bersolat, maka merekalah yang akan memberi tunjuk ajar. Setiap rawatan yang diberikan kepada para pesakit dimulakan dengan nama Allah dan doa. Mudah-mudahan dengan keberkatan tersebut akan memudahkan para pesakit yang selama ini jauh daripada mengamalkan ajaran Islam untuk terbuka menerima hidayah Allah.

Kepada junior saya ini, saya bekalkan kisah Ghulam Dakwah ini supaya dapat memotivasikan dia dan sahabatnya untuk berdakwah. Insya Allah, saya akan nukilkan kisah ini berserta pengajaran di dalam ruangan maya ini untuk dikongsi bersama rakan-rakan. Untuk menghurai cerita ini, saya merujuk kepada buku Iman dan Harakah, tulisan Hashim Soor dan Ashabul Ukhdud pedoman dijalan dakwah, tulisan Sheikh Rifa’e Surur. Saya juga merujuk kepada tulisan tesis sahabat karib saya, iaitu Ustaz Idris B Yusoff Al-Hafiz, yang bertajuk “ Metodologi dakwah dalam kisah ashabul ukhdud”.

Insya Allah, saya akan cuba mendokumenkan hasil ceramah saya di dalam blog ini secara bersiri untuk berkongsi intipati pengajaran Kisah Ashabul Ukhdud. Perbahasan kisah ini saya akan masukkan ke dalam blog secara bersiri dan setiap siri mempunyai pengajaran yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment